Wednesday, April 25, 2018

A.M. AZAHARI, SULTAN DAN BRUNEI RAYA (BAHAGIAN 17)


Penjajah Yang Angkuh 

DYMM Sultan Omar Ali Saifuddein, sebagai raja bertakhta dalam suasana politik yang kosong sebelumnya, adalah tenaga tunggal berdepan dengan kuasa penjajah British untuk mewujudkan satu persiapan memimpin rakyat ke arah berkerajaan sendiri mengikut kaedah yang baginda fikir paling sesuai. Betapa tidaknya, sejurus Baginda Sultan menaiki tahta pada tahun 1950, tidak terbayang lagi akan berlaku peristiwa BRUFICO dan belum muncul riak rakyat untuk berpolitik.

Mungkin juga Baginda Sultan tidak pernah terfikir akan muncul di tengah masyarakat Brunei satu tenaga rakyat yang tersusun, akan bangkit menuntut hak bersama merangka dan melaksanakan sebuah perlembagaan untuk negeri Brunei. 


Kini Parti Rakyat Brunei (PRB) hadir dengan pandangan yang berbeza menuntut hak untuk sama berperanan, malah mahu menggantikan kuasa Residen British untuk menggimbari Baginda Sultan mentadbir negeri Brunei selaras tuntutan berkerajaan sendiri dan merdeka. 

Melalui pelantar PRB itu, A.M. Azahari berdatang sembah memohon supaya perlembagaan itu memberi hak berkongsi kuasa antara raja dan rakyat. Ironinya ialah kuasa penjajah British, Istana dan PRB tidak berupaya untuk duduk semeja dan bertentang mata barang seketika bagi membincangkan perlembagaan yang satu untuk semua itu.

Bagi A.M. Azahari dan PRB, cara terbaik bagi menghurai nasib masa depan negara bangsa dan Institusi Kesultanan Brunei adalah melalui perundingan tiga penjuru yang telus dan ikhlas, iaitu antara British selaku Kuasa Penjajah, Baginda Sultan dan PRB. 

Keengganan dua pihak lagi meraikan anjuran PRB supaya ketiga pihak duduk berunding dan bermuafakat mengenai kandungan perlembagaan itu telah menimbulkan keraguan melampau di kalangan massa mengenai kejujuran mereka menunaikan aspirasi rakyat. Malah keangkuhan mereka memperkecil suara rakyat itulah antara pencetus krisis perlembagaan yang serius, dan antara sebab berlakunya kebangkitan massa pada 8hb Disember 1962. 

Pandangan ini dikongsi sama oleh Duli Pengiran Perdana Wazir dalam bukunya “Remember The 8th December (ms 55), antara lain menyebut “There once was a land of 83,000 people and it had a constitution. And in that constitution, it seems to me, all the problems start and end. It is I believe, at the heart of all the claimed conspiracies………. the rebels interpreted it one way. The government another. And the British were more deeply involved than anyone anywhere in the region knew.” 

Memorandum Cadangan Perlembagaan PRB 

Ke arah menunaikan tanggungjawab politik dan sejarah, PRB yang baru berumur setahun jagung itu telah melakar sebuah Memorandum Cadangan Perlembagaan yang dihadapkan kepada Setiausaha Tanah-Tanah Jajahan British di London pada 18 Julai 1957 melalui Pesuruhjaya Tinggi British bagi Brunei Sir Anthony Abell yang berpejabat di Kucing, Sarawak. 

Memorandum ini telah diterima oleh Pejabat Tanah-Tanah Jajahan British. Berikutan itu, menyusul pula perundingan antara Rombongan Merdeka PRB diketuai A.M. Azahari dengan Pegawai Tinggi Pejabat Tanah-Tanah Jajahan pada 26hb September 1957. Perundingan tingkat tinggi dengan Setiausaha Tanah-Tanah Jajahan British, Sir Allan Lenox Boyed pula berlangsung pada 30hb September 1957. 

Malangnya memorandum yang mengangkat aspirasi majoriti rakyat Brunei ini tidak diambil perhatian sewajarnya oleh Pejabat Tanah-Tanah Jajahan British dan Baginda Sultan, menyebabkan rakyat pada umumnya begitu kecewa. 

Berikut ialah terjemahan teks Memorandum Cadangan Perlembagaan PRB seperti yang disebutkan. Dokumen ini mengandungi pandangan dan cadangan PRB mengenai roh perlembagaan yang dihasratkan oleh parti tersebut untuk pertimbangan Pejabat Tanah-Tanah Jajahan British dan Baginda Sultan sendiri. 

Semoga dokumen ini sedikit sebanyak dapat membantu pelajar sejarah, khususnya kajian menyangkut salur galur perlembagaan Brunei 1959 dan natijah selepasnya: 

“MEMORANDUM CADANGAN PERLEMBAGAAN 

Makna dan konsep “Merdeka” 

Parti Rakyat adalah parti dan gerakan yang lahir dari aspirasi dan semangat rakyat Brunei yang mahukan kebebasan sejak tahun 1946. Semangat dan keinginan ini sudah meresap ke seluruh pelusuk Asia Tenggara di mana rakyat inginkan hak dan suara di dalam pentadbiran.

Rakyat Brunei adalah taat dan setia kepada Raja, oleh itu apa yang mereka inginkan adalah hak mereka sebagai manusia yang lahir bebas dan bermaruah, bukannya memberontak semata-mata inginkan kuasa. Mereka bersifat penyabar, cintakan kedamaian dan pada masa yang sama satu bangsa yang mementingkan harga diri. Oleh itu asalkan maruah mereka dihormati, mereka akan berpuas hati jika diberikan peranan dan kuasa yang bermakna dalam pentadbiran, walaupun ini belum bererti “merdeka” yang sebenar. 

Parti Rakyat 

Keahlian Parti Rakyat sudah berjumlah 16,000 dalam tahun pertama di mana jumlah tersebut merangkumi peratusan yang besar bilangan lelaki dewasa di Brunei. Lebih penting lagi, taburan ahli-ahli Parti adalah meliputi seluruh daerah-daerah di Brunei termasuk Bandar Brunei, Seria, Muara, Tutong, Temburong dan Kuala Belait. Ini menunjukkan kesatuan dan semangat kenegaraan sudah wujud di kalangan rakyat Brunei ketika ini. Ini adalah bukti terhadap kedudukan Parti Rakyat sebagai wakil kepada sentimen sebenar rakyat Brunei. Parti Rakyat yakin mendapat mandat daripada rakyat dan sejauh mana kebenaran kenyataan ini akan dapat dibuktikan di dalam pilihanraya kelak. 

Ekonomi 

Penemuan minyak hampir tiga puluh tahun lepas membawa perubahan besar kepada Brunei, yang mana sebelum itu adalah sebuah negara yang miskin hinggalah kini mempunyai sumber kekayaan yang mengagumkan. Sungguhpun demikian kita tidak seharusnya leka dengan kedudukan sekarang. Kita semestinya mengambil kesempatan masa senang kini dengan membuat persediaan menghadapi kesusahan yang mungkin tiba di masa hadapan. Adalah benar General Reserve Fund yang kini berjumlah empat ratus juta dolar sudah diwujudkan untuk tujuan ini. Tetapi simpanan wang tunai sedemikian tidak terjamin kestabilannya kerana nilainya mungkin terjejas bergantung kepada keadaan pasaran matawang. 

Oleh itu kekayaan negara hendaklah dilaburkan ke arah sumber-sumber ekonomi yang tetap. Langkah pertama yang perlu dijalankan ialah menaikkan taraf kehidupan rakyat secara menyeluruh. Bukan sekadar menaikkan pendapatan, tetapi merangkumi semua aspek perumahan, pendidikan, kesihatan, dan juga tanggungjawab sivik. 

Seterusnya ialah pembinaan infrastruktur penting seperti jalanraya, pelabuhan dan kilang-kilang untuk membangunkan sektor pertanian dan perindustrian. Inilah sebabnya kita memerlukan sebuah pentadbiran yang demokratik untuk memastikan segala perancangan berjalan dengan lancar dan cekap. Risiko kegagalan untuk membangunkan rakyat Brunei dalam dekad seterusnya adalah satu kemungkinan yang tidak sepatutnya dihadapi oleh rakyat Brunei. Yang nyata di sini demokrasi ialah jalan untuk menjaga kepentingan masa hadapan rakyat Brunei. 

Kesedaran Politik 

Ada pendapat yang mengatakan kemunduran fikiran dan politik rakyat Brunei akan menghalang pembentukan demokrasi yang sebenar. Walaupun terdapat segelintir rakyat yang ketinggalan dalam pendidikan dan pengetahuan, ini tidak bermakna mereka tidak mempunyai kemampuan untuk memahami isu-isu yang menyentuh kehidupan mereka. Adalah tidak adil untuk menyifatkan undi mereka ini sebagai tidak berguna dan perlu diingat masalah ini bukannya sesuatu yang unik dan terdapat di Brunei sahaja, malah di negara-negara Barat yang maju pun terdapat pengundi yang serupa. 

Kelayakan Mengundi 

Adalah dicadangkan bahawa semua lelaki dewasa rakyat Brunei yang berumur 18 tahun dan ke atas adalah layak untuk mengundi. Status kerakyatan seseorang mestilah ditentukan melalui syarat-syarat tertentu yang adil dan tidak bersifat diskriminasi terhadap kaum bukan Melayu. Syarat pertama ialah kelahiran di Brunei, kedua ialah tinggal menetap di Brunei untuk satu tempoh yang tertentu, dan ketiga ialah menerusi proses kewarganegaraan. Sungguhpun majoriti rakyat Brunei ialah terdiri dari kaum Melayu, terdapat sejumlah rakyat keturunan Cina yang berkedudukan penting di Brunei. Maka sebab ini, dianjurkan supaya Bahasa Melayu, Cina dan Inggeris bersama-sama dinaikkan sebagai Bahasa Rasmi di Brunei. 

Perlembagaan 

Negara Brunei tidak mempunyai perlembagaan bertulis. Secara tradisi ia diperintah oleh Sultan yang dibantu oleh empat orang Wazir dan lain-lain pegawai. Cuma peninggalan struktur pemerintahan ini sahaja yang masih kekal sejak tahun 1906, kerana setelah termeterainya perjanjian dengan Kerajaan Inggeris di mana Sultan telah bersetuju untuk menerima seorang Pegawai British yang akan bertindak sebagai Residen, Agen dan wakil kepada Kerajaan Inggeris, dan Sultan dikehendaki menerima nasihat Residen tersebut dalam semua perkara kecuali yang melibatkan agama Islam, secara tidak langsung Kerajaan Brunei telah tertakluk di bawah kekuasaan British. 

Majlis Mesyuarat Kerajaan yang ada sekarang adalah bersifat tidak demokratik di mana tidak wujud langsung elemen pemilihan untuk menentukan wakil rakyat dan tidak ada peluang untuk rakyat bersuara dan mengkritik. Yang paling penting ialah tidak wujud satu cara untuk menukar pentadbiran yang tidak dipersetujui oleh majoriti dan juga tidak cekap. 

Rakyat Brunei semakin sedar akan perasaan kecewa terhadap situasi ini di mana mereka tidak mempunyai kuasa untuk membuat perubahan. Rakyat inginkan hak dan suara untuk menentukan nasib mereka sendiri. Yang jelas, perubahan cuma akan berlaku dengan mewujudkan sebuah perlembagaan yang berdasarkan demokrasi. 

Perlu ditekankan bahawa sekarang ialah tempoh yang kritikal untuk negeri Brunei. Tidak lagi dapat dinafikan di mana-mana sahaja rakyat semakin sedar secara politik. Walaupun mereka belum dapat membentuk aspirasi mereka secara terperinci, mereka tentu dapat membezakan di antara Majlis yang mana mereka mempunyai suara dan Majlis yang akan mengekang hak-hak mereka. Rakyat kini hidup dengan penuh harapan, adalah sangat malang sekiranya perasaan tersebut bertukar menjadi kecewa. Sekaranglah masa yang paling sesuai untuk mendapat kerjasama yang sepenuhnya dari mereka ketika semangat saling percaya, kesetiaan dan kemampuan sedang meningkat. Dari segi kekurangan pengalaman pula, rakyat tentulah bersedia untuk belajar. Oleh itu, atas semangat dan prinsip inilah cadangan berikut dibuat. 

Apa yang dicadangkan ialah penubuhan sebuah sistem Demokrasi Raja Berperlembagaan di mana DYMM Sultan akan memerintah berdasarkan nasihat daripada kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Secara ringkas adalah disarankan untuk menubuhkan sebuah Majlis (Legislative Assembly) yang dianggotai oleh 36 orang ahli, di mana 27 adalah dipilih oleh rakyat, dan selebihnya dilantik oleh DYMM Sultan termasuk sekurang-kurangnya 2 orang wakil dari Brunei Shell Petroleum Company Limited. Residen British pula akan bertindak selaku Speaker Majilis tersebut dengan mempunyai satu undi. Negara Brunei akan dibahagikan kepada sejumlah kawasan-kawasan untuk tujuan pilihanraya. Pengundian hendaklah dijalankan secara undi rahsia. 

Kuasa eksekutif terletak di tangan Kerajaan pada waktu itu. DYMM Sultan menurut perlembagaan akan memanggil menghadap Ketua Parti (sekiranya ada), yang memegang majoriti di dalam Majlis untuk membentuk Kerajaan dan akan bertindak menurut nasihat beliau di dalam soal perlantikan Menteri dalam kerajaan. Setelah pembentukan kerajaan Ketua Parti tersebut akan menjadi Ketua Menteri. Menurut perlembagaan lagi, Ketua Menteri akan menasihati DYMM Sultan dalam pentadbiran setelah beliau merujuk kepada Residen British (bergelar Penasihat British) selaku Agen kepada Kerajaan British. 

Adalah dicadangkan lagi, satu penggal pemerintahan sebuah kerajaan adalah selama empat tahun. Sebuah pilihanraya umum hendaklah di adakan dalam tempoh enam minggu setelah Majlis dibubarkan oleh DYMM Sultan. Setelah genap lima tahun perlaksanaan perlembagaan yang dicadangkan, Kerajaan British bersama dengan DYMM Sultan dan Kerajaan waktu itu patut mengadakan perbincangan untuk membuat pindaan terhadap perlembagaan tersebut. Satu kaedah juga perlu diwujudkan untuk membuat pindaan kepada perlembagaan, iaitu melalui resolusi yang diluluskan oleh majoriti dua pertiga ahli Majlis selama tiga tahun berturut-turut. 

Perkembangan Masa Hadapan 

Penubuhan sebuah Persekutuan di antara Brunei, Sarawak dan Borneo Utara harus dijadikan objektif. Kemungkinan untuk mewujudkan persekutuan dengan Tanah Melayu yang lain juga adalah suatu yang perlu difikirkan. Tetapi ini bukanlah suatu isu yang mempunyai kepentingan setaraf dengan isu perlembagaan di Brunei yang harus diselesaikan terlebih dahulu. Ianya juga tidak sepatutnya mempengaruhi apa saja keputusan di dalam penyelesaian isu perlembagaan tersebut. 

“Oleh itu, Kami dari Parti Rakyat, di atas dan untuk nama rakyat Brunei, memohon kepada Kerajaan Baginda Seri Ratu di United Kingdom untuk menerima Memorandum ini. Kami dengan segala hormatnya juga meminta agar Yang Berhormat Setiausaha Negara mengenai hal-ehwal Luar Negeri menerima di London sebuah delegasi dari Brunei pada tarikh awal (seperti September 1957), untuk menyokong cadangan-cadangan yang dibuat di dalam Memorandum ini dan untuk tujuan menjawab sebarang bantahan yang mungkin ditimbulkan terhadap cadangan-cadangan tersebut sebelum Kerajaan Baginda Seri Ratu membuat keputusan mengenai nasihat yang akan diberikan kepada DYMM Sultan dalam rundingan Perlembagaan Baru Brunei.” 

Begitulah kandungan memorandum yang dinilai kalangan penganilisis politik sebagai amat sederhana dan berhemah, yang telah dihantar ke Pejabat Tanah-Tanah Jajahan British di London disusuli dengan perbincangan antara perwakilan PRB dan pejabat Tanah-Tanah Jajahan British. 

Justeru itu, beranikah kita menyatakan bahawa pendekatan politik perlembagaan A.M. Azahari dan PRB untuk menghurai dan melakar nasib masa depan negara bangsa melalui perundingan, muafakat dan kesepakatan bersama tiga pihak berkepentingan yang telus dan ikhlas, iaitu antara British selaku Kuasa Penjajah, Baginda Sultan dan PRB mewakili suara majoriti rakyat sebagai pendekatan yang salah?. 

Kenapakah anjuran ikhlas PRB ini tidak pernah disahut dan disambut, malah diperlekeh dan dijadikan bahan fitnah, konon A.M. Azahari dan PRB gila kuasa, pengkhianat dan penderhaka yang mahu merampas kuasa sultan? Tidakkah ini satu bentuk provokasi terhadap rakyat?. 


Wallahua’alam (MMO).


*****



 

No comments:

Post a Comment