![]() |
A.M. Azahari dan Yassin Affendi di PBB |
BRUNEI Darussalam adalah sebuah kesultanan Melayu Islam
yang luasnya 2,226 batu persegi, sedang asalnya adalah sebuah negara merdeka
meliputi kawasan 79,164 batu persegi dari Tanjung Datu di Sarawak hingga ke
perbatasan Sungai Sibuku di Kalimantan Timur di Sabah. Malah seluruh kepulauan
Borneo dan Filipina pernah duduk di bawah naungannya sehingga para sajarawan meletakkan Brunei
berstatus sebuah empayar yang memiliki keluasan lebih sejuta batu persegi.
Brunei adalah antara segelintir negara beraja mutlak yang
masih kekal di dunia dan mempunyai sejarah melebihi seribu tahun atau sudah
melebihi satu alaf. Catatan sejarah dunia percaya kerajaan Brunei telah wujud
seawal atau sebelum TM 517 lagi. Rekod dalam sejarah China purba menamakan
Brunei sebagai satu negara pulau dikenali sebagai Puni, Po-lo dan Po-li.
Pengkaji sejarah Brunei seperti bersetuju bahawa Po-lo,
Po-li, Poli dan Puni adalah merujuk kepada Brunei. Pengkaji purba pula ada
menemui bahan silam sebagai keterangan bahawa bumi Brunei itu telah didiami manusia
beratus tahun sebelum Masihi.
Sejarah Itu Penting
Sejarah adalah penting bagi kewujudan dan keselamatan
sesuatu bangsa terutama ketika hendak menentukan hak ketuanan dan rupa bangsa
bagi sebuah negara.
Dahulunya termasyhur di dunia pernah wujud tamadun besar Khibti dan Babylon dalam sejarah Mesir Purba dan Lembah Purat Purba.
Kedua bangsa dunia
tua itu telah berjaya menentukan pengaruh politik dan militer di rantaunya dan
penduduk masa itu. Tetapi sejarah memberi tahu dunia, sekarang Khibti dan
Babylon sudah tidak lagi wujud sebagai bangsa dan negara, malah ia adalah
sekadar bahan peninggalan sejarah.
Brunei lebih bernasib baik dari Khibti dan Babylon yang
cuma tinggal nama tetapi tiada bangsa dan negara. Brunei masih wujud sebagai
satu bangsa dan negara merdeka sekalipun kerdil bak sekangkang kera. Ia adalah
bangsa tua yang muda dan negara besar yang kecil.
Sekecil-kecil Brunei ia adalah sebuah negara yang kaya
raya di dunia, malah rajanya, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah yang menaiki takhta pada tahun 1967,
pernah dinobatkan sebagai seorang paling kaya di dunia.
Idealisme Besar Sultan Ahmad Tajuddin
Sebagai satu bangsa merdeka, masyarakat Brunei mesti
berani mengaku dan mengiktiraf, bahawa Sultan Ahmad Tajuddin (Sebelum Sultan
Omar Ali Saifiddein III menjadi Sultan
dan Yang Dipertuan Negeri Brunei),
adalah wira bangsa yang berjiwa besar,
pencetus dan pelopor semangat nasionalisme, bercita-cita untuk
mengembalikan Sarawak dan Sabah
kepangkuan Brunei.
Baginda menzahirkan rasa tidak senang dengan penjajah
British yang baginda nilai sebagai pemeras kekayaan Brunei sedang rakyat
baginda rata-rata dibawah paras kemiskinan, walhal ekonomi Brunei ketika itu
sudah mantap dari hasil minyak. Pendidikan juga begitu lambat diperkenalkan di
Brunei.
Bukan setakat hak rakyat dinafikan penjajah, malah hak
keistimewaan baginda sebagai Sultan juga
dinafikan. Lebih jauh penghinaan Penjajah British terhadap baginda begitu
ketara bilamana elaun yang diberikan Residen British kepada baginda jauh lebih
rendah dari imbuhan yang diterima oleh raja-Raja Melayu di Tanah Melayu.
Baginda sekadar
bersemayam di sebuah Istana lama yang
terlalu kecil berbanding dengan sesetengah Istana yang dibina Penjajah British
untuk sultan di Tanah Melayu.
Layanan Kuasa
Penjajah itu telah menyedarkan baginda betapa merdeka dari cengkaman penjajah adalah pilihan
terbaik untuk rakyat dan negeri Brunei. Malangnya, dalam perjalanan baginda ke
London dengan membawa misi untuk mengkaji semula perjanjian pernaungan 1906, menuntut royalty hasil minyak yang
lebih tinggi dan mengembalikan Sarawak dan Sabah kepangkuan Brunei, telah
mangkat di Singapura pada 4 Jun 1950. Kemangkatan mengejut baginda ini telah
menimbulkan banyak tanda, tanya hingga kini belum terjawab.
Putera Negara
Bak kata pepatah, patah tumbuh hilang berganti. Selepas
kemangkatan Sultan Ahmad Tajuddin, terserlah pula karisma kepimpinan dua orang
putera negara di tengah masyarakatnya. Kedua negarawan tersebut, DYMM Sultan
Omar Ali Saifuddein III dan Sheikh A.M.Azahari.
Sebagai pemuka bangsa, mereka telah bergelut untuk
membebaskan Brunei dan bangsanya dari belenggu penjajahan, malangnya
masing-masing beradu di bantal yang berlainan, bergerak bersendirian,
masing-masing dari istana Darul Hana di Kampung Tumasek dan dari “Rumah Besar”
di Kampung Padang.
Kedua putera Negara ini sama-sama mengetuk dhamir dan
membuka mata rakyat agar sedar dan celik untuk bangun melepaskan diri dari
cengkaman dan belenggu penindasan manusia ke atas manusia.
Rakyat menyahut seruan mereka, lalu menukul gumpalan saraf dan ketulan hati sanubari
kolonial British sambil meneriakkan tema
bahawa bangsa Brunei adalah bangsa yang cinta
kebebasan, bangsa Brunei menuntut hak menentukan nasib sendiri dan
kemerdekaan di bumi pusaka bangsanya. Oleh itu, mereka berhak menjadi bangsa
yang maju sama seperti bangsa merdeka lain di dunia.
Perbezaan
Beza keduanya mungkin, pertama, DYMM Sultan Omar Ali Saifuddein mahu membebaskan
Brunei dalam batas wilayah Brunei Darussalam sekarang seluas 3,226 batu persegi
sahaja termasuk wilayah Limbang, sementara A.M. Azahari dan PRB pula mahu
mewujudkan sebuah Brunei Raya, “The Great Brunei” yang merdeka dan berdaulat,
iaitu kesinambungan idealisme Sultan
Ahmad Tajuddin.
Brunei Raya yang diperjuangkan A.M. Azahari meliputi
seluruh Kalmantan Utara terdiri dari wilayah Sarawak dan Sabah seluas 79,000
batu persegi yang beliau perkenalkan
sebagai Negara Kesatuan Kalimantan Utara (NKKU).
Kedua, atas
persetujuan Kuasa Penjajah British, baginda Sultan mahukan sebuah perlembagaan yang memberi kuasa mutlak
kepadanya dan zuriat baginda, sementara A.M. Azahari menagih perkongsian kuasa
melalui sistem raja berperlembagaan.
Perbezaan Latar Belakang
Perbezaan Idealisme dan pendekatan perjuangan kemerdekaan
antara keduanya dilihat lebih banyak dipengaruhi oleh latar belakang
masing-masing. Kesultanan Brunei dengan sistem feudalnya telah mengharungi
sejarah malang yang panjang justeru meninggalkan stigma kebimbangan bahawa
Brunei yang tinggal sekangkang kera ini akan pupus dari peta dunia jika tidak
dijaga sebaiknya.
Maka berusahalah Istana sedaya upaya melindungi dan
menanai apa yang tinggal itu dengan amat berhati-hati dan rasa cemburu. Ke arah
itulah semangat dan ruh perlembagaan Brunei 1959 tercipta dan berasa cukup
sekadar mewarisi Brunei sedia ada kerana ianya lebih mudah dijaga.
A.M. Azahari yang dilahirkan pada tahun 1928, menubuhkan PRB pada tahun 1956 ketika berusia
28 tahun, turut melalui pengalaman
berjuang di Indonesia dalam perjuangan kemerdekaan negara itu menentang
penjajahan Belanda sekitar tahun-tahun
1944-1952.
Beliau juga bersahabat dengan Presiden Sukarno, Indonesia yang berpendirian keras terhadap apa jua bentuk penjajahan. Justeru itu bawaan pimpinan politik anak muda ini tentunya tidak terlepas dari pengaruh semangat dan jiwa besar teman seperjuangannya yang memperjuangkan Indonesia Raya merdeka dan berdaulat.
Latar belakang beliau inilah menyebabkan dia sentiasa
dicurigai oleh Kuasa Penjajah British dari hari pertama lagi beliau menjejakkan
kakinya kembali ketanah air dari Indonesia pada tahun 1952. Penjajah yang
bimbang akan pengaruh A.M.Azahari yang ditanggapi boleh menggugat
kepentingannya, berterusan meniupkan
lagu fitnah dan intimedasi kecuping
telinga DYMM sultan bagi menjarakkan keduanya.
Pensejarahan Semula
Justeru, walau pun telah banyak sejarah Brunei dirakam
dan dianalisis yang dapat meletakkan tempat dan peranannya di Asia Tenggara dan
di alam Melayu sebagai bangsa yang bermaruah dan disegani, tetapi dalam masa
yang sama masih banyak persoalan yang belum terjawab dan ditafsir
sewajarnya terutama sekali sejarah
perjuangan bangsa menuntut kemerdekaan dan usaha merayakan Brunei.
Sejarah perjuangan A.M.Azahari seorang pelaku sejarah
yang penting sezaman DYMM Sultan Omar Ali Saifuddein III seperti dilupakan dan dibakulsampahkan. Atas alasan apa
sumbangan beliau dinafikan hanya Allah yang tahu. Kalau pun ada tulisan yang mengaitkan A.M. Azahari
tetapi ianya lebih bersifat menghina, memfitnah dan memperkecilkan idealisme perjuangannya.
Bagi meyakinkan rakyat Brunei betapa sebagai bangsa yang
bermaruah dan mempunyai masa depan yang cerah dalam masyarakat global tanpa
sempadan ini, adalah wajar dilakukan pensejarahan semula Brunei Darussalam.
Melakukan kajian dan menilai semula interpretasi
peristiwa sejarah itu secara adil dan saksama, dan mengiktiraf sumbangan para
pejuang bangsa, tidak syak lagi boleh dijadikan elemen penting ke arah
memperkukuh jatidiri bernegara dan beraja yang ketika ini dilihat goyah. Wallaha'alam. (MMO).
No comments:
Post a Comment