Wednesday, May 26, 2021

DIARI KEHIDUPAN XXII : KELAHIRAN SEBUAH NEGARA "PALESTIN BAHARU”

 

Perarakan meraikan gencatan senjata Israel-Palestin di Tebing Barat

Perang Israel-Palestin yang berlarutan selama beberapa hari telah pun tamat melalui satu proses gencatan senjata yang diinisiatifkan oleh Mesir dan Jordan dan didokong oleh dunia antarabangsa, termasuk PBB.

Perang tersebut telah meninggalkan kesan yang amat besar dengan lebih 300 bangunan dan kediaman orang awam di Palestin diruntuhkan melalui bedilan bom dan serangan pesawat pejuang Israel. Serangan itu juga telah mengakibatkan kehilangan jiwa lebih 250 warga Palestin, termasuk kanak-kanak. 

Di pihak Israel, angka sebenar kemusnahan dan kerosakan harta benda tidak dikeluarkan, kecuali sekadar angka kematian rakyatnya yang dinyatakan sekitar 12 orang. Namun, dengan menganggarkan kira-kira 3,000 serangn roket dilepaskan oleh pejuang Hamas dan keupayaan Iron Dome yang dikatakan gagal menangkis 100 peratus daripada serangan itu, maka bayangkanlah sebanyak mana agaknya kerosakan sebenar yang dialami oleh Israel.

Sememangnya, tiada mana-mana pihak yang sukakan peperangan. Namun, jika diri kita sendiri, saban hari dihadapkan dengan pelbagai bentuk kekejaman yang dilakukan secara sewenang-wenangnya - pencolekan, penahanan sesuka hati tanpa bukti, rampasan tanah, perobohon rumah kediaman, penghalangan  pergerakan termasuk bagi mencari nafkah kehidupan baik di darat dan di laut, dan tidak kurang, pencerobohan secara berterusan pendatang Yahudi ke halaman dan ke dalam Masjidil Aqsa - semuanya sudah cukup memuakkan tekak rakyat Palestin sehingga mengundang mereka memuntahkan segala yang terpendam di dada melalui senjata dan perang melawan kemungkaran.

Perang singkat selama beberapa hari itu, dari satu sudut, memberikan beberapa kesimpulan yang berguna buat semua.

Antaranya, memberi peringatan kepada Israel bahawa rakyat Palestin mempunyai tahap kesabaran yang tertentu di atas setiap tindak tanduk mereka dan sebarang tindakan yang melampaui had itu sedia dibalas dengan tindakan yang serupa atau lebih buruk dari itu.

Memberi peringatan kepada Israel bahawa tindakan mereka yang berupa penjajah baik ke atas kehidupan rakyat Palestin mahupun kedaulatan tanah air negera Palestin bukanlah sesuatu yang boleh dikompromikan. Ini termasuklah tindakan rejim Israel merampas tanah dan mendirikan penempatan haram di atas tanah milik warga Palestin.

Memberi amaran kepada Israel bahawa di sebalik tekanan dan penindasan mereka, juga perpecahan yang cuba diapi-apikan oleh Israel terhadap beberapa kumpulan di Palestin, rakyat Palestin mampu untuk bangun bersatu dan mampu melawan serta memberi kemudaratan yang sewajarnya kepada Israel.

Memberi mesej kepada dunia Arab bahawa di sebalik tiadanya kesungguhan di kalangan mereka untuk membantu perjuangan rakyat Palestin - dengan sebahagian mereka sudah sanggup berjabat tangan dengan Israel dan pendokongnya Amerika Syarikat (AS) - rakyat Palestin masih sanggup meneruskan perjuangan secara bersendirian demi mempertahankan tanah air mereka dan kesucian agama serta simbol-simbol Islam di sana.

Palestin adalah sebuah negara yang kecil, malah tidak pun diiktiraf oleh Israel sebagai sebuah negara. Israel pula, di satu pihak lain, mendabik dada sebagai negara keempat terkuat di dunia dari sudut ketenteraan dan pemilikan senjata peperangan. Bagaimana boleh terjadi kedua-dua negara terpaksa menyelesaikan perperangan mereka melalui ‘gencatan senjata’?. Bukankah, sekiranya Israel bagitu kuat sudah pasti boleh meranapkan Palestin dengan sekelip mata?. 

Inilah antara pertanyaan yang boleh kita fikirkan akan jawapannya. Dalam konteks ini, saya cenderung untuk bersetuju dengan pandangan seorang panglima perang Iran, Hossein Salami, dalam menyatakan bahawa perang singkat antara Israel-Palestin itu telah menyerlahkan hakikat bahawa sebuah negara "Palestin baharu" telah lahir dengan keberanian rakyatnya melawan ketaksuban Israel dengan menggunakan senjata peluru berpandu, sedang di pihak Israel, terserlah juga kewujudan Israel baharu yang lemah dan teruk keadaannya, kecewa, gundah gulana dan hilang keyakinan diri. 

Kenyataan tersebut dibuat dalam satu majlis meraikan kejayaan Hamas dalam mencapai gencatan senjata dengan Israel.

Apapun, kita berharap perang singkat antara Israel-Palestin itu akan mampu memberi isyarat, bukan sahaja kepada Israel, tetapi juga negara-negara lain yang bersekongkol dengannya (termasuk negara Arab) - bahawa rakyat Palestin dengan segala kekurangan yang ada, sedia bangun mempertahankan tanah air mereka dengan bertunjangkan apa saja kekuatan yang mereka ada. Ini termasuklah dengan menggunakan senjata roket yang diperbuat daripada sisa bahan logam terbuang. 

Dalam hubungan ini, suka kita mengajak semua untuk merenungi sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, yang maksudnya berbunyi seperti berikut;

“Akan tetap ada satu kumpulan dalam kalangan umatku yang bangkit dengan gagah perkasa menegakkan kebenaran daripada Allah. Mereka tidak boleh dilunturkan semangat oleh orang-orang yang mengecewakan mereka.” Para sahabat bertanya, “Siapakah mereka, wahai Rasulullah?” Baginda SAW menjawab, “Mereka ialah penduduk Baitul Maqdis dan sekeliling Baitul Maqdis.” 


Wallahu a’alam (MMO)


No comments:

Post a Comment