![]() |
Etnik Islam Uighur berjemaah di luar Masjid Id Kah di bulan Ramadan di Kashgar, Xinjiang |
Pada
bulan Ogos 2018 lalu, sebuah panel hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) melaporkan bahawa sejumlah kira-kira satu juta etnik Uighur yang
beragama Islam telah dipaksa memasuki ke sebuah tempat yang menyerupai kem
pengasingan besar di Xinjiang, sebuah daerah otonomi di barat China yang
menjadi daerah kediaman bagi sekitar 10 juta umat Islam Uighur.
Seorang
petugas di Jawatankuasa PBB berkaitan penghapusan diskriminasi kaum menyatakan bahawa di dalam kem-kem tersebut
etnik Uighur dan minoriti Islam lainnya telah dijadikan sasaran indoktrinasi
dengan matlamat untuk akhirnya menanggalkan kepercayaan agama (Islam) di
kalangan mereka kerana didakwa menjadi punca kepada berakarnya
fahaman subversif, separatis dan terrorisme.
Dalam
pada itu, terdapat maklumat lain yang berkaitan yang menyebutkan bahawa skala
pengintaian China terhadap etnik Uighur begitu mengejutkan, di mana setidak-tidaknya
satu dari setiap 10 etnik Uighur yang tinggal di Xinjiang “menghilang ke dalam
kem pengasingan” yang dimaksudkan sebagai dipercayai dibunuh oleh pihak
berkuasa tentera. Lebih mengejutkan lagi apabila mereka yang ditahan itu dikatakan
bukanlah atas kesalahan jenayah, sebaliknya hanya sekadar mempraktikkan sebuah
keyakinan, Islam.
Pendedahan
terhadap apa yang berlaku di daerah Xinjiang itu telah merangsangkan beberapa
media berpengaruh di Amerika Syarikat seperti The New York Times, The Atlantic,
dan The Intercept untuk menerbitkan beberapa penulisan yang cuba memaparkan
tindakan di pihak berkuasa Cina itu sebagai dirangsang oleh pandangan mereka
dalam melihat etnik Islam Uighur sebagai etnik yang “berpenyakit mental” (kerana
menganuti dan mengamalkan ajaran Islam) dan justeru itu perlu dihapuskan demi
untuk memelihara keamanan dan keselamatan rakyat dan negara Cina.
![]() |
Peta Wilayah Xinjiang, China |
Sepintas Lalu Mengenai Etnik
Uighur
Etnik
Uighur berasal dari Xinjiang, wilayah otonomi yang terletak di barat laut China
yang bersempadan dengan Mongolia di timur laut dan beberapa buah negara bermajoriti
penduduk Islam di sebelah baratnya. Setelah mengistyharkan kemerdekaan secara longgar
pada awal abad ke-20, Xinjiang dianeksasi oleh China komunis pada tahun 1949
dan sejak itu terus berada di bawah penguasaan pemerintah China hingga hari
ini.
Wilayah Xinjiang
pernah disebut sebagai Turkistan Timur oleh Muslim Uighur. Selari dengan
imajinasi nasionalis ini, Muslim Uighur juga memiliki bahasa mereka sendiri,
Uighur, yang hanya dituturkan oleh penduduk Uighur Xinjiang dan penduduk di kalangan
diaspora mereka.
Berikutan
tindakan China menganeksasi Xinjiang kepada negara itu, etnik Uighur tidak
pernah berhenti daripada tindakan untuk menuntut kembali kemerdekaan mereka
daripada China dengan menjadikan hujah hak mereka ke atas wilayah itu dan
penindasan di pihak China sebagai asas bagi menuntut pemisahan Xinjiang dari
China.
Sebagai tindak
balas terhadap cita-cita etnik Uighur itu, China mempromosikan gerakan massa suku
Han China untuk masuk ke pedalaman negara itu, termasuk Xinjiang, yang telah
secara efektif mengurangi jumlah Muslim Uighur hingga menjadi minoriti di tanah
kelahiran mereka sendiri dan secara langsung melemahkan gerakan bagi menuntut kemerdekaan.
Perang Menanggani Pengganasan Buka
Ruang Bagi China Untuk Memerangi Uighur
Perang
menanggani pengganasan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat berikutan
Peristiwa 9/11 telah secara langsung mewujudkan ruang bagi China untuk menekan
populasi Muslim Uighur. Beijing, jelasnya, telah menggunakan alasan serta
pendekatan Amerika dalam perang menanggani pengganasan yang dikaitkan dengan
elemen Islam untuk mengaitkan etnik Islam Uighur sebagai etnik yang harus
diawasi kerana boleh menimbulkan ancaman keselamatan kepada China.
Dalam
konteks ini, China cuba memanfaatkan sepenuhnya sentimen dunia terhadap Islam dengan
berusaha untuk mengubah pegangan agama, bahasa dan adat-istiadat etnik Uighur
agar ianya selari dengan kehendak pemerintah pusat di Beijing. Dan dalam
melaksanakan semua agenda itu, China secara terancang telah melaksanakan apa
yang disebut sebagai pembersihan etnik, salah satu bentuk jenayah perang yang
sewajarnya diheret ke muka pengadilan antarabangsa untuk menerima hukuman yang
berat.
Tekanan Terhadap Amalan Agama
Pada
tahun 2015, pihak berkuasa China telah melaksanakan tekanan yang amat menusuk
emosi kita bilamana mereka menghalang siswa, guru, dan pegawai negeri Uighur yang
beragama Islam daripada melaksanakan ibadat puasa di sepanjang bulan Ramadan. Tindakan
tersebut bukan sahaja dikuatkuasakan di tempat-tempat awam, termasuk di tempat
kerja, malah di rumah kediaman dengan cara menghantar polis rahsia bagi tujuan
membuat pengintipan dan pengawasan bagi memastikan tiada etnik Uighur yang
melaksanakan ibadat yang wajib dalam agama Islam itu. Subhanallah!.
Human
Rights Watch dalam satu laporannya menyebutkan bahawa larangan terhadap umat
Islam Uighur daripada melaksanakan amalan keagamaan mereka telah dipertingkat
dan diperketatkan melalui tindakan pemeriksaan secara rutin terhadap para imam
Uighur, pengawasan terhadap aktiviti masjid, pemindahan guru agama dan siswa
dari sekolah, larangan berkomunikasi dengan keluarga atau teman yang tinggal di
luar negeri, dan pendedahan terhadap fakta yang disongsangkan yang dipaksakan
ke atas siswa di sekolah-sekolah di Xinjiang. Pelanggaran terhadap larangan
yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa China bukanlah sesuatu yang boleh diremehkan.
Dalam banyak keadaan mereka yang didapati bersalah akan menyaksikan tempat
terakhir bagi kehidupan mereka adalah di kem-kem tahanan yang begitu
menyiksakan.
Di dalam
kem yang dinamakan “pusat pendidikan ulangan”, agen-agen negara dikatakan telah
diberikan tugas utama untuk “menyembuhkan penyakit” (pegangan agama Islam)
melalui tindakan bagi melunturkan pegangan agama mereka. Ini termasuklah dengan
memaksa mereka makan daging babi dan minum minuman alkohol, menghafal dan menyanyikan
lagu-lagu Parti Komunis, mempelajari bahasa Mandarin, dan dipaksa berkerja
berat siang dan malam. Mereka yang engkar akan disiksa, dan jika mereka mati,
laporan tentang kematian mereka akan dihebahkan secara meluas dengan tujuan
untuk menimbulkan ketakutkan dan memberikan amaran kepada yang lain agar tidak
mengikut jejak yang sama.
Di dalam
kem-kem itu juga, pihak berkuasa dikatakan melakukan pengasingan dengan pesalah
wanita dipaksa berkahwin dengan lelaki dari etnik Han yang bukan beragama
Islam. Dengan cara itu populasi umat Islam Uighur akan dapat dikurangkan dan hegemoni etnik Han akan dapat diperkuatkan. Ancaman
pengasingan ini menjadi salah satu sumber ketakutan dalam kalangan umat Islam
Uighur kerana penahanan yang membawa kepada pengasingan dengan keluarga boleh
berlaku pada bila-bila masa dan apa jua keadaan yang tidak dijangka.
Ketakutan
ini adalah senjata yang digunakan oleh pemerintah China untuk menghalangi dan
mengintimidasi warga Uighur bagi mencegah mereka daripada menjalankan keyakinan
mereka. Perlaksanaanya dilakukan dengan cara menempatkan anggota polis di serata
komuniti Muslim Uighur, menghubungi tetangga dan teman sekelas dari etnik
Uighur sebagai pengumpul maklumat, dan mungkin yang paling ekstrim, menggunakan
anak-anak Uighur untuk memantau dan melaporkan aktiviti orang tua mereka
sendiri.
Malah,
pendekatan yang mutakhir di pihak berkuasa China ini – menggunakan kanak-kanak
untuk melaporkan kegiatan keagamaan orang tua mereka kepada para guru (yang
dikendalikan negara) – kian dibimbangi bakal menjadi anasir yang boleh
meruntuhkan institusi kekeluargaan dan kekentalan pegangan keagamaan di
kalangan masyarakat Islam Uighur. Begitu juga dengan pusat-pusat asuhan kanak-kanak
yang dikelola oleh negara, di mana kanak-kanak dari etnik Uighur yang
diasingkan bagi menjalani program pencucian otak dan asimilasi budaya –
semuanya dibimbangi akan bakal merubah wajah etnik Uighur dalam masa beberapa
tahun sahaja lagi.
Di pusat-pusat
asuhan ini, di mana kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga 12 tahun dikatakan
dikurung seperti hewan ternak, pihak berkuasa China melakukan apa sahaja yang
mungkin menjadi inti dari program pembersihan etnik mereka: rekayasa seluruh
generasi Uighur Muslim untuk berpaling melawan orang tua mereka, melawan agama
dan budaya, mendukung atheisme, bahasa Mandarin, dan adat istiadat Han yang
diistimewakan oleh Beijing. Pada akhirnya, program ini akan melucuti orang
Uighur dari garis kehidupannya, memisahkan anak-anak mereka, dan membuka jalan
menuju penghancuran total terhadap 10 juta etnik Islam Uighur, dan sebuah
bangsa yang ada sebelum penciptaan negara China moden.
Justeru dengan melihat kesengsaraan yang menimpa saudara kita di bumi kaum kufar itu kita terpanggil untuk menyeru pemimpin Islam di seluruh dunia untuk segera membuka mata dan bangun mengatur langkah bagi menyelamatkan nasib serta masa depan saudara kita itu, lebih-lebih lagi bagi menyelamatkan akidah serta pegangan agama mereka yang kian dihimpit dan ditindas dengan pelbagai tekanan dan penyiksaan. Tekanan dan penderitaan yang dihadapi mereka tidak harus dibiarkan, sebaliknya perlu segera dibawa ke pengetahuan dunia menerusi PBB agar mereka mendapat pembelaan yang sewajarnya. Sikap pemimpin dunia Islam yang melihat apa yang berlaku sebagai masalah dalaman China hanya boleh mengundang musibah yang lebih besar terhadap etnik Uighur itu, lebih-lebih lagi dari sudut pegangan agama mereka yang dikhuatiri mungkin boleh terlerai dengan mudah dek adanya agenda berterusan di pihak pemerintah untuk menghalang sinar Islam daripada menerangi bumi tabir buluh itu.
Wallahua’alam
(MMO)
No comments:
Post a Comment