Tuesday, January 30, 2018

NEGARA GAGAL : SIAPA ANTARA NEGARA ISLAM YANG TERLIBAT?


Perang di Syria yang tidak kunjung tamat


Istilah negara gagal atau failed states bukanlah suatu istilah yang asing bagi kita. Cumanya, definisi mengenai negara gagal ini masih kuat terpaut pada definisi yang dibuat oleh pihak Barat, khususnya sebuah badan yang dikenali sebagai Fund for Peace (FFP).

FFP adalah sebuah institusi penyelidikan Amerika yang bersifat bukan kerajaan, ditubuhkan khusus bagi menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan pendidikan. Matlamat penubuhannya adalah untuk mencegah berlakunya konflik keganasan dan memupuk kesejahteraan yang berkekalan. Bagi mencapai matlamatnya itu, FFP cuba membuat penilian terhadap sesuatu konflik yang boleh memberi kesan kepada kestabilan sesebuah negara, mengesan amaran-amaran awal berkaitan punca konflik, menilai ancaman luaran, menganjurkan kepada kehadiran pasukan pengaman, dan tidak kurang, menilai hal-hal berkaitan hak asasi kemanusiaan.

Dalam usahanya untuk menentu-ukur tahap kedudukan sesebuah negara untuk dikategorikan sebagai sebuah negara gagal, FFP menggunakan beberapa indikator yang secara umumnya dapat dirumuskan sebagai berikut;

  • Rakyat merasa tidak ada lagi jaminan keamanan. Kekejaman dan kerosakan berlaku di mana-mana, termasuk ke atas rumah-rumah ibadat. Rakyat cenderung untuk lari ke negara lain bagi mendapatkan perlindungan keselamatan. 
  • Pemerintah seakan-akan tidak lagi dapat menyediakan keperluan asas kepada rakyat seperti makanan, pendidikan, dan kesihatan. 
  • Pertumbuhan ekonomi merosot. Kegiatan ekonomi terhenti dan rakyat tidak mempunyai punca pekerjaan. 
  • Rasuah berlaku di mana-mana. Badan penguatkuasa yang menjaga hal-hal rasuah gagal berfungsi untuk menjaga kepentingan rakyat kerana berlaku campur tangan pihak pemerintah. Kegiatan pertubuhan-pertubuhan haram seperti pengganasan, mafia dan kongsi gelap berleluasa kerana dilindungi pihak berkuasa yang korup.
  • Pemberontakan dan pergaduhan antara kumpulan-kumpulan kecil dalam masyarakat berlaku tanpa sebab yang kukuh. Sensitiviti antara kumpulan ethnik meningkat dan sentiasa mengundang kepada ketegangan kaum.
  • Rakyat hilang kepercayaan dan berusaha untuk mengguling kerajaan yang memerintah.
  • Negara tidak lagi mampu berinteraksi dalam persyarikatan dunia antarabangsa.

Bagi memberi gambaran tentang status setiap negara di dunia diukur dari sudut indeks negara gagal itu, FFP sejak 10 tahun lalu mengeluarkan secara tahunan senarai indeks negara-negara gagal berkenaan. Namun, agak mengejutkan apabila status negara-negara terlibat bagi tahun 2017 memperlihatkan 6 buah negara Islam berada dalam carta 10 teratas negara-negara gagal tersebut.

Mendahului senarai adalah negara Somalia dengan pengukuran indeks tertinggi iaitu 113.4 mata. Diikuti selepas Somalia ialah Yemen di kedudukan keempat (111.1), Sudan di kedudukan kelima (110.6), Syria di kedudukan keenam (110.6), Afghanistan di kedudukan ke sembilan (107.3) dan Iraq, di kedudukan ke sepuluh dengan 105.4 mata.

Seimbas pandang, kita sedia maklum mengapa negara-negara berkenaan terangkum dalam kategori 10 negara paling teratas dalam carta negara-negara gagal bagi tahun 2017 itu. Selain terdedah kepada perang saudara yang sehingga kini tidak menampakkan tanda-tanda ke arah penyelesaian muktamad, membawalah kepada campurtangan kuasa asing khususnya pihak Barat, negara-negara tersebut juga secara umumnya tidak mempunyai kepelbagaian dalam sumber ekonomi masing-masing.

Kecuali Yemen, Syria dan Iraq yang mempunyai sumber minyak, negara-negara lain dalam kategori di atas tidak mempunyai sumber hasil yang banyak baik di atas mahupun di dalam muka buminya, sedang tanahnya yang kurang subur serta rencam cuacanya yang ekstrim dan tidak menentu menyukarkan aktiviti pertanian dan pengeluaran makanan dapat dilakukan.

Sementara itu, bagi Yemen, Syria dan Iraq, kejatuhan harga minyak dunia telah memberi kesan secara langsung dari sudut pendapatan dan ekonomi negara-negara berkenaan. Dalam pada itu, kesan perang yang dicetuskan hasil campurtangan kuasa asing dan perang saudara yang masih berterusan di negara-negara terbabit telah menyukarkan aktiviti ekonomi, termasuk pengeluaran minyak, daripada dapat dilaksanakan.

Sebagai panduan, berikut diperturunkan secara ringkas fakta kependudukan dan ekonomi negara-negara berkaitan buat renungan dan pengetahuan kita.

Somalia  

                                                           
Luas Negara : 637,657 km persegi.
Jumlah penduduk : 14,317, 996 (Anggaran 2016).
GDP (PPP) : US$ 4.431 bilion (Anggaran 2014); Perkapita : $ 400.
GDP (Nominal) : US$ 5.8 bilion (Anggaran 2014); Perkapita : $300 – 600.

Yemen

                         
Luas Negara : 527,968 km persegi.
Jumlah penduduk :  27,584,213 (Anggaran 2016).
GDP (PPP) : US$ 117.679 bilion (Anggaran 2017); Perkapita : $ 2,818.
GDP (Nominal) : US$ 37.307 bilion (Anggaran 2017); Perkapita : $1,244.

Sudan

Luas Negara : 1,886,068 km persegi.
Jumlah penduduk :  39,578,828 (Anggaran 2016).
GDP (PPP) : US$ 186.715  bilion (Anggaran 2017); Perkapita : $ 4,578 .
GDP (Nominal) : US$ 115.874 bilion (Anggaran 2017); Perkapita : $ 2,841.


Syria  

Luas Negara : 185,180 km persegi.
Jumlah penduduk :  17,064,854 (Anggaran 2014).
GDP (PPP) : US$ 107.831  bilion (Anggaran 2010); Perkapita : $ 5,040 .
GDP (Nominal) : US$ 59,957 bilion (Anggaran 2010); Perkapita : $ 2,802.

Afghanistan

Luas Negara : 652,864 km persegi.
Jumlah penduduk :  34,656,032 (Anggaran 2016).
GDP (PPP) : US$ 70 bilion (Anggaran 2017); Perkapita : $ 1,888 .
GDP (Nominal) : US$ 21.0 bilion (Anggaran 2017); Perkapita : $ 572.

 Iraq


Luas Negara :  437,072 km persegi.
Jumlah penduduk : 37,202,572  (Anggaran 2016).
GDP (PPP) : US$ 612 bilion (Anggaran 2017); Perkapita : $ 16,551.
GDP (Nominal) : US$ 240.006 bilion (Anggaran 2015); Perkapita : $ 6,491.


Justeru, apakah pentingnya kajian ini kepada kita?.

Pentingnya, adalah supaya kita dapat mengetahui berapa banyakkah negara Islam yang kini termasuk dalam kategori negara gagal?. Bagi negara kapitalis yang suka menggerakkan pelaburan mereka ke serata alam, negara-negara ini tidak lagi akan menjadi negara tarikan untuk pelaburan. Apabila aliran pelaburan tidak lagi masuk, perkembangan ekonomi akan menguncup jadi perlahan sebelum gagal bertahan. Akhirnya negara-negara ini akan jadi miskin dan terpinggir.

Negara Islam yang gagal juga terdedah kepada bahaya dan merugikan kerana selain ianya tidak lagi mempunyai peranan untuk disumbangkan bagi membantu membangunkan agama dan umat Islam sejagat, ia juga akan terdedah kepada campurtangan dan manipulasi kuasa-kuasa besar yang akan mengenakan telunjuk mereka ke atas negara terbabit. Hasil mahsul negara-negara seperti ini biasanya akan disedut sebagaimana nyamuk menyedut darah mangsanya yang sedang tidur!.

Peperangan saudara, mahupun serangan yang digerakkan oleh kuasa-kuasa besar menyebabkan keamanan tidak wujud lagi di negara-negara berkenaan. Apabila negara tidak lagi aman bagaimana pula umat boleh dapat mengerjakan ibadat dengan tenang. Bagaimana pula untuk mengerjakan solat berjemaah bilamana masjid telah hancur dan deruan tembakan senjata bersimpang siur. 

Seperkara lain yang perlu kita bimbangkan ialah dari negara-negara gagal inilah bakal lahirnya pejuang-pejuang tegar yang kerap dilabelkan oleh pihak Barat sebagai pengganas. Mereka bukan sahaja mempunyai akses dan mahir dengan penggunaan senjata moden tetapi juga punya jiwa perjuangan yang kental yang tidak pernah mengenal erti takut mati.

Justeru, sebagai umat Islam yang bernasib baik, yang hidup di negara yang kaya dan aman damai, kita sebenarnya dituntut supaya membantu saudara-saudara kita yang kini berada dalam keperitan dan kepayahan yang sangat sukar untuk dibayangkan. Setidak-tidaknya dengan mengambil tahu akan keadaan mereka, mengetahui dari kalangan negara manakah mereka yang terjebak dalam kumpulan negara gagal – kita sekurang-kurangnya sudah tergerak untuk membantu, walaupun sekadar dalam nawaitu..


Wallahua'alam (MMO)


*****


No comments:

Post a Comment