Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 di negara tetangga kita, Malaysia, telah pun berlangsung pada 9 Mei 2018 lalu dengan memperlihatkan keputusan di luar jangka yang menyaksikan berlakunya peralihan kerajaan dari tangan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah Malaysia sejak merdeka 60 tahun lalu kepada gabungan parti pembangkang, Pakatan Harapan (PH).
Parti pemerintah Barisan Nasional (BN) yang sebelum PRU 14 menguasai 133 kerusi daripada
keseluruhan 222 kerusi di Parlimen, dalam pilihan raya itu hanya sekadar memenangi
79 kerusi berbanding dengan parti lawan utama, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang
meraih 125 kerusi, sekaligus melayakkannya membentuk kerajaan baru. Sebuah lagi
parti pembangkang iaitu PAS yang bertanding secara bersendirian, berjaya
memenangi 18 kerusi.
Gabungan parti pembangkang
yang dikenali sebagai Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan
Demokratik (DAP) dan Parti Amanah
Malaysia (Amanah). Sebuah lagi parti pembangkang di Sabah dikenali sebagai
Parti Warisan Rakyat (Warisan) turut menyebelahi PH sebagai anggota bersekutu. PPBM
bagaimanapun gagal didaftarkan sebelum berlangsungnya PRU 14, mendorongkan kesemua
komponan pembangkang yang terlibat bersetuju untuk bertanding atas
tiket PKR pada pilihan raya itu.
PH di samping berjaya
menguasai pemerintahan di peringkat pusat, juga berjaya menawan pemerintahan di negeri-negeri yang selama ini dikuasai oleh BN iaitu Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka,
Johor dan Sabah, di samping mengekalkan kerajaan di Pulau Pinang dan Selangor.
Dengan kejayaan PH ini, hanya tinggal dua buah negeri sahaja yang mampu dipertahankan oleh BN iaitu Perlis dan Pahang. Baki dua negeri lagi iaitu Kelantan dan Terengganu, dikuasai oleh PAS.
Faktor-faktor Yang Membawa Kepada Kekalahan BN
Berdasarkan percakapan
umum, juga mengambilkira pandangan-pandangan yang dibuat oleh beberapa
pemerhati politik tempatan, terutama di media massa, dapat dirumuskan di sini bahawa
banyak sekali faktor yang dikatakan menjadi penyumbang kepada kegagalan BN pada
PRU 14 itu.
“Ibu” kepada punca kegagalan
BN itu dikatakan sangat berkait rapat dengan isu 1MDB yang pada mata rakyat/
pengundi tidak dijelaskan kedudukan sebenar mengenainya kepada mereka. Malah
ada di kalangan rakyat yang melihat kerajaan BN sebagai cuba melindungi sesuatu
dan cuba mengelirukan mereka terhadap fakta sebenar di sebalik isu yang ada
itu. Dalam masa yang sama, tindakan yang diambil oleh beberapa kerajaan asing
seperti kerajaan Amerika, Switzerland dan Singapura yang dikaitkan dengan kesalahan
1MDB semakin menguatkan kepercayaan rakyat bahawa ada sesuatu yang tidak kena
pada entiti pelaburan negara itu.
Lebih jauh dari itu, wujud
semacam syak yang kuat dalam kalangan hati rakyat terhadap kemungkinan pemimpin
tertinggi negara sendiri terlibat dalam salahlaku korupsi dan salahguna kuasa
di sebalik keseluruhan isu 1MDB tersebut. Bermula daripada tindakan menukarkan
mereka yang terlibat dalam menyiasat skandal 1MDB tatkala pasukan penyiasat
bersedia untuk membuat pertuduhan terhadap mereka yang disyakki terlibat,
membawalah kepada pernyataan yang dilihat sebagai tidak munasabah bilamana ada
pihak yang sanggup menderma wang sebanyak RM 2.6 bilion itu – semuanya mengundang
pengundi untuk memberi sokongan kepada PH yang berjanji untuk membongkar fakta
sebenar di sebalik 1MDB itu sekiranya mereka berjaya mengambilalih kerajaan.
Justeru
wujud perasaan marah dan kecewa
rakyat terhadap kerajaan yang ada yang akhirnya dipercayai mendorongkan
mereka
untuk mengundi pihak pembangkang dengan harapan kerajaan baru, jika
berjaya
dibentuk nanti, akan dapat mendedahkan fakta sebenar di sebalik isu 1MDB
itu. Lebih jauh dari itu, mereka mahukan supaya wang milik negara itu,
jika benar-benar disalahgunakan, dikutip balik dengan apa jua cara untuk
dikembalikan kepada empunyanya, iaitu negara dan rakyat.
Demikian juga dengan isu Cukai
Perkhidmatan dan Barangan (GST) yang dianggap sebagai membebankan rakyat, turut dikaitkan sebagai penyebab yang telah menghakis sokongan rakyat kepada kerajaan. Tidak
dinafikan, melalui GST kerajaan berjaya mengumpulkan RM 40 bilion setahun –
cukup untuk menampung kekurangan wang negara ekoran daripada kejatuhan harga
minyak dunia. Namun, pada mata rakyat cukai tersebut telah membebankan mereka,
lebih-lebih lagi bagi rakyat yang berpendapatan rendah dan tidak menentu. Mereka,
dengan kata lain, terpaksa membayar lebih (6 peratus) daripada harga barang yang
sebenarnya. Bagi mereka, kerajaan wajar mencari langkah lain bagi menampung
kekurangan hasil negara itu, bukannya dengan meletakkan beban ke atas bahu rakyat.
Rakyat mahukan supaya cukai GST segera dimansuhkan dan struktur cukai dikembalikan kepada cara lama, SST. Ini, secara langsung, selari dengan salah satu manifesto Pakatan Harapan. Justeru itu, isu ini sahaja telah menghakis dengan parahnya sokongan rakyat, khususnya generasi muda terhadap kerajaan yang ada.
Rakyat juga dikatakan
merasa kecewa dan marah terhadap tindakan-tindakan kerajaan yang dilihat
sebagai menjadi punca kepada meningkatnya kos sara hidup mereka seperti bayaran
tol, tarif elektrik dan air yang sentiasa meningkat, kenaikan harga barang yang
berterusan dan gagal dikawal, kenaikan harga rumah, dan berbagai lagi masalah
lain – semuanya dilihat sebagai berpunca daripada kelemahan kerajaan yang ada
yang dianggap sebagai tidak perihatin terhadap nasib rakyat. Kegagalan kerajaan BN dalam menanggani masalah rakyat ini juga ditafsirkan sebagai kegagalan kerajaan dalam mengotakan janji-janjinya pada pilihan raya lalu. Lantas itu, timbul pertanyaan, untuk apakah perlunya kerajaan yang ada dipertahankan melalui pilihan raya kali ini?
Demikian juga dengan
mereka yang terlibat dengan hutang pelajaran kepada Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), merasa tidak berpuas hati dengan cara
kerajaan mengutip kembali pinjaman yang diberikan sehingga membawa mereka
dihalang daripada membuat perjalanan ke luar negara. Bagi mereka yang belum
mendapat pekerjaan tetap dengan bayaran gaji yang baik, mereka merasa terbeban
dengan hutang yang ada dan dengan itu tidak teragak-agak untuk memberikan
sokongan kepada pembangkang yang berjanji untuk membela mereka dalam hal PTPTN ini.
Di samping faktor-faktor yang berkait secara langsung dengan kehendak dan kepentingan rakyat sebagaimana yang diperkatakan di atas, terdapat juga faktor-faktor lain yang tidak kurang, turut mengundang kemarahan rakyat terhadap kerajaan yang ada.
Kerajaan Malaysia
akhir-akhir ini dikatakan terlalu rapat dari sudut ekonomi dan perdagangan dengan
negara Republik Rakyat China. Ini termasuklah dari sudut pelaburan yang menyaksikan semakin
banyak pelaburan China dibawa masuk ke Malaysia. Ada di antara pelaburan
tersebut yang terlalu tinggi kosnya seperti projek keretapi berkelajuan tinggi
Malaysia-Singapura yang ditafsir oleh banyak pihak sebagai bakal menyusahkan
negara kerana perlu menanggung hutang yang amat besar. Malah, ada yang bimbang suatu hari nanti Malaysia mungkin akan ‘tergadai maruahnya’ disebabkan
kemasukan pelaburan yang begitu banyak dan besar dari China itu. Justeru,
timbul desakan yang kuat di hati rakyat untuk menghentikan semua ini. Salah
satu caranya ialah dengan menukar kerajaan yang ada untuk digantikan dengan sebuah
kerajaan yang lebih perihatin dan memahami keadaan sebenar negara.
Itu adalah sebahagian
daripada faktor yang dikaitkan sebagai penyebab yang membawa kepada kejatuhan
kerajaan BN pada PRU 14 lalu. Dalam pada
itu, terdapat sebahagian lagi faktor yang dikaitkan sebagai mempunyai kesan atau
pengaruh secara langsung kepada pengundi yang membuat pilihan pada pilihanraya
lalu.
Faktor-faktor tersebut
ialah kehadiran pengundi muda yang begitu besar dalam daftar pengundi Malaysia
kali ini di mana kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan hampir 15 juta pengundi
PRU 14 dikatakan terdiri daripada mereka yang berumur di bawah 25 tahun. Mereka
kebanyakannya mengundi buat pertama kalinya, yang datang ke pusat-pusat
mengundi dengan tekad yang memuncak untuk menukar kerajaan yang ada sebagai
cara untuk melindungi rakyat daripada berterusan dicengkam dengan pelbagai
beban dan masalah.
Kewujudan infrastruktur
perhubungan sosial yang baharu seperti aplikasi Whatsapp, weChat, Facebook, Instagram,
dan berbagai lagi telah memudahkan perhubungan sesama pengundi muda, termasuk
dengan mewujudkan kumpulan-kumpulan ‘chatting’
bagi membincangkan masalah mereka, juga masalah negara, dan mencapai kata
sepakat untuk menentukan kepada siapa undi mereka perlu diberikan.
Justeru mengambilkira 40
peratus pengundi yang beratur di saluran-saluran mengundi di seluruh negara
adalah terdiri daripada pengundi muda, yang hadir mengundi atas rasa kecewa
terhadap kerajaan yang ada, kerajaan BN seharusnya dari awal lagi dapat
menjangkakan kepada siapakah undi yang amat berharga itu akan diberikan..
Kepada Brunei, hasil PRU 14 di negara tetangga kita itu sedikit sebanyak mungkin boleh diambil sebagai iktibar. Paling utama, denyut nadi rakyat perlu difahami dan diatasi secara tuntas. Pemikiran mereka, khususnya golongan muda, bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng, jauh sekali untuk diketepikan. Lambat laun dan kena pada masanya, mereka mungkin akan bangun merealisasikan kehendak dan impian mereka.
Kepada Brunei, hasil PRU 14 di negara tetangga kita itu sedikit sebanyak mungkin boleh diambil sebagai iktibar. Paling utama, denyut nadi rakyat perlu difahami dan diatasi secara tuntas. Pemikiran mereka, khususnya golongan muda, bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng, jauh sekali untuk diketepikan. Lambat laun dan kena pada masanya, mereka mungkin akan bangun merealisasikan kehendak dan impian mereka.
Wallahua’alam (MMO)
No comments:
Post a Comment