Monday, July 16, 2018

WASPADA DENGAN GEJALA LGBT




Awal bulan ini kita sekali lagi dikejutkan dengan berita pasangan ‘gay’ atau pasangan lelaki yang melakukan hubungan sejenis, atau disebut juga sebagai pasangan ‘homoseksual’ yang telah dikenakan hukuman sebat di khalayak ramai di Acheh, Indonesia setelah didapati bersalah melakukan hubungan yang diharamkan dalam agama Islam itu. Hukuman ini adalah merupakan hukuman kali kedua dilaporkan telah dilaksanakan di Acheh selepas kejadian yang serupa dengannya dilaporkan berlaku di wilayah itu dalam bulan April tahun lalu. 

Itu adalah hukuman bagi kes-kes yang telah dapat dikesan dan dibuktikan kesalahannya. Dalam pada itu, bayangkan bagaimana kemungkinan banyak lagi kes-kes yang seumpamanya yang mungkin berlaku secara disorok-sorok dan dengan itu terlepas dari tindakan undang-undang – maka kemungkinan menularnya gejala yang amat dibimbangi ini kelak akan menjadi sesuatu yang sukar untuk dibendung lagi.

Apa lagi mengambil kira suasana persekitaran semasa yang wujud pada masa ini, terutamanya gelombang globalisasi yang membawa bersama-samanya ala pemikiran baru yang menitikberatkan soal hak asasi kemanusiaan - maka sudah mula terdengar di mana-mana akan suara kumpulan-kumpulan tertentu yang memperjuangkan hak asasi mereka, termasuk terhadap perkara-perkara yang bercanggah dengan Islam seperti kebenaran untuk perkahwinan sejenis. 

Kekalutan ini ditambahburukkan lagi dengan adanya kemajuan teknologi perhubungan hari ini yang telah banyak disalahgunakan bagi menyebarkan pemikiran-pemikiran yang kononnya baru, bersifat antarabangsa dan menjadi pemikiran bangsa dan negara maju di Barat - maka selaju kilat pulalah pemikiran yang boleh meracuni kesyumulan agama kita disogokkan terutama terhadap anak-anak muda kita yang bersifat mudah terangsang dengan pembaharuan. 

Dan di antara pemikiran itu ialah hak setiap orang untuk mengamalkan hubungan sesama jenis atas kerelaan pasangan mereka sepertimana yang telah mula dibudayakan di beberapa buah negara maju di Eropah dan di Amerika Syarikat. Malah mereka kini membenarkan dari segi undang-undang untuk berlakunya perkahwinan sejenis! Subhanallah.

Di negara-negara jiran kita seperti Indonesia dan Malaysia, telah mula wujud kecenderungan individu serta kumpulan-kumpulan tertentu yang sudah mulai berani untuk memperkatakan secara terang-terangan akan hak dan perjuangan mereka melalui media sosial bagi mendapatkan kebebasan untuk kumpulan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transgender). Mereka membentuk komuniti internet sendiri, misalnya antara sesama gay, lesbian, dan lainnya menerusi aplikasi terkini seperti whatsapp, weechat, facebook, Instagram dan seumpamanya. Melalui platform perhubungan baru ini mereka mengiklankan diri, mencari pasangan, mempromosikan aktiviti atau program mereka atau menggiatkan usaha bagi merekrut ahli baru.

Usaha mereka kini tidak lagi bersendirian. Malah dilaporkan terdapat beberapa entiti baik di peringkat tempatan mahu pun antarabangsa yang turut mempamirkan sokongan terhadap perjuangan mereka yang kononnya bergerak atas prinsip hak asasi kemanusiaan. Sasaran utama perjuangan mereka kini menjurus kepada usaha bagi menghalalkan dari segi  undang-undang akan perkahwinan sesama jenis. 

Bagi mencapai matlamat mereka itu, mereka menerbitkan jurnal atau penulisan yang bertujuan menagih simpati masyarakat untuk bersetuju terhadap idea bagi melegalisasikan perkahwinan sejenis dan untuk para penyimpang seksual lainnya. Para aktivis hak asasi kemanusiaan yang kebanyakannya terdiri daripada para akademik yang beraliran Islam liberal ini berhujah bahawa setiap manusia lahir atas fitrahnya dan dengan itu adalah berhak untuk menentukan nasibnya, termasuk menentukan pasangan hidupnya. Mereka juga sering menggunakan contoh beberapa buah negara barat yang kini membenarkan perkahwinan sejenis bagi memperkuatkan hujah mereka itu.

Dalam memperkatakan tentang LGBT ini, para ulama sepakat mengatakan bahawa aktiviti kumpulan ini adalah haram. Dalam bahasa arab homoseksual dinamakan sebagai ‘al-liwath’ sementara pelakunya dinamakan ‘al-luthiy’. Lesbian atau hubungan seks antara sesama wanita pula dinamakan ‘sihaaq’. Sebahagian besar ulama menjelaskan tentang hukuman Allah SWT terhadap kaum homoseks dengan berpandukan kepada dalam Al-Quran, khususnya Surah-surah dan ayat-ayat berikut: 

“Mengapa kamu mendatangi jenis lelaki di antara manusia, dan kamu tinggalkan isteri-isteri yang dijadikan oleh Tuhanmu untukmu, bahkan kamu adalah orang-orang yang melampaui batas,” (QS Asy-Syu’ara:165-166)

“Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Luth itu yang di atas ke bawah (Kami balikkan), dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi, yang diberi tanda oleh Tuhanmu, dan siksaan itu tiadalah jauh dari orang-orang yang zalim” (QS Hud: 82-83)

Berdasarkan keterangan Al-Quran, jelas bahawa perilaku menyimpang seperti ini telah pun wujud atau berlaku sejak lebih empat belas abad yang lalu. Al-Qur’an telah memperingatkan umat manusia supaya tidak mengulangi perbuatan kaum Nabi Luth yang telah melanggar perintah Allah dan telah dikenakan hukuman yang tidak terperi sakitnya kerana bertuhankan hawa nafsu mereka itu. 

Rasulullah s.a.w sendiri setelah menerima wahyu tentang berita kaum Luth yang telah mendapat kutukan dan azab dari Allah telah menyatakan rasa  khawatir sekiranya peristiwa itu terulang kembali kepada umat di masa beliau dan sesudahnya. Rasulullah bersabda;

“Sesuatu yang paling saya takuti terjadi atas kamu adalah perbuatan kaum Luth dan dilaknat orang yang memperbuat seperti perbuatan mereka itu. Nabi mengulangnya sampai tiga kali - Allah melaknat orang yang berbuat seperti perbuatan kaum Luth; Allah melaknat orang yang berbuat seperti perbuatan kaum Luth; Allah melaknat orang yang berbuat seperti perbuatan kaum Luth” (HR Ibnu Majah, Tirmidzi dan Al-Hakim)

Beberapa argumen para pendukung LGBT sering mempertahankan bahawa LGBT adalah berpunca daripada kelainan gen dan hormon semasa pembentukan kelamin dan dengan itu pelakunya tidak harus dipersalahkan kerana dari asal lagi mereka sudah pun memiliki unsur kelainan. Namun fakta yang dikumpulkan mendapati perilaku LGBT tidak semata-mata berpunca  dari gen dan hormon, tetapi juga dari faktor lingkungan dan faktor pendidikan semasa kecil. Malah, meminjam istilah psikologi popular, lebih banyak ‘LGBT Gaul’ sebenarnya berbanding LGBT yang disebabkan oleh masalah gen dan hormon. ‘LGBT Gaul’ menular melalui lingkungan dan pergaulan yang salah!

Dari sudut kesihatan dan kemasyarakatan, kita sedia maklum perilaku seksual menyimpang seperti LGBT ini telah membawa impak negatif yang banyak dan menyusahkan kepada masyarakat. Paling kerap diperkatakan ialah gejala AIDS yang dibawa oleh virus HIV. Virus ini menghancurkan sel darah putih yang merupakan komponen daya tahan tubuh manusia sehingga kekebalan tubuh seseorang yang tertular dengan penyakit itu menjadi lemah.

Perilaku LGBT dikenalpasti sebagai mereka yang berpotensi menularkan virus HIV / AIDS. Proporsi penularan tersebut adalah 60 % melalui hubungan seksual dengan angka kejadian pada homoseksual lebih tinggi dibandingkan dengan heteroseksual. Bahkan sebanyak 40% kaum Homoseks dan 68% kaum Transgender di dunia telah menderita HIV/AIDS.

Selain AIDS, pelaku LGBT turut berpotensi terkena penyakit kelamin disebabkan mereka sering berganti-ganti pasangan. Antara penyakit tersebut adalah sifilis, kencing nanah, dan lain-lain penyakit seumpamanya.  

Dalam pada itu, kita sewajarnya turut merasa bimbang dengan dapatan yang dibuat pada Perhimpunan Dokter Spesialis Kedokteran Jiwa Indonesia yang menyatakan bahwa LGBT termasuk dalam kategori ODGJ (Orang Dengan Gangguan Jiwa), yang merujuk kepada orang yang mengalami gangguan dalam fikiran, perilaku, dan perasaan yang termanifestasi dalam bentuk sekumpulan gejala dan/atau perubahan perilaku yang bermakna, serta dapat menimbulkan penderitaan dan hambatan dalam menjalankan fungsi orang sebagai manusia. 

Jesteru dengan merenungi fakta serta keburukan yang berkisar di sekitar isu LGBT itu, lebih-lebih lagi tegahan agama, kita memohon kepada Allah SWT agar Dia memberikan kekuatan kepada kita dan anak cucu keturunan kita agar terhindar dari perbuatan dosa yang keji ini, dan semoga Allah SWT memberikan hidayah kepada mereka yang telah terlanjur untuk segera bertaubat dan kembali kepada syari’at Allah SWT.

Wallahua’alam (MMO).




No comments:

Post a Comment