Tuesday, October 20, 2020

DIARI KEHIDUPAN XVI : PALESTIN

 

Berpuluh-puluh pendatang Israel menceroboh masuk ke perkarangan Masjidil Aqsa 
dengan dilindungi polis Israel


Tempoh suku tahun ketiga (Julai - September) 2020 memperlihatkan satu tempoh yang cukup sibuk bagi Israel dalam menjayakan agenda antarabangsanya bagi mendapatkan sokongan dunia Arab terhadap negara itu. Agenda yang ditaja oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump itu menampakkan sedikit kejayaan bilamana dua negara Arab, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain sekonyong-konyong bangun mengorak langkah menjalinkan perjanjian persahabatan dengan Israel dalam bulan September lalu.

Kenyataan di kedua-dua pihak, baik Israel mahupun AS, membayangkan banyak lagi negara Arab yang akan tampil mengikut jejak UAE dan Bahrain dalam masa terdekat. Kedua-dua negara juga nampaknya tidak pernah berdiam diri dalam menggerakkan ikhtiar masing-masing dengan menemui beberapa pemimpin teraju dunia Arab bertujuan memujuk mereka menjalin hubungan baik dengan Israel.

Namun, di sebalik kesibukan menagih sokongan dunia Arab dengan mempamirkan sikap baru Israel yang kononnya bertoleransi dan inginkan perdamaian, pemimpin dan pihak-pihak tertentu di Israel sebaliknya memperhebatkan agenda dalam negara, khususnya agenda menekan secara berterusan kehidupan rakyat Palestin dengan tujuan untuk melemahkan perjuangan mereka. 

Ini menyaksikan tindakan-tindakan seperti pencemaran masuk warga Yahudi yang semakin kerap ke perkarangan Masjidil Aqsa, serbuan dan pencolekan tentera Israel terhadap belia, wanita dan kanak-kanak Palestin, perampasan tanah kediaman dan kebun, perobohan secara paksa kediaman rakyat Palestin, gangguan terhadap warga Palestin yang mencari nafkah harian dan bermacam-macam lagi tindakan kejam yang sukar untuk kita terima dan bayangkan.

Berikut adalah di antara beberapa perkembangan penting yang berlaku dalam diari kehidupan rakyat Palestin bagi tempoh suku tahun ketiga 2020 untuk kita tatapi dan bangun membantu di mana ada ruang dan upaya.

3 Julai 2020

Berpuluh-puluh Pendatang Yahudi Ceroboh Masjidil Aqsa

Berpuluh-puluh pendatang haram Yahudi menceroboh masuk masjid suci Aqsa, Baitulmaqdis dan mengadakan upacara ritual mengikut ajaran Talmud dengan kawalan ramai anggota polis rejim Israel.

Kumpulan pendatang dikatakan telah memasuki masjid suci umat Islam itu melalui pintu Maghareba, arah timur.

Perbuatan pendatang Yahudi melakukan ritual itu dikatakan telah dilindungi oleh polis Israel yang turut berada di tempat kejadian. Polis Israel itu juga turut menghalang kehadiran jemaah Islam untuk menunaikan sembahyang sepanjang berlangsungnya ritual tersebut.

6 Julai 2020

Pendatang Yahudi Rampas Telaga Air Di Bandar Madama, Tebing Barat

Sekumpulan pelampau Yahudi dilaporkan telah merampas dan menguasai sebuah telaga air di bandar Madama, selatan Nablus, Tebing Barat.

Sumber tempatan mengatakan pendatang haram Yahudi dari penempatan Yitzhar telah merampas sebuah telaga yang dikenali oleh penduduk tempatan sebagai “ash-Sha’aar” dan mencuri airnya dengan menggunakan pam.

Selain Madama, bandar lain seperti Burin, Asira al-Qibliya dan Urif yang terletak di Tebing Barat sangat terdedah kepada serangan dan keganasan terancang pihak pendatang dari penempatan Yitzhar, malah mereka juga kerap melakukan serangan dan jenayah terhadap penduduk Palestin.

13 Julai 2020

Israel Rampas 300 Dunum Tanah Palestin Di Jericho

Pihak berkuasa penjajah Israel menyerahkan notis penyitaan kepada warga Palestin dalam komuniti Arab al-Mleihat, di barat laut Jericho, untuk menyita 300 dunum (30 hektar) tanah milik persendirian mereka.

Penduduk Palestin Arab al-Mleihat mengatakan bahawa mereka telah menerima notis penyitaan tersebut dari seorang pendatang Israel dari penempatan Mevo’ot Yeriho, yang dibina secara haram di tanah Palestin.

Mereka menyatakan bahawa pendatang Mevo’ot Yeriho pada awal bulan Jun berusaha merobohkan tanah yang disasarkan untuk memperluas penempatan mereka, tetapi ratusan penduduk Palestin mengadakan tunjuk perasaan dan mencegah jentolak peneroka melaksanakan rancangan itu.

15 Julai 2020

Erdogan Salahkan Sikap Berdiam Diri Antarabangsa Di Atas Meningkatnya Kebiadaban Israel

Presiden Turki, Recep Erdogan menegaskan yang beliau mengutuk sekeras-kerasnya sekatan berterusan oleh Israel ke atas Semenanjung Gaza dan tindakan haramnya di Palestin, serta menyalahkan masyarakat antarabangsa kerana tidak bertindak menghalang kebiadaban Israel yang semakin menjadi-jadi.

Dalam kenyataan akhbarnya, Erdogan berkata, tanah Palestin di bawah penjajahan Israel merupakan kawasan yang paling banyak mengalami ketidakadilan di dunia.

“Walau bagaimanapun, rakyat Palestin yang dibunuh dengan kejam oleh polis Israel telah diabaikan oleh media antarabangsa”, kata Erdogan.

17 Julai 2020

Raja Jordan: Sikap Kita Terhadap Palestin Menyebabkan Negara Itu “Terbiar”

Raja Jordan, Raja Abdullah II telah mengikrarkan kembali pendirian Jordan mengenai perjuangan Palestin dan perlunya mencapai penyelesaian yang adil terhadapnya dengan mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat, dan berdaya maju di sempadan 1967 dan dengan Jerusalem Timur sebagai ibu kotanya.

Raja Abdullah membuat pernyataan itu dalam dua pertemuan telekonferensi dengan ketua dan anggota Jawatankuasa Dewan Rakyat UK mengenai hal ehwal luar negeri dan pertahanan. Demikian menurut laman sesawang Raja Abdullah II.

Beliau menekankan bahawa setiap langkah Israel yang berbentuk tindakan sepihak (unilateral) dengan tujuan untuk merompak tanah Palestin di Tebing Barat tidak dapat diterima sama sekali. Tindakan-tindakan seperti itu juga, menurutnya, akan merosakkan prospek untuk mencapai keamanan dan kestabilan di Timur Tengah.

27 Julai 2020

Israel Manfaatkan Coronavirus untuk Menguasai Masjid Ibrahimi Di Hebron

Anggota Dewan Legislatif Palestin dari kota Hebron, Syaikh Nayef Al-Rajoub, menegaskan bahawa penjajah Israel sedang memanfaatkan peluang dari tersebarnya pendamik Corona untuk mencapai matlamat dan memperkuat cita-cita mereka.

Dalam sebuah kenyataan akhbar yang dipetik oleh Freedom News, Rajoub menjelaskan bahawa penjajah Israel memanfaatkan kesibukan dunia yang sedang menghadapi pandemik Corona untuk memaksakan realiti baharu di Masjid Ibrahimi di Hebron, wilayah selatan Tebing Barat.

Rajoub menambah bahawa kejayaan beberapa penduduk Israel dalam mengambil sebahagian dari Masjid Ibrahimi untuk dijadikan kafetaria baru-baru ini akan membuka pintu yang luas kepada Israel untuk menguasai seluruh masjid Ibrahimi. 

Sehubungan ini, Rajoub memperingatkan dunia Arab dan Islam bahawa kurangnya perhatian dan ketidakpedulian mereka berkaitan kejahatan Israel terhadap masjid Brahimi akan membuat mereka menyesal kemudian hari.

Perlu dicatat bahawa kumpulan pendatang Yahudi telah mendirikan kafetaria untuk mereka di halaman Masjid Ibrahimi minggu lalu. Mereka terus berusaha untuk merebut kawasan masjid sebagai sebahagian dari proses Yahudinisasi.

5 Ogos 2020

Jordan Kutuk Rancangan Israel Bina Unit Perumahan Baru Di Baitulmaqdis

Kementerian Luar Jordan mengutuk tindakan Israel meluluskan rancangan untuk membina lebih 1,000 unit penempatan haram baru di kawasan E1, Timur Baitulmaqdis. 

Jurucakap kementerian itu, Deifallah Fayez mengulangi pendirian kerajaan Jordan yang menolak sebarang bentuk aktiviti penempatan haram Yahudi yang beliau sebut sebagai satu pencabulan ke atas undang-undang antarabangsa dan melanggar ketetapan Majlis Keselamatan PBB.

Beliau menegaskan perlunya pihak rejim Israel menghentikan segera polisi pembukaan penempatan haram dan jujur dengan tanggungjawabnya sebagai sebuah negara penjajah.

6 Ogos 2020

Rejim Israel Rampas 200 Dunum Tanah Milik Warga Palestin Di Bethlehem

Rejim Israel merampas lebih 200 dunum (20 hektar) tanah milik penduduk Palestin yang terletak di perkampungan Kisan, daerah Bethlehem, Tebing Barat.

Ketua Majlis Perkampungan Kisan, Ahmad Ghazal berkata, anggota tentera rejim Israel datang ke kampung itu dengan jumlah yang ramai dan memagar lebih 200 dunum tanah persendirian penduduk Palestin dengan kawat duri.

Pihak tentera rejim turut memberi amaran kepada penduduk supaya menjauhi kawasan tersebut dan memberitahu mereka bahawa tanah di situ telah dirampas untuk “kegunaan ketenteraan”.

14 Ogos 2020

Tentera Zionis Culik 10 Penduduk Palestin Di Tebing Barat

Tentera Zionis (Israeli Occupation Forces - IOF) telah melancarkan serbuan besar-besaran ke atas kediaman penduduk Palestin di kawasan yang berlainan di Tebing Barat dan menangkap sejumlah warga Palestin untuk ditahan dan disoal siasat.

Sumber tempatan mengatakan bahawa IOF telah menculik sekurang-kurangnya 10 warga Palestin, termasuk seorang lelaki, isterinya, serta dua anaknya dari kediaman mereka di daerah Tebing Barat Ramallah, Bethlehem, Qalqilya, dan al-Khalil.

Di Ramallah, tentera IOF dikatakan turut menyerbu kota Beitunia, memecah masuk rumah pemimpin Hamas, Hasan Yousef, dan menyerahkan kepadanya perintah untuk hadir di hadapan Badan Perisikan Israel untuk disoal siasat.

Yousef dibebaskan dari penjara Israel pada 23 Julai setelah 15 bulan penahanan pentadbiran (tanpa tuduhan atau perbicaraan).

Pada masa ini terdapat kira-kira 4,700 orang rakyat Palestin yang ditahan dipenjara Israel, termasuk 41 tahanan wanita, 160 kanak-kanak dan 365 tahanan yang ditahan tanpa tuduhan atau perbicaraan.

18 Ogos 2020

Tentera Israel Tutup Lautan Gaza Selepas Serangan Udara Pada Waktu Subuh

Tentera rejim Israel pada pagi Ahad menutup zon perikanan perairan Semenanjung Gaza berikutan pertelingkahan dan serangan udara merentasi sempadan bersama pemuda tempatan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat penyelaras aktiviti kerajaan, Menteri Perang Israel, Benny Gantz, mengarahkan penutupan lautan Gaza sehingga keadaan tenang di selatan.

Tentera rejim telah menutup sempadan Gaza dan melancarkan gelombang serangan udara di perairan wilayah itu akhir-akhir ini sebagai tindak balas kepada serangan belon berapi penduduk Palestin di kawasan Israel. 

2 September 2020

Pesawat Israel Tiba di UEA Dari Tel Aviv Melalui Ruang Udara Saudi

Sebuah pesawat Israel mendarat di Abu Dhabi setelah berlepas dari lapangan terbang Ben Gurion Israel melalui ruang udara Arab Saudi, dalam penerbangan awam untuk pertama kalinya setelah kedua belah pihak sepakat melakukan normalisasi.

Penerbangan (LY 971) ini membawa delegasi rasmi Israel dan tokoh Amerika, termasuk Jared Kushner, Penasihat Presiden AS Donald Trump.

Pada 13 Ogos lalu, telah diumumkan kesepakatan untuk melakukan normalisasi penuh antara Israel dan UEA.

Delegasi Israel-Amerika di Abu Dhabi mengatakan mereka fokus untuk memajukan kerja sama di beberapa bidang antara kedua negara, seperti diungkapkan pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu Selasa lalu.

Sementara itu, Hamas dikatakan telah menyifatkan penerbangan ini terjadi sebagai suatu penerusan kejahatan Zionis yang mensasarkan kota Al-Quds dan Masjid Al-Aqsa dan bagi menguatkan penempatan haram Zionis di atas tanah warga Palestin yang dirampas serta penguatkuasaan sekatan yang tidak adil ke atas kehidupan rakyat Palestin.

4 September 2020

Rejim Zionis Paksa Keluarga Palestin Memusnahkan Sendiri Rumah Mereka 

Tentera rejim Israel (IOF) memaksa dua warga Palestin bersaudara agar memusnahkan rumah mereka di bandar Beit Hanina, Baitulmuqaddis. 

Mereka berkata mereka dipaksa menggunakan jentolak untuk memusnahkan rumah mereka bagi mengelak membayar denda ribuan shekel kepada Perbandaran Baitulmuqaddis Israel.

Sejak penjajahan Baitulmuqaddis pada tahun 1967, Israel telah memusnahkan lebih 1,900 kediaman warga Palestin di kota itu sebagai sebahagian daripada polisi pengusiran warga Palestin secara paksa.

8 September 2020

Lima Kematian, 632 Kes Baharu Corona Di Palestin Dalam Tempoh 24 Jam

Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan lima kematian baharu yang berkaitan dengan COVID-19, 632 kes baharu dikesan positif dan 341 pemulihan di kawasan Palestin, termasuk Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam.

Menurut laporan harian kementerian, dua daripada mangsa baru COVID-19 berasal dari Gaza (berusia 36 dan 55), dua lagi dari Bethlehem (kedua-duanya berusia 67 tahun) dan seorang dari al-Khalil (berumur 75).

31 pesakit yang sedang kritikal juga telah dimasukkan ke unit rawatan intensif, dan empat daripadanya telah dilengkapkan dengan kelengkapan bantuan ventilator.

Sumber Johns Hopkins University menyebutkan sehingga 8 September, Tebing Barat dan Gaza melaporkan 27,363 kes Covid-19 dengan 190 kematian.

14 September 2020

Haniyah Kecam Sikap Liga Arab Dan Ingatkan Bahaya Normalisasi

Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyah mengecam sikap Liga Arab yang menolak proposal Palestin berkaitan penolakan terhadap kesepakatan normalisasi UAE dengan entiti zionis.

Dalam pertemuan dengan delegasi Gabungan Ulama Muslimin dan delegasi Ikatan Ulama Peduli Pejuangan dipimpin Syekh Maher Hamud di ibukota Lebanon, Beirut, Haniyah menegaskan bahawa langkah Liga Arab menolak proposal Palestin samalah dengan mendokong kepentingan musuh zionis.

Pada 9 September lalu, Liga Arab melalui para menteri luar negerinya menolak proposal Palestin yang menentang normalisasi dan hubungan UAE-Israel.

Haniyah menegaskan bahawa normalisasi merupakan kejahatan nyata terhadap umat dan hak-haknya, sekaligus bertujuan menundukkan umat. Sehubungan itu, beliau mengatakan bahawa Palestin merupakan persoalan umat dan Al-Quds merupakan penyatu umat, bangsa Arab dan dunia Islam.

18 September 2020

Lebih 1 Juta Menandatangani “Piagam Palestin” Bagi Menentang Normalisasi

Dalam tempoh kurang dari 20 jam, lebih daripada 1 juta orang, termasuk aktivis pro-Palestin, tokoh media dan akademik, telah menandatangani “Piagam Palestin” yang merupakan sebuah dokumen menolak normalisasi hubungan negara-negara Arab dengan Israel.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain menandatangani perjanjian normalisasi dengan Israel di White House pada 15 September lalu yang membawa kepada jalinan hubungan penuh kedua-dua negara dengan Israel tetapi membelakangkan Inisiatif Damai Arab.

Teks piagam yang diterbitkan di “charterofpalestine.com/campaign” menyatakan: “Mempercayai keadilan perjuangan Palestin dan mengikuti tanggungjawab saya terhadapnya, saya dengan hormatnya menandatangani Piagam Palestin, di mana saya menegaskan bahawa Palestin sebuah negara Arab yang diduduki dan pembebasannya adalah suatu kewajipan.”

24 September 2020

Panggilan Untuk Selamatkan Masjid Aqsa Oleh Pihak Berkuasa Baitulmaqdis

Nasser al-Hidmi, Ketua Pihak Berkuasa Baitulmaqdis meminta semua warga Palestin agar pergi ke Masjid al-Aqsa dan tinggal di dalamnya untuk melindunginya dari serangan pelampau Yahudi dan mengabaikan apa jua peraturan yang ditetapkan oleh penjajah Israel.

Hidmi menjelaskan bahawa penjajahan Israel mengeksploitasi masa hari cuti Yahudi untuk memberi masa kepada pelampau Yahudi menyerang masjid al-Aqsa sekaligus menghalang penduduk Palestin memasuki masjid dan berdoa di dalamnya atas dalih pandemik Corona. 

Beliau mendakwa pihak berkuasa Israel memberi kuasa kepada pelampau Yahudi yang tinggal dalam jarak lebih 500 meter dari masjid tersebut untuk sampai ke sana dan menghalang rakyat Baitulmaqdis dari memasuki masjid tersebut ketika pelampau Yahudi memasukinya.

Beliau juga berkata, penjajah Israel semakin berani melakukan kejahatan terhadap rakyat Baitulmaqdis dan seterusnya memperhebatkan serangan ke atas Masjidil al-Aqsa. Mereka juga cuba untuk menukar keadaan de facto terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan giat mengusahakan normalisasi Arab dengan Israel bertujuan meredakan tekanan Arab dan antarabangsa terhadap penipuan dan kezaliman Israel. 

30 September 2020

Negara-negara Afrika Menyeru Penghentian Penjajahan Israel Di Palestin

Pada sesi ke-75 Majlis Umum PBB yang dibuat menerusi interaksi video minggu lalu, seramai lebih daripada 12 pemimpin negara di benua Afrika telah  menyatakan pendirian terhadap perlunya Israel menamatkan penjajahannya di Palestin. Mereka juga mengulangi hak yang tidak dapat dinafikan bagi rakyat Palestin untuk menentukan nasib dan masa depan negara mereka sendiri sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.

Di antara negara-negara yang telah menyatakan pendirian tersebut adalah Kenya, Senegal, Namibia, Afrika Selatan, Niger, Algeria, Mesir, Lesotho, Libya, Maghribi, Burkina Faso, Congo dan Gambia. 

Para pemimpin negara Afrika itu juga menekankan perlunya Israel menghentikan rancangan aneksasi, pembinaan penempatan haram di wilayah Palestin yang diduduki secara haram dan bagi masyarakat antarabangsa untuk meningkatkan tekanan ke atas Israel agar bertanggungjawab di atas pelanggaran undang-undang antarabangsa yang mereka lakukan.


Wallahu a’alam (MMO)


No comments:

Post a Comment