![]() | |||
Perbicaraan isu Rohingya di ICJ yang dibawa oleh Gambia |
Diari kehidupan umat
Islam Rohingya mencatatkan sedikit kemajuan yang melegakan baru-baru ini
berikutan adanya keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa
(ICJ) di The Hague, Belanda, dalam menuntut kerajaan Myanmar supaya mengambil
langkah segera bagi melindungi etnik Islam Rohingya daripada dianiaya.
Selain itu,
Myanmar turut diarah supaya mengambil ‘semua langkah dalam keupayaannya’ untuk
mencegah sebarang tindakan yang dilarang di bawah Konvensyen Genosid 1948, dan
melaporkan kembali tindakan-tindakannya berkaitan perkara tersebut kepada ICJ
dalam tempoh empat bulan.
Kes berhubung
dakwaan pembunuhan genosid terbabit belum didengar sepenuhnya di ICJ dan
keputusan yang dikeluarkan baru-baru ini hanya berkaitan dengan permohonan
Gambia, sebuah negara majoriti Islam di Afrika Barat, supaya ICJ mengarahkan
kerajaan Myanmar untuk segera melindungi etnik Rohingya daripada sebarang
bentuk kekerasan dan penginayaan.
Keputusan
muktamad ICJ mengenai hal ini mungkin akan mengambil masa bertahun lamanya.
Bagaimanapun, dengan adanya keputusan sebulat suara panel 17 hakim dalam
membuat keputusan yang jelas bahawa etnik Rohingya kini berada dalam bahaya dan
perlu ada langkah segera bagi melindungi mereka, ianya sudah cukup untuk melegakan
kebimbangan kita terhadap nasib terdekat masyarakat Rohingya di Myanmar.
Gambia
memulakan prosiding di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB) itu pada November tahun lalu, dengan mendakwa Myanmar melanggar
Konvensyen 1948 kerana melakukan pembunuhan beramai-ramai (genosid) etnik
Rohingya.
Hakim
Abdulqawi Yusuf, ketika membaca penghakiman awal dalam menuntut kerajaan
Myanmar supaya mengambil langkah segera bagi melindungi etnik Rohingya, telah
turut membaca beberapa dapatan ICJ dalam menyimpulkan bahawa etnik Rohingya
kekal menghadapi ‘risiko serius pembunuhan beramai-ramai’.
“Mahkamah
berpendapat etnik Rohingya di Myanmar kekal dalam keadaan ‘amat terancam’ dan
berpendapat langkah yang diambil bagi melindungi hak mereka masih tidak
memadai.”
“Ini
termasuk memudahkan kepulangan mereka dari Bangladesh serta memupuk
persefahaman etnik, keamanan dan kestabilan di Rakhine selain memastikan pihak
tentera bertanggungjawab terhadap pencabulan hak asasi manusia,” katanya.
ICJ juga
mengarahkan kerajaan Myanmar memastikan tenteranya dan kumpulan bersenjata lain
tidak membunuh etnik Rohingya, mencederakan, memberi tekanan mental atau
sengaja mengenakan syarat yang membawa kemudaratan kepada fizikal mereka.
Sekadar
rekod, Lebih 730,000 etnik Rohingya meninggalkan Myanmar selepas operasi
ketenteraan pada 2017 dan terpaksa menduduki kem pelarian di Bangladesh, yang
disifatkan penyiasat PBB sebagai kempen ketenteraan berniat melakukan
pembunuhan beramai-ramai.
Di Cox’s
Bazar, yang merupakan kem pelarian terbesar dunia dengan longgokan lebih sejuta
pelarian Rohingya, harapan semakin menggunung agar keputusan ICJ memihak kepada
mereka selepas melalui penganiayaan selama bertahun-tahun.
“Seluruh
komuniti Rohingya sedang berdoa untuk keadilan. Kita mengharapkan satu
penghakiman yang adil,” kata ketua masyarakat Rohingya, Dil Mohammad.
Di
kalangan negara Asean, Malaysia menyifatkan keputusan ICJ dalam meluluskan
langkah sementara seperti dimohon Gambia berhubung Konvensyen Pencegahan dan
Hukuman Jenayah Genosid, sebagai hala tuju yang betul untuk menangani
penindasan terhadap etnik Rohingya.
Malaysia,
melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luarnya, turut
menggesa Myanmar memenuhi obligasi di bawah Konvensyen Genosid Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 1948 bagi memastikan krisis kemanusiaan di Myanmar
itu tidak berlarutan.
“Keputusan
itu mencerminkan kebimbangan serius komuniti antarabangsa terhadap keperluan
menangani dengan efektif penderitaan yang dialami Rohingya, di samping
menampilkan akauntabiliti serta keadilan berhubung dakwaan pelanggaran hak
asasi manusia yang serius terhadap Rohingya,” kata kenyataan itu.
Penindasan
terhadap etnik itu menyebabkan mereka membuat keputusan keluar dari wilayah
mereka dan mencari perlindungan di negara berhampiran, termasuk Malaysia.
Malaysia,
menurut kenyataan itu juga, terus menyokong usaha Gambia, yang membawa kes
berkenaan kepada ICJ selaras kedudukannya sebagai Pengerusi Ad Hoc Jawatankuasa
Kementerian berhubung Pelanggaran Hak Asasi Manusia, yang ditubuhkan di bawah
Pertubuhan Kerjasama Islam.
Malaysia
juga melihat dengan penuh minat prosiding ICJ seterusnya berhubung permohonan
Gambia terhadap lima perkara.
“Ia
terdiri daripada pengisytiharan Myanmar sebagai melanggar obligasi di bawah
Konvensyen Genosid; untuk menghentikan segera apa-apa perbuatan salah yang
sedang berlaku dan menghormati sepenuhnya obligasinya di bawah Konvensyen
Genosid.
“Juga
bagi memastikan orang yang melakukan genosid dihukum oleh tribunal yang
kompeten; untuk melaksanakan kewajipan membayar ganti rugi demi kepentingan
mangsa perbuatan genosid yang merupakan dari kaum Rohingya; dan memberikan
jaminan bahawa pelanggaran Konvensyen Genosid tidak akan berulang,” kata
kenyataan itu.
Seperkara
yang perlu kita ambil perhatian di sini, ialah tindak tanduk pasukan panel
dilantik kerajaan Myanmar ke ICJ ketika mendakwa ‘tiada pembunuhan beramai-ramai’
berlaku dalam kejadian menyaksikan 730,000 etnik Rohingya lari meninggalkan
Rakhine pada 2017.
Menurut
panel terbabit, wujud ‘alasan munasabah’ bahawa anggota pasukan keselamatan
hanya antara pelbagai pihak yang mungkin bertanggungjawab melakukan jenayah
perang atau pencabulan serius hak asasi ketika tindakan tentera pada 2017 itu.
Panel
itu juga mendakwa Suruhanjaya Siasatan Bebas tidak menemui sebarang bukti yang
menghala kepada berlaku pembunuhan atau tindakan pengusiran ini berlaku menurut
niat atau rancangan untuk memusnahkan orang Islam atau mana-mana komuniti lain
di Rakhine.
Hujahan-hujahan
tersebut bagaimanapun bercanggah dengan penemuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu yang mendapati etnik Islam Rohingya telah dirogol dan dibunuh
beramai-ramai dengan niat melenyapkan mereka ketika melarikan diri dari
Rakhine.
Kerajaan Myanmar, seperti
biasa, menolak dapatan dan keputusan yang dibuat oleh ICJ dan pada tahap ini
dijangka sedang berusaha secara gigih bagi menyakini ICJ bahawa apa yang
berlaku terhadap etnik Rohingya itu tidaklah sampai membawa ke tahap pembunuhan
genosid – satu pertuduhan yang boleh menyebabkan pemerintah Myanmar dikenakan
hukuman yang sangat berat jika disabitkan dengan jenayah tersebut.
Wallahu ‘alam (MMO)
No comments:
Post a Comment