Wednesday, March 14, 2018

A.M. AZAHARI, SULTAN DAN BRUNEI RAYA (BAHAGIAN 11)


A.M. Azahari Dihukum Penjara 

23 Januari 1953 adalah tarikh bersejarah di mana berlakunya “demonstrasi Brufico” iaitu satu perarakan raksaksa dari Rumah Rehat Kerajaan di tebing Sungai Brunei menuju ke pejabat Residen British di “Bumbungan Dua Belas” di Jalan Subuk sejauh dua kilometer. Perarakan aman itu  diketuai A.M. Azahari bertujuan untuk menghantar memorandum bantahan ke atas keputusan Residen British menolak permohonan pendaftaran syarikat Brufico (Brunei Filem Production) yang dipohon pendaftarannya oleh A.M. Azahari. Residen British ketika itu ialah H.J.R Barcoft.

Ekoran peristiwa tersebut, penguasa British  telah mengambil tindakan mengheret tujuh orang penganjur demonstrasi  ke mahkamah kerana mengadakan perarakan/perhimpunan  tanpa kebenaran.

Perbicaraan diadakan enam minggu selepas peristiwa demonstrasi Brufico. Dalam perbicaraan itu, A.M. Azahari telah dijatuhi hukuman enam bulan penjara dan denda B$500 sementara enam yang  lain terdiri dari Sh. Mohamed, Sh. Nikman dan Sh. Othman, Abdullah Jahfar, H.B Hidup dan  Tuah Puteh dijatuhi hukuman tiga bulan penjara. 

Gerakan Pemuda Kedayan 

Ketika  A.M. Azahari dijatuhkan hukuman penjara itu,  di luar penjara sudah sedia pengikut-pengikutnya yang sanggup bersama dalam apa juga tugasan yang diarahkan. Perkembangan yang dilakar melalui peristiwa demonstrasi Brufico itu telah mempamirkan keupayaan beliau mengumpulkan sejumlah besar  rakyat Brunei untuk bersama-samanya.

Sama ada British sedar atau tidak, isu Brufico telah membantu pembinaan imej kepimpinan A.M. Azahari dengan begitu cepat. Suatu yang pihak British mungkin dapat perhatikan ialah simpati rakyat terhadap A.M. Azahari sudah menjangkau semua lapisan masyarakat di kota dan di desa.

Apa yang dibimbangkan oleh British nampaknya sudah menjadi kenyataan. A.M. Azahari sudah menjadi tokoh rakyat dalam masyarakat Brunei dalam waktu yang singkat, walaupun beliau belum lagi membentuk rangkaian politiknya.

Malah semasa A.M. Azahari dan rakan-rakannya merengkuk di penjara, kumpulan pemuda yang terdiri dari puak  Kedayan Kampung Kilanas, Sengkurong, Jerudung, Lamunin, Kiarong dan Kg  Tungku,  telah menyusun pergerakan bawah tanah yang bermatlamat untuk menghalau penjajah diketuai Muhammad Haji Manggol, Garip Haji Manggol dan Jais Haji Karim.

Apa pun tanggapan kita mengenai penglibatan serius masyarakat Kedayan di dalam perjuangan  kemerdekaan Brunei itu, namun sejarah telah merakamkan bahawa masyarakat ini adalah antara puak yang kuat menyokong perjuangan PRB dan kental semangat nasionalisme mereka.

Ketika pemberontakan 8 Disember 1962, Limbang, Sibuti dan Bekenu di Sarawak yang terkenal sebagai daerah Kedayan telah berjaya ditawan oleh Tentera Nasional Kalimanatan Utara(TNKU) yang rata-rata dianggotai oleh puak Kedayan setempat. Keperkasaan mereka terserlah apabila  mereka berjaya menawan  daerah kekuasaan pihak penjajah British itu untuk beberapa hari sebelum ditumpaskan oleh kekuatan tentera penjajah. 

Penjajah British Yang Bimbang 

Penjajah British mula tidak duduk diam. Penjajah British terasa A.M. Azahari sudah ada rangkaian atas tanah dan bawah tanah. Tiga orang pemimpin pemuda Kedayan, iaitu  Muhamad Haji Mangol, Jais Haji Karim dan Garip Haji Mangol telah ditangkap, dibicara dan dipenjarakan atas tuduhan bergerak bagi menggulingkan kerajaan Inggeris secara kekerasan.

Muhamad Haji Mangol kemudian dipindahkan ke penjara Kuching kerana didapati  mempengaruhi  rakan sepenjara supaya mogok lapar. Namun penjajah lupa bahawa apa jua ‘jenayah’ kerana menggulingkan penjajah British dalam apa jua bentuknya tetap dikira suatu tindakan mulia dan suci oleh rakyat. Tidak syak lagi Brufico telah melahirkan pejuang-pejuang muda yang bersemangat waja.

Bertitik tolak dari peristiwa demonstrasi Brufico, rakyat seperti dikejutkan dari lena yang panjang.  Lalu timbullah isu politik, ekonomi dan sosial yang selamanya gagal diberi perhatian oleh penguasa penjajah. 

Kesan Awal Isu Brufico 

Perhimpunan ribuan rakyat dalam mendesak Brufico didaftarkan itu turut mengejutkan para pegawai British di Brunei dan Sarawak lalu mereka segera duduk mengatur strategi bagaimana untuk mengawal perkembangan baharu yang boleh mengancam kedudukan mereka di negeri yang berminyak itu.

Pegawai tinggi British di Sarawak agak cemas dengan bayangan kegiatan A.M. Azahari. Mereka pernah mencadangkan supaya Brunei membuat pindaan undang-undang bagi membolehkan A.M. Azahari dibuang daerah ke pedalaman bagi membendung kegiatannya.

Pihak berkuasa British tidak bertindak segera. Apakah A.M. Azahari sudah menjadi masalah yang begitu besar bagi British?

Tidak lama selepas peristiwa demonstrasi Brufico itu, beberapa langkah segera telah diambil oleh Residen British di Brunei untuk meredakan amarah orang ramai.  Antara langkah tersebut  ialah, pertama  mencadangkan kepada Pejabat Tanah Jajahan di London supaya mengambil langkah  memperluaskan  penyertaan “perwakilan rakyat” dalam Majlis Mesyuarat Negeri.

Kedua, dalam bulan Mac 1953, Residen British telah meluluskan peruntukan segera sebanyak $B5 juta bagi membangunkan prasarana bagi kemudahan rakyat di kawasan Seria dan Kuala Belait. Peruntukan itu digunakan untuk membina rumah kedai dan bangunan kerajaan.

Mengapa di Seria dan Belait? Ini ialah kerana pekan berminyak itu merupakan tumpuan ramai aktivis politik dan sosial ketika itu seperti Yasin Affandy, H.B. Hidup, Osman Sungguh, Salleh Samad dan ramai lagi. Mereka adalah antara tokoh setempat yang vokal dan kritikal terhadap penjajah dan eksploitasi Syarikat Minyak Shell ke atas pekerja tempatan.

Ketiga ialah titah pengumuman  pada 12 Mei 1953 mengenai  hasrat Baginda Sultan untuk menggubal sebuah perlembagaan bertulis bagi Negeri Brunei.

Keempat, Residen British telah meluluskan Rancangan Pembangunan Lima Tahun pertama (REPLITA), 1953-1958 dengan peruntukan $BN100 juta bagi menjadikan Brunei sebagai sebuah negeri yang maju dan membangun. Rancangan tersebut telah diumumkan pelancarannya oleh DYMM Sultan Omar Ali Saifuddein  pada 29 Julai 1953. Bermula dari situ, rancangan pembangunan setiap lima tahun diteruskan hingga sekarang.

Walaupun apa yang dituntut oleh A.M. Azahari iaitu supaya Brufico itu dilesenkan tidak terlaksana, tetapi mesej rakyat telah diberi perhatian oleh Residen British dan Baginda Sultan. Egenda awal A.M. Azahari untuk mengukur sokongan rakyat terhadap cita-cita perjuangannnya juga berhasil.

Jika Brunei sekarang dilihat sebagai sebuah negara yang membangun sesuai dengan keadaannya sebagai sebuah negara desa, kecil dan harmoni, ia adalah dimulakan di bawah pemerintahan  DYMM Sultan Haji Omar Ali Saifuddein III. 

Kesedaran Baharu 

Apa jua  tanggapan  para  sarjana  terhadap A.M. Azahari berikutan dengan tunjuk perasaan Brufico itu adalah suatu yang lain, tetapi reaksi positif  Baginda Sultan mendesak Residen British untuk memulakan pembangunan ekonomi dan sosial rakyat itu adalah satu sikap prihatin dan sensitif  ke atas kemahuan rakyat.

Semua pihak mulai sedar betapa tahap kemajuan Brunei begitu lembab terutama di bidang pendidikan, pembangunan ekonomi rakyat dan  infrastruktur. Hal ini ditanggapi sebagai suatu yang disenghajakan sebagai strategi penjajahan. Betapa tidaknya, rakyat yang berpendidikan dan negeri yang maju itu merupakan saingan pengaruh dan ancaman ke atas kekuasaan dan ekonomi penjajah.

Isu halangan ke atas  pendaftaran Brufico dan pengharapan mereka untuk menambah pendapatan melalui pembelian saham  dipercayai telah menyedarkan Baginda Sultan, betapa rakyat baginda dahagakan pembangunan dan ingin membebaskan diri dari kehidupan yang daif.

Baginda Sultan juga sedar bahawa baginda sebenarnya tidak berkuasa sepenuhnya didalam pentadbiran negerinya sendiri sehingga kuasa meluluskan pendaftaran sebuah syarikat perniagaan pun terletak di bawah bidang kuasa Residen. Kuasa Residen begitu jauh melangkaui kuasa istana sehingga boleh menangkap dan memanjarakan rakyat baginda sendiri.

Respon positif dan pandangan kehadapan Baginda Sultan itu kemungkinan ada kaitannya dengan hubungan akrab kedua Putera negara itu. Adalah dipercayai, bahawa di sinilah titik pertemuan fikrah kedua negarawan itu, bahawa Brunei mesti memilih jalannya sendiri sebagai sebuah negeri yang bebas dan merdeka. 

Perlembagaan Negeri 

Mengingati akan hakikat manipulasi dan eksploitasi kuasa penjajah itu, justeru baginda  mesti beroleh kuasa dalam negeri sepenuhnya. Satu-satunya langkah terpenting untuk menyelesaikan masalah seumpama itu ialah Brunei mesti mempunyai perlembagaan bertulisnya sendiri yang membawa semangat perkongsian kuasa antara istana dan rakyat. Titah DYMM Sultan Omar Ali Saifuddein pada 25 Disember 1957 menyebutkan “The past year has been a memorable one for many reasons.  Politically, great interest has been evoked by the prospects of my proposals for a new Constitution for Brunei, marking a further stride towards the achievement of a modern  democratic State”.  

Wallahua’alam. (MMO).



              *******



No comments:

Post a Comment