Thursday, August 23, 2018

PROFAIL NEGARA ANGGOTA OIC : IRAN



PETA
 


 

 

GEOGRAFI

Iran terletak di kawasan barat daya benua Asia dengan bersempadankan negara-negara Azerbaijan dan Armenia di barat laut, dengan Pakistan dan Afghanistan di sebelah timur, dengan Turkmenistan di timur laut, dan dengan Iraq dan Turki di sebelah baratnya. Di sebelah utara Iran adalah laut Kaspia dan disebelah selatannya adalah Teluk Persia dan Teluk Oman.

Iran memiliki wilayah seluas 1,648,195 km persegi dengan 1,531,595  km persegi terdiri dari tanah daratan dan baki 116,600 km terdiri daripada air. 

Iran berpusat di dataran besar yang dikelilingi oleh pergunungan di semua sisi, kecuali timur. Di utara terdapat pergunungan Elburz, di perbatasan barat dan selatan pergunungan Zagros dan di sebelah tengah ke timur mengandungi dataran tinggi yang membentuk kawasan gurun yang luas.

Iran secara umumnya beriklim kering dengan curahan hujan kebanyakannya berlaku dalam musim dingin, sebahagian besar dalam bentuk salji. Pada musim dingin suhu di utara adalah lebih sejuk berbanding dengan di selatan negara itu. Musim panas biasanya sangat panas, kecuali di kawasan pergunungan.


PROFAIL PENDUDUK




Jumlah terkini penduduk Iran adalah seramai 82,021,564 (anggaran Julai 2017). Daripada jumlah tersebut, kira-kira 75 peratus penduduk tinggal di kawasan bandar dan bakinya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Bandar-bandar paling padat terdiri daripada Teheran (ibu negara) iaitu seramai 8.896 juta; Mashhad 3.097 juta; Esfahan 2.041 juta; Shiraz 1.605 juta; Karaj 1.585 juta; dan Tabriz 1.582 juta.

Dilihat dari sudut taburan, penempatan penduduk Iran lebih tertumpu di bahagian utara, barat laut, dan barat yang menganjur sehingga ke kaki perbanjaran Zagros dan Elburz. Kawasan kering di bahagian tengah dan timur negara ini, yang mengandungi padang pasir Dasht-e Kavir dan Dasht-e Lut, mempunyai kepadatan penduduk yang jauh lebih rendah.

Etnik-etnik utama yang membentuk komposisi penduduk Iran terdiri daripada etnik  Persian, Azeri, Kurd, Lur, Baloch, Arab, Turkmen and Turki.

Bahasa resmi Iran adalah Bahasa Parsi. Bahasa-bahasa lain yang turut menjadi bahasa pertuturan rakyat Iran termasuklah Azeri (Turki), Kurdish, Luri, Balochi, dan Arab.

Kira-kira 95.5 peratus penduduk Iran adalah beragama Islam. Daripada jumlah tersebut, dianggarkan 90-95 peratus daripada mereka menganut fahaman Syiah dan hanya 5-10 peratus aliran ahli Sunnah. Jumlah penganut agama lain seperti Kristian dan Yahudi adalah kurang dari 3 peratus.


SEJARAH RINGKAS


Dikenali sebagai Persia sehingga tahun 1935, Iran menjadi republik Islam pada tahun 1979 selepas pemerintah monarki digulingkan dan Shah Mohammad Reza Pahlavi melarikan diri untuk mencari perlindungan di luar negara. Tentera kumpulan konservatif yang dipimpin oleh Ayatollah Ruhollah Khomeini kemudiannya membentuk sistem pemerintahan teokratik dengan Pemimpin Tertinggi yang mempunyai latar belakang agama bertanggungjawab sepenuhnya dalam hal-hal politik dan pengurusan negara. 

Hubungan Iran dengan Amerika Syarikat (AS) menjadi tegang apabila sekumpulan pelajar Iran merampas Kedutaan AS di Teheran pada November 1979 dan menawan kakitangan kedutaan hingga pertengahan Januari 1981. AS memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran pada bulan April 1980. Selama tempoh 1980-88, Iran berperang dengan Iraq yang akhirnya berkembang ke Teluk Parsi dan menyebabkan pertempuran antara Tentera Laut AS dan tentera Iran. 

Iran telah ditonjolkan sebagai negara penaja pengganasan kerana kegiatannya di Lubnan dan beberapa tempat lain di dunia. Berikutan itu, Iran secara berterusan diletakkan di bawah sekatan ekonomi AS dan PBB kerana didakwa secara berterusan terlibat dengan keganasan di samping cuba membangunkan program nuklearnya. 

Berikutan pemilihan semula Mohammad Khatami sebagai presiden pada tahun 1997 dan pembaharuan  perlembagaan pada tahun 2000, kempen untuk memupuk pembaharuan politik telah dimulakan bagi mengembalikan kepopularitian pemerintah. Kempen tersebut bagaimanapun mendapat tentangan daripada kumpulan konservatif  yang disokong oleh Pemimpin Tertinggi, yang cuba menyekat langkah reformasi sambil meningkatkan kawalan keselamatan.

Bermula dengan pilihan raya perbandaran di seluruh negara pada tahun 2003 dan pemilihan Majlis pada tahun 2004, konservatif menguasai semula kawalan ke atas institusi kerajaan. Mahmud Ahmadi-Nejad kemudiannya dilantik sebagai Presiden pada bulan Ogos 2005. Pada bulan Jun 2009 protes di seluruh negara tercetus kerana membantah pemilihan semula Ahmadi-Nejad sebagai Presiden, tetapi dapat dipatahkan. 

Pada bulan Jun 2013 rakyat Iran memilih kerabat konservatif yang moderat, Dr. Hasan Ruhani sebagai presiden. Beliau adalah anggota pentadbiran lama dalam rejim, tetapi telah membuat janji-janji pembaharuan masyarakat dan dasar luar Iran. RUHANI kemudiannya dipilih semula sebagai Presiden pada Mei 2017.

Majlis Keselamatan PBB telah meluluskan beberapa resolusi yang menyeru Iran untuk menggantung aktiviti pengayaan dan pengolahan semula uraniumnya dan mematuhi kewajipan dan tanggungjawab IAEAnya. Pada bulan Julai 2015 Iran dan lima anggota tetap, ditambah Jerman, menandatangani Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) di mana Iran bersetuju untuk menghadkan program nuklearnya sebagai pertukaran untuk pelepasan sekatan.


POLITIK & PENTADBIRAN

              

Sistem pemerintahan yang diamalkan oleh Iran adalah Republik Teokratis iaitu sistem pemerintahan yang ketua negaranya adalah seorang Pemimpin Agung yang memiliki otoriti politik dan keagamaan paling tinggi di Iran. Pemimpin Agung malah memiliki kekuasaan yang lebih tinggi daripada Presiden Iran sendiri. Pemimpin Agung berkuasa dalam hal-hal perlantikan Ketua Tentera, Ketua Pentadbir dan Ketua Hakim. 

Pemimpin Agung Iran saat ini dijabat oleh Ali Hoseini-Khamenei, sejak 4 Jun 1989. Iran juga memiliki jabatan Presiden, namun Presiden Iran merupakan kepala pemerintahan yang dipilih melalui pemilihan umum dengan tempoh masa perkhidmatan 4 tahun. Calon-calon Presiden harus mendapatkan persetujuan dari Majlis Perwakilan Iran sebelum Pemilihan Umum dilaksanakan.


EKONOMI



Ekonomi Iran masih banyak bergantung kepada eksport minyak dan gas, di sebalik Iran turut mempunyai sektor pertanian, perindustrian, dan perkhidmatan yang penting. Kerajaan Iran terus memiliki dan mengendalikan beratus-ratus perusahaan milik negara dan secara tidak langsung mengawal banyak syarikat yang bergabung dengan pasukan keselamatan negara. Pengelakan - termasuk rasuah, kawalan harga, subsidi, dan sistem perbankan yang memegang berbilion dolar daripada pinjaman tidak berbayar – memberi kesan kepada ekonomi Iran dan merosakkan potensi pertumbuhan yang diterajui oleh sektor swasta.

Aktiviti sektor swasta kebanyakannya adalah berupa bengkel berskala kecil, pertanian, perkilangan, dan perkhidmatan. Aktiviti ekonomi swasta pada skala sederhana pula melibatkan aktiviti pengeluaran simen, perlombongan, dan kerja logam. Aktiviti-aktiviti ekonomi ini bagaimanapun terdedah kepada kegiatan pasaran yang  informal dan korupsi tersebar luas.

Penarikan sekatan di bawah Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) pada Januari 2016 merangsangkan pemulihan pengeluaran dan pendapatan minyak Iran yang mendorong pertumbuhan KDNK yang pesat. Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi merosot pada tahun 2017 berikutan pengeluaran minyak dunia yang berlebihan. Ekonomi Iran juga mengalami tahap pelaburan yang rendah dan penurunan dalam produktiviti keseluruhan sektor, sekaligus menyumbang kepada angka pengangguran yang tinggi, terutama di kalangan wanita dan remaja yang berpendidikan tinggi di Iran.

Pada Mei 2017, pemilihan semula Presiden Hasan Ruhani telah melonjakkan jangkaan rakyat Iran bahawa faedah ekonomi JCPOA akan berkembang dan bakal melimpahkan hasil kepada semua peringkat masyarakat. Bagaimanapun, beliau perlu melaksanakan reformasi struktur yang kemudiannya bakal menguatkan sektor perbankan dan memperbaiki iklim perniagaan Iran untuk menarik pelaburan asing dan menggalakkan pertumbuhan sektor swasta. 

Di sebalik semua harapan tersebut, masih wujud kesangsian dunia terhadap program nuklear Iran, yang mana jika ini terus berlaku, pengenaan semula sekatan berkaitan nuklear ke atas Iran sudah pasti akan memberi kesan terhadap kedudukan ekonomi Iran pada masa depan.


HUBUNGAN ANTARABANGSA





Dalam aspek hubungan luar negeri, Iran adalah negara anggota PBB dan lembaga-lembaga di bawah PBB. Iran juga merupakan anggota dari Organisasi Kerjasama Ekonomi (ECO), Organisasi Kerjasama Islam (OIC) dan Organisasi Negara-negara Pengekspor Minyak (OPEC).

Wallahua'alam (MMO).



No comments:

Post a Comment