Saturday, June 2, 2018

PERKEMBANGAN TERKINI ISU ROHINGYA


Penduduk Rohingya memerhatikan kesan kemusnahan ke atas kediaman mereka



Sejak terhentinya rancangan bagi penghantaran pulang pelarian Rohingya dari kem-kem pelarian di Bangladesh untuk dihantar balik ke Myanmar pada awal tahun ini tidak banyak perkembangan yang signifikan yang dilaporkan dicapai dalam isu Rohingya.
 

Cuma satu perkembangan yang mungkin boleh menarik perhatian kita ialah wujudnya komitmen dan persetujuan Myanmar dan PBB baru-baru ini untuk mewujudkan suatu mekanisme yang berkesan dalam menguruskan kepulangan dengan selamatnya kira-kira 700,000 pelarian Rohingya dari Bangladesh ke Myanmar.

Perjanjian yang diumumkan oleh kerajaan dan agensi pelarian PBB bagi Myanmar pada 31 Mei 2018 itu antara lain  menyeru agar dibentuk rangka kerja bersama yang akan membawa kepada pemulangan pelarian Rohingya secara sukarela, selamat, bermaruah dan mampan ke tempat asal mereka.

Memorandum persefahaman yang dijangka ditandatangani minggu depan itu disifatkan oleh agensi pelarian UNHCR bagi Myanmar sebagai langkah pertama dan penting untuk menyokong usaha kerajaan Myanmar bagi menguruskan kepulangan pelarian Rohingya yang terencat sejak beberapa bulan lalu di samping menyokong pembangunan pemulihan dan daya tahan untuk kepentingan semua masyarakat yang tinggal di Rakhine.

PBB berkata perjanjian itu juga bakal membolehkan agensi itu untuk diberi akses ke negara barat Rakhine, di mana kebanyakan kekerasan terhadap Rohingya telah berlaku sejak Ogos tahun lalu. Ia berkata perjanjian ini akan memberi akses kepada agensi pelarian untuk menilai keadaan, menjalankan aktiviti perlindungan, dan memberi maklumat kepada pelarian tentang keadaan di kawasan perkampungan mereka supaya mereka boleh memutuskan sama ada mahu kembali atau sebaliknya.

Di pihak Kerajaan Myanmar perjanjian tersebut disifatkan sebagai satu langkah yang bermakna dalam usaha bagi menyelesaikan isu pelarian Rohingya khususnya dalam konteks bagi membantu mereka yang terlantar untuk diverifikasikan bagi membolehkan mereka kembali secara sukarela, selamat dan bermartabat.

Pasukan keselamatan Myanmar sebelum ini telah dituduh merogol, membunuh, menyiksa dan membakar rumah Rohingya dalam operasi yang didakwa bertujuan menjejaki pengganas Rohingya. Dunia Islam sebaliknya melihat tindakan tersebut sebagai berunsurkan pencabulan dan tindakan kekerasan ke atas umat Islam Rohingya oleh pihak tentera yang beragama Buddha. Demikian juga dengan PBB dan Amerika Syarikat, melihat tindakan keras tentera Myanmar itu sebagai suatu tindakan pembersihan etnik.

Kerajaan Myanmar menafikan tuduhan itu. Pemerintah Myanmar yang kebanyakannya beragama Buddha mengatakan bahawa Rohingya adalah pendatang haram dari Bangladesh, walaupun kebanyakan mereka telah tinggal di negara itu selama beberapa generasi. Dan dalam proses penerimaan pulang pelarian Rohingya dari Bangladesh itu Myanmar setakat ini dikatakan hanya mempertimbangkan mereka yang memiliki dokumen identiti Myanmar  sahaja untuk kembali ke negara itu.

Dalam satu perkembangan lain yang berkaitan, tuduh menuduh di antara Myanmar-Bangladesh dilaporkan berlaku berpunca dari kelewatan proses penghantaran pulang pelarian R0hingya tersebut. Di pihak Bangladesh, Myanmar didakwa dengan sengaja melewat-lewatkan proses penghantaran pulang itu dengan tujuan untuk menyekat pelarian Rohingya daripada kembali ke Myanmar.

Myanmar juga didakwa terus melaksanakan kekerasan ke atas saki baki Rohingya yang berada di Rakhine dengan tujuan untuk menimbulkan ketakutan dan suasana tidak selamat sebagai cara untuk menakut-nakutkan pelarian Rohingya daripada cuba kembali ke kampung halaman mereka. Selain itu, Myanmar juga dipersalahkan kerana hanya memberi keizinan pulang kepada pelarian yang mempunyai identiti diri sedangkan ramai di antara pelarian yang tidak mempunyai dokumen tersebut sejak mereka berada di Myanmar lagi.

Di pihak Myanmar, Bangladesh dipersalahkan kerana enggan melepaskan pelarian Rohingya yang ingin pulang ke Myanmar. Dakwaan ini dipercayai ada kaitannya dengan pendirian pemimpin Bangadesh tidak akan membenarkan pelarian Rohingya kembali ke Myanmar selagi jaminan keselamatan ke atas mereka tidak diberikan.

Bangladesh malah dipersalahkan oleh Myanmar sebagai negara yang terlibat dalam melindungi pengganas Rohingya yang didakwa selama ini telah menggugat keselamatan dan ketenteraman awam di Myanmar. Ini termasuklah melalui satu insiden yang berlaku baru-baru ini bilamana Bangladesh mengutuk tindakan pihak berkuasa Myanmar kerana menceroboh ke dalam kawasan negara itu tatkala mereka dikatakan melaksanakan operasi memburu pengganas Rohingya.

Sementara itu, dalam kalangan pemimpin Rohingya yang berada di Bangladesh mereka semakin lantang bersuara dalam mengutuk tindakan pihak tentera Myanmar yang secara berterusan melakukan tindakan ganas ke atas saki baki umat Islam Rohingya di Myanmar. Kejadian membakar kediaman penduduk Rohingya dilaporkan masih dilakukan oleh pihak tentera. Malah dalam beberapa insiden penentangan umat Islam terhadap tindakan pihak tentera Myanmar itu, penduduk awam Rohingya dikatakan sering berada dalam risiko yang amat tinggi, termasuk tembakan rambang oleh pihak tentera yang cuba menunjukkan kuasa.

Sehubungan ini, sekumpulan peguam kepada pelarian Rohingya baru-baru ini dilaporkan telah menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk menyiasat pasukan tentera Myanmar selepas golongan minoriti tersebut menegaskan penindasan akan terus berlaku jika tiada tindakan diambil segera. 

Portal berita Sky News mela­porkan, peguam hak asasi manusia, Wayne Jordash berkata, tanpa usaha dan tumpuan untuk mengheret pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan, jenayah penindasan terhadap Rohingya akan terus berlaku.

“Kami dapat rasakan bahawa pasukan tentera Myanmar akan terus menindas etnik Rohingya kerana pihak berkuasa negara itu berpendapat mereka kebal dengan tindakan undang-undang,” katanya. 

Jordash bagaimanapun menegaskan bahawa perkara itu tidak akan menghalang beliau dan rakan-rakannya untuk terus mendesak ICC mengambil tindakan serta menghukum pihak yang bertanggungjawab.

Namun harus diingat, ICC bagaimanapun tidak boleh mengambil sebarang tindakan jika Myanmar enggan atau tidak bersedia menghukum pihak yang terlibat dengan kekerasan tersebut. Dan dalam apa yang berlaku sekarang, ternampak seolah-olah tiadanya harapan di pihak kita untuk melihat adanya kesediaan di pihak pemerintah Myanmar untuk berkerjasama dalam mengenakan tindakan ke atas pihak tentera yang terlibat dalam melaksanakan kekerasan ke atas etnik Rohingya.

Dalam perkembangan lain yang berkaitan, Bangladesh kini berada di bawah ancaman pengaruh musim monsun yang menyaksikan fenomena tiupan angin kencang dan hujan lebat. Kawasan-kawasan rendah dan lereng bukit di Bangladesh, termasuk di Cox’s Bazar yang menjadi lokasi kem-kem sementara, telah dikenalpasti antara kawasan laluan angin monsun yang biasanya membawa bersamanya hujan yang sangat lebat sehingga menyebabkan banjir dan tanah runtuh.

Saban tahun ancaman monsun tersebut membawa kemusnahan teruk termasuk kematian beribu-ribu nyawa mereka yang tidak mempunyai kediaman yang sempurna. Dan dengan keadaan rumah-rumah sementara yang dibina di kem-kem pelarian yang keseluruhannya dibuat daripada buluh dan plastik, dibina di cerun-cerun bukit dan di tanah-tanah rendah lagi berpaya, kita mungkin dapat menjangkakan kemusnahan yang bakal berlaku sekiranya ribut monsun itu sampai ke kawasan ini dalam beberapa minggu lagi. 


Wallahua’alam (MMO).




No comments:

Post a Comment