Friday, December 21, 2018

2018 : TAHUN YANG STATIK DALAM PENYELESAIAN ISU ROHINGYA




Tahun 2018 bakal melabuhkan tirainya beberapa hari sahaja lagi. Malangnya, sepanjang tahun tersebut, tidak banyak kemajuan yang dapat dilihat dari sudut penyelesaian isu Rohingya yang terus berlanjutan sejak tahun 2016.

Rancangan terdahulu  bagi penghantaran dan penerimaan kembali pelarian Rohingya dari Bangladesh ke kampung halaman mereka di Rakhine, Myanmar yang dijadualkan berlangsung pada awal 2018 ternyata, tidak menjadi kenyataan sepertimana yang diharapkan. Pelbagai helah dan muslihat telah diwujudkan oleh pihak berkuasa Myanmar dalam usaha mereka bagi menggagalkan rancangan penghantaran dan penerimaan kembali pelarian Rohingya itu, biarpun di sebalik adanya tekanan antarabangsa ke atas kerajaan Myanmar.

Berikut, diperturunkan secara ringkas, rentetan peristiwa penting yang berlaku pada sepanjang tahun 2018 buat memandu kita dalam menilai sejauh mana wujudnya kesungguhan pelbagai pihak ke arah menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelarian Rohingya itu.


Tarikh
Peristiwa

8 Februari 2018


Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) yang berpengkalan di Malaysia kesal terhadap tindakan Kerajaan Bangladesh yang memutuskan untuk menghantar semula pelarian Rohingya di kem sementara di negara itu untuk kembali ke negara asal mereka, Myanmar. Serantau Muslim berpandangan proses penghantaran semula etnik Rohingya ke negara asal perlu dihentikan serta-merta sehingga mereka diberikan hak yang utama iaitu kewarganegaraan. Cadangan itu diutarakan bagi memastikan masyarakat Rohingya dapat pulang ke negara asal mereka tanpa rasa takut dan selamat. Pandangan ini dibuat dengan mengambil kira keadaan semasa negara berkenaan, khususnya di wilayah Rakhine yang masih bergolak dan tidak menjaminkan dari sudut keselamatan.


15 Mac 2018


Setiausaha Tetap di Kementerian Luar Myanmar berkata kini sudah tiba masanya untuk Agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu turut sama terlibat dalam proses penghantaran pulang pelarian Myanmar yang pada masa ini berlindung di Bangladesh, Malaysia dan Indonesia. Para pemerhati hak asasi antarabangsa bagaimanapun menaruh curiga terhadap keselamatan pelarian Rohingya sekiranya mereka membuat keputusan untuk kembali ke Myanmar pada masa sekarang.


18 Mac 2018


Satu sessi dialog di antara pemimpin-pemimin ASEAN mengenai kerjasama antara negara-negara anggota bagi menentang pengganasan yang berlangsung di Sydney, Australia memutuskan penyelesaian mengenai masalah pelarian Rohingya memerlukan kerjasama semua negara anggota ASEAN. Kerjasama tersebut juga merangkumi usaha bagi memerangi pengganasan yang berlaku di Myanmar. Dialog tersebut telah turut dihadiri oleh pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi.


22 Ogos 2018

Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi dalam satu kenyataan yang dibuat di Singapura menyatakan bahawa Myanmar tiada mempunyai garis masa yang khusus untuk menyelesaikan isu Rohingya. Beliau menyatakan agak sulit untuk menyelesaikan isu pelarian Rohingya itu memandangkan sebarang keputusan mengenainya membabitkan negara Bangladesh. Dalam kenyataannya itu, Suu Kyi tetap menyalahkan etnik Rohingya berhubung beberapa siri keganasan yang berlaku di negara berkenaan sebelum ini.


7 September 2018


Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) membuat kenyataan bahawa pihaknya mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat penghijrahan beramai-ramai etnik Islam Rohingya dari Myanmar ke Bangladesh sebagai berkemungkinan berpunca daripada jenayah kemanusiaan ke atas etnik itu. Pihak berkuasa Myanmar bagaimanapun enggan memberi sebarang ulasan terhadap kenyataan tersebut.


10 September 2018



Channel News Asia dari Australia melaporkan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina telah membuat gesaan agar dunia antarabangsa, termasuk negara-negara Islam dan pertubuhan-pertubuhan Islam untuk meningkat tekanan ke atas Myanmar supaya lebih serius dalam usaha bagi menyelesaikan isu pelarian Rohingya.  Sheikh Hasina menyatakan bahawa beliau mempunyai hak untuk membuat gesaan tersebut memandang pada masa ini terdapat lebih 1 juta pelarian etnik Rohingya masuk mencari perlindungan di negara itu.


13 September 2018


Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi dalam satu kenyataan yang dibuat di Forum Ekonomi Sedunia (WEF) ASEAN di Hanoi berpandangan bahawa setelah penilaian dibuat berdasarkan keadaan yang berlaku di Rakhine pada masa ini, beliau percaya isu tersebut dapat ditangani dengan lebih baik jika pendekatan yang berkesan diambil dari awal lagi. Beliau turut berkata bahawa dalam usaha bagi mencapai tahap keselamatan dan kestabilan jangka panjang, keadilan kepada semua pihak harus diberikan dengan  tiada siapa yang perlu dilindungi di bawah undang-undang.

Dalam kenyataan itu juga, Suu Kyi dilaporkan turut mempersalahkan kerajaan Myanmar di atas operasi ketenteraan yang dilakukan terhadap etnik Rohingya pada tahun lalu. Beliau berkata tindakan tersebut telah menyebabkan Myanmar kini terdedah kepada tekanan dan kecaman antarabangsa.


28 September 2018


Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, berkata Myanmar gagal menepati janjinya untuk mengambil semula warga muslim Rohingya yang lari ke Bangladesh sebelum ini. Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Hasina merayu agar dunia antarabangsa turut terlibat secara aktif dalam membantu menyelesaikan isu 1.1 juta pelarian Rohingya yang kini berlindung di Bangladesh.


10 Oktober 2018



Ketika mengulas mengenai isu di Rakhine, lokasi tertumpunya isu etnik Rohingya, Suu Kyi dilaporkan berkata bahawa suatu siasatan berhubung dakwaan pencabulan hak asasi manusia perlu dilakukan bagi  mengenal pasti pihak sebenar yang terlibat melakukannya.


16 November 2018


Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohammad berkata rakan Myanmar dalam ASEAN yang mempunyai 10 anggota, "membuat kritikan secara tidak langsung" dan “prihatin” terhadap isu Rohingya. Tun Mahathir menegaskan Myanmar sepatutnya mencontohi Malaysia dalam menerima orang berketurunan asing semasa ia mencapai Kemerdekaan 61 tahun lalu.


18 November 2018


Empat etnik Muslim Rohingya cedera selepas ditembak polis Myanmar sebaik mereka menahan dua lelaki yang dituduh cuba menyeludup keluar sekumpulan 106 etnik Rohingya dari sebuah kem yang menempatkan pelarian di barat negeri Rakhine.


27 November 2018


Sekumpulan pelarian etnik Rohingya mengadakan tunjuk perasaan dalam kawasan kem bagi melahirkan bantahan terhadap sikap kerajaan Bangladesh yang tidak mengiktiraf mereka sebagai berketurunan etnik Rohingya yang sewajarnya mendapat pembelaan sebagai pelarian yang sah di Bangladesh. Mereka menuntut keadilan di pihak Bangladesh, termasuk perlindungan yang selamat, kemudahan kesihatan dan peluang mendapatkan pendidikan di kalangan kanak-kanak Rohingya.


1 Disember 2018


Datuk Bandar Paris mengumumkan gelaran kehormat yang diberikan kepada Aung San Suu Kyi bakal ditarik balik kerana kegagalan Suu Kyi dalam mengendalikan isu pencabulan hak asasi kemanusiaan oleh pihak tentera di Myanmar. Sebelum ini beberapa pihak telah mengambil tindakan menarik balik anugerah tersebut sebagai manifestasi kekecewaan mereka di atas ketidakmampuan Suu Kyi dalam mengendalikan isu kemanusiaan yang dihadapi oleh  etnik Rohingya. Antaranya ialah Glasgow, Edinburg dan Oxford.

Dalam satu perkembangan lain, terdapat laporan dari Yangon, Myanmar menyebutkan peminat-peminat Suu Kyi dari kalangan remaja dan belia Myanmar kini mula sangsi dan menjauhkan diri daripada idola mereka itu, sebahagian besarnya berpunca dari kegagalan Suu Kyi dalam menangani isu-isu kemanusiaan, khususnya berkait dengan isu Rohingya dan isu-isu lain berhubung kebebasan media dan hak untuk bersuara.


2 Disember 2018


Inisiatif diplomatik antara Bangladesh dengan Myanmar memasuki fasa kedua dengan diplomat Bangladesh membawa cadangan supaya Myanmar mengatur urusan kewarganegaraan etnik Rohingya terlebih dahulu sebelum urusan membawa mereka pulang ke Rakhine dilaksanakan. Ini bertujuan untuk merangsang pelarian untuk pulang secara sukarela apabila mendapati jaminan keselamatan terhadap diri mereka diwujudkan. Inisiatif pusingan pertama bagi urusan pemulangan kembali pelarian Rohingya yang dijadual pada awal tahun 2018 telah menemui kegagalan, sebahagian besarnya disebabkan tiadanya jaminan keselamatan terhadap pelarian berkenaan di samping tiada pelarian yang ingin pulang disebabkan suasana di kampung halaman mereka yang masih bergolak.


13 Disember 2018

Dewan Perwakilan Amerika Syarikat membuat resolusi hampir sebulat suara dalam menyifatkan aksi tentera Myanmar terhadap etnik Rohingya sebagai berbentuk tindakan penghapusan etnik (genoside) sambil mencadangkan supaya kerajaan Myanmar dihadapkan dengan pertuduhan tersebut untuk pertama kalinya. Pihak tentera Myanmar bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut dengan sebaliknya mendakwa tindakan mereka adalah berupa tindakan memerangi pengganasan.


Demikianlah antara senario yang berlaku di sepanjang tahun 2018 dalam konteks penyelesaian isu pelarian Rohingya yang nampaknya berterusan statik sejak tercetusnya isu berkenaan dalam tahun 2016. Cuma apa yang kita harapkan, tahun 2019 yang bakal membuka tirainya beberapa hari sahaja lagi akan turut membuka tirai penyelesaian yang bermakna dalam isu Rohingya. Dalam hubungan ini, kita amat mengharapkan penglibatan secara lebih serius dari semua pihak, lebih-lebih badan-badan  dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan pertubuhan serantau ASEAN untuk mencari langkah penyelesaian segera lagi berkesan bagi mengakhiri penderitaan yang dilalui oleh etnik Rohingya itu. 

Sikap tolak menolak, salah menyalahkan dan cubaan berselindung di sebalik gagasan memerangi pengganasan untuk melaksanakan agenda tersembunyi yang bertentangan dengan kehendak antarabangsa dan hak asasi manusia tidak seharusnya dibiar mengambil ruang di tahun 2019 nanti. Malah, jika perlu, tekanan antarabangsa, termasuk menghadapkan pihak yang terlibat dalam mencetuskan gejala kemunusiaan ke muka pengadilan antarabangsa perlu dilaksanakan sekiranya itu sahaja jalan yang terbuka ke arah menyelesaikan kemelut yang ada di hadapan mata kita.


Wallahua’alam (MMO)




No comments:

Post a Comment