Monday, September 24, 2018

PROFAIL NEGARA ANGGOTA OIC : KAZAKHSTAN


  

PETA
 

 

 

GEOGRAFI

Kazakhstan adalah sebuah negara terkurung daratan yang berada di bahagian tengah Benua Asia. Negara ini berkongsi sempadan dengan Russia di sebelah utara dan barat iaitu sepanjang 7,644 km, di sebelah timurnya dengan China (1,765 km), di sebelah selatan dengan Uzbekistan (2,330 km), Turkmenistan (413 km), Kirgistan dan Laut Kaspia.

Kazakhstan sering disebut juga sebagai negara trans-benua (antara benua) kerana terletak di antara dua benua iaitu benua Eropah dan benua Asia (sebahagian besar wilayahnya termasuk dalam kawasan benua Asia Tengah dan sebahagian kecil yang lain terletak di kawasan Eropah Timur).

Luas negara Kazakhstan adalah 2,724,900 km persegi, sekaligus menjadikannya sebagai negara ke-9 terbesar di dunia. Kazakhstan juga merupakan negara terbesar kedua yang berpecah dari Soviet Union selepas Rusia.


PROFAIL PENDUDUK



Kazakhstan memiliki jumlah penduduk seramai 18,556,698 orang (anggaran Julai 2017) dengan majoriti penduduknya terdiri daripada etnik Kazakh (63.1%) dan etnik (Rusia 23.7%). Sebahagian besar penduduknya beragama Islam (70.2%), diikuti Kristian (26.2%).

Bahasa resmi Kazakhstan adalah bahasa Kazakh. Sementara itu bahasa Russia turut digunakan secara meluas dalam urusan harian dan lebih dikenal sebagai bahasa perhubungan antara etnik.
 

SEJARAH RINGKAS

Daris sudut sejarahnya, wilayah Kazakhstan merupakan wilayah yang terletak di bawah kekuasaan kerajaan Rusia pada abad ke-18 sehinggalah revolusi Komunis menang di Rusia dan mendirikan negara Soviet Union pada tahun 1920.

Pada 5 Disember 1936, Kazakhstan menjadi sebuah Republik baharu yang berada di bawah pemerintahaan Soviet Union. Kazakhstan memperoleh kemerdekaannya setelah terbubarnya Soviet Union pada tanggal  16 Disember 1991.

Sejarah awal Kazakhstan memperlihatkan etnik Kazakh iaitu campuran suku kaum nomad Turki dan Mongol berhijrah ke rantau ini pada abad ke-13. Mereka bagaimanapun jarang sekali bersatu sebagai bangsa tunggal. Negara ini ditakluki oleh Rusia pada abad ke-18 yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada Republik Soviet pada tahun 1936.

Dasar kependudukan kerajaan Soviet Union dalam tahun-tahun 1930-an telah mengurangkan jumlah kaum Kazakh, sekaligus menjadikan mereka tidak melebihi etnik Russia. Dalam tahun 1950-an dan 1960-an melalui apa yang disebut sebagai program pertanian "Virgin Lands", rakyat Soviet digalakkan untuk membangunkan aktiviti pertanian di utara Kazakhstan. Kemasukan imigran ini (kebanyakannya etnik Russia dan etnik dari beberapa negara lain yang diusir) terus menyebabkan berlakunya campuran berbagai etnik di Kazakhstan.

Pada pertengahan tahun 1990-an hingga pertengahan tahun 2000-an, beberapa etnik minoriti bukan Islam meninggalkan Kazakhstan dalam jumlah yang besar. Pada masa yang sama, kerajaan Soviet Union mewujudkan program pemulangan kira-kira sejuta etnik Kazakh kembali ke Kazakhstan. Kedua-dua perkembangan ini telah menyumbang peranan ke arah menjadikan etnik Kazakh kembali menjadi etnik majoriti di Kazakhstan. Atas faktor itulah juga yang menjadikan Kazakhstan pada hari ini menjadi sebuah negara Islam dengan lebih 70 peratus rakyatnya berugama Islam.


POLITIK & PENTADBIRAN

              

Sistem pemerintahan Kazakhstan adalah berasaskan sistem pemerintahan Republik Presidensil yang mana Ketua Negara adalah Presiden. Presiden  dipilih secara langsung untuk tempoh perjawatan selama 5 tahun dan boleh dipilih kembali untuk tempoh 5 tahun berikutnya.

Presiden memiliki hak veto terhadap undang-undang yang telah disahkan oleh Parlimen. Presiden juga merupakan Panglima Tertinggi angkatan bersenjata Kazakhstan.

Perdana Menteri yang mengetuai  pemerintahan Kazakhstan beserta kabinetnya dipilih secara langsung oleh Presiden.


EKONOMI


Kazakhstan mempunyai rizab bahan bakar fosil yang banyak, di samping mineral serta beberapa logam lain seperti uranium, tembaga, dan zink. Ia juga memiliki sektor pertanian yang besar yang meliputi sektor penternakan dan bijirin.

Kerajaan menyedari bahawa ekonominya mengalami kelebihan dalam industri minyak dan ekstraktif dan telah membuat percubaan awal untuk mempelbagaikan ekonomi dengan mensasarkan sektor seperti pengangkutan, farmaseutikal, telekomunikasi, petrokimia dan pemprosesan makanan.

Rizab hidrokarbon dan mineral Kazakhstan membentuk tulang belakang ekonominya. Pembesaran lapangan pengeluaran minyak utama, Tenghiz, dengan melibatkan kos sebanyak $ 36.8 bilion dijangka akan siap sepenuhnya menjelang tahun 2022. Sementara itu, medan pengeluaran minyak Kashagan yang melibatkan kos pembangunan $55 bilion dan tertangguh buat beberapa tahun akhirnya membuat pengeluaran pertamanya pada Oktober 2016. Kesemua ini menyumbang kepada peningkatan jumlah pengeluaran minyak Kazakhstan pada tahun 2017 yang secara umumnya meningkat sebanyak 10.5%.

Kazakhstan bagaimanapun bergantung kepada Russia untuk mengeksport minyaknya ke Eropah. Ia juga mengeksport minyak secara terus ke China. Pada tahun 2010, Kazakhstan menyertai Russia dan Belarus untuk menubuhkan Kesatuan Kastam dalam usaha untuk meningkatkan pelaburan asing dan meningkatkan perdagangan. Kesatuan berkenaan kemudiannya berkembang menjadi medan kerjasama ekonomi ketiga-tiga negara pada tahun 2012.

Pada Januari 2015 pula Kazakhstan menyertai Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU). Kesemua perkembangan ini, serta disokong oleh kenaikan harga komoditi, eksport Kazakhstan ke negara-negara EAEU meningkat 30.2% pada 2017. Import dari negara-negara EAEU pula meningkat 24.1%.

Bagaimanapun, kemerosotan ekonomi rakan kongsi EAEU, Rusia, dan penurunan harga komoditi global dari 2014 hingga 2016 telah menyumbang kepada kelembapan ekonomi di Kazakhstan. Pada 2014, Kazakhstan menurunkan mata wangnya, tenge, dan mengumumkan pakej rangsangan untuk menghadapi cabaran ekonomi.

Pada tahun 2015, dalam menghadapi penurunan selanjutnya dalam ruble, harga minyak, dan ekonomi serantau, Kazakhstan telah menggantikan nilai mata wangnya dengan kadar tukaran terapung, sekaligus menyebabkan penurunan mendadak dalam nilai tenge. Nilai mata wang Kazakhstan itu kemudiannya naik semula secara beransur-ansur dengan dibantu oleh harga minyak yang lebih tinggi.

Pertumbuhan ekonomi Kazakhstan berkurangan kepada kira-kira 1% pada tahun 2015 dan 2016. Bagaimanapun, pemulihan sederhana dalam harga minyak, inflasi yang agak stabil dan kadar pertukaran asing yang lebih baik, berserta adanya permulaan pengeluaran minyak di Kashagan, pertumbuhan KDNK Kazakhstan pada tahun 2017 meningkat sedikit kepada 4%.


HUBUNGAN ANTARABANGSA




Dalam aspek hubungan antarabangsa, Kazakhstan adalah negara anggota PBB dan lembaga-lembaga antarabangsa yang berada di bawahnya.

Kazakhstan juga merupakan negara anggota ADB (Asian Development Bank), Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU), Euro-Atlantic Partnership Council (EAPC) dan European Bank for Reconstruction and Development (EBRD).

Kazakhstan menyertai Organisasi Kerjasama Islam (OIC) dalam tahun 1995 dan sejak itu turut aktif dalam menjayakan program serta aktiviti yang dilaksanakan oleh OIC.


Wallahua’alam (MMO).



No comments:

Post a Comment