Saturday, March 3, 2018

ULASAN TITAH KEBAWAH DYMM SEMPENA MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN BRUNEI DARUSSALAM KE 34 PADA 23 FEBRUARI 2018


Kemahiran di bidang automotif menjanjikan peluang pekerjaan kepada para belia

Harapan Kepada Generasi Muda

Persoalan yang paling menarik perhatian kita di dalam titah Kebawah DYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Kebangsaan Brunei Darussalam Ke 34 pada 23 Februari lalu, adalah berkenaan dengan harapan Baginda kepada generasi muda.

Baginda menyuntik semangat juang generasi muda dengan titah “Negara sekarang memerlukan generasi muda untuk berani tampil menerajui pembangunan”. Titah baginda lagi, “para belia yang biasanya kaya dengan idea-idea baru mesti berani untuk menghadapi pelbagai cabaran”.

Baginda seterusnya melahirkan harapan kepada para belia bahawa “merekalah yang diharapkan untuk memberi nafas baru kepada segala usaha pembangunan dalam negara”. Baginda bertitah, sepatutnya para belia lebih terpanggil untuk menerajui pucuk pimpinan badan-badan sukarela mahupun syarikat-syarikat.

Tentunya harapan baginda ini didasari keyakinan bahawa, jika diberikan ilmu, pendedahan dan ruang, generasi muda mampu memberi nafas baru kepada segala usaha pembangunan dalam negara.

Dasar Belia Negara

Memang tidak dapat dinafikan, di mana-mana jua negara Kerajaan meletakkan harapan yang cukup tinggi kepada belia selaku pemangkin kepada pembangunan dan kesejahteraan negara.

Dengan umur mereka yang muda, sasa, bertenaga dan semangat  yang  membara, mempunyai pemikiran dan wawasan yang jauh dan  kaya dengan maklumat telah terbukti mampu menjana kepada perubahan hatta berkeupayaan merubah wajah sebuah kerajaan.

Justeru itu, kerajaan yang prihatin akan mewujudkan dasar yang khusus buat mereka bertujuan untuk menyediakan landasan serta persekitaran yang membina serta mampu merealisasikan impian mereka. 

Dalam konteks ini, Brunei juga sudah mempunyai Dasar Belia Negara yang mantap. Ia bermatlamat “mewujudkan Belia Brunei Cemerlang”. Bagi mencapai matlamat itu Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei telah menggariskan beberapa strategi perlaksanaan.

Antara lain, meliputi usaha bagi menanam dan mengukuhkan pada diri belia Brunei nilai-nilai dan kepercayaan-kepercayaan yang terkandung dalam Perlembagaan Negara dan Falsafah Negara Melayu Islam Beraja, memupuk rasa kepunyaan dan patriotisme, memperkembangkan di kalangan belia pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan serta menanam dalam diri mereka sikap dan kualiti bertanggungjawab, berdisplin, dapat menyesuaikan diri dan berdikari bagi pembangunan negara. Belia Brunei selain itu juga digalakkan untuk terlibat sama dalam pembangunan ekonomi negara.

Hal ini juga sebenarnya pernah dibangkitkan oleh Kebawah DYM semasa sambutan Majlis Belia Kebangsaan Ke-8 dahulu di mana Baginda ada menekankan agar para belia perlu menukar pemikiran (mindset) ke arah perubahan sikap, tidak akan terlalu bergantung kepada kerajaan untuk mendapatkan pekerjaan, dan lebih bersedia untuk merebut peluang di sektor swasta dan dalam bidang keusahawanan. 

Persoalan 

Namun, persoalan yang dilontarkan oleh Baginda, seolah-olah strategi  pembinaan keupayaan, jatidiri, pembentukan sikap, keberanian, keyakinan diri, pendedahan yang luas dan membangunkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diungkayahkan oleh pihak-pihak berkenaan  mungkin belum  memadai atau belum mencapai matlamat.

Justeru itu baginda bertitah, “Para belia perlu mengambil peluang untuk meningatkan keupayaan diri masing-masing melalui program-program yang ditawarkan di dalam dan di luar negara”.  Dalam hal ini, yang ingin diketahui oleh para belia apakah peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan keupayaan mereka itu?

Tentunya para belia tidak teragak-agak untuk merebut peluang yang disediakan jika sememangnya peluang tersebut wujud bukan di atas kertas sahaja,  apatah lagi jika peluang untuk menimba ilmu dan pengalamaan itu terbuka luas, bebas kronisme dan nepotisme terutama sekali program di luar negara.

Persoalan timbul, apakah framework yang sedia ada gagal untuk melahirkan generasi muda yang proaktif dan berupaya memanfaatkan segala peluang yang ada untuk memajukan diri dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara secara holistik.

Atau, adakah framework yang sedia ada sebenarnya membantutkan kapasiti generasi muda untuk mekar menjadi pelapis yang kreatif dan dinamik kepada kepimpinan negara.

Antara lain perkataan, adakah ini bermakna sebahagian besar generasi muda sekarang ini dikongkong oleh framework yang tidak kondusif sehingga mereka tidak mampu mencernakan idea-idea baru yang amat diperlukan dalam pembangunan negara. Persolan inilah yang sewajarnya ditunduki dan dirungkai sehingga menemui solusi yang boleh menjawab objektif dasar yang digubal.

Maqasid Syariah Sebagai Dasar

Kita berpendapat bahawa cetusan titah Baginda supaya diperkukuh konsep maqasid syariah itu agar negara terus menuai kemakmuran dan kesejahteraan, bukan sekadar suatu gesaan sahaja tetapi ianya perlu diolah sebagai satu nilai tambah dasar pembangunan negara yang penting.

Justeru dalam konteks pembangunan belia, kerja besar Menteri Kebudayaan, Belia  dan Sukan yang baharu ini ialah bagaimana dasar sedia ada itu diberikan nafas baharu supaya duduknya mantap di atas konsep maqasid syariah seperti yang dititahkan, iaitu melihara  agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.

Disamping itu perlu diingat jangan sekali-kali membelakangkan  pendapat umum para belia dalam apa jua perancangan dan keputusan penting yang akan diambil berkait kepentingan mereka sebagai “end-user”.

Pada umumnya, pihak berkenaan hendaklah  segera menampal apa jua ketirisan di dalam sistem penyampaian, berani menghadapkankan idea-idea baharu di samping tidak lupa antibiotic, jangan ada unsur kronisme dan nepotisme di dalam sebarang pembuatan keputusan.

Pelantar Mengasuh Bakat

Satu lagi persoalan ialah apakah negara  kita mempunyai bilangan badan sukarela atau NGO yang mencukupi untuk menampung golongan muda bagi mengasah bakat dan keterampilan dalam kepimpinan. Atau adakah peluang yang luas telah dibukakan oleh Syarikat-syarikat Kerajaan (GLC) itu sendiri untuk diterajui oleh generasi muda yang berpendidikan?

Andai kata bilangan wadah demikian memang mencukupi, apakah mereka akan diberi ruang yang sewajarnya untuk menzahirkan idea-idea dan pemikiran yang mungkin dalam sesetengah sudut berbeza atau bercanggah dengan pola pemikiran semasa atau status quo yang dominan?.

Setelah generasi baharu ini dilahirkan, lalu, kemanakah hendak kita arahkan hala tuju daya kepimpinan mereka ini? Adakah mereka akan kekal ditakuk badan sukarela dan NGO sahaja? Atau adakah pihak berkenaan  bersedia untuk memberi ruang partisipasi di dalam arus perdana pembangunan negara sepanjang perjalanan  menuju Negara Baldatun Thyyibatun Warabbun Ghafuur ini?.
 
Belia Dan Wawasan 2035

Kita tidak seharusnya mengabaikan keperluan bagi membahaskan apakah peranan belia dalam membantu pencapaian Wawasan Negara 2035. Ini disebabkan hakikat bahawa di bahu merekalah letaknya peranan serta amanah yang perlu dipikul bagi membawa negara mencapai wawasan besar tersebut. 

Dengan lain perkataan, mereka perlu memiliki rasa kebertanggung jawaban sosial dan politik untuk memahami dan menghayati aspirasi negara bagi menjadikan Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang mempunyai ekonomi yang mapan dan dinamik, mempunyai rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, dan  menikmati kualiti hidup yang baik menjelang tahun 2035 nanti.

Ke arah mencapai Wawasan 2035, pastinya negara berkeinginan untuk mempunyai belia yang memiliki mindset yang positif, berkeyakinan diri, dinamik, kreatif, berinovatif serta bertanggungjawab untuk menggerakkan jentera pembangunan negara tanpa terlalu bergantung kepada kerajaan seperti yang sering kali diperingatkan oleh Kebawah DYMM. 

Iktibar Yang Mungkin Boleh Dipelajari

Sehubungan ini,  pengalaman negara jiran Malaysia mungkin dapat kita pelajari di mana belia di sana kian diberi penekanan untuk melengkapkan diri dengan kemahiran teknikal dan vokasional sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan.

Dalam konteks ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia mempunyai institut kemahirannya sendiri di semua negeri dengan setiap institut  mengkhususkan latihannya kepada sesuatu bidang kemahiran teknikal/ vokasional  tertentu di bawah 13 sub kemahiran meliputi kemahiran tinggi seperti teknologi automotif,  teknologi marin, teknologi elektronik, hospitaliti serta minyak dan gas.

Dalam konteks pembinaan jati diri dan kepimpinan belia pula, KBS Malaysia juga turut membangunkan akademi kepimpinannya sendiri dikenali sebagai Institut Kepimpinan Belia Malaysia yang diberikan peranan untuk mengendalikan aspek latihan kepimpinan kepada pemimpin-pemimpin belia di peringkat akar umbi agar mereka bukan sahaja mampu memikul tanggungjawab untuk berperanan sebagai pemimpin di peringkat organisasi atau negara, malah juga hingga ke peringkat antarabangsa. 

Mutakhir ini kerajaan Malaysia telah membuka pintu yang seluas-luasnya bagi belia Malaysia untuk terlibat dalam pembangunan masa depan negara itu melalui pengenalan program Transformasi Nasional (TN) yang bertujuan untuk membawa Malaysia menjadi negara kelas pertama menjelang tahun 2050 nanti. 

Antara kaedah utama yang digunakan bagi membawa penglibatan mereka dalam  pembangunan Malaysia ialah dengan mendapatkan pandangan mereka berkaitan aspirasi masing-masing terhadap pembangunan negara menjelang tahun 2050. Proses pengumpulan maklumat berkaitan aspirasi belia yang dibuka sejak setahun lalu itu telah mengumpulkan sebanyak 60,000 aspirasi belia meliputi semua aspek kehidupan serta kepentingan mereka dan negara.

Semua usaha ini adalah pertanda bagaimana belia di Malaysia telah diberikan ruang serta peluang secukupnya untuk sama-sama terlibat dalam proses pembangunan negara – sesuatu yang mungkin boleh dipelajari oleh Brunei dari sudut pengurusan belia negara. 

Pada hemat kita, secantik mana pun dasar digubal,  ia tetap   menuntut komitmen serta keikhlasan di semua peringkat, terutama pembuat dasar untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan sewajarnya terhadap sumbangan belia. Peranan serta sumbangan para belia perlu dihargai. Hubungan dengan mereka perlu dicanai dengan rasa tanggungjawab dan saling memerlukan. Ruang bagi mereka untuk berpartisipasi perlulah disediakan dengan secukupnya. Insyaallah, dari situlah akan datangnya keberkatan dan dari adanya keberkatan itulah akan dituai hasilnya.   

Wallahu a’alam (MMO).

*****


No comments:

Post a Comment