Friday, February 16, 2018

CABARAN BUAT ISRAEL DALAM PELAN PENGUASAAN TEBING BARAT



Sebahagian daripada penempatan haram warga Israel di Tebing Barat

Dalam entri saya sebelum ini (6 Januari 2018) ada saya perkatakan mengenai cadangan Israel untuk melanjutkan kedaulatan negara itu ke atas tanah-tanah Palestin yang diduduki secara haram oleh rakyat Israel di Tebing Barat.

Ianya bermula bilamana pada 31 Disember 2017, kira-kira 1,500 anggota Parti Likud pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengundi sebulat suara di Parlimen negara itu, Knesset, untuk memanjangkan kedaulatan Israel ke atas “Judea dan Samaria”, yang merujuk kepada nama-nama Israel yang diberikan kepada beberapa kawasan yang diduduki secara haram oleh penduduk Yahudi dalam wilayah Palestin. Resolusi yang dibuat itu bagaimanapun tidak mengikat mana-mana pihak dari sudut perundangan (non-legally binding). 

Terbaru, berlaku suatu keadaan yang dapat mendedahkan bagaimana tegarnya pendirian Israel untuk menguasai juga tanah-tanah Palestin yang diduduki secara haram oleh rakyatnya di wilayah Tebing Barat itu dengan cara melobi sokongan Amerika Syarikat (AS) terhadap rancangannya itu.

Semua ini terdedah berikutan adanya kenyataan yang dibuat oleh Jurucakap Rumah Putih pada 13 Februari lalu yang menyangkal kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa para pegawai kedua-dua pihak sedang berbincang tentang kemungkinan Israel mewujudkan undang-undang yang akan membolehkannya mengambil tanah-tanah Pa­lestin yang diduduki rakyatnya di kawasan Tebing Barat itu.

Berikutan adanya penyangkalan di pihak pentadbiran AS itu, pejabat Netanyahu segera mengeluarkan ke­­­nyataan penjelasan untuk menyelamatkan dirinya daripada dakwaan yang kontroversi itu dengan menyatakan bahawa Israel telah pun lama berbincang dengan AS mengenai cadangan bagi mewujudkan undang-undang yang secara berkesan dapat menyelesaikan masalah pendudukan rakyat Israel di beberapa penempatan di Tebing Barat.

Netanyahu malah dilaporkan ada menyatakan hasrat beliau mahu menyelaraskan langkah itu dengan AS kerana kepentingan strategik wilayah tersebut kepada Israel. Kenyataan itu dibuat ketika Netanyahu berdepan dengan tekanan dari ahli politik sayap kanan untuk meneruskan undang-undang yang akan menerapkan kedaulatan Israel ke penempatan di Tebing Barat. 

Dua ahli parlimen, termasuk seorang dari parti Netanyahu, mencadangkan undang-undang itu untuk memastikan kedaulatan Israel ke atas penempatan di seluruh Tebing Barat. Netanyahu bagaimanapun dikatakan menyekat perbahasan mengenainya daripada diteruskan Ahad lalu berikutan adanya pandangan pegawai dalam menyarankannya supaya beliau memberi tumpuan kepada isu keselamatan berikutan  serangan udara Israel di Syria pada hujung minggu lalu.

Kenyataan Netanyahu yang lebih bersifat mempertahankan dirinya itu bagaimanapun telah mengundang bantahan daripada pemimpin-pemimpin Palestin yang menganggapnya sebagai satu lagi tindakan provokatif yang boleh mengancam prospek penyelesaian isu Israel-Palestin selepas isu pemindahan ibu negara Israel dari Tel  Aviv ke Baitulmaqdis memuncak beberapa bulan lalu.

Mereka menyifatkan Israel sebagai semakin rakus dalam melaksanakan agendanya terhadap Palestin berikutan adanya sokongan kuat AS kepada negara itu sepertimana yang dapat dilihat melalui adanya sokongan AS secara sebelah pihak terhadap keputusan pemindahan ibu negara Israel ke Baitulmaqdis. 

Sebelum ini, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) mengecam laporan perbincangan ber­kenaan yang disifatkan sebagai mengesahkan komitmen Israel terhadap amalan apartheid. PLO juga menyifatkan sebarang langkah yang dilakukan secara sebelah pihak untuk merampas tanah Palestin jelas mencabuli hak Palestin untuk menentukan nasib mereka sendiri dan kemerdekaannya serta mengesahkan penglibatan AS dalam pelan penjajahan Israel.

Kenyataan itu juga menyebutkan bahawa perkembangan yang berlaku akhir-akhir ini dapat mengesahkan bahawa semakin banyak isu-isu berhubung Israel-Palestin yang diputuskan secara sebelah pihak oleh Israel dengan koordinasi pentadbiran AS.

Sejak Israel menjajah Genting Gaza, Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur pada tahun 1967, dianggarkan antara 600,000 hingga 700,000 peneroka ha­ram Yahudi tinggal di lebih 200 pe­nempatan haram Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur.

Penempatan haram itu me­langgar undang-undang antarabangsa dan mencabuli Konvensyen Geneva yang menyatakan kuasa penjajah tidak boleh memindahkan penduduknya ke wi­layah yang ditaklukinya. 


Wallahua’alam (MMO).

*******


No comments:

Post a Comment