![]() |
Suasana seperti ini mungkin tidak akan dapat dilihat lagi selepas Israel diisytihar sebagai negara Yahudi |
Dalam bulan Disember 2017 lalu,
kita dikejutkan dengan adanya tindakan Israel untuk mengambil tanah-tanah
Palestin yang diduduki secara haram oleh rakyatnya dengan cara mengundi di
Parlimen bagi membenarkan tindakan mereka itu. Dalam pengundian tersebut, kira-kira 1,500 anggota Parti Likud Perdana Menteri Benjamin Netanyahu
mengundi sebulat suara bagi menyokong usaha ke arah memanjangkan kedaulatan
Israel ke atas “Judea dan Samaria” yang merujuk kepada nama-nama Israel yang
diberikan kepada beberapa kawasan yang diduduki secara haram oleh penduduk
Yahudi dalam wilayah Palestin.
Sebelum dari itu lagi, iaitu pada awal Disember,
dunia dikejutkan dengan pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump
bahawa negara itu mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota baharu bagi Israel
dan cadangan AS untuk memindahkan kedutaan negara itu dari Tel Aviv ke
Baitulmaqdis.
Terbaharu, pada pertengahan bulan Mac ini pula,
kerajaan Israel telah membuat satu lagi pengumuman yang amat mengecewakan
Palestin dan dunia Islam seluruhnya bilamana ia membuat keputusan untuk
melaksanakan rancangan menjadikan negara Israel secara eksklusifnya menjadi
‘negara bagi bangsa Yahudi’.
Keputusan ini, yang telah tertangguh untuk
dilaksanakan selama lebih tujuh tahun, kini dikatakan menghampiri proses akhir
bilamana parti pemerintah Israel dilaporkan bersetuju dengan terma-terma akhir
melibatkan pindaan kepada beberapa undang-undang baharu yang akan membuka
laluan bagi Israel untuk diistytiharkan sebagai negara khusus bagi bangsa
Yahudi.
Menurut portal berita Al-Jazeera, rang
undang-undang itu dijangka dibentangkan di Parlimen dan seterusnya dimasukkan
ke dalam Perlembagaan negara Israel tidak lama lagi.
Penganalisis politik khususnya di dunia Arab meramalkan
undang-undang asas berhubung perkara itu yang diluluskan oleh Jawatankuasa
Keadilan Parlimen Israel baru-baru ini bakal membawa perubahan berbahaya kepada
Palestin.
Perkembangan baru tersebut tidak syak lagi bakal ‘mendalamkan
lagi luka’ buat Palestin yang sebelum ini berdepan konflik berpanjangan dengan
rejim Zionis, termasuk ekoran isu pengiktirafan Baitulmuqaddis sebagai ibu
negara Israel oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada
penghujung tahun lalu.
Aida Touma-Suleiman, seorang anggota Palestin di
dalam Parlimen Israel menegaskan, rang undang-undang itu dilihat sebagai
tindakan ‘menginstitusikan’ rejim apartheid dengan cara yang paling jelas.
Namun, sama buruk kesannya kepada Palestin dan
dunia Islam seluruhnya, undang-undang berkenaan bakal membuka jalan kepada
rejim Zionis untuk memperluaskan pencerobohan ke atas tanah Palestin di
Baitulmuqaddis Timur dan Tebing Barat agar ianya dapat disatukan dengan Israel
di bawah plan penyatuan bangsa dan negara Yahudi yang diperbesarkan.
Sebelum ini, rang undang-undang untuk
mengisytiharkan Israel sebagai negara bangsa Yahudi dilihat sesebagai sesuatu
yang merbahaya. Justeru itulah perlaksanaannya ditangguhkan buat suatu tempoh
waktu yang agak lama sejak versi pertama cadangan diperkenalkan pada 2011 oleh
Avi Dichter, ahli Parti Likud yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Benjamin
Netanyahu.
Versi akhir yang diluluskan pada pertengahan Mac 2017,
antara lain, bakal menggugurkan status bahasa Arab yang merupakan bahasa ibunda
bagi satu per lima penduduk Israel supaya tidak lagi menjadi bahasa rasmi
selain bahasa Hebrew.
Perkara itu turut dikhuatiri bakal menggalakkan
komuniti Yahudi yang menguatkuasakan undang-undang baru ini untuk mengusir 1.8
juta rakyat Arab Palestin dari Israel dan mengutamakan hak-hak orang Yahudi di
luar negara berbanding rakyatnya yang berketurunan Arab.
Sehubungan ini, sayugia disebutkan, data
kependudukan Yahudi di seluruh dunia dalam tahun 2016 mencatatkan jumlah mereka
adalah kira-kira 14 juta orang dengan kebanyakannya tinggal di Eropah. Justeru
sekiranya penyatuan Yahudi berlaku sepenuhnya ekoran dari adanya tindakan
terbaharu kerajaan Israel ini, jumlah penduduk Yahudi di Israel dengan mudah
akan meningkat sekali ganda lagi daripada jumlah yang ada sekarang iaitu
daripada 7 juta menjadi 14 juta orang.
Seimbas pandang, tindakan rejim Zionis Israel ini
seolah-olah memperlihatkan wujudnya kecenderungan yang kuat dipihak rejim itu
untuk mengikut jejak pentadbiran Trump dalam melaksanakan beberapa keputusan besar yang berkait
dengan kepentingan negara itu yang sebelum ini tertangguh buat beberapa lama.
Dalam konteks AS, keputusan yang tertangguh itu adalah berkaitan pengiktirafan
Baitulmaqdis sebagai ibu negara baru bagi Israel dan rancangan pemindahan
kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis yang tertangguh lebih 10 tahun. Dan
dalam konteks Israel pula, keputusan yang tertangguh itu adalah berkaitan
dengan isu yang ada di hadapan kita sekarang, iaitu pengistyharan Israel
sebagai negara bagi bangsa Yahudi.
Itulah nampaknya nasib buruk yang berterusan menimpa
Palestin sejak kebelakangan ini, terutama selepas Donald Trump mengambilalih
teraju kepimpinan AS. Satu persatu tindakan yang menghimpit kepentingan Palestin
yang sebelum ini dilihat sebagai suatu idea yang sukar untuk dilaksanakan, kini
dengan segera dihidupkan menjadikan suatu tindakan yang perlu segera
dilaksanakan.
Malangnya, dengan dunia Arab yang kini berada dalam
keadaan yang lemah kerana dibaluti dengan pelbagai masalah, apa yang berlaku di
Palestin pada masa ini hanya sekadar mampu menjadi bahan pemberitaan untuk pembacaan dan perbincangan, bukannya bahan
untuk mendapatkan pembelaan dan keadilan.
Dalam satu perkembangan lain yang masih menyentuh
isu kepentingan Palestin, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang
membantu pelarian Palestin - Agensi Pemulihan dan Bantuan Pekerjaan PBB (UNWRA)
memaklumkan, badan itu telah menerima ikrar sumbangan dana tunai baharu bagi
membolehkannya beroperasi selama beberapa bulan. Agensi tersebut bagaimanapun
menyatakan jaminan bantuan untuk tempoh jangka panjang sejauh ini tidak dapat
dipastikan.
Menurut laporan media, UNWRA masih berusaha secara
giat untuk mencari dana bagi menampung kekurangan bajet badan itu yang
dianggarkan sebanyak AS$446 juta (RM1.75 bilion), sebahagian besarnya
disebabkan adanya keputusan Trump pada Januari lalu yang secara tiba-tiba
bertindak membekukan bantuan kepada Palestin.
Berkaitan dengan usaha ini, satu persidangan dana
di Rome, Itali dikatakan telah berjaya menarik janji dari beberapa negara untuk
tambahan dana sebanyak AS$100 juta (RM392.70 juta). Komitmen tersebut
bagaimanapun dianggap tidak memadai dan bakal meninggalkan UNWRA dengan tugas
berat dalam memastikan perkhidmatan pendidikan, penjagaan kesihatan dan
keselamatan makanan dapat bertahan untuk suatu jangkamasa yang munasabah.
Perkembangan ini telah mengundang Setiausaha Agung
PBB, Antonio Guterres, untuk membuat kenyataan dalam melahirkan rasa bimbang
beliau terhadap perjalanan UNWRA sekiranya dana UNWRA terus berhadapan dengan
ketidaktentuan sepertimana yang berlaku pada masa sekarang.
Wallahua’alam (MMO).
Wallahua’alam (MMO).
*******
No comments:
Post a Comment