![]() |
Tentera rejim zionis memusnahkan kediaman penduduk Palestin |
Tidak banyak perkembangan penting yang berlaku dari
sudut penyelesaian masalah masa depan negara dan umat Islam Palestin dalam
tempoh suku tahun ketiga (Julai-September) 2019. Kehidupan seharian warga
Palestin terus dihantui dengan kekejaman di pihak keselamatan rejim zionis yang
bertindak melangkaui norma-norma kemanusiaan dalam melaksanakan kawalan dan
pembendungan terhadap kebangkitan rakyat Palestin. Tidak kurang, tanah-tanah
milik rakyat Palestin masih ada yang dirampas sementara pembinaan penempatan
haram rejim Zionis terus diletakkan sebagai agenda utama rejim pemerintah zionis.
Di peringkat antarabangsa, hanya tiga cetusan peristiwa
yang mungkin boleh menarik perhatian kita. Pertama, kenyataan di pihak kerajaan
Russia untuk mengeratkan lagi hubungan dengan Hamas di samping menolak “Deal of
Century” tajaan Amerika Syarikat yang cuba melindungi kepentingan Israel; Kedua, penegasan di pihak Menteri Luar Qatar, Mohamed Al Thani, bahawa
perjuangan Palestin adalah “isu induk dan tunjang kepada semua isu-isu Arab”, dan ketiga; kecaman Perdana Menteri Turki, Erdogan, terhadap tindakan rakus rejim zionis dalam merampas tanah-tanah milik warga Palestin ketika beliau menyampaikan ucapan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini.
Berikut saksikan beberapa peristiwa penting yang
berlaku dalam tempoh liputan buat meningkatkan lagi pemahaman kita terhadap perjalanan hidup seharian saudara kita di
bumi yang tidak pernah aman itu, seterusnya berbuat apa yang patut untuk
membantu.
Berita diambil dan disesuaikan dari laman sesawang Palestine
Informatian Network.
3 Julai 2019
Polis rejim
culik Fadi al-Hadmi di Baitulmuqaddis
Tentera rejim zionis culik Menteri Hal Ehwal
Baitulmuqaddis, Fadi al-Hadmi dari rumahnya di kota suci itu.
Menurut sumber tempatan, polis rejim memecah masuk
dan menggeledah kediaman beliau pada waktu subuh dan merampas telefon bimbit
sebelum menahan beliau.
Sementara itu, terdapat laporan 10 lagi warga Palestin
telah turut ditahan dalam kempen polis rejim di daerah Issawiya, timur
Baitulmuqaddis.
4 Julai 2019
11 tahanan mengadakan mogok lapar di penjara Israel
Jumlah tahanan Palestin yang mengadakan mogok lapar
di penjara Israel sebagai tanda protes di atas penahanan mereka telah meningkat
kepada 11 orang.
Sumber daripada Suruhjaya Hal Ehwal Tahanan
mengatakan bahawa protes mogok lapar itu dimulakan oleh tiga orang tahanan di penjara
Negev sebagai protes terhadap penahanan mereka tanpa pertuduhan atau
perbicaraan.
Ketiga-tiga pemuda Palestin yang berumur antara 20 –
40 tahun itu dikatakan telah melalui tempoh mogok lapar selama 17 hari.
8 Julai 2019
Rejim zionis tahan 34 warga Palestin di Tebing Barat
Rejim zionis telah menahan
34 warga Palestin menjelang waktu subuh dalam siri serbuan rumah ke rumah di
Tebing Barat dan Baitulmaqdis. Sumber tempatan berkata, kebanyakan tahanan
tersebut adalah mereka yang aktif didalam gerakan pelajar Hamas, “Islamic Bloc”
di Universiti Berzeit.
Rejim zionis kemudiannya dikatakan
telah menyita komputer riba dan telefon bimbit pelajar terbabit.
Dalam serbuan yang
dilakukan di Qalqilya dan al-Khalil sekumpulan pemuda Palestin telah bangun bertindak
balas sehingga mengundang rejim zionis melepaskan tembakan peluru besi bersalut
getah dan gas pemedih mata ke arah penduduk.
10 Julai 2019
Israel tangkap 3 warga palestin di Al-Quds dan Hebron
Pihak keselamatan Israel telah
menangkap tiga warga Palestin di al-Quds dan Hebron di Tebing Barat yang diduduki
penjajah Israel. Menurut saksi, pihak
keselamatan Israel telah menangkap dua pemuda Palestin ketika mereka berada di
mushalla Bab al-Rahmah di Masjid Al-Aqsha. Mereka juga dikatakan telah mengusir
para jamaah lain yang berada di mushalla tersebut.
Pada hari yang sama,
pasukan keselamatan Israel turut menangkap seorang warga Palestin di kota Nuba,
di bahagian barat laut Hebron ketika pemuda tersebut melalui pemeriksaan di pos
kawalan keselamatan yang dikendalikan oleh tentera Israel.
Di samping penahanan
beberapa pemuda Palestin itu, pihak keselamatan Israel juga dilaporkan telah meletakkan
pintu-pintu besi di beberapa jalan utama yang menghubungkan kota Beit Awwa dan
Deir Samet ke perkampungan-perkampungan lain yang terletak di daya Hebron
dengan tujuan untuk menyukarkan aktiviti seharian penduduk dan menghalang
perjalanan mereka antara bandar-bandar tersebut.
17 Julai 2019
Sekumpulan
warga Israel membanjiri Masjid al-Aqsa
Satu sumber dari Islam
Awqaf menyatakan bahawa seramai kira-kira 70 warga Israel dengan diiringi
pasukan keselamatan Israel telah menceroboh masuk ke Masjid al-Aqsa dan mengadakan
ritual keagamaan yang mencemari kesucian masjid tersebut.
Berikutan adanya perancangan
sulit bagi pencerobohan itu, polis Israel telah mengadakan banyak sekatan sementara
di jalan-jalan menuju ke Masjid al-Aqsa dan mengetatkan sekatan ke atas rakyat Palestin
yang ingin masuk ke masjid berkenaan.
Jurucakap Islamic Awqaf,
Feras al-Dibs dilaporkan sebagai berkata bahawa turut berada dalam kumpulan
yang menceroboh masuk ke Masjid al-Aqsa itu adalah 6 pegawai dari unit perisikan
Israel.
***
Lynk:
Tidaktelus galak Israel luaskan petempatan haram Yahudi
Pegawai Pelapor Khas PBB
mengenai situasi di Palestin, Michael Lynk menyuarakan kebimbangannya berhubung
ketidaktelusan dalam hak asasi kemanusiaan menyebabkan rejim zionis Israel
melakukan keganasan terhadap rakyat Palestin dan seterusnya memberi amaran
bahawa keadaan itu telah menggalakkan lagi perluasan wilayah secara haram.
Amaran itu dinyatakannya
di Amman, Jordan semasa beliau mengadakan lawatan seminggu bagi bertemu dengan
organisasi-organisasi hak kemanusiaan di Palestin dan Israel selepas
kemasukkannya ke Israel dihalang pihak rejim.
“PBB telah banyak kali
menyatakan bahawa penempatan Yahudi adalah haram, perluasan tanah di timur
Baitulmuqaddis melanggar undang-undang dan mencabuli hak asasi kemanusiaan yang
melanggar perjanjian dengan penduduk Palestin serta perjanjian antarabangsa.”
Tambah beliau lagi, perbuatan pihak Israel menolak kehadirannya itu juga
bertentangan dengan tanggungjawab beliau sebagai seorang anggota PBB.
18 Julai 2019
Ingin
kembangkan hubungan dengan Hamas, Moscow tolak ‘deal of century’
Wakil Menteri Luar Negeri
Rusia, Mikhail Bogdanov menyatakan hasrat negaranya untuk mengembangkan
hubungan dengan Hamas. Beliau menegaskan pendirian Moscow berkaitan rancangan
Amerika yang dirumuskan dalam 'Deal of Century'. Ketidakhadiran Rusia dalam
pertemuan Manama (Bahrain) selari dengan sikap ini. Hal tersebut disampaikan
Bogdanov dalam pertemuan dengan delegasi Hamas yang dipimpin oleh Mussa Abu
Marzuq.
Beliau menegaskan sokongan
terhadap hak-hak asasi rakyat Palestin dan menekankan keperluan menjadikan
persatuan nasional sebagai prioriti bagi semua pihak. Rusia sedia untuk
memberikan sokongan yang diperlukan kepada Palestin untuk memastikan
tercapainya persatuan nasional. Ini kerana ia merupakan
faktor utama dalam mewujudkan obsesi sah rakyat Palestin.
Delegasi Hamas menjelaskan kepada Bogdanov
berkait perkembangan politik di Palestin, termasuk masalah 'Deal of Century'
Amerika. Beliau turut menegaskan bahawa Hamas dan semua komponen rakyat
Palestin menolak penuh ketetapan berkenaan, termasuk pertemuan Manama yang baru
saja dijalankan di Bahrain.
Mussa Abu Marzuq
mengatakan bahawa kunjungannya ke ibukota Rusia itu dibuat atas undangan yang
diterima dari Wakil Menteri Luar Negeri Rusia, Mikhail Bogdanov.
22 Julai 2019
Haneya
gesa Lubnan batal sekatan ke atas rakyat Palestin
Ketua Biro Politik Hamas,
Ismail Haneya menyatakan rasa kesal dan kecewa beliau terhadap langkah
terbaharu yang diambil pihak Kementerian Buruh Lubnan ke atas pekerja dan ahli
perniagaan Palestin serta meminta agar peraturan itu dibatalkan.
Berikutan itu, Haneya
telah menghantar surat kepada Presiden Lubanan, Michel Aoun dan Perdana
Menteri, Saad Eddin al-Hariri serta Speaker Dewan, Nabih Berri.
Secara rasmi, Hamas
berharap agar kerajaan Lubnan membatalkan peraturan perundangan dan kewangan
yang menyusahkan yang dikenakan ke atas pekerja berketurunan Palestin dan
majikan yang mengambil mereka berkerja di negara itu.
23 Julai 2019
Pejuang Palestin tidak akan biarkan “Deal
of Century” terlaksana
Wakil Ketua Biro Politik
Gerakan Hamas, Saleh Arouri, menegaskan bahawa gerakan pejuang Palestin tidak
akan membiarkan rancangan Amerika dalam bentuk 'Deal of Century' (Kesepakatan Abad
Ini) terlaksana, meskipun dikenakan sekatan kewangan, politik dan ketenteraan. Hal tersebut disampaikan Arouri dalam
pertemuan dengan Ketua Badan Hubungan Strategik Iran, Kamal Kharazi, di Teheran.
Beliau mengatakan, tujuan
Trump melalui 'Deal of Century' ini adalah untuk menjamin kepentingan entiti
penjajah zionis dan Amerika serta negara-negara regional yang berusaha
mengorbankan Palestin dan aspirasi rakyat tempatan.
Sepanjang pertemuan itu,
kedua belah pihak membahas secara mendalam perkembangan Isu Palestin, khususnya
berkaitan 'Deal of Century' dan kesannya. Mereka turut membahaskan isu-isu yang
berkaitan dengan situasi regional dan antarabangsa.
Dipaparkan juga serangan
Zionis yang berlanjutan di kota al-Quds dan serangan yang mensasar warga dan
tempat-tempat suci. Delegasi gerakan menegaskan komitmennya untuk perpegang
teguh pada hak-hak rakyat Palestin dan menolak untuk melepaskan hak-hak rakyat
rakyat walau apa pun tekanan dan tentangan yang perlu dihadapi.
1 Ogos 2019
Gaza:
Tiada bekalan ubat bagi pesakit yang menghidap penyakit berkaitan darah
Kementerian Kesihatan
Palestin di Gaza memberi amaran akan bahaya yang boleh mengancam nyawa ramai
penghidap Thalassemia dan Hemophilia disebabkan ketiadaan beberapa jenis ubat
bagi merawat penyakit tersebut.
Semasa sidang media yang
diadakan di European Hospital di Khan Younis, pegawai kesihatan kementerian
itu, Hani Ayyash yang merupakan seorang pakar penyakit darah merayu kepada
semua pihak berkaitan dan sesiapa yang mahu membantu Gaza supaya dapat
menghulur bantuan dengan membekalkan ubat-ubatan kepada pesakit bagi
membolehkan mereka terus hidup.
Beliau menjelaskan bahawa
kekurangan bekalan ubat-ubatan untuk penghidap barah darah boleh menyebabkan
mereka mengalami komplikasi kesihatan yang serius dan juga membawa maut.
6 Ogos 2019
Israel
meluluskan 6,000 penempatan haram di Tebing Barat
Kabinet Keselamatan Israel
telah meluluskan pelan untuk membina 6,000 unit perumahan di kawasan penempatan
Israel di Tebing Barat.
Di bawah plan itu juga,
Kabinet Keselamatan telah memutuskan untuk membenarkan pihak Palestin untuk
membina 715 unit perumahan di Kawasan C, yang merangkumi 60% dari seluruh
keluasan Tebing Barat dan ditadbir sepenuhnya oleh pihak Israel.
Sumber media Israel
berkata bahawa keputusan ini dibuat beberapa hari sebelum menjelangnya lawatan
penasihat kanan Presiden Amerika, Jared Kushner, ke Israel dan beberapa negara
Arab yang lain.
Sejak beberapa tahun
kebelakangan ini Israel telah mempertingkatkan aktiviti pembinaan penempatan di
Kawasan C. Dalam masa yang sama, berpuluh-puluh kediaman dan bangunan milik
warga Palestin telah dimusnahkan di bawah alasan tidak berlesen.
7 Ogos 2019
Samidoun
gesa PLO bawa isu tahanan ke peringkat antarabangsa
Rangkaian Solidariti
Tahanan Palestin (Samidoun) menggesa Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) untuk
melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap tahanan Palestin dengan menengahkan
isu berkenaan ke Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu.
Pertubuhan yang bertapak
di Brussel itu telah menggesa PLO mengusahakan supaya Majlis Keselamatan dan
Perhimpuan Agung mengadakan sesi khas untuk membincangkan isu tahanan Palestin
di pusat-pusat tahanan Israel.
Samidoun menegaskan betapa
pentingnya peranan antarabangsa untuk mengutuk tindakan kejam dan terancang
oleh pihak Israel ke atas warga Palestin di pusat-pusat tahanan Israel.
9 Ogos 2019
Mahkamah
Israel lanjutkan pengesanan elektronik ke atas Sheikh Salah
Mahkamah Tinggi Israel telah
meluluskan permintaan pendakwa untuk melanjutkan tempoh pemantauan Sheikh Ra’ed
Saleh, Ketua Gerakan Islami, dengan menggunakan pengesan elektronik di
pergelangan kaki (GPS dan alat curi dengar).
Oleh itu, alat pengesan
akan berada di kaki Sheikh Salah untuk tempoh tiga bulan lagi.
Peguam Khaled Zabarqa,
yang mewakili Sheikh Salah, berkata anak guamnya itu telah ditahan di rumah dan
dipantau secara elektronik sejak 6 Julai 2018 setelah beliau diasingkan selama
11 bulan.
***
Polis
rejim Israel bertindak ganas, tahan pegawal keselamatan Masjidil Aqsa.
Polis rejim zionis Israel
bertindak ganas dan menangkap seorang anggota pengawal keselamatan di luar ruang
solat Bab al-Rahmah, Masjidil al-Aqsa, Baitulmuqaddis.
Menurut saksi kejadian,
pegawai polis rejim menahan seorang anggota keselamatan masjid, Muhamad Idrees.
Selepas dipukul dia telah dibawa ke balai polis berdekatan masjid dengan tangan
bergari. Sebelum itu, polis rejim menangkap seorang aktivis pro-Aqsa, Nidham
Abu Rumouz di ruang solat yang sama dan membawanya untuk disoal siasat.
16 Ogos 2016
Israel
hentikan pembinaan kediaman warga Palestin di Bethlehem
Pihak rejim Israel telah
mengeluarkan arahan menghalang pembinaan rumah rakyat Palestin di kampung
al-Walaja yang terletak di sebelah Barat Laut Kota Bethlehem.
Sumber tempatan menyatakan
yang pihak rejim Israel menyerahkan arahan itu kepada Halima al-A’raj atas
alasan pembinaan tersebut dibuat secara tanpa permit.
Kampung Al-Walaja sering
menjadi sasaran oleh pihak rejim dengan alasan tidak munasabah bagi menyekat
pembinaan rumah-rumah baharu dan memusnahkan kebanyakan rumah yang sedia dibina.
20 Ogos 2019
Rejim
zionis musnah tangki air pertanian di utara Lembah Jordan
Tentera rejim zionis telah
memusnahkan sebuah tangki air besar yang digunakan untuk tujuan pertanian di
utara Lembah Jordan.
Wakil tempatan Mu’taaz
Bisharat berkata tentera zionis memusnahkan tangki yang digunakan oleh warga
Palestin untuk pengairan tanah pertanian dekat Kampung Bardala.
Walaupun ia berlesen,
tentera rejim mendakwa yang tangki itu dibina tanpa kebenaran, sesuatu yang
telah menjadi alasan selama bertahun-tahun untuk menghalang pembangunan
Palestin.
22 Ogos 2019
Rejim zionis rampas fasiliti pertanian di Tulkarem
Rejim Zionis telah
merampas sebuah karavan pertanian milik warga Palestin di daerah Khirbet Jbara,
di selatan bandar Tulkarem.
Ihsan Tahsin , Ketua
Majlis Daerah Khirbet Jbara memberitahu bahawa Rejim zionis telah mencerobohi
daerah berkenaan pada awal pagi dan menggeledah rumah-rumah warga Palestin yang
masih di dalam pembinaan.
Tahsin berkata Rejim
Zionis juga turut merampas karavan pertanian milik keluarga Dosoki. Daerah
Khirbet Jbara seringkali disasar oleh tentera zionis untuk operasi rampasan
tanah dan pemusnahan rumah kediaman yang sedia dibina di situ.
26 Ogos 2016
Haluan
kanan Israel mahu bina 113,000 rumah peneroka haram di Tebing Barat
Pemimpin parti dari
pakatan sayap kanan, Yamina, mengumumkan rancangan untuk membina 113,000 unit
rumah di penempatan haram Israel di Tebing Barat yang dijajah, menurut beberapa
sumber media Ibrani yang berbeza.
Menurut Yamina, rancangan
itu – yang akan melihat penduduk peneroka haram meningkat sebanyak setengah
juta – merupakan penyelesaian kepada krisis perumahan Israel yang telah
menyaksikan kenaikan harga rumah.
“Kawasan metropolitan Tel
Aviv hampir sama ramai seperti Gaza dan mahal seperti New York,” kata Ketua Menteri
dan bekas Menteri Keadilan, Ayelet Shaked, pada sidang akhbar yang diadakan
untuk melancarkan pelan penyelesaian masalah perumahan warga Israel.
“Petua magik yang berbeza yang kita lihat
dalam beberapa tahun kebelakangan ini tidak berhasil. Penyelesaiannya adalah
mudah: untuk menurunkan harga anda perlu meningkatkan penawaran”, katanya.
Yamina ingin membina rumah
peneroka haram tersebut dalam tempoh lima tahun, yang akan menghubungkan Ariel
– jauh di bahagian Barat yang dijajah Israel dengan Rosh Ha’ayin yang terletak di
dalam kawasan Green Line.
Pakatan sayap kanan
mendakwa populasi Israel akan mencapai 10 juta pada tahun 2024, dengan satu
juta orang dijangka akan tinggal di Tebing Barat.
28 Ogos 2019
Jordan
kesal tindakan polis Israel terhadap pekerja wakaf Jerusalam
Jordan mengutuk tindakan pihak
berkuasa haram Israel untuk memanggil Mohamed al-Khatib, Ketua Umum Waqf Islam
Jerusalam untuk siasatan dengan menganggapnya sebagai sebahagian daripada tindakan
sewenang-wenang polis rejim zionis terhadap pekerja Awqaf Islam di bandar suci
tersebut.
Satu kenyataan dikeluarkan
oleh Kementerian Luar Negeri Awqaf dan Hal Ehwal Islam Jordan selepas satu
perbualan telefon antara Menteri Abdul-Naser Abul-Basal dan Mohamed al-Khatib
mengutuk tindakan tersebut.
Dalam beberapa bulan
kebelakangan, polis haram Israel kerap menahan dan memanggil ramai pegawai
Masjid Aqsan dan Jerusalam Awqaf serta menyerahkan perintah-perintah bertulis
yang menghalau mereka dari masjid-masjid berkenaan untuk tempoh masa yang
berlainan.
5 September 2019
Jentolak
Israel roboh masjid di al-Khalil
Tentera rejim zionis
Israel meroboh sebuah masjid di kawasan selatan Bandar al-Khalil, Tebing Barat.
Menurut saksi yang melihat
kejadian tersebut, dua buah jentolak milik rejim Israel dikatakan telah memasuki
kawasan Jabal Juhar di al-Khalil pada awal pagi dan mula menolak bangunan
masjid yang masih dalam pembinaan itu.
Tambah saksi itu lagi,
pihak rejim mendakwa bahawa masjid itu terletak di kawasan C yang merupakan
kawasan yang terletak dibawah pentadbiran eksklusif pihak Israel berdasarkan
Perjanjian Oslo.
6 September 2019
Netanyahu
cemari Masjid Ibrahimi
Perdana Menteri Israel
Benjamin Netanyahu telah mencemarkan Masjid Ibrahimi di al-Khalil, hanya
beberapa jam selepas Presiden Israel Reuven Rivlin melawat kawasan yang sama.
Lawatan Netanyahu
berkenaan dibuat hanya beberapa hari sebelum berlangsungnya pilihanraya di
Israel, dan tindakan beliau itu dilihat oleh banyak pihak sebagai bertujuan untuk
meraih undi daripada penduduk haram Israel.
“Kami bukannya asing di
Hebron. Kami akan tinggal di sana selama-lamanya,” ujar Netanyahu ketika
menghadiri majlis sempena memperingati 90 tahun peristiwa 60 warga Israel
dibunuh di al-Khalil ketika meletusnya Revolusi Palestin Al-Buraq dalam tahun
1929.
Masjid Ibrahimi terletak
di Bandar Lama al-Khalil yang didiami oleh kira-kira 400 penduduk haram Yahudi
di bawah kawalan keselamatan yang ketat oleh askar Israel.
Pihak berkuasa Kementerian
Luar Negara Palestin mengutuk sekeras-kerasnya lawatan Netanyahu, dan
menyifatkannya sebagai berunsur “perkauman” dan “provokatif”.
10 September 2019
Kongres
Kerakyatan Gaza tolak ‘Deal of Century’
Pengarah Jabatan Urusan
Pelarian Hamas, Iyad al-Maghari mengatakan, pihaknya telah bersiap-sedia untuk
mengadakan Persidangan Kerakyatan dengan tema "Menghadapi 'Deal of
Century' dan Melindungi Hak Untuk Kembali” di Rashad Al Shawa Pusat Balai, Kota
Gaza.
Dalam pernyataan kepada
akhbar Safa, Al-Maghari mengatakan, Kongres Rakyat ini dilakukan sebagai bentuk
penegasan atas hak kembali bangsa Palestin, khususnya penduduk Gaza yang tidak akan
menerima tawar-menawar atau lalai dalam
penolakannya terhadap 'Deal of Century' Amerika serta semua konspirasi yang
kononnya bertujuan untuk menyelesaikan masalah Palestin.
Beliau menambah bahawa
misi dari kongres ini adalah bahawa para pelarian Palestin akan tetap memperjuangkan
hak-hak kembali mereka sebagai hak kolektif dan tidak akan menjual aset-aset
mereka secara individu kepada pihak Israel, tak boleh berlaku tawar-menawar mahupun
hak untuk dikompromikan.
17 September 2019
Al
Thani : Perjuangan Palestin “Isu Induk Arab”
Menteri Luar Qatar,
Mohamed Al Thani, menegaskan bahawa perjuangan Palestin adalah “isu induk dan
tunjang kepada semua isu-isu Arab”.
Dalam kenyataan Twitter
beliau, Al Thani berkata bahawa “keamanan tidak mungkin tercapai di kawasan ini
tanpa penyelesaian yang adil dan berkekalan (untuk perjuangan Palestin) yang
selaras dengan ketetapan antarabangsa.”
“Kami membantah tindakan
agresif berterusan pihak rejim zionis ke atas warga Palestin dan mengulangi
pendirian tegas kami tentang isu ini,” tambah Al Thani.
Di dalam sidang media pada
10 September lalu, Netanyahu telah mengumumkan bahawa beliau akan menambah
Lembah Jordan dan kawasan utara Laut Mati ke dalam peta Israel jika beliau
memenangi pilihanraya umum dan menubuhkan kerajaan baharu.
23 September 2019
Israel
ratakan 145,000 meter persegi tanah desa Hajja di Qalqilya
Pasukan pendudukan
penjajah Israel telah bertindak meratakan tanah pertanian yang sangat luas di
desa Hajja, yang terletak sebelah timur Qalqilya, wilayah utara di Tebing Barat
yang diduduki penjajah Israel.
Petugas yang bertanggung
jawab menghadapi pendatang Yahudi di daerah Qalqilya, Mohammed Abu al-Sheikh,
mengatakan, "Jentolak-jentolak pasukan pendudukan penjajah Israel mulai
meratakan tanah pertanian yang dianggarkan luasnya mencapai 145,000 meter
persegi.
Hal ini dilakukan pasukan
penjajah Zionis dengan tujuan untuk memperluas kawasan industri yang ada di
dalam penempatan Yahudi "Karni Shomron" yang letaknya bersebelahan dengan
tanah pertanian Palestin.
Sebahagian besar tanah
tersebut dikatakan ditanam dengan pohon zaitun dan dimiliki oleh lima keluarga
Palestin.
Kehadiran pasukan pendudukan
penjajah zionis itu telah menerima tentangan daripada sekumpulan pemuda
Palestin yang bertindak membaling bom petrol (Molotov) dan batu ke arah kenderaan
mereka tetapi telah dibalas dengan tembakan gas pemedih mata bertujuan untuk
menyuraikan mereka.
***
Tentera
Israel bunuh wanita Palestin di tempat pemeriksaan Qalandiya
Rejim zionis telah
menembak mati seorang wanita Palestin di pos pemeriksaan Qalandiya, di utara
kawasan terjajah Baitulmaqdis pada 18 September lalu.
Saksi
kejadian mendakwa bahawa tentera zionis yang bertugas di tempat pemeriksaan
Qalandiya telah menembak wanita Palestin yang berumur dalam lingkungan lima
puluhan itu dan telah membiarkan beliau bersendirian sampai mati, atas tuduhan
kononnya menyimpan sebilah pisau dan merancang untuk membuat serangan dengan
cara menikam.
Wanita berkenaan telah
dipindahkan ke sebuah hospital Israel di Hadassah di mana beliau telah
diisytiharkan meninggal dunia. Rejim zionis kemudiannya bertindak menutup
tempat pemeriksaan tersebut dan menghalang sebarang pergerakan keluar masuk
penduduk dan kenderaan Palestin.
26
September 2019
Lebih
1000 penduduk haram ceroboh makam Yusuf
Kira-kira 1,200 penduduk
haram Israel telah menceroboh Makam Yusuf di timur Bandar Nablus pada awal pagi
Selasa lalu, dengan diiringi oleh seorang Menteri Israel dan beberapa orang Rabai.
Sumber tempatan
memberitahu Akhbar Quds bahawa beberapa buah bas yang membawa hampir 1,200
penduduk haram Israel telah memasuki kawasan berkenaan dengan diiringi oleh
pihak tentera.
Menurut sumber,
pertembungan ganas tercetus antara berpuluh-puluh belia Palestin yang cuba
bersemuka dengan penceroboh-penceroboh berkenaan, tetapi telah dibalas dengan
tembakan gas pemedih mata dan peluru logam bersalut getah ke arah mereka.
Rejim zionis dan penduduk
haram Israel dikatakan hampir setiap minggu menceroboh kawasan timur Nablus
untuk mengadakan upacara-upacara di Makam Yusuf, yang mereka percaya adalah
tempat bersemadinya Nabi Yusuf. Walaubagaimanapun, penduduk tempatan dan
ahli-ahli sejarah Palestin telah mengesahkan bahawa makam berkenaan adalah
sebenarnya milik seorang pemimpin Islam zaman dahulu kala bernama Yousef
Dweikat.
27 September 2019
Erdogan
menyelar tindakan Israel meluaskan pengambilan tanah Palestin
Presiden Turki Recep
Erdogan telah membuat kenyataan menyelar rejim Israel kerana merampas tanah
Palestin dan meneruskan perluasan tanah haram dalam ucapan beliau pada
Perhimpunan Agung PBB di New York pada 24 September lalu. Erdogan ketika
menyampaikan ucapannya itu telah turut menunjukkan imej perubahan peta Palestin
yang jelas menampakkan kerakusan Israel selama tempoh berdekad.
“Di manakah Israel pada
tahun 1947 dan di manakah ia sekarang?” kata beliau sambil menayangkan peta di
mana tanah Palestin ditandakan dengan warna hijau yang dirampas oleh Israel.
30 September 2019
MK
Avi Dichter masuk ke halaman Masjid Aqsa
Anggota Knesset yang juga
bekas Ketua Agensi Perisikan Israel “Shin Bet”, Avi Dichter dilaporkan telah
memasuki halaman Masjid Aqsa dengan diringi kawalan ketat di pihak polis rejim
zionis.
Menurut sumber tempatan,
Dichter memasuki halaman masjid berkenaan bersama sekumpulan penceroboh Israel yang
lain dan berada di kawasan tersebut buat beberapa ketika sebelum beredar
meninggalkannya.
Akhir-akhir ini, kumpulan pelampau
Yahudi dikatakan sering menghasut pengikut mereka untuk mencemarkan Masjid Al
Aqsa secara beramai-ramai dengan cara meraikan acara agama mereka di kawasan
masjid tersebut.
Wallahu’alam (MMO)
No comments:
Post a Comment