![]() |
Petugas kesihatan memeriksa pekerja Palestin yang mahu memasuki Israel untuk berkerja |
Tidak ada negara yang nampaknya kebal daripada menerima kesan penularan wabak Coronavirus yang melanda seluruh pelosok dunia pada masa ini.
Mitos yang menyatakan kononnya virus ini tidak mungkin akan melanda negara Islam, lebih-lebih lagi negara seperti Palestin yang sedia menderita, terhimpit dengan tekanan dan penindasan Israel, ternyata tidak benar sama sekali.
Palestin mula mencatat dua kes pertama Covid-19 pada 22 Mac lalu apabila dua rakyatnya di Gaza yang pulang dari Pakistan didapati positif dengan virus tersebut.
Pada masa yang sama, lebih 1,200 orang yang menyeberang sempadan Gaza dari Israel dan Mesir dikuarantin di hospital, hotel dan sekolah sebagai langkah awal bagi mengelakkan penyakit itu daripada merebak.
Perkembangan baharu tersebut menimbulkan kebimbangan di pihak berkuasa kerana sistem penjagaan kesihatan di Palestin yang begitu serba kekurangan sudah pasti tidak akan dapat menampung rawatan pesakit sekiranya ia bertukar menjadi wabak.
Angka terbaharu yang diterbitkan sehingga tarikh artikel ini ditulis mencatatkan sejumlah 376 rakyat Palestin telah disahkan terjangkit dengan virus ini dengan melibatkan dua kematian. Laporan tersebut juga menyebutkan seramai 45 orang sedang menerima rawatan, sementara 329 lagi pulih selepas menerima rawatan.
Di kalangan pemerintah dan rakyat Palestin, keadaan inilah yang kini menjadi kebimbangan besar. Malah ada yang berpandangan kebimbangan terhadap ancaman Coronavirus tersebut mungkin jauh melebihi kebimbangan rakyat Palestin terhadap ancaman tentera Israel.
Hal ini disahkan sendiri oleh Pengasas Bersama Pusat Kajian Inisiatif Strategik Palestin Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, yang melalui satu wawancaranya dengan pihak media menyatakan ketika ini penularan wabak berkenaan nampaknya lebih membimbangkan penduduk Palestin berbanding ancaman Zionis.
“Dalam musim perang, masih lagi ada pergerakan, masih ada yang ke masjid walaupun setiap hari boleh kedengaran bunyi roket, tembakan peluru, tembakan daripada kereta kebal dan sebagainya.”
“Namun apabila berdepan dengan musuh yang sangat halus ini, Covid-19, rakyat Palestin menjadi takut untuk keluar, takut untuk berjumpa dengan ahli keluarga, dan takut untuk bertanya khabar dengan jiran sekeliling kerana bimbang dengan jangkitan yang mungkin berlaku.” ujar beliau.
Kebimbangan yang menghantui pemikiran kerajaan dan rakyat Palestin itu adalah sebenarnya berpunca daripada kemudahan kesihatan yang amat terhad yang sudah pastinya tidak akan mampu menampung keperluan sekiranya sesuatu mala petaka kesihatan melanda Palestin secara besar-besaran.
Akhbar Middle East Eye melaporkan bagaimana di Gaza hanya ada 40 Unit Kelengkapan Rawatan Rapi (ICU) untuk menampung dua juta penduduk. Ia bermakna jika wabak Coronavirus masuk dan menyerang warga Palestin, hanya 40 orang sahaja yang akan dapat dirawat secara sempurna pada satu-satu masa sedang yang lainnya mungkin terdedah kepada kematian.
Ini belum lagi diambil kira akan keadaan fizikal dan kemudahan yang terdapat di klinik dan hospital yang sedia ada yang secara rata-ratanya tidak mencukupi, uzur dan sering menghadapi bekalan ubat yang terputus - semuanya tidak menjanjikan harapan setiap pesakit dari kalangan warga Palestin akan mendapat rawatan yang diperlukan.
Malah, kita mungkin menjadi bertambah cemas dan bimbang apabila PBB sendiri ada membuat ulasan bahawa Gaza kini tidak lagi sesuai untuk didiami oleh manusia kerana muka buminya yang kotor, pencemaran air yang berleluasa dan pembuangan sisa pepejal yang tinggi yang boleh membahayakan kesihatan dan keselamatan penduduknya. Semua ini bakal menjadi resipi yang boleh mengundang virus Corona untuk dengan mudahnya datang menjangkiti warga Palestin.
Berkaitan hal ini, kita sewajarnya menaruh rasa kesal dan marah di atas tindakan rakus penjajah Zionis yang masih tergamak melanggar hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa terhadap rakyat Palestin di tengah-tengah adanya penularan wabak Coronavirus itu apabila bertindak merobohkan rumah yang menjadi tempat perlindungan warga Palestin di Tebing Barat.
Lebih menyayatkan hati kita, mereka tergamak merobohkan struktur perlindungan yang dibina oleh penduduk dan merampas peralatan khemah yang disediakan bagi tujuan membuka klinik sementara bagi merawat pesakit Covid-19.
Ini belum di hitung lagi akan nasib lebih 5,000 rakyat Palestin yang ditahan di dalam penjara Israel. Ada maklumat yang menyatakan mereka amat terdedah kepada bahaya jangkitan berpunca dari kurangnya layanan perubatan yang diperuntukkan kepada mereka oleh pihak penjara di samping pengabaian terhadap prosedur perlindungan jangkitan wabak Covid-19 di kalangan mereka yang ditahan dalam penjara.
Terdapat laporan ada sel-sel tahanan yang kecil menempatkan berpuluh-puluh banduan sehingga mengabaikan secara total aspek penjarakkan sosial. Dalam pada itu, terdapat juga laporan mereka yang ditahan hanya dibekalkan dengan sabun untuk mencuci tangan dan arahan supaya menggunakan stokin sebagai penutup hidung dan mulut. Keadaan ini jika benar-benar berlaku sudah pasti boleh meletakkan tahanan warga Palestin kepada bahaya jangkitan wabak Coronavirus yang amat merbahaya dan mudah pula berjangkit secara meluas itu.
Di pihak berkuasa Palestin, beberapa langkah pencegahan awal telah pun diambil sebagai usaha bagi mencegah wabak Coronavirus daripada menular di bumi Palestin.
Antaranya, kerajaan Palestin mengisytiharkan sekatan pergerakan yang pertama selama 30 hari pada 6 Mac, sebaik sahaja selepas kes COVID-19 di kesan di Baitulmaqdis. Sekatan tersebut kemudiannya dilanjutkan selama sebulan lagi bermula pada 3 April.
Selain itu, pemerintah Palestin juga turut mengarahkan penutupan sementara beberapa aktiviti ekonomi dan perniagaan, penangguhan aktiviti masjid, sekolah serta universiti dan melarang aktiviti yang melibatkan perkumpulan ramai orang, termasuk perniagaan di pasar dan majlis perkahwinan.
Namun, sepertimana juga dengan negara lain, sekatan pergerakan dan penutupan sementara beberapa aktiviti ekonomi dan perniagaan telah turut memberi kesan secara langsung ke atas kehidupan warga Palestin.
Hal ini telah dibangkitkan oleh Ketua Jawatankuasa Kebangsaan Gaza, Jamal al-Khudari dalam satu kenyataan beliau kepada agensi berita Anadolu.
“Palestin kini bergelut dengan krisis ekonomi yang disifatkan sebagai ‘belum pernah berlaku’ akibat pendudukan rejim Israel yang kini ditambah burukkan dengan kehadiran wabak Covid-19.”
“Pendudukan dan pengepungan Israel serta langkah pencegahan untuk membendung wabak COVID-19, ternyata telah mencetuskan krisis ekonomi yang parah terhadap warga Palestin.”
“Krisis ini besar dan berbahaya kepada pekerja, kilang dan sektor perdagangan, pertanian serta pelancongan. Ekonomi merudum teruk, khususnya di wilayah Gaza yang berada bawah pendudukan rejim Israel.” ujar beliau.
Justeru, beliau menyeru negara Arab dan pertubuhan antarabangsa supaya bersedia membantu rakyat negara itu meliputi bantuan dari sudut kelengkapan perubatan membawalah kepada bantuan bagi memulihkan pelbagai sektor ekonomi dan perniagaan yang terjajas teruk di negara itu.
Perekonomian warga Palestin juga, di satu sudut yang lain, turut terjejas dengan teruk berikutan penularan wabak Covid-19 di Israel yang menghalang mereka untuk terus bekerja di sana ekoran langkah sekatan pergerakan yang diambil oleh kedua-dua negara.
Maklumat tidak rasmi yang dikeluarkan oleh pihak media menyebutkan daripada sejumlah lebih 300 kes jangkitan yang berlaku di kalangan warga Palestin adalah terdiri daripada mereka yang berkerja di Israel dan sering melakukan perjalanan ulang alik di antara kedua negara.
Sebelum merebaknya Covid-19 ke Israel, dianggarkan sejumlah lebih 100,000 warga Palestin berkerja di pelbagai sektor ekonomi di negara itu, khususnya dalam industri pembinaan. Mereka memiliki surat izin bekerja di Israel dan sebahagiannya diperuntukan dengan kemudahan kediaman sementara untuk berkerja oleh pihak majikan.
Mereka menerima upah yang lebih besar di Israel berbanding kadar upah yang mereka terima di Palestin. Pendapatan yang mereka perolehi seringkali menjadi penyumbang kepada perolehan ekonomi penduduk di Tebing Barat yang berhampiran sempadan dengan Israel.
Namun, dengan kehadiran wabak Coronavirus di Israel yang kini melibatkan 16,608 jangkitan dan 268 kematian warga Israel, ianya turut memberi kesan kepada aktiviti ekonomi dan perniagaan bagi warga Palestin yang selama ini mencari nafkah hidup di sana. Pendapatan mereka jadi mengecil dan sebahagian besarnya terputus ekoran penutupan beberapa aktiviti ekonomi dan perniagaan di Israel.
Wallahu a’alam (MMO)
No comments:
Post a Comment