Sunday, January 28, 2018

PERKEMBANGAN TERBARU ISU ROHINGYA



Kedua-dua kerajaan, Bangladesh dan Myanmar, baru-baru ini secara prinsipnya telah mencapai persetujuan bagi penghantaran dan penerimaan pulang 750,000 pelarian Rohingya yang masuk ke Bangladesh sejak bulan Oktober 2016 lalu. Proses ini jika dapat dilaksanakan, dijangka mungkin akan mengambil masa selama dua tahun.

Bagaimanapun tarikh sebenar urusan penghantaran pulang pelarian Rohingya berkenaan yang pada awalnya dijadualkan pada pertengahan minggu ini telah ditunda kepada suatu tarikh lain yang belum dimuktamadkan. 

Beberapa sebab telah diberikan berkaitan kelewatan ini. Antaranya, pihak Bangladesh dikatakan belum menyerahkan senarai nama pelarian yang akan dihantar pulang untuk diteliti oleh pihak berkuasa Myanmar. Di pihak Myanmar pula, pihak berkuasa negara itu dikatakan masih belum menyiapkan kem-kem transit yang akan digunakan untuk menempatkan pelarian yang akan pulang kelak.

Mengulas mengenai persetujuan kedua-dua kerajaan untuk menghantar dan menerima pulang pelarian Rohingya itu, kumpulan hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengingatkan supaya kedua-dua kerajaan memastikan penghantaran pulang pelarian Rohingya tersebut perlulah dibuat secara sukarela, bukannya dengan paksaan. Mereka juga menggesa supaya jaminan keselamatan diberikan oleh kedua-dua belah pihak, Myanmar dan juga Bangladesh, ekoran keadaan keselamatan di Myanmar yang belum menjaminkan, di samping wujudnya rasa kebencian yang masih lagi menebal dalam kalangan masyarakat Buddha di wilayah Rakhine.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres sendiri turut melahirkan kebimbangannya terhadap persetujuan tersebut, khususnya berhubung nasib masa depan pelarian yang dikembalikan ke Myanmar. Guterres bimbang kumpulan pelarian tersebut hanya dihantar pulang ke kem transit,  bukannya ke kampung halaman masing-masing. 

Justeru bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak baik menimpa nasib pelarian Rohingya yang akan dihantar balik itu, Guterres mencadangkan supaya Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) perlu dilibatkan dalam operasi tersebut bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut standard antarabangsa yang ditetapkan.

Di kalangan pelarian Rohingya di Bangladesh, mereka mengecam perjanjian tersebut yang disifatkan hanya akan mendedahkan lagi diri mereka kepada bahaya kekejaman tentera Myanmar. Lebih-lebih lagi mengambil kira keadaan semasa di Myanmar sendiri yang masih lagi dicemari dengan pelbagai peristiwa kekerasan dan kekejaman pihak tentera ke atas saki baki penduduk Islam. 

Di kalangan pejuang Rohingya – “Tentera Pembebasan Rohingya Arakan” (ARSA), mereka mendakwa rancangan penghantaran pulang pelarian dari Bangladesh ke Myanmar itu dibuat dengan tergesa-gesa dan dibimbangi bekemungkinan boleh memerangkap etnik Islam Rohingya. Mereka mendakwa pelarian yang pulang ke Myanmar akan ditempatkan di kem penempatan transit untuk suatu jangka masa yang panjang disebabkan kebanyakan tanah mereka telah dirampas oleh pihak tentera.

ARSA turut mendakwa, pada masa inipun beribu-ribu etnik Rohingya yang menjadi pelarian di tempat sendiri bersesak-sesak dalam kem-kem penempatan di bandar Sittwe sejak keganasan tercetus pada tahun 2012. Menurut ARSA, keadaan ini berlaku kerana pelarian tidak lagi dapat pulang ke kediaman asal mereka berikutan tanah-tanah di kampung halaman mereka dirampas oleh kerajaan untuk dijadikan kawasan industri dan lain-lain kegunaan di pihak kerajaan. 

ARSA juga mendakwa, kerajaan Myanmar dengan didorong oleh sentimen untuk memastikan penduduk Buddha menjadi penduduk majoriti di Rakhine, tidak akan membenarkan etnik Rohingya untuk kembali mendiami rumah-rumah di kampung halaman asal mereka.

Berdasarkan apa yang berlaku, ternyata isu pelarian etnik Rohingya bukanlah  merupakan masalah dalaman Myanmar semata-mata, sebaliknya merupakan masalah serantau yang memerlukan campur tangan negara-negara ASEAN dan juga masyarakat antarabangsa bagi menyelesaikannya. Termasuk dalam konteks masyarakat antarabangsa di sini adalah Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) memandangkan mereka yang terlibat dan menjadi mangsa kepada kemelut yang berlaku adalah terdiri daripada umat Islam.

Bagaimanapun, tidak dinafikan, kedua-dua pihak Asean dan OIC sebelum ini pernah mengenakan tekanan ke atas junta Myanmar supaya menghentikan tekanan dan kekerasan ke atas umat Islam Rohingya sambil menggesa supaya jalan penyelesaian yang baik diambil bagi mengatasi kemelut yang berlaku. Malangnya, permintaan tersebut tidak pernah mendapat perhatian, apa lagi tindakan sewajarnya di pihak junta Myanmar.

Cuma dalam konteks kekejaman terbaharu yang berlaku ini, kedua-dua pihak, Asean dan OIC, bersama-sama PBB dan agensi di bawahnya,  perlulah memperhebatkan lagi  tekanan bagi memastikan rejim Myanmar benar-benar bekerjasama bagi menyelesaikan segera isu Rohingya yang tidak berkesudahan itu.


Wallahua'alam (MMO)
 
*******


No comments:

Post a Comment