Tuesday, June 15, 2021

DIARI KEHIDUPAN XXIII : ISRAEL BAKAL DILIBATKAN DENGAN KESALAHAN JENAYAH PERANG


Bangunan ICC di The Hague, Belanda


Di dalam artikel kita yang lalu, kita ada membicarakan bagaimana Israel yang mengaku sebagai kuasa keempat dunia dari sudut pertahanan, tergamak melancarkan serangan udara yang begitu besar skalanya ke atas wilayah Gaza di Palestin, sebuah wilayah yang mundur, terbiar dan sesak dengan kepadatan penduduknya yang ketinggalan serba serbi dalam penghidupan mereka. 

Apa yang dilakukan oleh Israel itu tak ubah seperti tindakan perang dengan memanfaatkan teknologi pertahanan udaranya yang canggih, termasuk jet-jet pejuang moden buatan Amerika Syarikat (AS).

Tindakan perang 11 hari Israel ke atas Palestin itu, tidak lain, adalah bertujuan untuk meranapkan Palestin, dan dalam jangka masa panjang, ‘mengeluarkan’ Palestin dari tanah air mereka untuk sekaligus bakal membolehkan Israel memperluaskan wilayah mereka hingga merangkumi Gaza. 

Tindakan di pihak Israel itu juga jelas berbentuk satu penghapusan etnik terhadap penduduk asal Palestin melalui apa yang boleh dianggap sebagai kolonialisme pihak berkuasa yang secara berleluasa menyalahgunakan kuasa dan undang-undang bagi mengambilalih tanah milik warga Palestin.

Tindakan Israel tersebut juga bercanggah dengan ketetapan Kenvensyen Geneva Keempat berkaitan “Perlindungan Orang-orang awam Dalam Masa Peperangan” apabila penduduk awam Palestin dibunuh dan diusir daripada kampung halaman mereka secara kekerasan dan paksaan melalui azab perang yang dicetuskan oleh mereka. 

Tindakan jenayah Israel dalam melancarkan serangan sesuka hati, baik dalam skala kecil mahupun besar seperti apa yang berlaku dalam bulan Mei lalu, yang ditunjangi sebelumnya oleh beberapa kejadian perampasan tanah dan perluasan penempatan haram Israel di atas tanah milik warga Palestin, juga amat bertentangan  dengan Peraturan-peraturan Hague, 1907.

Ia juga melanggar Resolusi 2334 Majlis Keselamatan PBB pada 23 Disember 2016 yang menuntut Israel mentaati kehendak undang-undang antarabangsa dengan menghentikan segera segala pembinaan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin yang diduduki. 

Bagaimanapun, Resolusi ini lemah kerana gagal menghentikan aktiviti pencerobohan Israel ke atas kawasan yang didiami penduduk Palestin. Ketiadaan frasa punitif atau hukuman yang jelas terhadap rejim Israel telah menyebabkan Resolusi 2334 itu dicabuli dengan parahnya. Apa lagi dengan adanya campur tangan kuasa-kuasa besar, terutama AS yang sentiasa berpihak kepada Israel dalam banyak hal yang membabitkan survival rejim itu, ianya dalam banyak hal memburukkan lagi keadaan yang ada.

Dalam konteks ini, kita amat bersyukur, gencatan senjata yang dicapai oleh kedua-dua pihak, Israel dan Palestin, tidak sampai dimanfaatkan oleh Israel bagi menutupi kesalahan dan jenayah yang dilakukan mereka terhadap kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa ratusan jiwa warga Palestin dalam Perang yang sengaja dicetuskan oleh Israel itu.

Atas prinsip ini, kita amat menyanjungi dan menyokong sepenuhnya pendirian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam mempertimbangkan tindakan bagi melaksanakan satu siasatan antarabangsa berhubung konflik Israel-Palestin baru-baru ini.

Di pihak Israel, sepertimana yang dijangka, mereka mendakwa tindakan di pihak ICC itu sebagai suatu pakatan yang berniat jahat, berunsur anti-semitism dan tidak selari dengan semangat dunia antarabangsa yang mahu membebaskan Israel dari sebarang bentuk kekejaman dan penindasan oleh mana-mana jua pihak. 

Keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda pada 5 Februari lalu jelasnya, memberikan harapan baru terhadap usaha berterusan masyarakat antarabangsa untuk mengheret rejim Zionis Israel ke muka pengadilan.

Dalam keputusannya, panel hakim ICC secara majoriti memutuskan mahkamah itu mempunyai bidang kuasa untuk mengadili jenayah yang dilakukan rejim Israel di wilayah Palestin, yang turut merangkumi Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Lantaran itu, Ketua Pendakwa ICC, Fatou Bensouda mengesahkan siasatan terhadap isu Palestin dimulakan secara rasminya pada 3 Mac lalu.

Dalam satu perkembangan lain yang berkaitan, Majlis Hak Asasi PBB (UNHCR) melalui suatu sidangnya, telah meluluskan resolusi yang bakal mendorong suatu tahap pembongkaran yang belum pernah berlaku dalam sejarah terhadap tindak-tanduk Israel ke atas Palestin. 

Resolusi tersebut yang dibawa oleh Pakistan mewakili OIC dan Palestin, antara lain menutut agar diadakan satu siasatan terhadap pelanggaran undang-undang oleh Israel ke atas Palestin sambil mencari punca asas yang menyebabkan berlarutannya konflik Israel - Palestin selama ini. 

Apa yang menarik, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet dalam kenyataannya ketika merasmikan sidang kemuncak UNHCR tersebut telah memberi amaran yang tindakan Israel dalam melaksanakan serangan ke atas Palestin pada bulan Mei lalu mungkin boleh ditakrifkan sebagai suatu jenayah perang.

Apa pun, kita tidak seharusnya merasa selesa dan mudah berpuas hati dengan pencapaian-pencapaian terbaru yang dilalui oleh Palestin ini.  Ia dengan kata lain, mungkin sesuatu yang belum mencukupi. Selain mengambil masa yang cukup panjang bagi pelaksanaan semua ketetapan yang bakal dikenakan terhadap Israel (itupun jika ada), campur tangan kuasa-kuasa besar sekutu Israel kerap kali mampu menggagalkan apa juga resolusi atau ketetapan yang dibuat ke atas rejim Zionis itu.

Kecuali dengan adanya kesungguhan seluruh dunia, lebih-lebih lagi dalam kalangan negara-negara Arab/Islam sendiri (yang sering tidak sehaluan dan lebih mengutamakan kepentingan diri), perkembangan yang berlaku ini mungkin sukar untuk diharapkan sebagai jalan keluar bagi membantu umat Palestin dari kemelut masalah yang dihadapi mereka sejak puluhan tahun yang lalu.

Dalam masa yang sama, tindakan-tindakan lain yang efektif dan bersesuaian mungkin boleh juga difikirkan untuk dilaksanakan. Ini termasuklah sekatan ekonomi yang menyeluruh pada peringkat antarabangsa terhadap Israel, menempatkan pengaman antarabangsa bagi menjamin keselamatan penduduk Palestin serta membantu apa juga yang mampu dilakukan bagi memastikan Israel akhirnya dihadapkan juga ke muka pengadilan di ICC.

Seperkara yang perlu diingat oleh kita, isu Palestin tidak seharusnya dilihat sebagai isu eksklusif yang terhad kepada umat Islam semata-mata, sebaliknya ia adalah isu hak asasi manusia sejagat yang memerlukan komitmen dan sokongan dunia antarabangsa bagi menjayakannya - tidak kira di mana, warna kulit mahupun agama. 

Juga perlu diambil ingatan, perjuangan ke arah kemerdekaan Palestin memerlukan suatu tindakan yang konsisten dan berterusan, bukan bersifat bermusim atau menjadi hak istimewa bagi mana-mana golongan tertentu untuk memperjuangkannya. Ia sebaliknya memerlukan kerjasama, komitmen dan penglibatan semua pihak, baik kerajaan, rakyat mahupun pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang sering memperjuangkan isu-isu hak asasi kemanusiaan dan antarabangsa.


Wallahu a’alam (MMO)



No comments:

Post a Comment