Friday, July 13, 2018

PROFAIL NEGARA ANGGOTA OIC : DJIBOUTI



PETA
 


  

 

 GEOGRAFI

Negara Djibouti terletak di Afrika Timur dengan keluasan wilayah sebesar 23.2 kilometer persegi. Djibouti bersempadan dengan Eritrea di sebelah Barat (sepanjang 125 km), Somalia di sebelah Timur (sepanjang 61 km), Ethiopia di sebelah Selatan (sepanjang 342 km), dan Yaman di sebelah Utara (dipisahkan oleh Laut Merah).

Muka bumi Djibouti pada umumnya terdiri dari dataran beralun, dataran rendah separuh gurun dan beberapa wilayah berdataran tinggi. Djibouti memiliki lapan banjaran pergunungan dengan ketinggian purata lebih dari 1000 meter. Di antaranya ialah pegunungan Mousa Ali yang terletak di perbatasan dengan Eritrea di sebelah Barat Djibouti, dengan ketinggian mencapai 2,028 meter. Titik terendah terdapat di beberapa wilayah gurun di Djibouti selatan. Antara lain adalah danau Assal yang berada 150 meter di bawah permukaan laut.

Djibouti secara umumnya memiliki iklim jenis gurun dengan cuaca panas dan kering berlaku di hampir kesemua wilayahnya. Ketika musim panas, suhu di beberapa wilayah di Djibouti mencecah lebih dari 50 darjah Celcius (pada bulan April - September). Ketika musim hujan suhunya menurun kepada 28 darjah Celcius (pada bulan Oktober - March).
 

 PROFAIL PENDUDUK




Jumlah penduduk Djibouti ialah seramai 865,267 (anggaran Julai 2017) dengan etnik/ suku bangsa utama terdiri dari Somali 60%, Afar 35% dan suku-suku lain 5% (termasuk orang Perancis, Arab, Ethiopia, dan Itali). Lebih dari 75% populasi Djibouti tinggal di Djibouti City. 

Bahasa rasmi Djibouti adalah Perancis dan Bahasa Arab sementara Bahasa Somali dan Afar menjadi bahasa pergaulan yang digunakan sehari-hari.

Dengan kedudukan geografi Djibouti yang strategik, Djibouti saat ini turut menjadi negara transit oleh para imigran dari negara-negara Afrika seperti Ethiopia, Eritrea dan Somalia yang ingin masuk ke negara-negara Teluk.


 SEJARAH RINGKAS

 
Sejak permulaan sejarah, negeri ini telah menjadi titik awal perpindahan orang-orang antara Afrika dan Asia. Letaknya yang dekat dengan Timur Tengah membuatnya menjadi daerah Afrika pertama yang didominasi oleh para penakluk Arab. Antara abad ke-8 dan ke-10, orang Arab membuat hampir semua rakyat negara ini menjadi islam. 

Djibouti kemudiannya telah dijajah oleh Perancis dalam tahun 1862. Pada waktu itu negara ini dikenal dengan nama Somaliland Perancis. Pada tahun 1967 nama negara ini diubah menjadi Wilayah Afar dan Issa (The territory of Afars and Issas). Selepas memperoleh kemerdekaan pada 27 Jun 1977, nama negara ini ditukar kepada Djibouti dengan Hassan Gouled ditabalkan menjadi Presiden pertama negara itu.


POLITIK & PENTADBIRAN

              

Djibouti mengamalkan sistem Republik Semi-Presidensial. Ketua Pemerintahan Djibouti dipimpin oleh seorang Presiden. Presiden kemudiannya melantik seorang yang berjawatan Perdana Menteri bagi membantu urusan pemerintahannya.   

Sistem Parlimen Djibouti adalah berasaskan kepada sistem unikameral yang di jalankan oleh the National Assembly of Djibouti, yang terdiri dari 65 anggota parlimen yang terpilih bagi tempoh penggal selama 5 tahun. Walupun Djibouti melaksanakan sistem unikameral, Undang-undang Djibouti juga memperbolehkan pembentukan Senat di Parlimen.

Sistem perundangan di Djibouti pula dibangunkan dengan berasaskan kepada beberapa elemen perundangan yang antaranya termasuklah sistem perundangan Perancis (French civil law), hukum Syariah (hukum Islam) serta hukum adat suku bangsa Somali dan Afar.

Sejak perlaksanaan sistem multiparti dalam tahun 1999, Djibouti menjadi salah satu wilayah yang cukup stabil di Afrika. Ditambah dengan faktor lokasinya yang sangat strategik, Djibouti terpilih sebagai pangkalan tentera asing seperti Amerika Syarikat, Perancis, Jepun, Cina dan beberapa negara lainnya. 
 
Presiden  Djibouti pada masa ini ialah  Ismail Omar Guelleh, manakala Perdana Menterinya pula ialah Abdoulkader Kamil Mohamed.


EKONOMI



Perekonomian di Djibouti banyak disumbangkan oleh hasil pendapatan dari pelabuhan serta penyewaan tanah bagi markas pasukan tentera asing di negara itu. Namun, buat jangkamasa panjang, pemerintah Djibouti merancang untuk memperbaiki ekonomi negara itu dengan menetapkan tahun 2035 sebagai tahun pencapaian sasaran mereka menjadikan negara itu sebagai hub perdagangan dan logistik di Afrika. 

Bagi mencapai matlamat tersebut, pemerintah Djibouti telah menetapkan rencana pembangunan 5 tahun yang dimulai tahun 2015 lalu hingga tahun 2019 di bawah Strategy of Accelerated Growth and Promotion of Employment (SCAPE). 

Antara sasaran yang dibuat di bawah pendekatan SCAPE tersebut adalah;

Mencapai pertumbuhan GDP sebesar 10% tiap tahun;
Mengurangkan jumlah pengangguran agar tidak melebihi 38% dari jumlah populasi;
Mengurangkan jumlah penduduk yang hidup di bawah garis kemiskinan tidak melebihi 20% dari jumlah populasi;
Mewujudkan posisi Djibouti sebagai hub regional;
Menyelaraskan sistem pendidikan asas dan mengadakan berbagai latihan/ pendidikan vokasional bagi menyediakan tenaga kerja yang diperlukan;
Menyediakan kemudahan sosial yang lebih lengkap kepada rakyat seperti kemudahan kesihatan, bekalan air bersih, dan kemudahan perumahan; dan,
Melakukan diversifikasi ekonomi termasuk kepada sektor-sektor yang masih belum diterokai secara meluas seperti sektor perkhidmatan dan perikanan laut moden.

Pertumbuhan GDP Djibouti dijangka akan stabil pada angka 6% untuk jangka panjang dengan berjalannya projek dan pelaburan besar kerajaan seperti pembangunan pelabuhan-pelabuhan laut dalam, infrastruktur jalan kereta api, dan pembangunan sumber asli Djibouti.

Bagaimanapun, pemerintah Djibouti sangat bergantung pada pinjaman luar bagi membiayai berbagai projek pembangunan infrastrukturnya, termasuk pembangunan jalan kereta api dari Ethiopia dan pembangunan berbagai pelabuhan laut dalam. Pada masa ini jumlah pinjaman luar negara Djibouti telah mencapai 80% dari GDP negara itu - suatu hal yang telah menimbulkan kebimbangan IMF. Justeru itu, Pemerintah Djibouti disarankan untuk menyusun semula strategi pinjaman luar negara mereka kepada satu paras yang lebih baik. 

Sementara itu, ditaksirkan sekiranya pemerintah Djibouti tidak mampu mempertahankan pertumbuhan ekonominya pada angka 6%, maka diperkirakan pada tahun 2021 hutang luar negara Djibouti akan melebihi dari GDP - sesuatu yang perlu dielakkan oleh Djibouti.


ISLAM DI DJIBOUTI

Islam di Djibouti memiliki sejarah yang panjang. Pada masa ini dianggarkan lebih 90 peratus penduduk Djibouti adalah terdiri daripada Muslim Sunni yang bermazhabkan kepada Imam Syafi'i. Sebahagian lainnya terlibat dalam tarekat sufi melalui berbagai madrasah.

Islam diperkenalkan di negara tanduk Afrika ini tidak lama selepas Penghijrahan Rasulullah dari Mekah ke Madinah. Zeila merupakan pusat Muslim saat itu yang berdekatan pula dengan Masjid dua mihrab di al-Qiblatayn yang berdiri sejak abad ketujuh. Masjid ini juga dikatakan antara masjid yang tertua di Djibouti.

Pada akhir abad kesembilan, Al Yaqubi menulis mengenai umat Islam yang tinggal di pesisir utara Somalia. Saat itu, Zeila merupakan ibu kota kerajaan Adal. Kerajaan ini berdiri sejak abad kesembilan. Kerajaan tersebut dikatakan diperintah oleh dinasti lokal yang juga memerintah Kesultanan Mogadishu di wilayah Benadir. Sejarah kerajaan Adal juga dikaitkan dengan sejarah kemenangan melawan kuasa Abyssinia.

Djibouti jelasnya adalah merupakan negara majoriti Muslim. Kira-kira 60 peratus penduduknya adalah dari etnik Somali dan 35 peratus dari etnik Afar. Setelah merdeka dari Perancis republik ini membangunkan sistem perundangan mereka berdasarkan kompilasi perundangan Perancis, Islam dan adat tempatan.

Dasar keagamaan pemerintah Djibouti adalah bahawa di sebalik Islam merupakan satu-satunya agama yang diakui secara rasmi, pemerintah turut memberikan persamaan hak kepada semua warga negaranya untuk memeluk mana-mana agama yang diyakini mereka. 

Demikian juga dalam soal berpolitik, pemerintah Djibouti melarang pembentukan parti politik yang berteraskan kepada agama. 

Dalam soal perkahwinan pula perundangan nikah kahwin di Djibouti menetapkan mana-mana pemuda bukan Islam yang ingin menikahi wanita Islam mereka hanya dibenarkan berbuat demikian setelah pemuda bukan Islam memeluk agama Islam. Pernikahan antara bukan Islam dengan mana-mana pemuda atau wanita Islam tidak diakui sah oleh pemerintah kerana Djibouti hanya mengiktiraf perkahwinan yang dilakukan sesuai dengan aturan Kementerian Urusan Islam atau Kementerian Dalam Negeri, Djibouti.



Wallahua'alam (MMO).




No comments:

Post a Comment