Wednesday, September 30, 2020

DIARI KEHIDUPAN XV : POLIMIK DI SEKITAR ISU PERJANJIAN DAMAI ARAB - ISRAEL



Demonstrasi rakyat Palestin dalam membantah perjanjian damai UAE dan Bahrain dengan Israel


“Banyak lagi pertemuan dengan para pemimpin Arab dan Muslim yang tidak dilaporkan bagi menjalin hubungan dengan Israel.” Demikian kata Netanyahu selepas dengan bangganya mengumumkan penerbangan komersial sulung Israel ke UAE pada 30 Ogos lalu susulan tercapainya perjanjian untuk menjalin hubungan diplomatik antara Israel-UAE. Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama-nama negara manakah yang beliau maksudkan itu.

Sejak itu kita tertanya-tanya juga, negara manakah lagi yang tergamak membelakangkan agenda pembentukan negara Palestin untuk mengikuti jejak langkah UAE dalam memulihkan hubungan baik dengan Israel?. 

Rupa-rupanya kita tidak perlu mengambil masa yang lama untuk terus tertanya-tanya akan hal itu. Pada 11 September, satu lagi negara yang sebelum ini turut berada dalam saf pembela perjuangan umat Palestin, Bahrain, tergamak untuk mengikuti langkah UAE dalam mengadakan hubungan baik dengan negara rejim Zionis itu. 

Antara sebab yang dikatakan telah mendorongkan Bahrain untuk mengambil langkah tersebut, kononnya, adalah kerana wujudnya kebimbangan negara itu terhadap ancaman Iran di Timur Tengah.

Pada 15 September termetrailah apa yang disebut sebagai “Deklarasi Damai Bersejarah" yang menyaksikan ketiga-tiga negara - UAE, Bahrain dan Israel hadir ke Rumah Putih di Washington untuk menzahirkan keiltizaman masing-masing untuk berkerjasama di antara satu sama lain dengan disaksikan oleh Presiden Donald Trump selaku penggerak, juga penaja bagi pencapaian usaha berbaik tersebut.    

Presiden Donald Trump memuji tindakan UAE dan Bahrain untuk memulihkan hubungan dengan Israel sambil menyifatkan ianya sebagai suatu permulaan kepada usaha bagi mewujudkan keamanan yang berkekalan di Timur Tengah. 

Demikian juga dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, juga mengalu-alukan kesediaan kedua-dua negara untuk menjalin hubungan baik dengan Israel sambil berharap banyak lagi negara lain akan mengikuti jejak langkah kedua-dua negara demi mewujudkan keamanan dan kesejahteraan di rantau Arab.

Namun lain pula nada yang kita dengar dari kalangan pemimpin dan rakyat Palestin, juga pemimpin negara-negara Arab yang masih lagi komited dalam perjuangan ke arah membebaskan Palestin dari cengkaman rejim Zionis itu. 

Mereka rata-ratanya kecewa dan bimbang dengan langkah UAE dan Bahrain yang dilihat bakal boleh melemahkan pendirian asal negara-negara Arab dalam menggesa Israel untuk keluar dari wilayah yang dijajah dan menerima pembentukan negara Palestin sebagai ganti untuk pemulihan hubungan diplomatik dengan negara-negara Arab.

"Dengan menyambung semula hubungan dengan penjajah, Bahrain melanggar semua ketetapan Arab. Ia ditolak, dikutuk dan menunjukkan pengkhianatan terhadap perjuangan Palestin," kata Wassel Abu Youssef, seorang pegawai kanan Pertubuhan Pembebasan Palestin di Ramallah, di Tebing Barat yang ditakluki Israel.

Faktor Iran Di Timur Tengah

Pemulihan semula hubungan baik UAE dan Bahrain dengan Israel, tidak dinafikan, berlaku di tengah-tengah adanya kebimbangan yang kian dikongsi bersama mengenai ancaman Iran terhadap rantau Arab. 

Cuma apa yang menjadi persoalan pada masa ini adalah sama ada Arab Saudi - salah satu negara paling berpengaruh di Timur Tengah dan sekutu rapat Amerika Syarikat - akan akhirnya turut mengikuti jejak kedua-dua negara Arab itu semata-mata kerana “faktor Iran”?

Zaha Hassan, Pelawat di Carnegie Endowment for International Peace, berkata langkah Bahrain itu "sangat membimbangkan" rakyat Palestin. 

"Langkah ini tidak mungkin berlaku tanpa lampu hijau Saudi," katanya. 

"Arab Saudi menghadapi tekanan untuk menyambung hubungan, tetapi tidak boleh melakukannya kerana kedudukannya sebagai penjaga tapak suci Islam dan itu tidak akan diterima ramai.” 

“Justeru, Bahrain ditawarkan sebagai saguhati yang akan memastikan Trump sentiasa berpihak kepada Arab Saudi." tambah beliau lagi.

Bahrain, sebuah negara pulau kecil, menempatkan ibu pejabat serantau Angkatan Laut AS. Pada tahun 2011 Riyadh menghantar pasukan tenteranya ke Bahrain untuk membantu menangani satu pemberontakan dan, bersama Kuwait serta UAE, pada 2018 menawarkan Bahrain bantuan ekonomi sebanyak AS$10 bilion (S$13.68 bilion).

Perubahan pendirian Arab Saudi ini, jika benar-benar berlaku, sudah pasti akan membawa satu lagi perubahan besar di rantau Timur Tengah yang sedia bergolak dengan pelbagai konflik itu.

Antara punca utama yang menyumbang kepada keadaan bergelora itu adalah konflik Palestin-Israel yang telah berlanjutan selama 70 tahun – sesuatu yang boleh disifatkan sebagai konflik paling lama di dunia.

Bagaimanapun, kebelakangan ini banyak konflik yang berlaku di Timur Tengah bukan lagi bertunjangkan kepada krisis antara Israel dengan negara-negara Arab jirannya. Ia sebaliknya merupakan isu-isu yang terjelma daripada pelbagai dimensi yang melibatkan begitu banyak pemegang taruh (stakeholders) baik di rantau Timur Tengah mahu pun kuasa dunia yang lain.

Antara perkara yang kini menjadi semakin rumit termasuklah kerana percaturan antara dua kuasa serantau di Timur Tengah, iaitu Iran dan Arab Saudi. Kedua-dua negara ini - yang telah lama bersengketa - kini dikatakan cuba menggunakan pelbagai wadah dan proksi - baik di Yaman, Lubnan atau pun Syria - untuk muncul sebagai jaguh di rantau berkenaan. 

Ketika kedua-dua kuasa ini saling menggerakkan cengkaman pengaruh masing-masing, isu Palestin di satu sudut lain, terus berlarutan sebagai isu perjuangan Arab yang menuntut penyelesaian muktamad sebelum isu-isu baharu yang lain diselesaikan.

Atas perkiraan inilah tindakan UAE dan Bahrain dilihat sebagai satu tindakan “menikam dari belakang” dari sudut perjuangan rakyat Palestin khususnya bagi menuntut penarikan keluar tentera Israel dari wilayah Palestin yang diduduki secara haram. 

Dalam konteks ini, kita agak hairan dengan pendirian kedua-dua negara - UAE dan Bahrain, yang menyatakan langkah mereka menjalin hubungan baik dengan Israel adalah demi kemaslahatan umat Palestin sendiri, khususnya dalam menyekat usaha Israel dalam merampas serta memiliknegarakan lebih banyak tanah Palestin.  

Namun peliknya, umum mengetahui, tiada pada mana-mana bahagian dalam rekod atau dokumen perjanjian damai Israel dengan UAE dan Bahrain itu yang ada menyebutkan hal sedemikian. Malah, Netanyahu secara terang-terangan menyebutkan perjanjian damai itu tidak akan menyekat usaha Israel untuk memperluaskan wilayahnya ke atas Palestin.

Tidak juga disebut sama ada dorongan utama bagi kedua-dua negara untuk berbuat demikian disebabkan adanya janji dari Amerika Syarikat untuk menyediakan ganjaran besar seperti kiriman bekalan senjata yang lebih canggih termasuk jet-jet pejuang F-35 buatan Amerika kepada negara-negara berkenaan.

Dalam konteks ini kita mungkin tertanya-tanya, apa sebenarnya niat UAE dan Bahrain di sebalik tindakan mereka itu - sama ada benar-benar atas kepentingan isu Palestin, atau sebaliknya, lebih sebagai strategi mereka dalam berhadapan dengan ancaman yang lebih dibimbangkan iaitu Iran.  

Lantaran itu tidaklah sesuatu yang memeranjatkan apabila langkah UAE dan Bahrain itu mengundang reaksi bercampur-campur di sana sini. 

Bagi mereka yang melihatnya sebagai langkah untuk memenuhi kepentingan diri, mereka tidak yakin perjanjian ini bakal membawa manfaat kepada sesiapa, lebih-lebih lagi Palestin kerana yang bakal mendapat faedahnya tidak lain adalah Israel dan Amerika Syarikat, khususnya Netanyahu dan Donald Trump. Umum mengetahui, kedua-dua mereka kini terdesak untuk mencari populatiti diri bagi menghadapi cabaran dari saingan politik masing-masing.

Dalam kalangan mereka yang optimis pula, mereka melihat usaha perdamaian ini sebagai boleh mendorongkan kejayaan yang lebih besar sekiranya Israel, atas desakan mahu pun pujukan negara-negara sekutu Arabnya, terdorong untuk bersikap bertolak ansur dalam mencari huraian yang lebih adil dan saksama bagi isu Palestin.


Wallahu a’alam (MMO)


No comments:

Post a Comment