Tuesday, November 20, 2018

PROFAIL NEGARA ANGGOTA OIC: LIBYA





                    PETA
 
 

 

             GEOGRAFI

Negara Libya terletak di Afrika Utara, berbatasan dengan Laut Mediterranean di sebelah utara, Mesir di sebelah timur, Sudan di sebelah tenggara, Chad dan Niger di sebelah selatan, serta Maghribi dan Tunisia di sebelah barat.

Dengan wilayah seluas  1,759,540 km persegi, Libya adalah negara keempat terbesar di benua Afrika. Negara ini terbahagi kepada tiga wilayah tradisi terdiri daripada Tripolitania, Fezzan dan Cyrenaica.

Libya secara umumnya adalah sebuah negara yang berhawa sederhana panas dengan pengaruh angin laut Mediterranean menurunkan bahang kepanasan di musim panas dan menyederhanakan suhu yang terlalu rendah di musim sejuk.

Negara ini juga mengalami hujan yang kurang, menyebabkan tumbuh-tumbuhan terencat dan tidak subur. Aktiviti pertanian tidak dapat diusahakan secara meluas kecuali di kawasan sebelah timur negara itu yang dilengkapi dengan sistem saliran buatan manusia yang turut menjadi sumber utama bekalan air bersih untuk negara ini.

Struktur muka bumi Libya secara keseluruhannya terdiri daripada dataran tinggi yang berbukit-bukit dengan ketinggian sekitar 200 – 600 meter dari aras laut. Di negara ini juga terdapat sebuah gurun yang luas iaitu gurun Sahara. Dengan struktur muka bumi yang sedemikian rupa juga menyebabkan Libya tidak banyak mempunyai aliran sungai.



PROFAIL PENDUDUK

Jumlah penduduk Libya pada masa ini adalah seramai 6,754,507 orang (anggaran Julai 2017). Daripada jumlah itu, kira-kira 80 peratus daripada mereka merupakan penduduk bandar manakala bakinya merupakan penduduk luar bandar dan kawasan pedalaman.

Peratus pertumbuhan penduduk Libya pada masa ini dianggarkan  di sekitar 1.45%, dengan kadar kelahiran berada pada kadar 17.2 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk dan kadar kematian pada kadar 3.7 kematian bagi setiap 1,000 penduduk.

Dari sudut tumpuan penempatan, dianggarkan lebih 90 peratus penduduk negara ini mendiami di sepanjang pantai Laut Mediterranean terutama dari Tripoli membawa ke barat dan dari ibu kota negara itu membawa ke Al Badya yang terletak di sebelah timur.

Tiga Bandar terbesar di Libya adalah Tripoli yang menempatkan kira-kira 1.158 juta penduduk, diikuti dengan Benghazi dengan 799,000 penduduk dan Misratah, 801,000 penduduk.

Dilihat dari sudut komposisi etnik, 97 peratus daripada penduduk Libya adalah terdiri daripada etnik Arab dan suku Barber, manakala bakinya terdiri daripada campuran etnik  Mesir, Malta, Itali, Pakistan, Turki, India dan Tunisia.

Bahasa Arab adalah bahasa rasmi Libya. Bagaimanapun Bahasa Inggeris dan Bahasa Itali turut digunakan secara meluas khususnya di kalangan masyarakat bandar dan golongan berkerjaya.

Dari sudut anutan agama, 96.6 peratus penduduk Libya menganuti agama Islam (Sunni), 2.7 peratus Kristian, dan selebihnya agama-agama lain seperti Buddha, Hindu, Yahudi dan kepercayaan-kepercayaan lain. 



 
Pemandangan bandar Tripoli


SEJARAH RINGKAS
              

Nama "Libya" dari sudut sejarahnya adalah berasal dari bahasa Mesir "Lebu", iaitu sebutan bagi orang-orang Barber yang tinggal di sebelah barat Sungai Nil. Nama ini kemudiannya disesuaikan ke bahasa Yunani sebagai "Libya" yang merujuk kepada wilayah yang luas di utara benua Afrika.

Komposisi etnik penduduk Libya mencerminkan migrasi orang-orang Arab dari timur ke Afrika utara antara abad ke-11 dan abad ke-16. Kedatangan beberapa gelombang penyerbu - termasuk Yunani, Romawi dan orang-orang Islam Timur dari Tengah- menyebabkan penduduk asli suku Barber melarikan diri ke selatan dan barat, dengan mengambil bukit-bukit di Tripolitania atau oasis-oasis di Gurun Sahara sebagai tempat perlindungan. Orang-orang Arab kemudiannya datang sebagai penguasa, dengan membentuk sekitar 97 peratus daripada komposisi penduduk Libya.

Sejarah moden Libya memperlihatkan kekuasaan Itali menggantikan kekuasaan Uthmaniyah (Turki) di kawasan sekitar Tripoli pada tahun 1911. Penguasaan Itali bagaimanapun berakhir pada tahun 1943 berikutan kekalahan mereka dalam Perang Dunia II. Sejak itu Libya diserahkan kepada pentadbiran PBB dan kemudiannya diberikan kemerdekaan pada 1951.

Pada tahun 1969 Kolonel Muammar al-Qadhafi telah melancarkan rampasan kuasa dan mengambil alih pemerintahan dengan mengamalkan fahaman yang bertunjangkan kepada sosialisme dan Islam. Era sepanjang tahun 1970-an memperlihatkan tindakan Qadhafi menggunakan hasil minyak untuk mempromosikan ideologinya di luar Libya, menyokong kegiatan subversif dan pengganas, termasuk mereka yang dikatakan terlibat dalam peristiwa Lockerbie di Scotland.

Berikutan adanya dasar serta tindakan Qadhafi itu, PBB telah mengenakan sekatan ekonomi ke atas Libya pada tahun 1992 yang telah banyak memberi kesan negatif dari sudut pembangunan ekonomi dan kehidupan rakyat Libya. Sekatan tersebut bagaimanapun telah ditarik balik pada tahun 2003 berikutan pengakuan Libya untuk membayar pampasan terhadap waris mangsa yang terlibat dalam peristiwa Lockerbie.

Qadhafi juga bersetuju untuk menamatkan program pembangunan senjata pemusnah besar-besaran, dan mengorak langkah bagi memperbaiki hubungan Libya dengan negara-negara Barat.

Bagaimanapun, era kebangkitan rakyat yang berlaku di negara-negara jiran Libya seperti Tunisia dan Mesir telah mempengaruhi rakyat Libya untuk bangun menentang pemerintahan Qadhafi. Kesannya, pada akhir 2010 beberapa tunjuk perasaan secara besar-besaran mula tercetus di beberapa buah bandar besar di Libya seperti Tripoli, Benghazi dan Misratah yang mengorbankan beratus-ratus nyawa.

Peristiwa tersebut yang akhirnya bertukar menjadi perang saudara telah mengundang PBB untuk campur tangan dengan melancarkan serangan udara dan laut sehingga akhirnya berjaya menumbangkan rejim Qadhafi pada tahun 2011.

Sebuah kerajaan peralihan yang dikenali sebagai Majlis Peralihan Negara (NTC) ditubuhkan selepas pengunduran Qadhafi. Pada tahun 2012, NTC menyerahkan kuasa kepada parlimen yang dipilih, Kongres Kebangsaan (GNC). Pada bulan Jun 2014, Pengundi memilih untuk membentuk sebuah parlimen baru dikenali sebagai Dewan Perwakilan Rakyat (HoR) yang berpusat di Tobruk berikutan pertempuran yang masih meletus di Tripoli dan Benghazi.

Pada bulan Oktober 2015, PBB meluluskan perjanjian di kalangan pelbagai parti politik Libya dan kumpulan sosial,  dikenali sebagai Perjanjian Politik Libya (LPA). Pelan tindakan LPA untuk peralihan kepada perlembagaan baru dan kerajaan yang dipilih oleh rakyat kemudiannya disahkan oleh Majlis Keselamatan PBB.


                EKONOMI

Dalam bidang ekonomi, Libya bermula dengan sektor pertanian sebagai tonggak perekonomiannya. Ini menyaksikan adanya komitmen yang tinggi di pihak kerajaan bagi membangunkan projek pengairan dan pengolahan tanah, seperti yang terdapat di Kafra dan Tawurgha. Hasil penting dari sektor ini ialah tanaman makanan rakyat seperti kurma, zaitun, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Selain itu sektor penternakan juga turut menjadi pekerjaan penting bagi penduduk terutama di kawasan timur laut Libya. Lembu yang dipelihara turut diimport dari U.K. dengan tujuan untuk meningkatkan kualiti lembu tempatan.

Minyak buat pertama kalinya ditemui di Libya, iaitu di Cyrenaica pada tahun 1959. Sejak itu, Libya seawal tahun 1961 sudah mulai mengeksport minyaknya. Penemuan minyak ini telah membawa perubahan yang cukup besar terhadap perkembangan ekonomi Libya.

Pada masa ini ekonomi Libya hampir sepenuhnya bergantung pada eksport minyak dan gas. Bagaimanapun, pergantungan tersebut telah menyebabkan Libya, sejak tahun 2014, terpaksa bergelut dengan masalah berpunca daripada isu-isu keselamatan dan ketidakstabilan politik dalam negeri, gangguan pengeluaran minyak, dan penurunan harga minyak global.

Dinar Libya telah mengalami kemerosotan nilai yang banyak di samping kadar inflasi yang kian meningkat. Pada masa yang sama, gangguan bekalan kuasa yang meluas berpunca dari  kekurangan bahan api terus memberi kesan terhadap  penjanaan kuasa untuk industri. Keadaan hidup, termasuk akses kepada air minuman bersih, perkhidmatan perubatan, dan perumahan yang selamat telah merosot sejak 2011.

Pengeluaran minyak Libya pada 2017 mencapai tahap tertinggi dalam tempoh lima tahun, dengan pengeluaran purata harian meningkat kepada 879,000 tong sehari. Sekaligus ini mendorong kepada adanya pertumbuhan KDNK. Walau bagaimanapun, paras pengeluaran minyak pada tempoh tersebut sebenarnya berada di bawah purata pra-Revolusi iaitu purata sebanyak 1.6 juta tong sehari!.

Bank Pusat Libya terus membayar gaji kepada majoriti tenaga kerja Libya dan membiayai subsidi bahan bakar dan makanan, mengakibatkan defisit kira-kira 17% daripada KDNK pada 2017. Keyakinan pengguna yang rendah dalam sektor perbankan dan ekonomi secara keseluruhannya telah menyebabkan kekurangan kecairan yang teruk. Kesemua ini ternyata, tidak menunjukkan tanda-tanda yang baik dan meyakinkan pada ekonomi Libya.



 Wallahua’alam (MMO).




No comments:

Post a Comment