Tuesday, June 30, 2020

DIARI KEHIDUPAN XII : PALESTIN


Pasukan keselamatan Israel berkawal di pintu hadapan penjara

Cakap-cakap kononnya hubungan Israel-Palestin berada dalam keadaan harmoni dan saling bantu membantu di sepanjang kehadiran wabak Coronavirus di kedua-dua negara nampaknya tidaklah se-gah mana. Apa sebaliknya yang berlaku ialah di sepanjang tempoh suku tahun kedua (April-Jun) 2020, warga Palestin tidak habis-habis, terus ditekan, dinafikan hak kemanusiaan dan kebebasan mereka dan dikenakan dengan pelbagai tindakan kekerasan sehingga ada yang mengundang kepada kemusnahan jiwa dan harta benda.

Dalam pada itu, perobohan rumah kediaman dan perampasan tanah milik warga Palestin, serbuan dan pencolekan oleh pihak keselamatan Israel terhadap rakyat Palestin, pencemaran masuk ke Baitul Maqdis oleh penceroboh-penceroboh dari kalangan pendatang Israel dan berbagai lagi tindakan kekerasan terus menerus berlaku di Palestin di sebalik adanya kecaman dunia Arab dan antara bangsa terhadap Israel.

Berikut saksikan antara insiden-insiden penting yang berlaku di Palestin dalam tempoh liputan buat memandu kita mengikuti dengan lebih dekat akan susah payah kehidupan saudara kita di bumi yang malang itu.

1 April 2020

Kebimbangan Mengenai Coronavirus Meningkat Di Penjara Israel

Rejim Zionis mengumumkan bahawa tiga tahanan penjara Israel telah disahkan menghidapi penyakit coronavirus, yang mencetuskan kebimbangan tentang potensi wabak di kalangan warga Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin dalam satu kenyataan berkata bahawa tiga tahanan penjara Israel yang bekerja di penjara Ofer dan Nitzan telah disahkan positif untuk Coronavirus.

Suruhanjaya itu memberi amaran mengenai “potensi bencana” yang mungkin mengancam nyawa lebih 5,000 warga Palestin yang ditahan di 23 penjara dan pusat tahanan Israel, termasuk 180 kanak-kanak, 41 wanita dan 700 tahanan yang mengalami masalah kesihatan.

Ia menyeru pertubuhan antarabangsa yang berkaitan, terutamanya Palang Merah, untuk menggesa pihak berkuasa Israel untuk mengambil langkah-langkah perlindungan yang sewajarnya dan menjalankan ujian saringan untuk tahanan Palestin bagi memastikan keselamatan mereka.

3 April 2020

Tahanan Palestin Dibebaskan Dari Penjara Israel Positif Covid-19

Seorang pemuda Palestin telah disahkan positif dengan penyakit Coronavirus hanya sehari selepas pembebasannya dari penjara Israel, menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin.

Suruhanjaya itu berkata keputusan ujian perubatan terhadap tahanan baru, Nour ed-Din Sarsour, dari bandar Beitunia di barat Ramallah, menunjukkan dia menghidap Covid-19.

Sarsour ditangkap pada 18 Mac lepas dan dibebaskan pada petang Selasa selepas menghabiskan tempoh tahanan di Penjara Ofer dan Pusat Penyiasatan Benjamin.

Suruhanjaya itu mempertanggungjawabkan pemerintahan Israel dan Perkhidmatan Penjara Israel ke atas apa yang disifatkan mereka sebagai suatu “jenayah”, dan menyatakan bahawa pihak berkuasa Israel tidak mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk melindungi tahanan Palestin dari pandemik tersebut.

6 April 2020

Gaza Belum Mampu Laksana ‘Lockdown’ Menyeluruh Untuk Menghadapi Covid- 19

Pusat Informasi Palestin-Ketua gerakan Hamas di Gaza, Yahya Sinwar mengatakan pihak mereka “Tiada kemampuan untuk menutup Gaza terhadap penduduk yang musafir dalam menghadapi Covid 19.”

Dalam wawancara dengan TV Al-Aqsa, Sinwar menyebutkan, “Tak mungkin bagi pihak berkuasa Palestin untuk melakukan lockdown, kecuali jika kita berlepas dari rasa kemanusiaan, kerana kami ada sekitar 400 pesakit barah di Gaza.”

Menurut Sinwar, menahan masuk virus Covid 19 ke Gaza lebih mudah dibandingkan dengan Tebing Barat, kerana pintu masuk yang sedikit.

”Kami juga telah membahaskan prosedur khusus untuk mengawal  penyebaran virus Covid 19 ke Gaza sejak 5 Februari lalu dan pada awal Februari kami telah membina pusat kuarantin kesihatan di pintu masuk Rafah hanya dalam dua hari” lanjut Sinwar.

Pusat kuarantin kesihatan di pintu masuk Rafah terdiri dari 54 ruangan, dengan biaya USD130,000. Ia menjadi pusat kuarantin bagi mereka yang kembali dari negara yang terkena wabak.

9 April 2020

Rejim Israel sembur racun kimia atas tanaman penduduk Gaza dari udara

Rejim Zionis Israel sekali lagi bertindak menyembur racun rumput ke atas kawasan tanah pertanian berdekatan pagar sempadan di timur Bandar Gaza.

Petani tempatan dari al-Zeitoun dan Johr al-Dik di kawasan Bandar Gaza melaporkan bahawa kapal terbang kegunaan pertanian rejim Zionis telah menyembur racun kimia ke atas tanah yang ditanam dengan Gandum, Barli, Jagung, Bendi dan lain-lain jenis tanaman serta menjelaskan bahan kimia yang disembur itu telah menyebabkan kerosakkan secara meluas ke atas tanaman mereka.

Kata petani itu lagi, perbuatan rejim Israel itu menyebabkan mereka mengalami kerugian besar dari segi wang ringgit dan telah merosakkan tanah serta persekitaran kawasan pertanian itu.

15 April 2020

Situasi di Gaza masih serius dan membimbangkan

Timbalan Menteri Dalam Negeri Palestin, Tawfiq Abu Na’eim telah memberi amaran tentang keadaan kesihatan di Semenanjung Gaza akibat pandemik Coronavirus yang serius dan membimbangkan. Beliau menyuarakan kerisauan tentang sikap tidak berjaga-jaga oleh rakyatnya.

“Peratusan komitmen oleh para warga Palestin adalah tidak memuaskan walaupun kita telah memberi amaran agar tidak berkumpul di pasar, majlis perkahwinan dan majlis pengebumian,” kata Abu Na’eim dalam satu siaran temuramah oleh rangkaian satelit al-Aqsa.

Walau bagaimanapun beliau menyuarakan rasa puas hati atas tindakan berjaga-jaga oleh pihak berkuasa di Gaza dan menyatakan usaha mereka menunjukkan hasil positif dalam membendung penyakit itu daripada tersebar.

24 April 2020

Pesakit Covid-19 Yahudi memasuki bandar Kifl Hares

Puluhan pesakit Covid-19 Yahudi Orthodoks yang disyaki dijangkiti virus Corona telah memasuki bandar Kifl Hares di utara kota Salfit di Tebing Barat bagi melakukan ritual di kawasan kubur bersejarah.

Menurut media Hebrew, virus Corona telah menjangkiti ramai warga Yahudi yang mengikut mazhab Breslov selepas mereka melawat tapat bersejarah di bandar tersebut.

Warga Yahudi itu yang datang dari penempatan di Tebing Barat dan tanah yang dijajah pada tahun 1948 telah memasuki bandar Kifl Hares tanpa sekatan oleh Pasukan Keselamatan Isreal meskipun mereka telah mengenakan sekatan pergerakan kepada rakyat Palestin tempatan sejak bermulanya krisis virus Corona. 

Bandar Kifl Hares terdedah kepada pencerobohan berulang kali oleh warga Yahudi atas tujuan kononnya untuk melawat kubur suci. Walau bagaimanapun, pegawai-pegawai Palestin dan aktivis telah memberi amaran bahawa lawatan tersebut adalah bertujuan untuk mengawal kawasan kuno bandar tersebut dan sekaligus menjadikan ia sebagai kawasan Yahudi.

30 April 2020

22 buah rumah dan bangunan di barat Salfit diancam akan diroboh

Rejim Israel telah menghantar notis berhenti kerja dan arahan roboh terhadap 22 buah rumah dan struktur binaan pertanian di bandar Qarawat Bani Hasan, di barat wilayah Salfit.

Menurut sumber tempatan, rumah dan bangunan itu terletak di beberapa lokasi di kawasan al-Ras, Qattan Attaweel, Khilat al-Qarn dan al-Habayer, sebelah utara dan timur bandar tersebut.

Semua kawasan yang diduduki warga Palestin di wilayah Salfit terdedah kepada ancaman perluasan secara sistematik dan agresif pihak rejim Zionis yang mahu merampas tanah lebih luas di Tebing Barat terutama bagi tujuan membina projek penempatan dan perluasan wilayah. 

4 Mei 2020

Institusi, Tokoh Hak Asasi Manusia, Gesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa Siasat Jenayah Israel

Lebih dari 180 gabungan, organisasi, dan tokoh hak asasi manusia Palestin, serantau dan antarabangsa telah menggesa Ketua Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Fatou Bensouda, untuk menyiasat jenayah perang dan kezaliman terhadap kemanusiaan di Palestin yang dilakukan oleh Israel.

Dalam surat bersama kepada Ketua Pendakwa ICC berkenaan, pihak-pihak tersebut menyatakan sokongan mereka terhadap kesimpulan Pendakwa tersebut yang telah diserahkan ke Kamar Pra-Perbicaraan ICC.

“Memandangkan keadaan kekebalan yang semakin menjadi-jadi dan telah berleluasa lebih dari lima dekad di kawasan terjajah Palestin, kami menggesa supaya pelaku jenayah perang dan kejahatan terhadap kemanusiaan yang dilakukan di Palestin harus dibawa ke pengadilan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa,” menurut surat tersebut.

Pada 20 Disember 2019, setelah hampir lima tahun melalui proses siasatan awal, Ketua Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah mengemukakan permohonan kepada Kamar Pra-Perbicaraan untuk mendapatkan keputusan mengenai bidang kuasa Mahkamah tersebut di Palestin yang menunjukkan bahawa “jenayah perang telah atau sedang dilakukan di Tebing Barat, termasuk di timur Baitulmaqdis, dan Semenanjung Gaza”.

13 Mei 2020

Hamas Seru Tindakan Nasional Bersama Menentang Rancangan Perluasan Israel

Gerakan Hamas menggesa supaya diadakan suatu tindakan bersama di peringkat nasional untuk menghadapi projek perluasan pihak Israel di tanah terjajah di Tebing Barat.  

“Projek penambahan di Tebing Barat adalah rancangan Yahudi paling berbahaya yang menyasarkan tanah Palestin, dan ini merupakan perampasan 38 peratus Tebing Barat,” kata jurucakap Hamas, Abdul-Latif Qanua.

Qanua menambah bahawa Israel akan mengiktiraf dirinya dengan “pengesahan palsu” di atas lebih dari 70 peratus daripada kawasan penempatan tersebut.

Qanua selanjutnya meminta Pihak Berkuasa Palestin untuk memberi tindak balas kepada projek perluasan wilayah berkenaan dan menarik balik perjanjian Oslo yang telah dimeterai dengan negara penjajah tersebut serta memberikan pihak penentang Palestin kebebasan untuk mempertahankan rakyat dan tanah air mereka.

14 Mei 2020

Rejim Zionis Culik dan Serang Puluhan Warga Palestin di Bandar Ya’bad

Rejim Zionis telah menculik puluhan warga Palestin dan mencederakan ramai yang lain semasa beberapa serbuan ganas di bandar Ya’bad, di sebelah barat Jenin, setelah seorang askar Israel mati disebabkan kecederaan parah di kepala dalam kejadian melempar batu di sana.

Sumber tempatan memberitahu seorang wartawan Pusat Maklumat Palestin (PIC) bahawa tentera Israel menggeledah puluhan kediaman di kawasan al-Salamah di bandar itu dan mengumpulkan sekurang-kurangnya 30 penduduk tempatan, termasuk ketua keluarga berserta isteri dan anak-anak mereka.

Pertembungan antara belia tempatan dengan tentera Israel dilaporkan telah berlaku di pelbagai kawasan di bandar. Semasa kejadian tersebut, puluhan orang cedera akibat tembakan Israel atau terkena asap gas pemedih mata.

Saksi juga melaporkan bahawa semasa penangkapan dan siasatan di tempat kejadian, kelihatan tentera menyerang secara fizikal sejumlah penduduk tempatan, termasuk wanita dan kanak-kanak.

22 Mei 2020

Zahar Seru Masyarakat Islam Bersatu Menentang Projek Pembubaran

Umat Islam harus bersatu untuk menangani dan menyekat apa jua rancangan untuk menggagalkan perjuangan Palestin, kata Dr Mahmoud al-Zahar, Ketua Blok Parlimen Hamas.

Zahar, ketika berbicara di sebuah program maya yang dianjurkan untuk professor-profesor universiti, mengatakan bahawa orang Arab dan Muslim harus mengembalikan peranan mereka dalam perjuangan Palestin dan harus bersatu dalam menghadapi pelan pembubaran yang dipimpin oleh AS.

Beliau menyeru orang Arab, Muslim serta seluruh masyarakat antarabangsa untuk berusaha ke arah pembebasan Palestin dan mengakhiri penindasan yang menimpa rakyat, tanah, dan tempat-tempat suci Palestin.

Ahli Parlimen Palestin berkenaan mengatakan bahawa rakyat Palestin telah berjuang menentang penjajahan sejak tahun 1948. Beliau menggesa semua pihak untuk melobi pembebasan tahanan Palestin, terutama wanita, kanak-kanak dan orang sakit, yang kini dalam bahaya besar dijangkiti Coronavirus di penjara-penjara Israel kerana tindakan sewenang-wenang yang diambil terhadap mereka.

2 Jun 2020

Pegawai Israel Dibebaskan Dari Penjara Setelah Membunuh OKU Palestin

Pihak berkuasa Israel telah membebaskan dua pegawai polis dari penjara, sehari setelah mereka membunuh seorang pemuda OKU Palestin di Kota Lama Baitumaqdis.

Eyad al-Hallaq, seorang warga Palestin berkelainan upaya berusia 32 tahun, ditembak mati oleh pegawai polis Israel berhampiran Gerbang al-Asbat di Baitulmaqdis.

Pegawai polis mendakwa al-Hallaq kononnya kelihatan membawa pistol tetapi ternyata beliau tidak bersenjata dan tidak memahami perintah pegawai untuk berhenti. Menurut saksi, al-Hallaq ditembak sekurang-kurangnya enam kali.

Pihak Berkuasa Palestin dan banyak organisasi hak asasi manusia mengecam pembunuhan al-Hallaq dan menggesa diadakan siasatan antarabangsa terhadap jenayah Israel ke atas Palestin, terutama pembunuhan di luar bidang kehakiman.

11 Jun 2020

Haniyah Seru Tindakan Segera Hadapi Rancangan Aneksasi Israel

Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyah menyeru kepada seluruh pimpinan Negara Arab dan Islam untuk melakukan tindakan segera menghadapi rancangan aneksasi (penggabungan) Israel di Tebing Barat, Al-Quds dan Lembah Jordan.

Dalam surat yang dikirimkannya kepada lebih daripada 40 ketua Negara Arab dan Islam, Haniyah menyampaikan bahawa rancangan aneksasi Israel merupakan serangan baru di samping kejahatan dan pembantaian yang dilakukan Israel di sepanjang sejarah kelamnya terhadap hak bangsa Palestin dan bangsa-bangsa lain dan menjadi ancaman nyata terhadap masa depan Palestin, bangsa Arab dan dunia Islam secara menyeluruh.

Haniyah meminta seluruh pimpinan Negara Islam untuk memberi sokongan terhadap Palestin bersatu serta menolak semua projek penempatan dan proses Yahudinisasi di Tebing Barat dan Al-Quds selain rancangan melenyapkan isu Palestin yang didukung Amerika dan menciptakan jalur aman politik, diplomasi, ekonomi dan media untuk melindungi perjuangan nasional Palestin dalam meraih kemerdekaan dan kebebasan dengan mendirikan negara berdaulat dengan ibukota Al-Quds.

15 Jun 2020

Jordan: Rancangan pemilikan kawasan Israel harus dijawab

Menteri luar Jordan, Ayman al-Safadi mengatakan bahawa rancangan Israel untuk memiliki satu pertiga wilayah yang diduduki merupakan pelanggaran yang jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan tidak dapat dijawab.

Ucapan menteri itu muncul semasa sidang berita bersama dengan rakan sejawatannya dari Jerman, Heiko Maas di Ibu Kota Yordania, Amman.

Safadi menambah bahawa rancangan aneksasi itu melemahkan asas-asas di mana proses perdamaian dicabuli dan menyempitkan peluang untuk perdamaian yang komprehensif dan adil.

16 Jun 2020

Mahkamah Israel Jatuhkan Hukuman Penjara 10 Tahun Ke Atas Kanak-kanak Palestin


Sebuah mahkamah Israel telah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada seorang kanak-kanak Palestin, Hammouda al-Sheikh, 15 tahun.

Al-Sheikh ditangkap setelah dia ditembak oleh pegawai polis Israel dan tercedera parah pada 15 Ogos 2019 di Baitulmaqdis. Seorang lagi kanak-kanak lelaki bernama Nasim Abu Roumi, 15, terbunuh dalam kejadian yang sama.

Polis Israel mendakwa bahawa kanak-kanak berkenaan cuba menikam pegawai polis Israel di Pintu al-Silsila berhampiran Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis.

Abu Roumi meninggal dunia serta-merta, sementara al-Sheikh dibiarkan berdarah selama hampir satu jam sebelum dia dipindahkan ke hospital.

Buat ketika ini Israel sedang menahan 190 orang warga Palestin yang di bawah umur di penjara dan pusat-pusat tahanan, di mana 20 daripadanya adalah berusia di bawah 16 tahun.

22 Jun 2020

Pendatang Yahudi bina jalan baru untuk hubungkan penempatan-penempatan di Tebing Barat
Para pendatang Yahudi meratakan seluas beberapa ekar tanah warga Palestin di bandar Qusra, selatan Nablus di Tebing Barat bagi membina jalan baru.

Pegawai tempatan, Ghassan Daghlas, berkata jentolak yang dimiliki para pendatang mula meratakan tanah di bandar Qusra untuk membina jalan sepanjang 7 kilometer yang menghubungkan terutamanya pos Esh Kodesh dan penempatan Migdalim.

Jalan tersebut turut akan menghubungkan penempatan-penempatan dan pos-pos di utara Tebing Barat dengan Lembah Jordan, demikian menurut Daghlas.

24 Jun 2020

Rejim Zionis usir rakyat Palestin dari tanah mereka di Bethlehem

Rejim Zionis telah memerintahkan pengusiran seorang warga Palestin dari tanah pertaniannya di bandar al-Khader di daerah Bethlehem di Tebing Barat.

Aktivis anti-pengusiran Hasan Breijiya berkata, rejim Zionis telah menyerahkan notis kepada Bassam Ghoneim yang juga seorang warga tempatan bagi memerintahkannya untuk keluar dari tanah milik beliau yang berkeluasan satu ekar setengah, berdekatan dengan penempatan haram Israel di El’azar.

Penduduk di bandar al-Khader berulang kali menerima layanan buruk sementara rejim Zionis menggunakan kekerasan dengan mengancam pengambilan tanah, pemusnahan pokok-pokok yang ditanam dan meroboh rumah-rumah yang dibina di atas tanah pertanian. 

29 Jun 2020

Negara Eropah beri amaran hubungan dengan Israel akan terjejas akibat aneksasi

Tujuh negara Eropah memberi amaran sebarang langkah aneksasi oleh Israel di wilayah Palestin akan menjejaskan hubungan mereka dengan Israel.

“Dengan mematuhi tanggungjawab dan peraturan di bawah undang-undang antarabangsa, aneksasi akan memberi kesan terhadap hubungan rapat kami dengan Israel serta tidak akan mengiktirafnya,” Duta Perancis ke PBB New York Nicolas de Riviere berkata dalam satu kenyataan di mana beliau menyebut nama 7 negara tersebut ketika mesyuarat maya.

Pendirian itu disuarakan oleh lima negara Eropah yang merupakan ahli Dewan Keselamatan PBB, Perancis, Britain, Belgium, Jerman, dan Estonia. Dua ahli baru, Ireland dan Norway, turut menandatangani kenyatan itu.


Wallahu a’alam (MMO)




No comments:

Post a Comment