![]() |
Belia di pusat hiburan yang menjadi gelanggang kepada hasutan pengaruh negatif |
Kebelakangan ini gerakan kumpulan yang memperjuangkan liberalisme agama atau lebih tepat lagi, Islam liberal, semakin cenderung untuk mendekati belia sebagai sasaran pergerakan mereka. Hal ini dipercayai dilakukan sekurang-kurang atas dua sebab;
- Pemikiran belia yang mudah untuk dipengaruhi, lebih-lebih lagi dalam kalangan belia yang kurang mendapat asas pendidikan agama dan/atau cenderung untuk menginterpretasikan agama mengikut kacamata pendidikan Barat yang diterima yang banyak menekankan kepada aspek pembaharuan, dinamisme ilmu dan logik akal.
- Belia merupakan kumpulan atau segmen umur terbesar dengan menguasai kira-kira 40 - 43 peratus daripada komposisi penduduk sesebuah negara. Mereka menjadi pemangkin utama bagi perubahan kepada apa jua bidang dalam sesebuah negara.
Di Malaysia dan Brunei, belia dikategorikan sebagai mereka yang berumur antara 15 – 40 tahun. Berdasarkan definisi tersebut, bilangan belia di Malaysia pada masa ini dianggarkan seramai 13 juta orang berbanding keseluruhan 31 juta penduduk di negara itu. Di Brunei pula bilangan mereka dianggarkan seramai 180,000 orang berbanding keseluruhan kira-kira 428,000 penduduk Brunei.
Kementerian Belia dan Sukan Malaysia melalui
beberapa kajian terhadap belia telah merumus beberapa karekter yang ada pada
diri belia yang memungkinkan mereka untuk mudah untuk dieksploitasi oleh faktor
di luar diri mereka. Di antara yang menarik untuk diperkatakan adalah berkaitan
karekter-karekter negatif yang ada pada diri belia iaitu seperti berikut;
- Belia mempunyai sikap narsissistik yang tinggi - ingin menjadi juara dan mendapat pujian atau perhatian orang lain. Juga suka mengambil risiko yang tidak dijangkakan.
- Belia cenderung kepada pengherotan kognitif yang tinggi – gemar mencari dan mengkaji input baharu dan seterusnya suka membuat dan berpegang kepada kesimpulan sendiri.
- Belia mempunyai
kecenderungan untuk bertindak secara spontan tanpa memikirkan akibat baik
buruknya sesuatu tindakan yang hendak diambil.
- Belia mempunyai emosi yang mudah terpanggil dengan istilah-istilah kesejagatan seperti misi kemanusiaan, hak asasi kemanusiaan, hak persamaan gender dan seumpamanya.
Ciri-ciri perwatakan yang dinyatakan itu secara kebetulan ternampak seolah-olah seiring dan mendekati pula dengan ciri-ciri perjuangan kumpulan Islam liberal yang cenderung untuk melihat pentafsiran semula agama dan hal-hal berhubung kesaksamaan pemikiran serta hak asasi berdasarkan keadaan serta keperluan semasa yang ada.
Berdasarkan beberapa kajian yang telah dijalankan
terhadap gerakan Islam liberal, berikut adalah antara agenda yang
dikenalpasti menjadi perjuangan kumpulan ini;
- Menggalakkan Ijtihad (pentafsiran semula) ayat-ayat Al-Quran dan hadis dengan menggugurkan tafsiran Quran yang dirasakan terlalu konservatif supaya dapat disesuaikan dengan kehidupan moden.
- Memperjuangkan hak kesamarataan antara gender terutama berkaitan konsep poligami dan hak pewarisan harta pusaka, konsep wanita sebagai ketua negara dan pengasingan wanita dengan lelaki dalam masjid.
- Mempertikaikan penggunaan hukum Syariah dengan mendakwa Al-Quran dicipta untuk masyarakat pada masa yang telah terlalu lama berlalu, dan akal mestilah digunakan untuk penyelesaian masalah dalam konteks masa kini.
- Cenderung kepada pendekatan dialog antara agama untuk menyelesaikan konflik antara Islam dengan Yahudi, Kristian, Hindu dan mazhab-mazhab lain.
- Melahirkan sikap yang skeptikal terhadap kesahihan ilmu-ilmu yang dikaitkan dengan Islam seperti ekonomi Islam dan sains Islam sebagai satu cabang ilmu yang berasingan dari bidang ilmu perdana, dan justeru itu, lebih suka merujuk kepada hasil kerja sarjana dari Barat.
Berikutan adanya unsur-unsur kelemahan pada karekter belia seperti yang disenaraikan di atas, unsur-unsur liberalisme agama dibimbangi akan dengan mudah meresapi jiwa dan pemikiran belia, sekaligus boleh memberi kesan terhadap tahap pegangan dan amalan agama mereka.
Di Malaysia, terdapat sekurang-kurangnya tiga
pertubuhan berikut yang sejauh ini dipercayai berjaya menarik sokongan dan penyertaan
belia dalam perlaksanaan program masing-masing.
- Majlis Perundingan Agama: Majlis ini pernah memperjuangkan hak kesamarataan dalam isu-isu seperti pertukaran agama, penggunaan kalimah Allah, kebebasan memilih agama, perceraian, hak-hak pasangan serta anak bukan Islam selepas perceraian, hak mahkamah sivil untuk mendengar perkara mengenai Islam apabila seorang daripada pihak terlibat bukan Islam dan beberapa lagi isu yang bersangkut paut dengan tuntutan hak bukan Islam kepada kerajaan.
- Sisters In Islam (SIS): Sebuah organisasi bukan kerajaan yang dianggotai sekumpulan wanita profesional beragama Islam yang memperjuangkan hak-hak wanita dalam islam. Gerak kerja SIS pada awalnya ditumpukan bagi mencabar undang-undang dan dasar yang dibuat atas nama Islam yang dilihat sebagai mendiskriminasikan wanita. Ia kemudiannya diperluaskan kepada isu lebih besar seperti demokrasi, hak asasi manusia dan perlembagaan.
- COMANGO : Terdiri daripada gabungan beberapa buah NGO di Malaysia yang pernah menghantar beberapa tuntutan berkaitan hak asasi kepada badan perundangan antarabangsa bertujuan untuk mengenakan tekanan antarabangsa terhadap Malaysia. Tuntutan-tuntutan yang dibawa oleh mereka mengandungi pelbagai unsur tekanan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan agama Islam sebagai agama negar
Dalam menggerakkan misi serta objektif mereka,
sering kali kumpulan belialah yang menjadi sasarannya, baik terhadap mereka
yang berada di pusat-pusat pengajian tinggi di dalam mahupun di luar negara,
kumpulan belia yang menganggur, membawalah kepada mereka yang berkerja baik di
sektor swasta dan berkerja sendiri.
Ditambah dengan teknologi perhubungan semasa yang
semakin canggih dengan akses kepada sesuatu maklumat atau laporan dapat dibuat
secara pantas dan meluas, peluang bagi belia untuk didekati oleh pihak-pihak
yang berkepentingan menjadi terbuka luas tanpa mengira batas waktu dan lokasi.
Justeru bagi mendepani ancaman-ancaman yang dinyatakan
itu, suatu pendekatan strategik yang
mantap dan holistik perlulah diwujudkan, termasuk dengan melibatkan belia sendiri
sebagai pemangkin kepada pencegahan.
Pendekatan terhadap belia boleh dibuat melalui strategi serampang tiga mata;
- Melalui peranan
pertubuhan belia sebagai penyatu dan penggerak bagi menentang ancaman yang
dihadapi.
- Melalui peranan institusi-institusi awam yang dipertanggungjawabkan bagi menjaga urusan belia; dan
- Melalui peranan institusi keluarga, institusi pendidikan dan masyarakat selaku pembimbing kepada belia.
Pentingnya peranan dan sumbangan belia ada dijelas
di dalam al-Quran, hadis dan juga ungkapan ulama. Rujukan-rujukan ini
diketengahkan buat menyuntik semangat belia, juga untuk dimanfaatkan oleh
pihak-pihak atau institusi-institusi yang berhubungan dengan belia dalam urusan
mereka.
Dalam al-Quran, iaitu melalui surah al-Kahfi, ayat 10,
Allah SWT menceritakan tentang sekumpulan pemuda yang tabah dalam menegakkan
agama Tauhid tatkala mereka mencari perlindungan daripada kekejaman seorang
raja yang zalim;
"(Ingatlah) tatkala pemuda-pemuda itu mencari tempat berlindung ke
dalam gua lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami berikanlah rahmat kepada
kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan
kami (ini)". (QS 18:10)
"Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka dengan
benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada tuhan
mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah dan petunjuk". "Dan
Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka
bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami adalah Tuhan langit
dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru tuhan selain Dia, sesungguhnya kami
kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran".
(QS 18:13-14)
Rasulullah SAW pula, sebagai seorang pemimpin
ummah, tidak terlepas pandang dalam usahanya bagi membimbing para belia sebagai
pelapis ummah pada masa depan. Beliau menggesa mereka agar sentiasa berakhlak
mulia, taat beribadah kepada Allah, taat kepada pemimpin dan mencintai negara.
Bimbingan ini akan menentukan belia menjadi pemimpin masa depan yang
bertanggung jawab kepada agama, bangsa dan negara.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah SAW telah bersabda dengan mahfhumnya;
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah SAW telah bersabda dengan mahfhumnya;
“Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak ada padanya
kelakuan pelik dan menyeleweng”.
Dalam kalangan ulamak dan tokoh cendiakawan Islam,
ramai yang turut memberikan pandangan mengenai belia khususnya peranan dan
tanggung jawab mereka dalam konteks pembinaan bangsa, agama dan negara. Paling
menarik untuk diketengahkan ialah pandangan Syeikh Yusof Al-Qaradhawi seorang
tokoh ulama semasa yang amat berpengaruh yang berbunyi seperti berikut;
“Apabila kita hendak melihat wajah sesebuah negara pada masa hadapan,
lihatlah generasi mudanya pada hari ini.
Sekiranya golongan muda hari ini adalah daripada kalangan berakhlak,
tentunya sesebuah negara itu akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur,
tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan
kemungkinan buruk yang akan berlaku”.
Sementara itu, seorang tokoh pengkaji manhaj
tarbiyyah Islam, Dr. ‘Abdullah Nasih ‘Ulwan dalam bukunya Daur al-Syabab fi Haml Risalah al-Islam (Peranan Pemuda Dalam
Memikul Risalah Islam) telah menggariskan beberapa aspek untuk dihayati oleh
belia Islam sebagai bekalan hidup mereka:
- Setiap belia Islam mestilah mengetahui matlamat dia diciptakan oleh Allah SWT.
- Setiap belia Islam mestilah mempunyai gambaran dan maklumat tentang strategi musuh yang setiap detik berusaha menghancurkan Islam.
- Setiap belia Islam mestilah menaruh harapan untuk menempuh kejayaan dalam bidang dakwah dan menghindarkan perasaan pasif dan berputus asa.
- Setiap belia Islam mestilah mengambil contoh teladan yang ditunjukkan oleh para Sahabat seperti tercatat dalam Sirah.
- Setiap belia Islam mestilah yakin akan kelebihan para da’i dan jalan dakwah.
- Setiap belia Islam mestilah mengetahui teknik dakwah yang bijak supaya dapat memberi kesan kepada orang lain.
- Setiap belia Islam mestilah mengetahui dengan penuh keyakinan qadha’ dan qadar Allah SWT itu hanyalah disisiNya sahaja.
Wallahua'alam (MMO)
No comments:
Post a Comment