Monday, October 29, 2018

PROFAIL NEGARA ANGGOTA OIC : LUBNAN




                    PETA
 
 


 

             GEOGRAFI

Lubnan Terletak di kawasan Timur Tengah Benua Asia dengan bersempadankan negara Syria di sebelah timur dan utara dan dengan Israel di sebelah selatannya. Di sebelah Barat Lubnan pula adalah Laut Tengah dengan panjang pantainya menjangkau 225 kilometer.

Luas keseluruhan negara ini adalah 10,400 km persegi terdiri daripada kawasan darat seluas 10,230 km persegi dan kawasan air seluas 170 km persegi.

Lubnan beriklim Mediterranean dengan suhu yang nyaman dan sederhana. Musim sejuknya agak basah dan sederhana sejuk, manakala musim panasnya sederhana panas dan  kering. Kawasan pergunungan Lubnan seringkali diselaputi salji yang tebal pada musim sejuk.

Iklim Lubnan bagaimanapun kebelakangan ini telah mula dicemari dengan gangguan berpunca daripada penebangan hutan, hakisan, proses pergurunan, kehilangan spesis haiwan, pencemaran udara dari lalu lintas kenderaan di Beirut, pembakaran sisa industri, dan pencemaran perairan pantai dari kumbahan mentah dan tumpahan minyak.


 PROFAIL PENDUDUK


Jumlah penduduk Lubnan adalah seramai 6,229,794 orang (anggaran Julai 2017). Majoriti daripada mereka adalah berketurunan bangsa Arab iaitu sebanyak 95%, diikuti etnik Armenia 4% dan etnik-etnik lain, 1%.

Kira-kira 40.5% penduduk Lubnan terdiri daripada mereka yang berusia 24 tahun dan ke bawah, manakala 44.79% lagi terdiri daripada mereka dalam lingkungan usia 25 – 55 tahun, umur produktif yang menyumbangkan sumber tenaga kerja yang besar terutama kepada sektor industri dan perkhidmatan di Lubnan.

Kadar Pertumbuhan penduduk Lubnan pada tahun 2017 bagaimanapun adalah negatif iaitu -1.1%, sebahagian besarnya disebabkan penghijrahan keluar rakyatnya ke negara lain akibat peperangan dan penderitaan hidup di Lubnan.

Kadar kelahiran penduduk Lubnan berdasarkan anggaran tahun 2017 adalah 14.3 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk, manakala kadar kematian pula berada pada kadar 5 kematian bagi setaip 1,000 penduduk.

Kira-kira 88.6% penduduk Lubnan tinggal di kawasan bandar, manakala bakinya tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman. Ibukota Beirut sahaja mempunyai seramai 2.385 juta penduduk.

Dari segi anutan agama, 57.7% penduduk Lubnan adalah beragama Islam dengan 28.7% daripadanya mereka yang berfahaman Sunni sementara bakinya berfahaman Syiah, Alawi dan Ismaili.  Agama kedua terbesar adalah Kristian iaitu sebanyak 36.2%, diikuti penganut agama-agama lain sebanyak 6.1%.

  SEJARAH RINGKAS

Selepas Perang Dunia Pertama, Perancis memperoleh mandat ke atas bahagian utara bekas wilayah Empayar Uthmaniyyah di Syria. Perancis menduduki wilayah Lubnan pada tahun 1920 sehingga tahun 1943 bilamana negara ini diberikan kemerdekaan penuh.

Sejak merdeka, negara Lubanan telah diwarnai dengan pergolakan politik yang berpanjangan di sebalik kemakmuran yang dibina atas kedudukannya sebagai pusat serantau bagi kewangan dan perdagangan. Perang saudara 1975-1990  telah mengakibatkan kira-kira 120,000 kematian, diikuti oleh ketidakstabilan sosial dan politik yang berlarutan selama beberapa tahun.

Sektarianisme adalah elemen penting dalam kehidupan politik Lubnan. Negara jiran Syria secara historis, mempengaruhi polisi luar negeri dan dasar dalaman negara Lubnan. Malah, catatan sejarah memperlihatkan tentera Syria pernah menduduki Lubnan antara tahun 1976–2005. Dalam masa yang sama, militan Hizbollah dan Israel yang berpangkalan di Lubnan terus menyerang dan membalas serangan terhadap satu sama lain selepas penarikan keluar tentera Syria dari Lubnan. Sementara itu, dengan kedudukan Lubnan yang berkongsi sempadan dengan Syria dan Israel, negara itu tidak pernah sunyi daripada berhadapan dengan isu-isu sempadan dan keselamatan yang ada kalanya mengundang pertikaian dan kekerasan.


POLITIK
& HUBUNGAN 
ANTARABANGSA
              

Dari sudut pemerintahan, Lubnan adalah negara yang menganut sistem pemerintahan Republik Berparlimen. Ketua negaranya adalah seorang Presiden manakala Ketua Pemerintahannya adalah Perdana Menteri. 

Presiden Lubnan dipilih secara tidak langsung oleh Majlis Nasional bagi tempoh pemerintahan selama 6 tahun. Perdana Menteri dan Wakil Perdana Menteri  pula adalah dipilih oleh Presiden setelah berbincang dengan Majlis Nasional.

Dari sudut hubungan luar negeri, Lubnan menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 1945. Sejak itu juga Lubnan menganggotai beberapa buah lembaga di peringkat antarabangsa yang berada di bawah payung PBB.

Lubnan menganggotai Organisasi Kerjasama Islam Antarabangsa (OIC) dalam tahun 1969 dan sejak itu telah memainkan peranan aktif dalam menjayakan aktiviti-aktiviti OIC, termasuk menghadiri Sidang Kemuncak di peringkat Ketua negara dan mesyuarat di peringkat Kementerian Luar negara-negara OIC.


           EKONOMI

Lubnan mengamalkan sistem ekonomi berasakan pasaran bebas yang kuat. Justeru itu, kerajaan tidak menyekat kemasukan pelaburan asing dan tidak cuba campur tangan dalam apa juga aktiviti ekonomi dan perdagangan. Bagaimanapun, di sebalik adanya unsur ransangan tersebut, iklim pelaburan di Lubnan didapati agak terjejas akibat adanya birokrasi yang menyusahkan, rasuah, pengurusan pelesenan yang dibuat secara sewenang-wenang, prosedur kastam yang kompleks, cukai dan yuran yang tinggi, undang-undang yang ketinggalan masa dan perlindungan hak harta intelektual yang tidak mencukupi.

Ekonomi Lubnan secara umumnya berorientasikan perkhidmatan, dengan sektor pertumbuhan utama tertumpu kepada sistem perbankan dan pelancongan. Malangnya Perang saudara yang meletus antara tahun 1975-90 telah merosakkan infrastruktur ekonomi Lubnan, mengurangkan keluaran negara sebanyak hampir separuh, dan menjejaskan kedudukan Lubnan sebagai hab perbankan Timur Tengah. Selepas perang Lubnan cuba membina semula sebahagian besar infrastruktur fizikal dan kewangannya dengan meminjam dengan banyaknya, kebanyakannya dari bank tempatan, sehingga menyebabkan kerajaan terbeban dengan hutang yang besar.

Dalam masa yang sama, ikrar pembaharuan ekonomi dan kewangan yang dibuat pada persidangan penderma antarabangsa yang bersidang pada tahun 2000 telah kebanyakannya tidak dipenuhi, termasuk yang dibuat semasa Konferensi Donor Paris III pada tahun 2007. 

Konflik Syria yang berlarutan di satu sudut yang lain, telah memberi kesan kepada pasaran eksport Lubnan dan kedudukan negara itu sebagai koridor pengangkutan utama Lubnan-Syria. Dalam masa yang sama, kebanjiran masuk hampir satu juta pelarian dari Syria telah meningkatkan ketegangan sosial dan meningkatkan persaingan untuk pekerjaan berskala kemahiran rendah dan perkhidmatan awam.

Faktor-faktor ini, secara bersama, telah menyebabkan pertumbuhan ekonomi Lubnan berada pada kadar yang sangat kecil iaitu antara 1-2% pada tahun 2011-17. Pertumbuhan ekonomi yang lemah telah membatasi pendapatan kerajaan dari punca percukaian, sementara perbelanjaan terbesar kerajaan terus tertumpu kepada penyelenggaraan hutang dan gaji kakitangan awam. Ini menyebabkan perbelanjaan kerajaan bagi tujuan yang lain menjadi terhad termasuk bagi memperbaiki infrastruktur yang diperlukan.

Pada awal 2018, kerajaan Lubnan bagaimanapun berjaya menandatangani sebuah perjanjian kontrak yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama dengan sebuah konsortium antarabangsa untuk penerokaan dan pengeluaran petroleum sebagai sebahagian daripada pusingan awal perlesenan luar pesisir pertama negara itu. Eksplorasi tersebut dijangka bermula pada tahun 2019.


 Wallahua’alam (MMO).




No comments:

Post a Comment