Friday, March 23, 2018

A.M. AZAHARI, SULTAN DAN BRUNEI RAYA (BAHAGIAN 13)


Parti Rakyat Brunei (PRB) Ditubuhkan 

Gerakan bawah tanah dan penangkapan beberapa orang yang terlibat dalam Demonstrasi BRUFICO telah menjadi isu hangat. A.M. Azahari pula baru dibebaskan dari penjara dan terus menjadi tumpuan umum.

Tiupan semangat konferensi Bandung pula telah memberikan suntikan yang menyegarkan dan meyakinkan rakyat. Semua ini membantu ke arah pembentukan sebuah organisasi politik  yang teratur, bersemangat dan berdisiplin yang kemudiannya dikenali sebagai PARTI RAKYAT BRUNEI (PRB).

Selain A.M. Azahari, antara mereka yang terlibat dalam perancangan awal parti ini ialah H.M. Salleh, mantan Yang Dipertua BARIP, Zaini Hj. Ahmad,  Yassin Affandy, H.B. Hidup, Abdullah Jaafar dan ramai lagi.

Walau bagaimanapun, rancangan penubuhan sebuah parti politik ini dapat dikesan oleh egen penjajah lalu mereka melancarkan penggeledahan dari rumah ke rumah mereka yang disyaki terlibat. Dasar pihak penjajah ketika itu ialah berusaha untuk menyekat sebarang kegiatan politik.

Namun begitu, semakin mereka diintimedasi, semakin kental semangat juang mereka; justeru mereka itu sudah faham dan bersedia untuk memikul tanggung jawab berbangsa dan tanggung jawab menjulang sejarah bangsanya,  betapa nasib bangsa Brunei adalah ditangan mereka. Allah SWT tidak akan merobah nasib mereka melainkan mereka sendiri yang merobahnya. 

Semangat Juang Itu  Bak Air Mengalir 

Setelah kemahuan untuk melahirkan sebuah parti politik itu sampai ke peringkat yang tidak dapat ditahan dan dibendung lagi maka pada 22 Januari 1956 berlangsunglah satu pertemuan politik di rumah H.M Salleh di Kampung Sungai Kianggeh, Pekan Brunei.

A.M. Azahari telah menggariskan matlamat Parti Rakyat (Brunei) itu ditubuhkan iaitu bagi memperjuangkan kemerdekaan Brunei dari penjajah Inggeris. PRB juga dengan jelas, memperakui dan mempertahankan hak-hak Kesultanan Brunei turun-temurun. 

Daripada Anggaran Dasar Parti Rakyat: Fasal 4, Parti Rakyat bertujuan:

(1)   Menentang segala bentuk rupa penjajahan dalam lapangan politik ekonomi dan sosial.
(2)  Memperjuangkan kemerdekaan bagi seluruh Kepulauan Melayu yang berdaulat  dengan secara perlembagaan.
(3)  Mempertahankan kedudukan Duli Yang Maha Mulia Maulana Sultan Brunei dengan segala keturunannya menduduki takhta kerajaan Brunei dengan dasar perlembagaan.
(4) Mewujudkan negara Melayu Merdeka yang berdaulat, demokratik dan menjamin keselamatan serta kemakmuran rakyat seluruhnya

Daripada Manifesto PRB 1956 pula menyebutkan: 

(1) Menentang segala bentuk rupa penjajahan dalam lapangan politik dan ekonomi serta sosial.
(2) Mempertahankan kedudukan Duli Yang Maha Mulia Maulana Sultan Brunei di atas kerajaan sehingga kepada segala keturunan.
(3)  Mengakui secara mutlak atas hak kerabat Diraja, baik ekonomi mahu pun politik.
(4) Memperjuangkan kemerdekaan bagi tanahair dan bangsa Melayu secara teratur dan berdasar perlembagaan dan mewujudkan hanya satu bangsa dan negara Melayu di seluruh kepulauan bangsa Melayu.
(5)  Mewujudkan bagi keselamatan rakyat seluruhnya dan kemakmuran umumnya. 

Mesyuarat Penubuhan PRB 

Pertemuan yang dihadiri oleh kira-kira 150 orang itu telah sebulat suara mengambil keputusan bersetuju menubuhkan sebuah parti politik dengan nama Parti Rakyat Malaya Cabang Brunei. Di perjumpaan politik ini juga telah dipersetujui untuk melantik sebuah Panitia Kerja Pusat Sementara (Panitia Protem), sehingga satu mesyuarat khas diadakan selepas Pendaftar Pertubuhan meluluskan pendaftaran parti ini.

Ahli-ahli jawatankuasa itu terdiri dari:

1. Saudara A.M Azahari Mahmud (Ketua I)
2. Saudara H.M Salleh (Ketua II)
3. Saudara Yassin Affandy (Setiausaha Agung)
4. Saudara H.B Hidup (Wakil Setiausaha Agung)
5. Saudara Othman Sungguh (Bendahari I)
6. Saudara Mudim Ismail (Bendahari II)
7. Saudara Khatib Moksin (Pembantu Umum I)
8. Saudara Buntar Salleh (Pembantu Umum II)
9. Saudara Abdullah Jaafar (Pembantu Umum III)

Selain mereka yang disenaraikan diatas, sidang  juga melantik:

·       Saudara Pengiran Damit bin Pengiran Sungguh
·       Saudara Zaini Hj. Ahmad
·       Saudara Awang Yaakob Zainal
·       Saudara Sulaiman Putih
·       Saudara Jais Hj. Karim
·       Saudara Kadir Jalaluddin
·       Saudara Abd. Manan Mohammad 

PRB Didaftarkan 

Menurut rancangan awal, PRB akan menjadi cabang daripada Parti Rakyat Malaya (PRM). Cadangan ini mendapat bantahan dari Residen British, yang mengancam tidak akan meluluskan pendaftaran PRB. Ahli-ahli Panitia Kerja Pusat Sementara terpaksa mengalah atas tekanan pihak penjajah ini.

Sebaliknya, Jawatankuasa ini mengajukan permohonan supaya PRB dibenarkan meluaskan pengaruhnya hingga ke Sabah dan Sarawak dengan menubuhkan cabangnya di negeri tersebut. Ini juga tidak dipersetujui oleh pihak penjajah, malah DYMM Sultan Omar Ali Saifuddein juga tidak bersetuju jika kegiatan parti ini dilaratkan hingga keluar Brunei.

Setelah PRB mengadakan perundingan secara langsung dengan Residen British,  D.C. White, maka Panatia Protem PRB bersetuju bahawa PRB hanya akan menjalankan aktiviti politiknya sekitar negeri Brunei. Berikuan keputusan itu, Pendaftar Pertubuhan pun serta merta meluluskan pendaftaran PRB pada 15 Ogos 1956.

Dengan terdaftarnya parti itu,  maka terukirlah dalam lipatan sejarah politik Kalimantan Utara, bahawa  parti politik yang pertama ditubuhkan di Brunei dan juga di negeri jajahan Inggeris di Kalimantan Utara iaitu Sabah dan Sarawak adalah Parti Rakyat Brunei (PRB), dengan A.M Azahari menjadi Ketua Umumnya yang pertama dan terakhir, menyandang jawatan Ketua Umum PRB  hingga akhir hayatnya (Al Fatihah…). 

Wallahua’alam (MMO). 

    
                    *******

No comments:

Post a Comment