Monday, January 15, 2018

Menselusuri Titah Ucapan Kebawah DYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah, Sultan Dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Perkhidmatan Awam Ke-24 Hari Rabu 3 Rabiulawal 1439 bersamaan 22 November 2017.




Kita amat teruja mengamat-amati titah Kebawah DYMM pada sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-24 dan terpanggil untuk berkongsi pandangan dari perpektif Parti Pembangunan Bangsa (NDP) khususnya dalam isu peranan Perkhidmatan Awam.

Dalam titah tersebut Kebawah DYMM bertitah  mengambil maklum akan transformasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Perdana Menteri mulai 1 Oktober 2017 iaitu perlaksanaan Sistem Pengurusan Prestasi Baru bagi semua warga Perkhidmatan Awam. Sistem ini bermatlamat untuk membolehkan penilaian hasil kerja setiap pegawai dan kakitangan dibuat secara adil, telus dan objektif serta mencerminkan sumbangan sebenar masing-masing.

Kebawah DYMM berpendapat sistem penilaian tersebut harus memberikan tumpuan kepada Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicator (KPI) di samping Penilaian Kompetensi. Baginda percaya sistem baru ini juga akan lebih menyumbang kepada produktiviti dan daya saing dalam memberikan perkhidmatan yang berkesan dan berkualiti serta menggalakkan inovasi sebagai budaya kerja.

Kebawah DYMM juga turut menyentuh mengenai inovasi di mana warga Perkhidmatan Awam diseru agar dapat menjana idea-idea baru bagi memacu penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan. Di sinilah pemimpin-pemimpin Perkhidmatan Awam dari pelbagai peringkat perlu memainkan peranan mereka dalam melakukan rebiu semula ke atas tatacara atau proses penyampaian perkhidmatan.

Baginda percaya kejayaan akan lebih menyerlah lagi apabila berlaku penyertaan yang meluas dari segenap lapisan Perkhidmatan Awam. Budaya inovasi ini juga tambah Baginda, boleh menjadi penggalak kepada kemasukan pelaburan asing bagi kemanfaatan ekonomi.

Menyentuh mengenai ekonomi, Kebawah DYMM menyatakan keyakinan Baginda bahawa usaha Kerajaan ke arah penambahbaikan setakat ini telah pun menampakkan tanda-tanda positif. Ini dapat dilihat bilamana Laporan Bank Dunia mengenai Ease of Doing Business bagi tahun 2018 telah melatakkan Brunei di tangga ke-56 berbanding kedudukan ke-105, tiga tahun lalu. Selain itu, Brunei juga diiktiraf sebagai satu kuasa ekonomi yang paling meningkat atau most improved dalam melaksanakan reformasi bagi tiga tahun berturut-turut. Lebih membanggakan lagi, menurut Baginda, satu petunjuk iaitu ‘Getting Kredit’ di Brunei telah meraih tangga kedua tertinggi di dunia.

Menurut Kebawah DYMM, pencapaian yang menggalakkan ini adalah bukti jelas keberkesanan kepimpinan dan pendekatan ‘whole-of-nation’.  Berikutan itu, baginda menyatakan keyakinan bahawa persekitaran perniagaan di Brunei akan dapat dipertingkatkan lagi sehingga mencapai sasaran anak tangga 20 teratas atau “Top-Twenty”.

Bagaimanapun, Kebawah DYMM berpandangan bahawa semua inisiatif yang disusun di bawah Rangka Kerja Perkhidmatan Awam tidak akan sempurna tanpa mengambil kira faktor-faktor kerohanian, akhlak dan etika bagi warga Perkhidmatan Awam. Sehubungan itu Baginda menggesa penjawat awam agar berkhidmat dengan jujur dan amanah, tidak menginayai sesama manusia dan menolak sikap mementingkan diri sendiri.

Melalui titah Ucapan itu juga, Kebawah DYMM memberi peringatan supaya anggota  Perkhidmatan Awam tidak menyalah-gunakan kuasa dan mencipta atau  menyebarkan fitnah kerana ianya bukan sahaja tidak mendatangkan sebarang kebaikan, malah sebaliknya banyak mengundang kepada keburukan.

Perkhidmatan Awam, menurut Baginda, mesti bersih daripada semua unsur tersebut sebagai jalan untuk memperolehi keberkatan, baik bagi Kerajaan mahupun Negara.
Kebawah DYMM dalam Titah Ucapan Baginda itu juga menggesa supaya Perkhidmatan Awam mengamalkan semangat kerja berpasukan kerana itu boleh mendatangkan lebih kebaikan.

Kita menjunjung kasih dan menyambut baik saranan yang dibuat Kebawah DYMM berkaitan penambahbaikan Perkhidmatan Awam di Brunei. Ianya selari dengan apa yang terkandung dalam Manifesto Parti Pembangunan Bandsa (NDP) yang dilancarkan 11 tahun dahulu di bawah perkara Pembangunan Sektor Awam dan Swasta antara lain mencadangkan agar pihak berkenaan:

“Memastikan yang Perkhidmatan Awam bertindak sebagai sebuah institusi yang dianggotai oleh para pegawai dan kakitangan Kerajaan kebawah DYMM yang berkecuali, bersih, cekap, amanah, memiliki intergeriti dan hemah yang tinggi,  mengutamakan meritokrasi dan tidak melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan Syariat Islam dan undang-undang Negara”.

Dalam Manifesto yang yang sama, NDP juga  mohon mencadangkan agar pembaharuan Perkhidmatan Awam perlu juga mengambilkira keperluan bagi penubuhan Tribunal Perkhidmatan Awam yang mempunyai kuasa bagi mengadili kes-kes perlanggaran tatatertib yang dilakukan oleh penjawat awam.

Hukuman yang dikenakan ke atas penjawat awam perlulah mengikut peruntukan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam bagi mengelakkan daripada berlakunya kemungkinan unsur-unsur penginayaan ke atas diri mereka.

Dalam Manifesto Parti Pembangunan Bangsa(NDP) 2006-2016 dimuka Surat 23 mencadangkan supaya pihak Kerajaan menubuhkan:

“Tribunal Perkhidmatan Awam yang mempunyai kuasa melampaui mana-mana kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang sedia ada bagi mengadili kes-kes perlanggaran tatatertib yang dilakukan oleh kakitangan Perkhidmatan Awam seperti membelakangkan tugas-tugas awam, tidak bertanggungjawab, cuai, mencemarkan nama baik Perkhidamatan Awam,  tidak juur, kurang cekap, ingkar perintah dan seumpamannya. 

Hukuman yang sewajarnya hendaklah dikenakan terhadap mereka yang didapati sabit melakukan kesalahan, mengikut Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang berkuatkuasa.

Sementara itu bagi kes-kes yang menyebabkan kerugian dalam bentuk kewangan (monetary loss) kepada pengadu awam, maka Tribunal ini bolehlah menentukan kuantum ganti rugi yang munasabah yang perlu dibayar oleh Kerajaan Kebawah DYMM dan atau pihak yang sabit menyebabkan kerugian kepada mana-mana pihak yang sabit aduan kerugiannya dalam kes-kes yang diputuskan oleh Tribunal tersebut”.   


Wallahua'alam (MMO)



1 comment:

  1. pada dasarnya kerjaan dalm banyak hal telah berusaha untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan dan dipermudahankan tatacara dalam urusan rakyaat dengan kerjaan.
    Pada hemat saya hasrat kerjaan utk memberi kemudahan dan keselesaan pada bahagian tertentu sangat tidak memudahkan.
    contoh:-
    para peniaga menghadapi sedikit kesulitan khususnya bagi mereka yang tidak tinggal di Daerah Brunei Muara kerana segala ususan perlisinsn dan pengambilan tenaga kerja luar dan dalam negeri semua berpusat di daerah Brunei Muara.
    Sebelumnya segalanya mudah kerana orang Belait boleh berusan terus didaerah belait sahaja
    Urusan yang dapat d urusa melalui pejabat buruh di daerah belait sudah tidak boleh lagi
    Alangkah baiknya kalau
    Job centre ada cuangan di Belait dan urusan perlisinen(mengambil resit dari DARe) juga ada cuangan di daerah Belait dan kalau tidak seharusnya resit-resiy yang sudah siap ..2 kali seminggu dihantar kedaerah-daerah
    ianya akan memudahkan para peniaga didaerah belait
    kenyataan membuat urusan perniagaan agak sulit ...
    Ada online ...betul tapi tidak mudah kerana bukan semua yang berniaga celik computer.

    ReplyDelete