Tanggungjawab Politik
Wallahua’alam. (MMO).
Penubuhan Parti Rakyat
Brunei (BRB) adalah bagi memenuhi tuntutan politik zaman yang memberi peranan
aktif kepada rakyat untuk bersama membangun negerinya, justeru mesti wujud
sebuah wadah politik untuk mereka sebagai pelantar gerakan untuk membantu
merialisasikan tanggung jawab politik.
Egenda paling utama PRB
di awal penubuhannya ialah, parti itu mesti menyukong hasrat murni DYMM Sultan
Omar Ali Saifuddein untuk mewujudkan sebuah perlembagaan bertulis bagi negeri
Brunei. PRB mesti tampil menjulungkan pandangan dari bawah, bersama merangka
dan mengisi roh perlembagaan negeri demi menegakkan negeri Brunei yang
berkerajaan sendiri, adil dan makmur, di bawah sistem pemerintahan
Demokrasi Berparlimen dan Raja
Berperlembagaan.
PRB Terkilan
Ketika PRB ditubuhkan dalam
tahun 1956, wadah suara majoriti rakyat hanyalah PRB. Setahun selepas penubuhannya,
parti itu sudah mempunyai ahli berdaftar melebihi 16,000 atau kira-kita 75%
penduduk lelaki dewasa Brunei yang mempunyai penduduk sekitar 65,000 orang.
Pada tahun 1962, ahli berdaftar PRB telah mencecah 20,000 berbanding penduduk
Brunei ketika itu sekitar 80,000 orang.
Yang dikesalkan ialah
mengapa PRB yang mewakili suara majoriti rakyat itu tidak diberikan ruang dan
peluang untuk duduk bersama di dalam jawatankuasa perlembagaan tersebut
sedangkan rakyat adalah “end-user”nya. Tidakkah perundingan dan muafakat itu
suatu yang dianjurkan oleh syariat Islam? Jika sebuah perlembagaan ditakdirkan
tidak difikirkan oleh baginda, sudah tentu ia menjadi tugas dan tuntutan
penting PRB pula untuk menyediakannya.
Tidak Berdaya
Baginda Sultan sudah pasti
menyedari akan hakikat betapa perlembagaan yang dihasratkan itu bukan sekadar
memaktubkan hak kesultanan baginda dan zuriat baginda semata, tetapi juga ialah
untuk kemaslahatan rakyat.
Baginda Sultan juga tahu
bahawa dengan meminggirkan rakyat yang
rata-rata bersama PRB boleh mengundang krisis keyakinan terhadap kejujuran
Baginda Sultan sendiri. Tidakkah ini yang dikehendaki penjajah yang berselindung
di sebalik lalang sehelai?. Tidakkah
nasihat Residen British itu wajib dipatuhi?. Justeru itu, sebarang tindakan dan
titah Baginda Sultan pastinya mengikut
skrip yang disediakan oleh Residen British.
Sedih, Baginda Sultan
terang-terangan terperangkap dengan permainan adu dumba penajah. Namun apakan daya,
sesungguhnya baginda tidak ada kekuatan untuk membebaskan diri dari kepungan
penjajah yang ketat dan kejap itu. Kita teringat bagaimana pegawai Pejabat
Tanah-Tanah Jajahan British memperkecil rombongan Baginda Sultan dengan serta
merta menghentikan rundingan perlembagaan
pada bulan September 1957, lalu menyuruh baginda balik sahaja ke Brunei,
dan hanya akan menyambung rundingan pada tarikh baharu yang akan mereka
tetapkan.
Begitu juga dengan kes
Memorandum Cadangan Perlembagaan PRB, di mana Rombongan Merdeka PRB disuruh
oleh Setiausaha Tanah-Tanah Jajahan menghadapkan sahaja memorandum berkenaan
langsung kepada Baginda Sultan, sedang disebalik itu, Baginda Sultan
dinasihatkan supaya “tidak mencampuri dalam sebarang perkara yang berkait
dengan politik atau parti politik”.
Harapan PRB
Dunia telah memberikan
kuasa yang lebih kepada warganya yang merdeka di mana jua di pelusuk dunia ini.
Begitulah juga, A.M. Azahari mahu rakyat Brunei dapat apa yang warga dunia lain dapat. Selain rakyat
diberi perlembagaan dan kemerdekaan, yang diidamkan oleh mereka, ialah nikmat
demokrasi, iaitu harga diri sebagai bangsa merdeka yang turut menentukan nasib
bangsa dan kedaulatan negaranya sendiri.
Oleh kerana perlembagaan
itu sudah disuarakan oleh Baginda Sultan, maka adalah menjadi tanggungjawab PRB pula untuk
menyambut dan mengangkat harapan rakyat
supaya roh perlembagaan yang lahir nanti merupakan satu dokumen penting yang sama menjamin hak
raja dan hak rakyat ke atas pemerintahan negeri tercinta itu.
PRB tidak menunggu lama.
(Hanya Sembilan bulan selepas PRB didaftarkan pada 15 0gos 1956). Parti ini segera
mencadangkan garis besar perlembagaan yang diidamkannya bagi mengisi hasrat
Baginda Sultan itu. Kita yakin cadangan perlembagaann parti ini bukanlah
mutlak, rundingan dan tolak ansur melalui konsep syura - muafakat dan kesepakatan tetap terbuka luas.
Yang penting perlembagaan itu tidak memusatkan kuasa berlebihan kepada sultan yang dilihat ketinggalan zaman.
A.M. Azahari tidak pernah
menyembunyikan harapannya bahawa perlembagaan yang dikehendakinya ialah sebuah
perlembagaan yang demokrasi, di mana rakyat bebas bersuara dan berkongsi kuasa dengan istana
selagi mana ianya tidak menyalahi syariat.
Lebih jauh, PRB yang
dipimpinnya bukan sekadar mahu mendaulatkan Baginda Sultan sebagai raja di negeri
Brunei sahaja, malah bercita-cita untuk menobatkan baginda menjadi Sultan dan
Yang Dipertuan seluruh Kalimantan Utara meliputi Sarawak dan Sabah, bergelar
Seri Mahkota Negara berstatus raja
berperlembagaan seperti Queen di England.
Pemusatan Kuasa Yang
Dibimbangi PRB
Sedari awal PRB berpandangan
bahawa pemusatan kuasa ke tangan Sultan
seperti tidak cocok dengan konsep demokrasi. A.M. Azahari secara terbuka
memperjuangkan agar kerajaan hendaklah diketuai oleh seorang Ketua Menteri yang dipilih oleh rakyat melalui
pilihan raya bebas, bagi membolehkan rakyat turut serta di dalam pembuatan keputusan
secara sah – “legitimate”.
Kalangan pemerhati politik
berpandangan bahawa, cadangan PRB supaya 26 kerusi Majlis Mesyuarat Negeri
(MMN) dipilih melalui pilihan raya, dan 10 kerusi lagi dilantik oleh Baginda
Sultan daripada 36 Kerusi Majlis Mesyuarat Negeri adalah suatu tuntutan yang
munasabah.
Antara lain perkataan,
status keahlian dalam MMN yang dicadangkan oleh PRB ialah, 75%
anggota MMN dipilih sementara 25%
lagi dilantik oleh Baginda Sultan termasuk dua orang dari Syarikat Minyak Shell
Brunei, dan mengekalkan Residen British duduk di dalam Majlis Mesyuarat Negeri
dan dilantik sebagai Speaker MMN.
Pada hakikatnya, tuntutan
PRB keatas hak keahlian majoriti di dalam perwakilan rakyat terdiri daripada
mereka yang dipilih, bertujuan bagi mengelak berlakunya penyalahgunaan kuasa
atau pengaruh oleh Sultan. Betapa tidaknya, perwakilan yang dilantik dalam MMN pastinya terbelenggu oleh
kepentingan untuk menjaga hati dan lain kepentingan yang melantiknya.
Amalan sistem pemerintahan
absolute ini juga akan membentuk sikap sombong penguasa dan elit pentadbir
bahawa mereka tidak perlu akur kepada
apa jua desakan rakyat kerana mereka mendakwa bukan dipilih oleh rakyat tetapi
dilantik oleh sultan, malah tidak mengherankan jika ada yang beraksi seperti “sultan nombor
2”.
Justeru itu kerakusan,
kezaliman dan kemaharajalelaan boleh saja semudahnya dilakukan oleh para aktor
nasional semata-mata kerana ketiadaan
kaedah akauntabiliti, sekatan dan
imbangan yang berkesan. Inilah natijah kejelikan sistem pemerintahan absolute. Inilah
antara bahaya yang boleh mengundang kehancuran yang dikhawatiri oleh PRB bakal menimpa negeri
tercinta ini.
Wallahua’alam. (MMO).
*****
sangat betul kata2 am azahri,semoga allah merahmatinnya
ReplyDelete