Thursday, February 8, 2018

KABINET BARU: HARAPAN KEBAWAH DYMM ADALAH HARAPAN RAKYAT


Tanggungjawab 

Pada 07 Februari 2018/21 Jamadilakhir 1439 baru lalu, Kebawah DYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mengurniakan titah sempena Persidangan Khas Jemaah Menteri-Menteri Kabinet dan Timbalan-Timbalan Menteri baru di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan.

Kalau titah sebelum ini berkisar kepada soal keadilan dan kezaliman, maka intipati titah kali ini adalah berkait tanggungjawab. Baginda mengingatkan agar “pasukan kabinet dan pegawai-pegawai berkenaan akan dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan lebih baik tanpa membawa masalah-masalah yang tidak munasabah dan yang menjejaskan perlaksanaan pentadbiran Kerajaan  Beta”, demikian titah baginda.

Pada umumnya, titah ini merupkan satu penilaian prestasi, terhadap beberapa buah kementerian/sektor kerajaan sama ada secara khusus atau tidak. Antara tumpuan teguran secara langsung adalah agensi berkaitan sektor ekonomi, pembangunan, pertanian, industri dan tenaga, tenaga manusia, kesihatan, pendidikan dan agama, perhubungan, pelancongan, belia dan sukan, serta luar negeri. 

Open appraisal sedemikian boleh ditafsirkan sebagai rasa tidak puas hati baginda terhadap prestasi yang ditunjukkan oleh sektor-sektor berkenaan yang mungkin jauh daripada mencapai sasaran atau KPI yang ditetapkan atau yang baginda harapkan.

Sebenarnya persoalan prestasi yang meleset ini seringkali dibangkitkan oleh NDP, terutamanya dalam ucapan dasar presiden saban tahun. Walau bagaimana pun, adalah menjadi harapan kita, agar pemadulian dan teguran baginda tidak dilihat dengan mata kayu dan didengar dengan telinga kuali oleh mereka yang berkenaan. 

Masaalah Implementasi Bukan Perancangan 

Apa yang kita fahami daripada titah baginda itu, bahawa  kemelut yang dihadapi oleh Negara dan  yang menjadi kebimbangan baginda itu berkisar pada soal pelaksanaan dan implementasi perancangan yang lemah, bukannya masalah perancangan itu sendiri. Betapa tidaknya, segala rancangan pembangunan telah didokumentasikan dengan penuh teliti seperti yang dapat dilihat dalam RKN dan Wawasan 2035.

Kita yakin situasi ini berpunca daripada sikap agensi berkenaan yang tidak meletakkan tanggungjawab dan sikap pemedulian  di tahap yang tinggi  kepada “their most important client”, iaitu rakyat sebagai stake holder yang paling utama. Mungkin juga hal ini ada kaitan dengan tahap jatidiri yang rendah.

Selama ini setengah mereka yang diberikan amanah begitu selesa dengan kedudukan masing-masing, justeru sama ada mereka menunjukkan presatasi yang baik atau pun sebaliknya bukan menjadi masalah kepada mereka sehingga ianya seperti terbudaya dalam komuniti ini.

Hal ini berakar umbi kerana sistem pemerintahan tidak memberikan kuasa untuk rakyat menukar mana-mana pemimpin yang tidak sensitif kepada keperluan rakyat dan kehendak Kebawah DYMM sendiri. 

M.I.B. Perlu Tafsiran Operational 

Kebawah DYMM juga  menyentuh mengenai konsep Melayu Islam Beraja - M.I.B dan mencabar mereka yang mempertikainya. Baginda bertitah  “Yakinlah, barangsiapa yang mempertikai M.I.B., mereka itu bukan purih Brunei atau tidak berjiwa Brunei”, demikian tegas baginda.

Sebagai rakyat kita mendukung sepenuhnya falsafah negara ini, tetapi kita berpendapat ianya perlu kepada tafsiran berupa pengisian yang substantif bukannya yang semata bersifat luaran. Selama ini kita lihat penekanan M.I.B banyak berkisar kepada soal ritualistik yang kelihatannya gah tetapi lompong pada rohnya.

Dalam apa jua keadaan, kita hendaklah berpegang pada hakikat bahawa,  di dalam konsep M.I.B ini, Islam adalah teras yang unggul menjadi teraju dan neraca kepada dua elemen Melayu dan Beraja. Ringkasnya, apa jua tindakan yang diambil demi kepentingan Melayu atau Beraja mestilah menepati acuan Islam kerana tiada yang lebih baik dan adil selain dari syariat Islam. 

Darajat MMN Perlu Diangkat 

Apa yang kita perhatikan, sudah 34 tahun amalam sistem pengurusan negara sedia terpakai ini seperti gagal berperanan sewajarnya untuk membawa rakyat dan Negara ke aras yang lebih maju, justeru Kebawah DYMM sendiri, dalam banyak perkara seringkali menzahirkan kekecewaan baginda melalui titah dan tindakan baginda.

Justeru, kita melihat sudah tiba masanya darajat Majlis Mesyuarat Negera(MMN) itu diangkat ke satu aras yang benar-benar boleh memainkan peranannya secara efektif dalam pengurusan Negara. Ke arah itu, mekanisma yang kita nampak ialah  dengan membuka sedikit ruang untuk membolehkan rakyat sama-sama berkongsi kuasa atau berpatisipasi di dalam kerajaan melalui sistem berperwakilan yang sah.

Dengan wujudnya MMN yang dinaik taraf ke aras sebuah parlimen yang berwibawa,  maka akan dapatlah ditubuhkan berberapa jawatankuasa  terpilih atau select committee yang dianggotai ahli parlimen tadi bagi memantau perlaksanaan dasar dan prestasi kementaerian-kementerian yang diwujudkan. Kaedah ini terpakai pada Westminster System of Parlimentary Democracy yang terbukti  amat membantu kelancaran tugasan sebuah parlimen. 

Institusi Kabinet Yang Efektif 

Demikian juga, dengan mempunyai anggota-anggota kabinet yang berwibawa dari kalangan anggota parlimen yang dipilih rakyat itu, maka dengan sendirinya akan meringankan beban tugasan Kebawah DYMM yang banyak terbeban dengan jawatan yang dipegang kerana apa jua dasar dan keputusan yang diputuskan oleh kabinet adalah dipertanggung jawabkan secara kolektif oleh seluruh jamaah menteri.

Antara lain perkataan, Institusi Kabinet, sebagai badan tertinggi yang bersidang tiap minggu dipengerusikan oleh Perdana Menteri, pastinya dapat menghurai dan merungkai apa jua kemelut dan masalah yang dihadapi oleh Menteri Kabinet atau Kementeriannya pada jangka waktu yang munasabah tanpa perlu didedahkan kepada orang ramai. Justeru tidak payah menunggu ikan sudah buntu baru hendak “menyiangi”. 

Izinkan kita menyatakan pendirian bahawa, sudah sampai masanya Brunei mempunyai sebuah Parlimen dan Kabinet yang mempunyai digniti dan intergeriti bagi membantu Kebawah DYMM di dalam mengurus dan mentadbir Negara menuju Baldatun Thayyibatun Warabbun Ghafuur.  

Wallahua’lam.(MMO).

*******

No comments:

Post a Comment