Thursday, June 7, 2018

PROFAIL NEGARA ANGGOTA OIC: BENIN




PETA


 





 GEOGRAFI 

Benin dengan keluasan wilayahnya 112,622 km persegi terletak di Benua Afrika iaitu pada garis lintang 6°-13° utara dan 0°-4° di bahagian timur. Negara ini dibatasi di bahagian utaranya oleh sungai Niger dan di bahagian selatannya dataran pesisir pantai. Di bahagian timurnya dipenuhi dengan ciri-ciri tanah yang sedikit beralun dan berbukit. 

Bahagian utara Benin pula terbangun di atas kawasan savana dan pegunungan separuh gersang. Titik tertinggi tanah daratan ialah Gunung Sagboroa dengan ketinggian 658 meter. Bahagian selatan negara ini terdiri atas sebuah dataran pantai yang menyebar, danau dan laguna seperti danau Nohoué atau laguna di Porto Novo. Sebahagian besar penduduknya mendiami kawasan pesisir pantai yang menyebabkan sebahagian kota besar di Benin seperti Porto Novo dan Cotonou terpusat di kawasan pesisir pantai.

Negara ini beriklim tropika yang panas dan kering bersama dengan kelembapan yang dibawa oleh sungai-sungai yang mengalir di beberapa bahagian negeri itu. Kawasan yang banyak mendapat hujan adalah di bahagian tenggara Benin khususnya Antara bulan Mac hingga Julai dan menurun sedikit pada penghujung tahun.


PROFAIL PENDUDUK 

Penduduk Benin berjumlah 7,513,946 orang (Banci 2006) dengan komposisi etniknya berjumlah 40 kumpulan yang berbeza. Etnik paling besar ialah etnik Fon yang membentuk 49 peratus dari penduduk Benin. Etnik-etnik lain termasuklah Adja,  Yoruba, Somba, dan Bariba.

Kebanyakan  etnik memiliki  Bahasa/loghat  sendiri seperti Bahasa Fond dan Yoruba sementara  bahasa Prancis  yang  merupakan bahasa resmi menjadi bahasa pertuturan di kebanyakan kota besar di Benin. 

Dilihat dari sudut pecahan agama pula, banci penduduk tahun 2002 memperlihatkan majoriti penduduk Benin adalah Kristian (termasuk Katolik, Protestan dan Methodist), diikuti dengan Islam sebanyak 24.4%, Voodoo 17.3% dan bakinya agama kepercayaan penduduk setempat dan atheis.

Kehadiran Islam di negara Benin bermula sejak abad ke-10 Masehi, dibawa kebanyakannya oleh para pedagang dari Arab dan suku  Hausa dari Nigeria. Kini umat Islam di Benin tertumpu di wilayah utara dan tenggara negara itu dengan etnik Yoruba dan Dendi merupakan etnik terbesar yang menganut agama Islam di Benin.

Agama Islam terus tumbuh pesat dari hari ke hari disebabkan ajarannya yang mudah diterima oleh penduduk Benin. Kini terdapat tidak kurang dari 30 organisasi Islam bergerak secara aktif di Benin bagi menggerakkan misi social, keagamaan dan kebajikan.

Sebahagian besar penganut Islam di Benin menganut aliran Sunni manakala sejumlah kecil yang lain menganut ajaran Syiah yang pada umumnya dibawa oleh ekspatriat dari Timur Tengah. 

Umat Islam bebas menjalankan aktiviti keagamaan kerana perlembagaan negara itu memperuntukkan hak dan kebebasan beragama. Secara umum, Pemerintah Republik Benin menghormati hak warga negaranya untuk menjalankan ibadah mengikut anjuran agama masing-masing.


 SEJARAH RINGKAS

 
 
Republik Benin merupakan bekas daerah kerajaan Dahomey, yang berdiri di abad ke-15. Daerah tersebut kemudiannya menjadi jajahan Perancis pada tahun 1872 dan memperoleh kemerdekaan pada 1 Ogos 1960, sebagai Republik Benin. 

Serangkaian pemerintahan tentera berlaku di Benin yang kemudiannya berakhir pada tahun 1972 dengan berkuasanya Mathieu Kerekou yang memerintah berdasarkan prinsip Marxis-Leninisme. Gerakan kembali ke pemerintahan rakyat dimulai pada tahun 1989. Dua tahun kemudian, pilihan raya umum (pemilu) yang bebas mengangkat bekas Perdana Menteri Nicephore Soglo sebagai Presiden – suatu proses peralihan kuasa  yang pertama dari diktatorisme kepada demokrasi yang berhasil di Afrika. Kerekou kembali berkuasa melalui pemilu tahun 1996 dan 2001, tetapi kemudiannya mengundurkan diri pada tahun 2006. Teraju kepimpinan benin diteruskan oleh Thomas Yayi-Boni, seorang calon Bebas yang mencatat nama dalam usaha memerangi rasuah dan menggiatkan usaha bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi Benin.



POLITIK & PENTADBIRAN





Sistem politik di Republik Benin adalah berbentuk demokrasi ber presiden. Melalui sistem politik tersebut, negara ini memperuntukkan Presiden sebagai Ketua Negara dan Ketua Pemerintahan. Beliau diperuntukkan penggal pemerintahan selama 5 tahun dan layak untuk terus memerintah bagi penggal berikutnya sekiranya mendapat mandat dari rakyat.

Negara ini juga mengamalkan sistem pelbagai parti yang mana bagi wakil-wakil yang terpilih kemudiannya dipilih pula oleh Presiden untuk menduduki Majlis Mesyuarat (Kabinet). Kuasa eksekutif bagaimanapun dipegang oleh Ketua Pemerintah.

Bagi bidang legislatif pula, kekuasaan tersebut dipegang oleh pemerintah dan legislatur yang mengisi 83 kerusi di Dewan Kebangsaan. Pemilihan ahli-ahli Dewan adalah melalui pilihan raya umum yang memperuntukkan penggal pemerintahan selama 4 tahun.

Sistem politik di Benin saat ini sudah pun mengalami perubahan yang banyak, dari konstitusi Benin pada tahun 1990 menjadi demokrasi bermula pada tahun 1991. Pada masa ini dianggarkan terdapat sejumlah 11 buah parti besar dan kira-kira 20 buah parti-parti kecil yang masih aktif dan mengambil bahagian dalam pilihan raya umum di Benin.

Ketua Negara/Ketua Pemerintah : President Patrice TALON (sejak 6 April 2016)
 

EKONOMI 

Ekonomi pasaran bebas Benin telah berkembang selama tiga tahun berturut-turut dengan purata pertumbuhan mencapai paras 5% setiap tahun sejak 2014. Bagaimanapun hubungan perdagangan dengan negara terdekatnya Nigeria mendedahkan Benin kepada risiko harga komoditi yang tidak menentu. Kapas adalah komoditi eksport utama; harga yang tinggi menyokong pendapatan eksport, tetapi apa yang berlaku sekarang ialah kejatuhan harga yang berterusan. 

Dalam tempoh 6 bulan pertama pentadbiran Presiden Talon tumpuan telah diberikan kepada usaha bagi meningkatkan kegiatan penjanaan elektrik yang selama ini memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi Benin. Demikian juga dengan usaha bagi menggalakkan kemasukan pelaburan asing telah dipertingkatkan melalui usaha memperkemaskan lagi sistem kewangan dan kemudahan infrastruktur di negara itu.

Sejak tahun 2001, Benin juga telah mengusahakan dasar penswastaan negara khususnya dalam bidang telekomunikasi, air, elektrik, dan pertanian. Benin juga telah merayu bantuan antarabangsa untuk mengurangkan cetak rompak terhadap penghantaran komersial di wilayahnya. Demikian juga dengan kejadian kecurian di pelabuhan, telah menurun dengan ketara kerana Pelabuhan Cotonou giat mengusahakan perlaksanaan Kod Keselamatan Kapal-kapal Antarabangsa dan Pelabuhan (ISPS) dalam usaha untuk terus berdaya saing. Semua ini diharapkan akan membuka minat pelabur luar untuk membuat pelaburan mereka di Benin, sekaligus menjayakan matlamat kerajaan ke arah mempelbagaikan lagi sumber pertumbuhan ekonomi negara itu.

Sementara itu, beberapa insiatif terbaru telah turut dilaksanakan oleh kerajaan Benin bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara itu. Inisiatif ini, antara lain, termasuklah mengerakkan projek  Perbadanan Millennium Challenge Corporation (MCC) Benin (2006-11) bernilai US$ 307 juta untuk meningkatkan pelaburan dan aktiviti sektor swasta dengan cara meningkatkan infrastruktur institusi dan fizikal yang utama. Projek ini memberi tumpuan kepada empat fokus utama iaitu  tanah, akses kepada perkhidmatan kewangan, akses kepada keadilan perdagangan, dan akses kepada pasaran (termasuk pemodenan pelabuhan). Pelabuhan Cotonou adalah komponen terbesar dari ekonomi Benin dengan pendapatannya  menyumbang lebih daripada 40% belanjawan negara Benin.

Pada bulan September 2015, Benin menandatangani pakej kedua MCC bernilai US$ 375 juta yang disediakan bagi mengukuhkan penyedia perkhidmatan utiliti kebangsaan, menarik pelaburan sektor swasta, pelaburan dana infrastruktur penjanaan dan pengagihan elektrik, dan membangunkan elektrifikasi off-grid untuk isi rumah miskin. 

Untuk meningkatkan lagi pertumbuhan, Benin turut merancang usaha bagi menarik lebih banyak pelaburan asing dengan penekananan diberikan kepada sektor-sektor ekonomi baru seperti pelancongan,  pembangunan sistem pemprosesan makanan dan produk pertanian baru, menggalakkan pertumbuhan teknologi maklumat dan komunikasi ICT, dan menubuhkan Pengeluar Tenaga Bebas. 

Pada April 2017, IMF meluluskan perjanjian Kemudahan Kredit US$ 150.4 juta selama tiga tahun untuk mengekalkan kelestarian hutang dan meningkatkan keyakinan penderma.

 


Wallahua’alam (MMO).








No comments:

Post a Comment