Saturday, December 1, 2018

DIARI KEHIDUPAN




Tidak ada seharipun dalam kehidupan warga Palestin yang tenang setenang kehidupan kita di negara yang aman dan amat bertuah ini. Kita dilimpahi Allah dengan kekayaan harta benda dan sanak saudara dengan suasana selesa dan gembira wujud di mana-mana dan apa yang kita hajati tidak sukar untuk kita dapati. Di sana, kehidupan mereka setiap detik dihambat oleh ketakutan, kesakitan dan kesengsaraan. Tidur di waktu malam tidak pernah mencukupi, jauh sekali untuk mendapatkan walau pun satu mimpi. Apa tidaknya apabila setiap detik waktu langit diterangi dengan percikan api! Di waktu siang setiap detik waktu yang terluang dituntut bagi menangkis serangan dan semangat kebencian yang dibakar oleh rejim Jahannam. Mampukah kita untuk sekadar memerhatikan? 

Justeru melalui catatan ‘Diari Kehidupan’ ini, penulis akan cuba membawa kita untuk mendekati dengan lebih dekat liku-liku kehidupan harian saudara kita di bumi Palestin yang diberkahi itu agar kita lebih bisa memahami, mendalamkan lagi rasa simpati dan segera bangun mempamirkan solidariti. 

  Cacatan Peristiwa Penting Sepanjang November 2018


Tarikh
Catatan Peristiwa

01.11.2018


Sebuah saluran TV Israel, Channel 7, melaporkan Parlimen Israel akan membahaskan rang undang-undang bagi mengusir keluarga pejuang Palestin yang melakukan serangan. Ia bertujuan untuk mengenakan tindakan lebih keras ke atas ahli keluarga pejuang yang melakukan serangan terhadap Israel di Tebing Barat. Undang-undang ini jika diluluskan, bakal membolehkan tentera Israel mengusir “keluar daerah” ahli keluarga kepada pejuang Palestin yang melakukan serangan.


02.11.2018


Rejim zionis Israel menghalang tujuh warga Palestin dari Tebing Barat daripada meneruskan perjalanan mereka melalui pintu sempadan al-Karama dengan Jordan. Kenyataan pihak berkuasa Israel menyebutkan kesemua warga Palestin itu dihalang dari meneruskan perjalanan mereka atas sebab-sebab keselamatan tetapi tidak dinyatakan dengan jelas sebab sebenarnya.


07.11.2018



Presiden Brazil yang baru dipilih, Jair Bolsonaro berjanji akan memindahkan kedutaan negara itu dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis. Bercakap kepada akhbar harian Israel, Hayom, beliau berikrar untuk memberi sokongan kepada Israel dan mengatakan janjinya berhubung Baitulmuqaddis semasa kempen pemilihannya bukannya gimik pilihanraya. Beliau juga menyatakan komitmen Brazil untuk memberi sokongan yang lebih kepada Israel, tertutamanya melalui undi di forum-forum antarabangsa seperti di persidangan PBB dalam pekara yang melibatkan Israel.


08.11.2018


Enam tahanan di Palestin meneruskan mogok lapar mereka di penjara Israel untuk memprotes penahanan wanita Palestin oleh pihak tentera Israel. Sejak 15 September, tahanan wanita Palestin enggan keluar ke halaman penjara sebagai membantah pemasangan kamera pengawasan oleh pihak berkuasa penjara Israel.


12.11.2018




Akhbar Harretz mendedahkan Jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan Perbandaran Baitulmuqaddis telah meluluskan pembinaan 640 lagi unit kediaman di kota suci Baitulmuqaddis. Unit-unit rumah kediaman itu dijangka akan mula dibina di satu kawasan tanah lapang milik penduduk Palestin yang terletak di antara penempatan Ramat Shlomo dengan bandar Beit Hanina. Pembinaan penempatan haram itu telah dirancang untuk dilaksanakan pada 2010 tetapi ditanggungkan setelah tidak dipersetujui oleh pihak pentadbiran lama AS.

***

Seorang pemuda Palestin dari Khan Younis di Gaza disahkan meninggal dunia akibat kecederaan ditembak ketika menyertai perarakan bagi warga Palestin untuk kembali ke tanah air mereka pada bulan lepas. Pemuda Palestin itu, Ahmed Annajjar, 21 tahun meninggal akibat kecederaan serius ditembak oleh tentera Israel ketika beliau sedang berarak di timur kawasan sempadan di Khan Younis pada 26 Oktober.


16.11.2018

Beberapa orang warga Palestin dilaporkan cedera selepas bertempur dengan tentera rejim Israel. Kejadian berlaku di kawasan sebelah utara menuju bandar al-Bireh, bahagian tengah Tebing Barat. Tentera rejim dikatakan telah melepaskan tembakkan peluru hidup dan gas pemedih mata ke arah berpuluh-puluh pemuda Palestin yang sedang berhimpun secara aman berdekatan penempatan haram Yahudi, Beit El yang dibina di atas tanah milik warga Palestin itu. Berikutan serangan itu, kumpulan pemuda warga Palestin yang anti Israel bertindakbalas dengan membakar tayar dan membaling batu ke arah anggota tentera rejim.
 

19.11.2018



Menteri Perang Israel, Avigdor Lieberman, secara rasminya meletakkan jawatan pada Khamis, sehari selepas pengumumannya untuk berundur sebagai tanda protes ke atas perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui antara Israel dengan Hamas sebagai langkah bagi menamatkan keganasan di Semenanjung Gaza. Perletakan jawatan itu dikatakan berkuatkuasa 48 jam selepas surat dihantar kepada Perdana Menteri Benjamin Netanyahu. Parti Lieberman, Yisrael Beytenu, juga bertindak keluar daripada barisan Netanyahu, meninggalkan Perdana Menteri itu dengan kelebihan hanya dua kerusi terhadap pembangkang di parlimen, mengakibatkan kerajaan yang diterajuinya semakin tidak stabil.


26.11.2018


Regim Zionis Israel telah menyerahkan notis perobohan rumah kepada seorang warga Palestin di Yatta, selatan bandar al-Khalil. Notis tersebut mendakwa perobohan rumah berkenaan, yang dihuni oleh seramai tujuh anggota dan meliputi keluasan 160 meter persegi, akan dilakukan kerana pembinaannya dibuat tanpa lesen keizinan daripada pihak berkuasa Israel.

***

Afrika Selatan mengutuk keganasan terbaru Israel di Semenanjung Gaza dan menyeru dihentikan sekatan selama 13 tahun itu. Duta Afrika Selatan ke Palestin, Ashraf Sulaiman, mengesahkan sokongan penuh negaranya terhadap hak rakyat Palestin dan menyelar serangan terbaru Israel ke atas Semenanjung Gaza. Sulaiman memuji usaha yang dijalankan pada pelbagai peringkat untuk menghentikan serangan dan sekatan ke atas Gaza bagi mengakhiri penderitaan rakyat Palestin, seterusnya berusaha bagi mencapai perdamaian.


27.11.2018

Setiausaha Agung Islamic Jihad, Ziad al-Nakhala, menyatakan yang kumpulan pejuang Palestin di Semenanjung Gaza telah mencapai kemenangan besar dalam pertempuran terbaru dengan rejim Israel. Al-Nakhala, dalam rakaman ucapannya di majlis gerakan Islamic Jihad, menekankan yang perjuangan dan kesatuan kebangsaan adalah perlu dalam menentang rejim.


30.11.2018


Kementerian Kesihatan Gaza menyatakan penghantaran pertama bekalan ubat-ubatan sumbangan kerajaan Jepun telah selamat sampai di wilayah Gaza yang terkepung itu. Ketua bagi Kerjasama Antarbangsa, Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf Abu Mahadi dalam satu sidang media menyatakan, kerajaan Jepun telah banyak memberi sumbangan bagi menyokong sektor kesihatan di Semenanjung Gaza dan yang terbaru dengan membuka unit pengesanan awal untuk kanser payu dara serta membekalkan ubat-ubatan untuk Hospital al-Shifa. Abu Mahadi turut mengucapkan terima kasih kepada pihak kedutaan Jepun dan Japan International Cooperation Agency (JICA) kerana usaha keras mereka menyokong sektor kesihatan dan memenuhi keperluan kemanusiaan warga Palestin di Gaza.

***

Seorang pemimpin Sudan menafikan laporan media Israel berhubung rancangan lawatan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke Khartoum. Pemimpin parti pemerintah National Congress, Abdel Sakhi Abas berkata bahawa Netanyahu tidak akan melawat negaranya dan tiada perbincangan di kalangan pegawai Sudan mengenai lawatan tersebut. Abas dalam satu kenyataannya kepada Agensi berita Anadolu menjelaskan bahawa laporan pihak Israel itu adalah tidak berasas.



 Wallahua’alam (MMO)




No comments:

Post a Comment