Saturday, April 28, 2018

MENYINGKAP REALITI DI SEBALIK KONFLIK DI SYRIA


Serangan peluru berpandu AS ke atas Syria





Awal April lalu kita dikejutkan dengan serangan lebih 100 senjata peluru berpandu ke atas Syria yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) dan dua lagi sekutunya, Britain dan Perancis atas alasan untuk menghukum rejim Bashar al-Assad kerana didakwa menggunakan senjata kimia bagi menghapuskan penentang-penentangnya.

Serangan tersebut yang dikatakan dua kali ganda lebih hebat berbanding serangan pada tahun lepas bagaimanapun tidak mampu mengubah apa-apa. Kerajaan Syria di bawah pimpinan Bashar al-Assad terus berkuasa. Sebaliknya rak­yat Syria yang sejak sekian lama menderita angkara permusuhan beberapa pihak di Syria nampaknya berterusan menderita. Kerakusan beberapa  kuasa dunia untuk melebar dan mengekalkan pengaruh mereka di rantau ber­kenaan ternyata semakin memburukkan keadaan.

AS mendabik dada kononnya serangan yang dilakukan bersama dua sekutunya itu telah berjaya. Serangan itu disasarkan ke atas beberapa lokasi ketenteraan dan lokasi yang disyakki digunakan sebagai makmal bagi menghasilkan senjata kimia. Realitinya, tidak sedemikian. Banyak laporan yang menyatakan kebanyakan peluru berpandu AS itu telah berjaya dipintas oleh sistem pertahanan Syria yang dibekalkan oleh Russia.

Tindakan Amerika dan sekutunya itu sebaliknya mengundang banyak tanda tanya, apatah lagi ia dilakukan ketika Rusia mendakwa insiden serangan senjata kimia di Syria itu didalangi oleh Britain. Syria sendiri, di satu sudut lain, telah pun menyatakan kesediaan untuk membenarkan siasatan dilakukan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terhadap dakwaan rejim itu menggunakan senjata kimia terhadap rakyatnya di Douma. Justeru itu, untuk apa Syria perlu diserang sebegitu rupa?

Tindakan AS yang kelihatan agak ‘tergesa-gesa’, tidak kurang, mengundang andaian yang kuat bahawa apa yang dilakukan itu sebenarnya lebih berhubung kait dengan strategi Presiden AS, Donald Trump untuk mengalih pandangan rak­yatnya daripada masalah yang sedang dihadapi dalam pentadbirannya. Trump dilihat kurang senang dengan kes peguamnya, Micheal Cohen disiasat oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan juga pendedahan yang dilakukan oleh bekas Pe­ngarah FBI, James Comey tentang tabiat ‘buruk’ pemimpin itu yang boleh menjejaskan kredibilitinya sebagai Presiden. 

Britain pula dikaitkan sebagai terlibat sama dalam serangan tersebut kerana pemimpinnya, Theresa May, mempunyai masalahnya yang tersendiri berpunca dari pelbagai isu domestik, termasuk dakwaan serangan agen saraf ke atas bekas perisik Rusia yang berpaling tadah di United Kingdom. Barangkali, serangan ber­kenaan merupakan cara terbaik untuk Perdana Menteri Theresa May untuk membalas dendam selepas tiada tindakan antarabangsa dikenakan untuk ‘memalukan’ Rusia yang didakwa menjadi dalang dalam kejadian berkenaan.

Perancis pula dipercayai terlibat sama dengan serangan tersebut atas dasar persahabatan yang kukuh dengan AS dan Britain, terutama komitmen masing-masing dalam menangani penggunaan senjata kimia baik oleh mana-mana pihak jua. 

Melihat kepada apa yang tersirat dan apa yang telah pun berlaku itu, tiada pihak yang nampaknya mengaut untung sebesar apa yang raih oleh negara seteru Syria, juga seteru negara Arab yang lain iaitu Israel. Sama ada serangan ke atas Syria itu sebenarnya berpunca daripada perancangan Israel sendiri dengan memperkudakan AS, atau ia berlaku secara kebetulan, Israel adalah pihak yang dilihat semakin meraih keuntungannya. 

Rusia sejak sekian lama menyedari keghairahan Israel untuk campur tangan dalam konflik di Syria sehingga mengundang Presiden Vladimir Putin mengingatkan negara Yahudi itu supaya tidak memburukkan lagi keadaan sedia ada. Kenyataan Menteri Pertahanan Israel, Avig­dor Lieberman, bahawa Israel sanggup berbuat apa sahaja demi untuk mengelakkan pengaruh Iran berleluasa sehingga menjadi ancaman lebih besar terhadap Israel ditafsirkan oleh Russia sebagai jelas mencerminkan niat Israel dalam konflik yang berlaku di Syria itu.

Justeru didorong kuat oleh niatnya itu, tidaklah menjadi sesuatu yang menghairankan bilamana Israel sanggup mengambil risiko menyerang secara bersendirian kedudukan Iran di Syria seperti mana yang berlaku awal April lalu di pangkalan udara T4 yang menyaksikan tujuh tentera Iran terbunuh.

Niat dan kesungguhan Israel dalam melibatkan diri dengan apa yang berlaku di Syria kini turut mengundang kepercayaan yang semakin kuat dalam kalangan negara Islam bahawa negara Yahudi itu berkemungkinan besar adalah pihak yang sebenarnya menjadi dalang di sebalik serangan kimia yang berlaku itu.

Berbalik kepada percaturan dua kuasa besar AS – Russia di Syria, Trump menyatakan kesediaan AS untuk melancarkan lagi serangan peluru berpandu baru ke atas Syria sekiranya rejim al-Assad didapati cuba menggunakan senjata kimianya bagi menghapuskan penentang-penentangnya. Rusia yang menolak pendekatan AS di Syria itu sebaliknya memberi amaran akan mematahkan sebarang serangan dari Amerika Syarikat (AS). Rusia berpendirian jika masalah di Syria mahu diselesaikan ianya perlu diselesaikan melalui rundingan, bukannya melalui tekanan  atau kekuatan persenjataan.

Ternampak seolah-olah perang di antara dua kuasa besar itu kini mula menampakkan percikan apinya. Malangnya ia berlaku di Syria sebagai satu perang proksi AS-Russia yang tidak banyak menguntungkan sesiapa, kecuali Israel jua.

Di atas kertas kekuatan tentera AS memanglah jauh mengatasi Rusia. Demikian juga dengan kelebihan ekonomi dan diplomasi antarabangsa, AS ternyata berada  jauh di hadapan berbanding saingannya itu. Namun di Syria, AS nampaknya tidak berada di pihak yang menang apabila rejim al-Assad kini dapat menguasai kembali sebahagian besar wilayah yang dikuasai pemberontak yang disokong oleh Barat.

Justeru, apakah kerana perkiraan ini yang mengundang Trump untuk bertindak secara tergesa-gesa menyerang Syria di sebalik adanya penafian Syria terhadap dakwaan penggunaan senjata kimia itu?.

Sehingga kini, kebenaran sejauhmana rejim al-Assad telah menggunakan senjata kimia bagi menghapuskan penentang-penentangnya masih menjadi tanda tanya. Dalam rekod serangan kuasa Barat terhadap negara-negara Arab yang lalu banyak maklumat yang tidak benar didapati telah digunakan untuk menghalalkan sesuatu serangan. Perkara ini pernah berlaku pada rejim Saddam Hussein di Iraq yang dibuat atas alasan kononya Iraq memilki senjata pemusnah besar-besaran (WMD). Apa yang ternyata kemudian, setelah tumbangnya Saddam dan Iraq dilanda kehancuran, kewujudan senjata tersebut tidak pula dapat dibuktikan.

Di kalangan segelintir pemerhati antarabangsa, wujud kecenderungan bagi mereka untuk melihat apa yang berlaku di Syria sekarang sebagai mempunyai persamaan dengan apa yang berlaku di Iraq. Jika di Iraq, rejim Saddam yang berideologikan Baathisme dikatakan kejam kerana sanggup melakukan kekerasan ke atas rakyat Iraq yang didapati cuba menentangnya, termasuk melalui penggunaan senjata kimia, keadaan yang sama kini dilihat berlaku di Syria.

Bashar al-Assad juga berideologikan Baathisme dan dikatakan mengamalkan gaya kepimpinan sepertimana yang diamalkan oleh Saddam iaitu sangat baik kepada mereka yang menyokongnya, tetapi sangat keras terhadap mereka yang menentangnya. Justeru itu, apakah tindakan keras itu yang membawa Bashar al-Assad tergamak menggunakan senjata kimia sepertimana yang dikatakan pernah dilakukan oleh Saddam suatu ketika dahulu?

Dilihat dari satu sudut, ternampak seolah-olah motif AS di Syria bertujuan untuk membebaskan rakyat Syria daripada rejim Baathisme Bashar al-Assad yang dilihat sebagai kejam. Namun, di satu sudut lain yang lebih jelas ialah perkiraan bahawa Syria adalah negara yang sangat penting untuk didapatkan kerana ianya mempunyai kepentingan geopolitik dan geoekonomi yang sangat besar kepada AS di Timur Tengah.

Syria adalah negara strategik dari segi kedudukannya yang bersempadan dengan Israel, Lebanon, Iraq, Iran dan Turki. Bayangkan jika sebuah kerajaan demokratik yang pro-Washington berkuasa di Damsyik, maka ia sudah pasti mampu menjadi jiran yang baik dengan Israel dan akan juga melahirkan negara seperti Lebanon yang pro-Barat.

Di samping itu, Damsyik yang pro-AS sudah tentu tidak akan menjadi sekutu Iran. Bersama Turki yang merupakan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Syria pro-Barat akan melindungi kepentingan AS di Timur Tengah. Namun, dengan kedudukan Syria yang begitu strategik itulah juga Rusia dan Iran tidak akan membenarkan rejim Bashar al-Assad tumbang. Buat masa ini, Rusia-Iran-Hizbullah ternyata telah menyelamatkan Syria daripada tumbang kepada pemberontak yang disokong oleh Barat.

Setakat ini walaupun banyak kawasan yang dahulunya berada dalam tangan pemberontak telah berjaya dirampas kembali oleh rejim al-Assad, masih terdapat beberapa kawasan lagi yang berada dalam kawalan penentangnya. AS berusaha untuk mempertahankan kawasan berkenaan supaya Damsyik tidak menang secara mutlak dalam perang saudara ini. Sebaliknya keadaan itu diharap akan dapat mewujudkan kerajaan Damsyik yang seimbang iaitu boleh memberi keuntungan dari sudut kepentingan AS di samping menerima kehadiran Rusia dan Iran.

Agak malang, mereka yang menjadi pertaruhan dalam persaingan ini adalah rakyat Syria yang tidak berdosa, merekalah yang banyak terdedah kepada ancaman dan risiko persaingan antara kuasa-kuasa besar berkenaan. Ramai yang telah menjadi korban dan ramai pula yang sudah hilang harapan, meninggalkan tanah air mereka untuk mencari kehidupan baharu yang tidak berketentuan.

Cuma apa yang menjadi persoalan kepada kita, apakah negara-negara Arab/ Islam tidak mampu sedikit pun berperanan dalam membantu menyelesaikan konflik di Syria itu?. Ke mana perginya OIC yang selama ini diharap dapat menjadi badan yang berupaya melindungi kepentingan dan survival negara-negara Islam? Liga Arab yang diharap mungkin boleh membantu malangnya melalui sidang tergempar pertubuhan itu baru-baru ini sebaliknya menyalahkan rejim Bashar al-Assad kerana didakwa menggunakan senjata kimia, bukannya mengutuk AS dan sekutunya kerana menyerang Syria.

Akhirnya, pihak yang gembira dan bertepuk tangan di sebalik apa yang berlaku ialah Israel yang menerima habuan, mungkin secara langsung atau tidak langsung, dari keruntuhan Syria. Kemusnahan Syria, sepertimana yang berlaku ke atas Iraq dan Libya, sudah pasti bakal mengukuhkan lagi kekuatan negara itu dalam berhadapan dengan ancaman dari negara-negara jiran Arabnya yang satu persatu telah dapat diperlemahkan itu. 

Wallahua’alam (MMO).


*****


No comments:

Post a Comment