Sunday, September 20, 2020

DIARI KEHIDUPAN VI : ISLAMOFOBIA ~ KEJADIAN-KEJADIAN PENGHINAAN TERHADAP RASULULLAH SAW

 

Mural menunjukkan mereka yang terbunuh dalam serangan di pejabat akhbar Charlie Hebdo 
pada Januari 2015 di Paris. - Foto AFP


Akhir bulan Ogos lalu kita dikejutkan dengan tindakan sebuah akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo, yang bertindak menerbitkan semula kartun kontroversi menghina Rasulullah SAW yang pernah menjadi punca kepada serangan berdarah ke atas pejabat majalah itu dalam tahun 2015. 

Dalam kejadian yang berlaku pada 7 Januari 2015 itu seramai 12 orang termasuk beberapa kartunis terkemuka Perancis telah terbunuh. Dua adik beradik, Said dan Cherif Kouachi telah didakwa terlibat dalam melakukan serangan tersebut bersama 14 individu lain.

Tindakan akhbar Charlie Hebdo dalam menerbitkan semula kartun berkenaan dikatakan dibuat sebagai menandakan bermulanya perbicaraan kes berkenaan.

Pengarah Urusan Charlie Hebdo, Laurent "Riss" Sourisseau, dalam ruangan editorial terbaru akhbar itu, menulis bahawa pihaknya 'tidak akan berserah, tidak akan berputus asa'.

Muka depan terbaru Charlie Hebdo memaparkan 12 kartun yang pertama kali diterbitkan akhbar harian Denmark, Jyllands-Posten pada 2005 dan dicetak semula oleh Charlie Hebdo pada 2006, yang menimbulkan kemarahan umat Islam global. 

Kumpulan pengarangnya menulis bahawa inilah masa yang tepat untuk menerbitkan semula kartun itu, dengan mengatakan ia adalah 'keperluan' bagi menandakan bermulanya perbicaraan yang ditunggu-tunggu itu. Berikutan itu juga, pengurusan Charlie Hebdo merancang untuk mencetak tiga juta naskhah edisi baru itu, sekali gus mengatasi edaran biasa sebanyak 60,000 naskhah.

Tindakan akhbar Charlie Hebdo dalam menerbitkan semula kartun yang bertujuan menghina Rasulullah SAW itu telah mengundang tentangan yang tidak sedikit dari beberapa buah negara Islam yang melihatnya sebagai cubaan berterusan akhbar berkenaan yang cuba menghina Islam dan junjungan Rasulullah SAW sebagai pembimbing ummah.

Di Kaherah, Mufti Besar Mesir, Shawqi Allam, memberi amaran kepada akhbar berkenaan supaya tidak menyiarkan karikatur terbaru menghina Nabi Muhammad SAW kerana tindakan itu adalah rasis dan boleh mencetuskan kebencian serta mengguris perasaan umat Islam di seluruh dunia.

"Edisi ini akan menyebabkan gelombang baharu kebencian di Perancis dan masyarakat Barat amnya. Ini adalah provokasi yang tidak wajar terhadap perasaan umat Islam di seluruh dunia," ujar Mufti Besar Mesir dalam satu kenyataan beliau kepada pihak media.

Sementara itu, satu kenyataan yang di pihak al-Azhar pula mengecam tindakan akhbar Charlie Hebdo itu dengan menyifatkannya sebagai suatu perbuatan jenayah.

Di Karachi, Pakistan, puluhan ribu penduduk turun ke jalanan dengan melaungkan 'kematian buat Perancis' dan menggesa tindakan boikot produk negara itu sebagai protes terhadap majalah Charlie Hebdo. Penunjuk perasan membawa pelbagai plakad dalam protes itu. Antaranya tertulis ayat 'pancung adalah hukuman kepada kufur'.

Di Istanbul, Turki, sekumpulan kira-kira 200 orang telah menyertai tunjuk perasaan sebagai membantah tindakan akhbar satira Perancis itu. Mereka dikatakan membawa sepanduk yang tertera kecaman terhadap Charlie Hebdo dan amaran terhadap Presiden Perancis, Emmanuel Macron agar perlu 'membayar' harga yang tinggi kerana menyokong tindakan akhbar berkenaan dengan menyifatkannya sebagai ‘kebebasan untuk menghina'.

Di satu pihak lain, Kementerian Luar Turki tidak berdiam diri dengan mengecam penerbitan semula kartun itu sebagai perbuatan tidak menghormati agama dan Nabi.

Turut membantah tindakan Charlie Hebdo adalah Mahkamah Turki yang mengarahkan sebuah laman web yang menyiarkan muka depan akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo disekat. Perintah itu dikeluarkan selepas satu petisyen difailkan oleh seorang peguam yang meminta pihak berkuasa menyekat laman web yang menyiarkan kartun Nabi Muhammad.

Sekadar rekod, sebuah mahkamah di Istanbul, dalam bulan April 2016, pernah menjatuhkan hukuman dua tahun penjara ke atas dua wartawan terkenal Turki kerana menyiarkan lakaran kartun Nabi Muhammad dalam ruangan yang diterbitkan akhbar satira mingguan Perancis, Charlie Hebdo. Hukuman ke atas  kolumnis akhbar harian pembangkang Cumhuriyet itu menegaskan lagi dasar dan pendirian Presiden Recep Tayyip Erdogan berhubung kebebasan akhbar di Turki khususnya berkaitan hal-hal pemeliharaan kesucian agama Islam. 

Di Nigeria, situasi yang lebih tragis berlaku rentetan kemarahan umat Islam terhadap tindakan individu dan kumpulan-kumpulan tertentu yang bertindak  menghina Rasulullah SAW. Seorang lelaki beragama Islam, dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh sebuah mahkamah syariah di sebuah negeri yang terletak di utara Nigeria.

Yahaya Sharif-Aminu, yang berusia 22 tahun didakwa melakukan perbuatan tersebut pada Mac lalu dengan menyebarkan lagu mencerca Nabi Muhammad melalui aplikasi WhatApps. Ketika perbicaraan, Yahaya tidak menafikan perbuatannya itu dan Hakim Khadi Aliyu Muhammad berkata, lelaki itu boleh merayu terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atasnya. Masyarakat Islam Nigeria yang terguris dengan tindakan lelaki itu kemudiannya membakar rumah penyanyi tersebut.

Di Dhaka, Bangladesh, tempias tindakan Charlie Hebdo turut menimpa nasib seorang penganut Hindu apabila dia dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun kerana didapati bersalah menghina Nabi Muhammad SAW di Facebook miliknya. Bangladesh secara rasminya adalah negara sekular, namun kritikan terhadap Islam adalah dilarang. Negara itu pernah digegarkan dengan protes secara ganas berhubung kandungan media sosial yang dianggap menghina Islam.

Tidak ketinggalan dalam menunjukkan bantahan terhadap isu yang berbangkit adalah Senegal - sebuah negara di benua Afrika yang di terajui oleh kerajaan Islam yang turut mengharamkan pengedaran edisi akhbar Charlie Hebdo serta akhbar harian Perancis, Liberation, yang turut menerbitkan kartun mengenai Nabi Muhammad di muka depannya.

Di kalangan negara jiran kita, Indonesia dan Malaysia muncul antara negara yang paling banyak melahirkan kumpulan yang secara aktif bergiat dalam hal-hal keagamaan, termasuk menentang cubaan mana-mana pihak yang bertujuan untuk mencemar kesucian agama Islam dan keperibadian para Nabi. 

Malangnya, di negara-negara ini juga sering muncul individu serta kumpulan-kumpulan tertentu yang bertindak secara berani dan membelakangkan undang-undang bagi melaksanakan agenda mereka dalam memperlekehkan kesucian agama Islam, termasuk menghina keperibadian Rasulullah SAW. Mereka sering menggerakkan aktiviti dan agenda mereka dengan berselindungkan di sebalik hak kebebasan media, hak untuk bersuara dan hak asasi kemanusiaan sejagat yang giat diperjuangkan oleh pihak Barat.

Kewajipan Mempertahankan Rasulullah SAW

Sejarah penghinaan - dengan pelbagai cara - terhadap Baginda SAW terus berlanjutan dari semasa ke semasa. Umum mengetahui, ianya bermula sejak zaman Baginda SAW mula menyebarkan dakwah Islam lagi sehinggalah ke hari ini tatkala Rasulullah SAW telah tiada dan meninggalkan Islam sebagai agama kedua terbesar di dunia. Mutakhir ini siri serangan terhadap Rasulullah SAW giat terjelma melalui medium baru sejajar dengan apa yang ditonjolkan sebagai kemajuan teknologi maklumat.

Dalam hubungan ini, Ulama Mesir cenderung berpendapat bahawa penghinaan terhadap diri Nabi SAW adalah seolah-olah ‘melanggar lampu merah’ dengan erti kata tidak dibolehkan sama sekali. Bahkan ada di antara mereka yang berpendapat jika penghinaan itu berkaitan batang tubuh Nabi SAW, seseorang itu boleh terus diambil tindakan tanpa perlu dibawa ke mahkamah.

Terdapat banyak dalil pengharaman perbuatan menghina dan mencerca Rasulullah SAW baik di dalam Al-Quran mahupun hadis.

Antaranya, dalam Surah at-Taubah, ayat 61, Allah berfirman yang maksudnya; 

Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: "Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)". Katakanlah: "Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu". Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Imam Abu Ja’far al-Tabari berkata: “Bagi orang-orang munafik yang memalukan Rasulullah SAW yang dengan perkataan mereka: "Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)", dan perumpamaan-perumpamaan mereka untuk mendustai Baginda, dan mereka yang berkata dengan mulut yang celupar dan batil, bagi mereka ini azab yang memedihkan daripada Allah di dalam neraka Jahanam.”

Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya pula berkata: “Menyakiti Rasulullah SAW selepas kewafatannya, sama seperti menyakitinya semasa hayatnya. Keimanan kepada Baginda akan menghalang orang mukmin daripada melakukan perbuatan yang akan menyakiti Baginda. Ini adalah dosa dan kederhakaan yang paling besar.”

Dalam Surah al-Ahzab, ayat 57 pula Allah SWT berfirman yang maksudnya; 

Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.

Imam Ibn Katsir menyebut dalam tafsirnya: “Allah menjauhkan mereka daripada Rahmat-Nya di dunia dan di akhirat dan menjanjikan mereka di akhirat nanti azab yang menghinakan dan kekal di dalam azab itu selama-lamanya.”

Syeikh al-Maraghi: “Terdapat sesetengah manusia menyakiti Rasul-Nya seperti orang yang mengatakan Rasulullah SAW itu seorang penyair, ahli nujum, orang gila, dan banyak lagi kata-kata yang menyakitkan Baginda. Sesiapa yang menyakiti Rasul bererti dia menyakiti Allah SWT; dan sesiapa yang mentaati Rasul bererti dia mentaati Allah SWT. Allah SWT menjauhkan mereka daripada rahmat dan nikmat-Nya ketika di dunia lagi. Maksudnya, Allah SWT menjadikan mereka terus berada dalam kesesatan dan menjadikan mereka gembira melakukan kesesatannya itu. Kesesatan ini bakal menyeret mereka ke dalam neraka, sebagai tempat yang amat buruk; kemudian mereka akan dilaknat ketika ketika di akhirat nanti dengan memasukkan mereka ke dalam neraka yang membakar tubuhnya.”

Tidak syak lagi bahawa perbuatan menghina Nabi SAW adalah suatu kesalahan besar dalam Islam seperti yang difatwakan oleh para ulama sejak sekian lama. 

Antaranya:

Ada pendapat yang mengatakan wajib dibunuh tanpa perlu diberi peluang untuk bertaubat. Inilah pendapat Ibn al-Qasim.

Al-Auza`ie dan Imam Malik berpendapat bahawa pesalah itu dianggap murtad dan perlu diberikan peluang untuk bertaubat. 

Begitu juga haram dan dihukum kufur sesiapa yang menghina mana-mana Nabi atau menjatuhkan darjat dan martabat seperti menuduh kejelikan pada tubuh badannya sebagai pincang, limpuh atau kurang ilmunya serta jahil. 

Imam Ibn Mundzir telah menukilkan bahawa secara sepakat ulama barangsiapa yang mencela Nabi Muhammad SAW secara nyata maka wajib dibunuh.

Abu Bakar al-Farisi yang merupakan salah seorang ulama bermazhab al-Syafie berkata: “Barangsiapa yang menghina Nabi SAW seperti menuduh beliau secara nyata maka dia dihukum kafir dengan sepakat ulama, sekalipun dia bertaubat tetap tidak akan gugur hukuman bunuh yang telah ditetapkan ke atasnya.” 

Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Aku mendengar Abu Abdillah berkata: “Barangsiapa yang mencerca Nabi SAW atau menjatuhkan maruah Baginda, sama ada orang Islam atau bukan Islam, maka mereka hendaklah dibunuh. Aku berpendapat bahawa dia perlu dibunuh tanpa perlu disuruh untuk bertaubat.” 

Syeikh Taqiuddin al-Subky dalam al-Saif al-Maslul menyebut: “Siapa yang mencerca Nabi SAW tidak perlu diminta bertaubat dan boleh dibunuh terus.”

Al-Qadhi Abu Ya`la pula berkata: “Barangsiapa yang mencerca Allah (SWT) dan Rasulullah SAW dia sesungguhnya telah kufur sama ada dia menghalalkan (perbuatan itu) atau dia tidak menghalalkan.”

Al-Khattabi berkata: “Aku tidak tahu mana-mana ulama Islam yang khilaf mengenai wajibnya membunuh orang yang mencerca Nabi SAW.”

Kenyataan Syeikh al-Azhar

Syeikh al-Azhar Imam al-Akbar al-Fadhil Prof. Dr. Ahmad Tayyib – hafizhahullah – berkata: “Al-Azhar memberi amaran keras kepada sesiapa yang cuba menggunakan sebarang media massa untuk menghina dan menjatuhkan martabat kenabian yang mulia. Ini bagi memelihara maqam kenabian yang mulia itu daripada dihina sekalipun tanpa niat yang tidak baik. Sebaliknya orang Islam sejati sentiasa memenuhi hati mereka dengan kecintaan kepada Nabi SAW.” (Petikan Akhbar al-Ahram)

Berdasarkan kepada kenyataan serta rujukan di atas, jelas menunjukkan kepada kita betapa beratnya hukuman dan balasan kepada mereka yang menghina, mencaci dan menjatuhkan maruah Rasulullah SAW, juga Nabi-Nabi yang lain. Oleh itu, amat perlu sekali bagi kita untuk berhati-hati daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan atau pendapat yang boleh berunsur menghina Rasulullah SAW kerana tidak syak lagi itu boleh membawa kepada kekufuran dan kemurkaan Allah SWT.

Di satu sudut yang lain, kita sendiri yang mengaku sebagai umat Muhammad SAW, tidak seharusnya berpeluk tubuh apabila melihat Nabi kita dihina, dipersenda dan diperburukkan dengan pelbagai cara. Tidaklah perlu sampai mengangkat senjata atau memerangi mereka secara melulu, tetapi melalui pendekatan secara berhemah, penuh dengan strategi yang disertai dengan ilmu dan kesabaran. Rasulullah SAW sendiri telah menunjukkan contoh kepada kita bagaimana dengan strategi seperti itu musuh yang memerangi Islam akhirnya meninggalkan kepercayaan mereka untuk bersama menegakkan syiar Islam. 


Wallahu a’alam (MMO)

Nota & Penghargaan : Sumber rujukan hukum diambil dari laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Malaysia


No comments:

Post a Comment