![]() |
Sebahagian daripada penduduk Islam yang membantah pemansuhan autonomi Kashmir |
Lanjutan daripada artikel
saya yang lepas, sebagaimana yang dijanjikan, berikut ini saya perturunkan
kronologi beberapa peristiwa penting yang berlaku di India, khususnya di
Kashmir dan juga di Pakistan sejak kerajaan India mengumumkan pemansuhan
Artikel 370 berkaitan status autonomi Kashmir. Liputan dibuat bagi tempoh sepanjang bulan Ogos 2019.
5 Ogos 2019
Presiden
India keluarkan dekri, tiada lagi status khas Kashmir
Menteri Dalam Negeri, Amit
Shah yang merupakan sekutu rapat Perdana Menteri, Narendra Modi memberitahu
Parlimen bahawa Presiden Ram Nath Kovind telah menandatangani dekri yang
memansuhkan Artikel 370 dalam Perlembagaan yang memberikan status autonomi khas
kepada Kashmir.
Parti Bharatiya Janata
(BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi turut mencadangkan rang undang-undang
untuk membahagikan Kashmir kepada dua wilayah untuk ditadbir secara langsung
oleh New Delhi.
Berikutan adanya keputusan
kerajaan India itu, tindakan perintah berkurung dilaksanakan di Kashmir yang
dikuatkuasakan melalui kehadiran beribu-ribu tentera India di wilayah yang berpecah-belah
itu seawal seminggu sebelum pengumuman pemansuhan status autonomi Kashmir
dibuat.
Kerajaan India juga telah
bertindak menghentikan perkhidmatan telefon, internet dan rangkaian kabel berikutan
meningkatnya ketegangan di wilayah itu. Selain itu, ribuan pelancong juga
diarahkan keluar dari Kashmir atas alasan terdapat ancaman daripada kumpulan
militan yang disokong Pakistan.
Sekitar Kashmir telah
dikawal ketat dengan ribuan pasukan separa tentera dan polis anti rusuhan mengepung
laluan utama dengan kawat berduri dan sekatan keluli di beberapa bahagian di
Srinagar.
6 Ogos 2019
Pemimpin-pemimpin politik kecam keputusan kontroversi New Delhi
Berikutan adanya keputusan
kerajaan India yang dianggap kontoversi itu, beberapa pemimpin pembangkang di
India dan pemimpin-pemimpin Islam di Kashmir telah bangun menyuarakan tentangan
mereka.
Bekas Ketua Menteri Negeri
Jammu dan Kashmir, Mehbooba Mufti menyifatkan keputusan kerajaan India itu
sebagai suatu pengkhianatan besar New Delhi kepada negeri yang selama ini setia
dengan kuasa pusat.
Di Parlimen India,
beberapa pemimpin pembangkang mengutuk keputusan dekri Presiden. Ahli Parlimen
Kongres, Ghulam Nabi Azad yang berasal dari Kashmir menyatakan adalah sesuatu
yang memalukan apabila kerajaan India mahu menukar Jammu dan Kashmir kepada
wilayah bukan entiti.
Beberapa pemimpin Kashmir
yang lain seperti Farooq Abdullah dan
Omar Abdullah yang kini berada di bawah tahanan rumah juga mengkritik keputusan
tersebut. Mereka mendakwa keputusan kerajaan India itu sebagai mengejutkan dan
bersifat sebelah pihak. Mereka juga menyifatkan tindakan tersebut sebagai
pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diletakkan oleh penduduk Jammu dan
Kashmir ke atas India apabila negeri itu diserahkan kepadanya pada tahun 1947.
Sementara itu, penduduk
Pakistan mengadakan bantahan besar-besaran berhubung langkah New Delhi yang
disifatkan Islamabad sebagai tidak sah. Berikutan itu, beberapa protes dilaporkan
telah diadakan di beberapa buah bandar di Pakistan seperti di Islamabad,
Muzaffarabad, Lahore dan Karachi.
8 Ogos 2019
Pakistan
usir diplomat India, putus hubungan perdagangan
Pakistan mengumumkan untuk
mengusir diplomat kanan India dari negara itu serta merta di samping merancang
untuk menamatkan hubungan perdagangan dengan jirannya, sekali gus meningkatkan
lagi ketegangan pertikaian isu Kashmir yang melibatkan kedua dua negara itu.
Pakistan juga mengumumkan
diplomat negara itu ke India yang baru dilantik, iaitu Moin-ul-Haq yang belum
memulakan tugas rasminya tidak akan berlepas ke Delhi. Tindakan ini dibuat
sebagai mempamirkan bantahan Pakistan terhadap keputusan kerajaan India dalam
membatalkan status autonomi Kashmir dan menahan lebih 500 individu daripada
pelbagai latar belakang termasuk pensyarah universiti dan aktivis di pusat
tahanan sementara di Srinagar.
New Delhi bagaimanapun
membidas langkah diambil Pakistan dan menyifatkan Kashmir adalah hal dalaman
negara itu di sebalik hakikat kedua-dua negara pernah berperang sebanyak dua
kali berhubung isu Kashmir.
India dan Pakistan yang
dikatakan masing-masing memiliki keupayaan senjata nuklear telah bertelagah
sejak tiga dekad lalu, termasuk melibatkan hal berkaitan tuntutan hak ke atas
wilayah Kashmir.
9 Ogos 2019
Isu
Kashmir: Pakistan tidak akan guna tindakan ketenteraan
Pakistan tidak akan
menggunakan tindakan ketenteraan dalam pertikaian dengan seteru nuklearnya,
India berhubung isu Kashmir, kata Menteri Luarnya, Shah Mehmood Qureshi hari
ini.
“Pakistan tidak melihat pilihan ketenteraan. Malah, kami menimbang pilihan lain dari segi politik, diplomatik dan undang-undang untuk menangani situasi berkenaan.
“Kami juga memutuskan
untuk membawa perkara ini kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) bagi mencabar kedudukan India yang disifatkan tidak bermoral,”
katanya.
10 Ogos 2019
Pakistan
henti perkhidmatan kereta api ke India
Pakistan menghentikan
perkhidmatan kereta api ke India dan mengharamkan filem dari negara itu ketika
ia meningkatkan tekanan diplomatik ke atas New Delhi kerana melucutkan status
khas Kashmir.
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri
Narendra Modi pada 5 Ogos lalu telah bertindak menarik balik hak Jammu dan
Kashmir yang majoriti penduduknya orang Islam untuk merangka undang-undangnya
sendiri.
India, melalui tindakan
terbarunya itu, turut membenarkan orang luar dari Kashmir untuk membeli
hartanah di sana dalam cubaan mengukuhkan cengkamannya di rantau yang sentiasa
dipenuhi dengan pertelingkahan itu.
15 Ogos 2019
Kejadian
berbalas tembakan India-Pakistan
Beberapa orang dilaporkan
telah terbunuh dalam satu kejadian tembak menembak di sempadan Kashmir, ketika
ketegangan terus meruncing antara dua negara nuklear, India dan Pakistan
berkaitan isu Kashmir. Kematian membabitkan dua kejadian berasingan itu dikatakan
berlaku selepas Pakistan memberi amaran bersedia untuk berdepan dengan sebarang
pencerobohan yang dilakukan oleh India di Kashmir.
Dalam usaha untuk
mengalihkan perhatian dari situasi tidak menentu di Kashmir yang ditadbir oleh India,
tentera India telah meningkatkan serangan di Garisan Kawalan (LOC).
Satu kenyataan yang
dikeluarkan oleh pihak tentera Pakistan menyebutkaan tiga anggota tentera
Pakistan dan lima anggota tentera India terkorban dalam pertempuran itu.
Kenyataan itu juga mengatakan ramai tentera yang turut tercedera dengan kejadian
tembak-menembak masih berterusan. Lokasi sebenar kejadian bagaimanapun tidak
pula diumumkan.
Dalam kejadian berasingan,
dua orang awam terbunuh dan seorang cedera dalam serangan yang dilakukan oleh tentera
India di LOC di daerah Rawalakot, Kashmir yang ditadbir oleh Pakistan.
16
Ogos 2019
3,000
rakyat Pakistan berkumpul di Kedutaan India
Kira-kira 3,000 rakyat
Pakistan berkumpul di hadapan Kedutaan India di Islamabad bagi menarik
perhatian masyarakat dunia terhadap pencabulan hak asasi manusia membabitkan
majoriti Islam yang dipertikaikan di rantau Himalaya itu. Perhimpunan yang
dianjurkan parti pemerintah, Tehreek-e-Insaf itu turut dihadiri penduduk
Kashmir yang tinggal di Pakistan.
17 Ogos 2019
Perdana
Menteri Pakistan alu-alukan mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai Kashmir
Perdana Menteri Pakistan,
Imran Khan mengalu-alukan keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) untuk membincangkan konflik di Kashmir sehari selepas India
menempelak mesyuarat berkenaan.
Ketegangan memuncak
berlaku di sana sejak India mengugurkan status istimewa Kashmir yang ditadbirnya
menyebabkan Pakistan dan komuniti global bersuara untuk campur tangan dalam isu
itu.
Kashmir telah dibahagikan
antara India dan Pakistan sejak merdeka dan menjadi pencetus dua perang besar
dan banyak pertempuran lain antara mereka.
18 Ogos 2019
Beberapa pemimpin
politik utama Kashmir ditangkap
Pihak berkuasa India telah
melakukan tindakan keras terhadap pemimpin politik di Kashmir yang ditadbir
India dengan menangkap tokoh berprofil tinggi, termasuk tiga bekas ketua
menteri negara majoriti Muslim itu.
Penangkapan tersebut
dibuat bertepatan dengan pembubaran Perkara 370 dari perlembagaan India yang
telah lama melindungi undang-undang negara Jammu dan Kashmir dan menyediakannya
dengan autonomi yang terhad.
Tidak jelas berapa ramai
ahli politik atau aktivis yang telah ditangkap sejak 5 Ogos iaitu tarikh
Artikel 370 dimansuhkan. Bagaimanapun terdapat laporan tidak rasmi pihak media
yang menganggarkannya menjangkau ke angka ribuan orang.
Antara tiga tokoh utama
yang ditahan oleh tentera India adalah:
Farooq Abdullah, 83 tahun
- ketua keluarga Abdullah yang berkuasa di Kashmir, memerintah negeri Jammu dan
Kashmir selama beberapa dekad dan menghasilkan tiga penyandang Ketua Menteri.
Beliau ditahan di rumahnya di kawasan kejiranan Gupkar Road yang dikawal ketat di
kota utama Srinagar. Beliau pada masa ini memegang jawatan Presiden Persidangan
Kebangsaan, sebuah parti politik tertua di Kashmir selain menjadi ahli parlimen
India bagi kerusi Srinagar.
Omar Abdullah - Seorang
lagi bekas Ketua Menteri Jammu dan Kashmir.
Beliau adalah pemimpin generasi ketiga Persidangan Kebangsaan, parti
yang diasaskan oleh datuknya Sheikh Mohammad Abdullah dan kini diketuai oleh
ayahnya, Farooq. Omar telah ditangkap pada 5 Ogos, iaitu pada tarikh
terbatalnya status istimewa Kashmir dan ditahan dalam sebuah rumah tamu negeri
yang dikawal oleh pihak keselamatan India.
Mehbooba Mufti - Ketua Menteri
terakhir negeri Jammu dan Kashmir sejak rantau tersebut diletakkan sepenuhnya
di bawah kawalan kerajaan pusat. Pada tahun-tahun awalnya sebagai seorang ahli
politik, beliau mengadaptasi apa yang disebut sebagai "agenda pemisah
lembut" kerana sokongannya kepada keluarga pemberontak Kashmir yang
disiksa dan dibunuh oleh pasukan keselamatan India. Beliau ditangkap pada 5
Ogos iaitu pada hari yang sama beberapa pemimpin kanan Kashmir yang lain
ditangkap.
19 Ogos 2019
4,000
ditahan di Kashmir sejak autonomi dimansuhkan
Ribuan orang telah ditahan
di Kashmir iaitu di bahagian pentadbiran India berikutan kekacauan yang
dikhuatiri bakal tercetus selepas New Delhi menarik status autonomi Kashmir.
Satu sumber berita memetik
kenyataan seorang majistret sebagai berkata, sekurang-kurangnya 4,000 orang telah
ditahan dibawah undang-undang kontroversi, Akta Keselamatan Awam (PSA) yang
membenarkan pihak berkuasa menangkap seseorang yang disyakki sehingga tempoh dua
tahun tanpa bicara. Kebanyakan mereka dikatakan telah dibawa keluar dari
Kashmir kerana keadaan penjara yang sudah penuh.
20 Ogos 2019
Kashmir:
kemenangan Hindu ke atas Islam?
Perdana Menteri India,
Narendra Modi didakwa melucutkan status istimewa wilayah Kashmir yang majoriti
penduduknya Islam bagi menunjukkan kemenangan Hindu ke atas Islam di negara itu.
Washington Post
melaporkan, Modi cuba memenuhi keinginan ideologinya sejak sekian lama untuk
menjadikan penduduk Kashmir tunduk kepada pembentukan sebuah negara Hindu yang
homogen.
Langkah itu juga
dipercayai merupakan cara beliau menyampaikan kepada seluruh rakyat India
bahawa tiada pihak yang boleh terkecuali daripada kuasa Hindu yang mahu
dibinanya di benua kecil tersebut.
Kashmir adalah amaran dan
satu contoh, mana-mana negeri yang menyimpang daripada matlamatnya boleh
diletakkan di bawah telunjuk New Delhi atas nama perpaduan.
Rata-rata penduduk juga
tidak menyangka seorang pemimpin seperti Modi akan memerintah India suatu hari
nanti. Beliau seolah-olah mahu menghilangkan sejarah Kashmir.
Ketika dilantik sebagai
Ketua Menteri Gujarat, Modi dikatakan pernah mengetuai pembunuhan komuniti
paling teruk pada 2002, di mana kira-kira 1,000 penduduk Islam di negeri itu
dibunuh secara kejam.
Modi dikatakan bersubahat
dengan golongan perusuh kerana dilihat ‘tutup mata’ tanpa mengambil sebarang
tindakan seolah-olah menghalalkan perbuatan itu.
Malah kumpulan liberal
India menyamakan pemimpin itu seperti Hitler sehingga Amerika Syarikat (AS)
menyekat visa beliau sementara Britain serta Kesatuan Eropah memboikotnya.
Dengan merampas Kashmir,
Modi seolah-olah mahu memujuk nasionalis Hindu, sekaligus cuba mengukuhkan lagi
kedudukan beliau sebagai bapa bagi ‘India baharu’.
***
Pakistan
bawa kes pertikaian Kashmir ke ICJ
Pakistan akan bawa
pertikaian berhubung wilayah Kashmir ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Langkah itu akan
dilaksanakan selepas India umum menarik balik status autonomi khas terhadap
wilayah Kashmir yang ditadbirnya.
Susulan tindakan itu,
Pakistan mengumumkan sekatan rangkaian pengangkutan dan perdagangan termasuk
mengusir duta India.
Menurut Menteri Luar
Pakistan, Shah Mehmood Qureshi, keputusan membawa kes ke ICJ dibuat selepas
mempertimbangkan semua aspek perundangan.
Kes berkenaan akan
tertumpu kepada dakwaan pencabulan hak asasi manusia oleh India.
22 Ogos 2019
Lagu
'pop patriotisme' India desak Hindu untuk dakwa Kashmir
Video muzik mula muncul di
media sosial sejak beberapa hari kerajaan India mengumumkan yang ia telah pun melucutkan
autonomi wilayah Kashmir. Lagu-lagu tersebut cuba menyampaikan mesej kepada 250
juta pengguna YouTube tentang keperluan bagi penduduk India di luar Kashmir
untuk berpindah ke rantau majoriti muslim itu, membeli tanah di sana, dan
berkahwin dengan wanita Kashmir.
Lagu-lagu berkenaan yang
dikenali sebagai genre "pop patriotisme" cuba membanjiri media sosial
mengenai falsafah nasionalisme dan ideologi sayap kanan yang sedia berkembang
di India.
Lagu-lagu “pop patriotism” ini dahulunya adalah terhad kepada tema kebangkitan Hindu di India, seruan untuk mengalahkan saingan serantau Pakistan dan anjuran bagi menaikkan bendera India dalam setiap isi rumah. Namun sekarang, selari dengan tindakan kerajaan dalam menarik balik status keistemewaan Kashmir, mereka cuba mempromosikan mesej baru termasuk seruan untuk menetap dan membanjiri seluruh pelusuk bumi Kashmir.
Lagu-lagu patriotik berkenaan
kebanyakannya dikongsi di platform seperti Facebook, Twitter dan aplikasi
TikTok yang kini berkembang dengan pesat, yang mana pada bulan Jun lalu sahaja mempunyai
kira-kira 120 juta pengguna aktif di India.
23 Ogos 2019
Pakistan
gesa PBB singkir Priyanka Chopra sebagai Duta Muhibah
Pakistan telah membuat
aduan rasmi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menuntut
penyingkiran aktres India Priyanka Chopra sebagai Duta Muhibah badan dunia itu
atas "sokongan beliau untuk berperang" di tengah-tengah ketegangan
yang semakin meningkat antara kedua-dua jiran bersenjata nuklear - India dan
Pakistan.
Dalam satu surat kepada
ketua UNICEF Henrietta Fore, Menteri Hak Asasi manusia Pakistan, Shireen Mazari
menuduh aktris berusia 37 tahun itu dan bekas Miss World menyokong tindakan
pemerintah nasionalis Hindu Perdana Menteri Narendra Modi dalam menguasai
Kashmir di sebalik pemansuhan Artikel 370 Perlembagaan India.
"Sokongannya terhadap
pelanggaran oleh kerajaan Modi mengenai konvensyen antarabangsa dan resolusi
Majlis Keselamatan PBB di Kashmir, serta sokongan untuk perang, termasuk perang
nuklear, telah melemahkan kredibiliti dan kedudukan PBB yang telah
ditinggikannya," kata Mazari dalam surat yang dikongsi di akaun Twitter beliau.
"Kecuali jika dia
dibuang dengan serta-merta, idea duta besar yang menjadi semangat PBB untuk
keamanan menjadi satu penghinaan di seluruh dunia," tambah surat itu.
***
Parti
pembangkang India bantah penahanan Kashmir
Parti-parti pembangkang
utama di India telah bergabung untuk membantah keputusan kerajaan pimpinan
Narendra Modi berkaitan isu Kashmir dan menuntut pembebasan segera pemimpin-pemimpin
politik yang ditahan dan memulihkan secepat mungkin perkhidmatan komunikasi di
rantau Himalaya itu.
Bantahan tersebut
dikatakan muncul berikutan adanya pemerhatian umum bahawa kebanyakan negara
majoriti Islam terus kekal di belakang keputusan pemerintah nasionalis Hindu
awal bulan Ogos untuk membatalkan status istimewa yang diberikan kepada Jammu dan
Kashmir yang menyediakannya dengan autonomi yang terhad.
Gerakan protes bagi
membantah kerajaan Modi telah diterajui oleh Dravida Munnetra Kazhagam, sebuah
parti serantau dari negeri Tamil Nadu selatan.
"Partai Bharatiya
Janata yang memerintah dan sayap ideologinya, RSS, merayakan penghapusan
Perkara 370, sementara majoriti orang awam tidak tahu apa artinya," tegas Ghulam
Nabi Azad, pemimpin Kongres Nasional India kepada ratusan orang ramai yang
hadir.
Rashtriya Swayamsevak
Sangh (RSS) adalah organisasi penyokong Hindu yang mahu India didefinisikan
sebagai negara Hindu. Perdana Menteri India Narendra Modi adalah ahli sepanjang
hayat RSS.
***
Lebih
150 dirawat kerana gas pemedih mata dan kecederaan akibat pelet pistol
Data dari dua buah hospital
utama di Kashmir mendedahkan lebih daripada 150 orang telah mengalami
kecederaan akibat gas pemedih mata dan pelet pistol di Kashmir sejak pasukan
keselamatan India melancarkan serangan keras bulan Ogos lalu.
Sekurang-kurangnya 152
orang dilaporkan telah dimasukkan ke Institut Sains Perubatan Sher-e-Kashmir
(SKIMS) Srinagar dan hospital Shri Maharaj Hari Singh dengan kesan kecederaan
akibat tembakan pelet dan gas pemedih mata antara 5 Ogos dan 21 Ogos.
Pihak berkuasa di India
mengetuai polis paramiliter tambahan, mengharamkan perhimpunan awam dan
memotong telefon bimbit dan pautan internet untuk menghalang protes berskala
besar selepas mengeluarkan status khas wilayah pada 5 Ogos.
Bagaimanapun, orang ramai
terutama golongan belia, telah keluar di jalan-jalan Srinagar pada masa-masa tertentu
seperti selepas solat Jumaat, untuk membantah langkah kerajaan India – sesuatu yang
disifatkan tidak pernah berlaku sebelum ini, di mana pertembungan antara
pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan India telah berlaku.
24 Ogos 2019
Jalan
disekat, keselamatan diperketat untuk mencegah demonstrasi rakyat
Pihak berkuasa India
mengetatkan sekatan sebelum solat Jumaat di Srinagar, ibu kota Kashmir yang berada
di bawah pentadbiran India, selepas poster didapati telah diedarkan di beberapa
buah masjid bagi menyeru supaya diadakan perarakan protes ke pejabat PBB.
Dalam usaha bagi
membendung sebarang bentuk penentangan di kalangan penduduk Kashmir, kerajaan
pusat di New Delhi telah menghantar beribu-ribu anggota tentera tambahan ke
rantau itu, menahan pemimpin-pemimpin politik, mengenakan perintah berkurung
dan menutup perkhidmatan telekomunikasi dan internet.
Pihak berkuasa juga telah
mengetatkan semula sekatan di beberapa kawasan yang telah dilonggarkan dengan
tentera paramiliter digunakan untuk menghalang sebarang protes dan meletakkan kabel
duri bergulung dan penghadang besi di beberapa jalan yang menjadi akses utama
penduduk.
Sementara itu, laluan ke
pejabat Kumpulan Pemerhati Tentera PBB untuk India dan Pakistan (UNMOGIP) yang
berpangkalan di kawasan Sonwar di Srinagar dan lokasi-lokasi tumpuan bagi kebanyakan
perarakan anti-India selama tiga dekad yang lalu, juga turut disekat.
***
Narendra
Modi dapat penghormatan UAE di tengah-tengah krisis Kashmir
Perdana Menteri India,
Narendra Modi menerima penghormatan tertinggi awam Emiriyah Arab Bersatu (UAE)
- satu tindakan yang telah mencetuskan kemarahan di kalangan aktivis hak asasi
India dan Pakistan atas kekejaman kerajaannya terhadap majoriti muslim di
Kashmir yang berada di bawah kendalian New Delhi.
Modi dianugerahkan pingat
Pemerintah Zayed oleh Putera Mahkota UAE, Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan,
yang dikenali dengan panggilan MBZ, semasa lawatan ke ibu negara Abu Dhabi pada
hari Sabtu bagi memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.
MBZ secara peribadi
meletakkan pingat emas di sekitar leher Modi, dengan potret Sheikh Zayed bin
Sultan Al Nahyan, Presiden pertama UAE terpaparkan di belakang mereka.
Modi diumumkan sebagai
penerima anugerah tersebut pada bulan April lalu iaitu pada hari- hari akhir sebelum
beliau memenangi semula pemilihan sebagai Perdana Menteri India.
Kenyataan tweeter di pihak
MBZ menyebutkan bahawa kedua-dua negara sedia mempunyai hubungan diplomatik dan
strategik yang komprehensif di antara satu sama lain yang kini semakin
diperkukuhkan melalui peranan yang dimainkan oleh Perdana Menteri Narendra Modi
yang memberi rangsangan kepada hubungan yang terjalin.
India merupakan pengguna
minyak mentah ketiga terbesar di dunia yang menjadi sandaran utama bagi pasaran
minyak UAE. Dalam masa yang sama, UAE pula menjadi pasaran pekerjaan yang
penting bagi tenaga kerja dalam kalangan rakyat India yang sekali gus turut bertindak
sebagai pemangkin bagi pembangunan ekonomi dan prasarana di UAE.
28 Ogos 2019
Kashmir
dipenuhi protes, beratus-ratus cedera dalam masa tiga minggu
Sekurang-kurangnya 500
kejadian protes telah tercetus di Kashmir yang ditadbir oleh India sejak New
Delhi memansuhkan autonomi wilayah itu dan mengenakan tindakan keselamatan dan ketenteraan
yang ketat lebih tiga minggu lalu, kata pegawai kanan kerajaan kepada agensi
berita AFP.
Lembah Kashmir berada di
bawah kawalan dan pemantauan yang ketat sejak beberapa jam sebelum India
mengumumkan keputusan bagi meletakkan Kashmir di bawah pemerintahan New Delhi
sepenuhnya. Kawalan tersebut berterusan hingga masuk minggu keempat bulan Ogos
lalu.
Pergerakan terhad di Kashmir diperburukkan lagi dengan pemotongan perkhidmatan telefon dan internet. Dalam masa yang sama, polis dibenarkan menggunakan senjata pelet dan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan di bandar utama Srinagar.
Kenyataan di pihak pegawai
tentera itu juga menyebutkan hampir 100 orang awam telah cedera setakat ini,
dengan 300 lagi anggota polis dan lebih daripada 100 anggota pasukan tentera paramiliter
turut mengalami kecederaan.
"Jumlah protes boleh menjadi
lebih tinggi dan lebih besar sekiranya sekatan yang sedia dikuatkuasakan tidak
dilaksanakan dengan sepenuhnya," kata pegawai itu kepada AFP, sambil
menambah bahawa "kemarahan dan penentangan awam terus meningkat".
Sementara itu, satu sumber
dalam kerajaan dikatakan ada memberitahu AFP bahawa sekurang-kurangnya 1,350
penunjuk perasaan - yang digambarkan oleh polis sebagai "pembaling
batu" telah ditangkap sejak 5 Ogos.
Sumber tersebut juga dikatakan
turut memaklumkan sekurang-kurangnya 4,000 orang telah ditahan di seluruh
lembah Kashmir, termasuk ahli perniagaan, ahli akademik, aktivis dan ahli
politik tempatan.
Penahanan itu berlaku
ketika Mahkamah Agung pada 7 Ogos memberi kerajaan tempoh satu minggu untuk
bertindak balas terhadap sebarang cabaran terhadap undang-undang di kalangan
rakyat awam.
30 Ogos 2019
Imran
Khan ketuai perhimpunan solidariti Kashmir di Pakistan
Perdana Menteri Pakistan,
Imran Khan, berjanji untuk membawa isu pelanggaran hak asasi yang dilakukan
oleh India di wilayah Kashmir yang dipertikaikan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu pada bulan depan. Beliau menyatakan demikian ketika berucap di hadapan puluhan
ribu rakyat Pakistan yang mengadakan protes di seluruh negara bagi menyatakan
perpaduan dengan penduduk Kashmir.
"Seluruh dunia
sepatutnya berdiri dengan Kashmir," Perdana Menteri Imran Khan berkata
pada perhimpunan di luar pejabatnya di ibu negara Islamabad pada hari
Jumaat.
"Tetapi pada hari ini
saya harus mengatakan, dengan rasa sedih, apabila berlaku ketidakadilan
terhadap umat Islam, masyarakat
antarabangsa dan institusi seperti PBB yang sepatutnya bangun menegakkan
keadilan, terus mendiamkan diri."
Khan mengulangi
kritikannya yang keras terhadap rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi
dan Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah dengan memanggil kerajaan itu sebagai
"fasis dan perkauman" sambil menyamakan parti itu dengan kezaliman Nazi.
Wallahu’alam (MMO)
No comments:
Post a Comment