Thursday, September 6, 2018

PROFAIL NEGARA ANGGOTA OIC : INDONESIA



PETA
 


 
       

GEOGRAFI

Indonesia merupakan negara kepulauan terbesar di dunia yang terletak di Asia Tenggara. Jumlah pulau yang dimiliki oleh Indonesia dianggarkan lebih 17,000 buah dengan keseluruhan wilayahnya adalah seluas 1,904,569 km persegi.  Daripada keseluruhan keluasan tersebut, sejumlah 1,811,569 km persegi adalah terdiri daripada tanah daratan manakala kawasan air meliputi keluasan 93,000 km persegi.

Pulau-pulau utama Indonesia adalah Pulau Sumatera, Pulau Kalimantan, Pulau Jawa, Pulau Sulawesi dan Pulau Papua. Sebagai Negara Kepulauan Terbesar di dunia, Indonesia juga merupakan salah satu negara yang memiliki garis pantai terpanjang di dunia, iaitu sepanjang 2,957 km.

Dari sudut kedudukan geografinya, Indonesia berada di kedudukan antara Lautan Pasifik dan Lautan Hindi serta dilintasi di tengah-tengahnya oleh garisan khatulistiwa. Indonesia berkongsi sempadan darat dengan negara Papua New Guinea iaitu sepanjang 824 km, dengan Malaysia di pulau Kalimantan sepanjang 1,881 km dan dengan Timor Leste, sepanjang 253 km. Negara-negara yang berkongsi sempadan laut dengan Indonesia pula adalah Singapura, Filipina, Australia dan India (Kepulauan Andaman dan Nikobar).


PROFAIL PENDUDUK




Indonesia memiliki jumlah penduduk seramai 260,580,739 orang (anggaran Julai 2017) dengan majoriti penduduknya adalah  penganut agama Islam (sekitar 87.2%). Dengan jumlah penduduk seramai 260 juta orang itu menjadikan Indonesia sebagai negara yang memiliki jumlah penduduk keempat terbesar di dunia,  juga menjadi negara yang paling ramai mempunyai penganut agama Islam di dunia, iaitu seramai sekitar 227 juta. 

Etnik-etnik utama di Indonesia terdiri daripada etnik Jawa (40.1%), etnik Sunda (15.5%), Melayu (3.7%), Batak (3.6%), Madura (3%), Betawi (2.9%), Minangkabau (2.7%_, Bugis (2.7%) Bentan (2%), Banjar (1.7%), Bali (1.7%), Aceh (1.4%), Dayak (1.4%), Sasak (1.3%), Cina (1.2%) dan lain-lain, 15% (anggaran 2010).

Tumpuan utama penempatan penduduk Indonesia adalah di pulau Jawa yang dianggap sebagai salah satu tempat yang paling padat di bumi; di pulau-pulau luar (yang mengelilingi Jawa dan Bali), di pulau Sumatera khususnya di bahagian selatan dekat Selat Sunda, dan di sepanjang pantai timur laut dekat Medan; juga di kota Makasar (Sulawesi), dan Banjarmasin (Kalimantan).

Bahasa Indonesia adalah Bahasa rasmi Indonesia. Bahasa-bahasa lain yang turut dituturkan secara meluas adalah Bahasa Inggeris, diikuti dengan bahasa/loghat tempatan yang dianggarkan keseluruhannya menjangkau sehingga 700 bahasa.


SEJARAH RINGKAS


Belanda mula menjajah Indonesia pada awal abad ke-17. Di antara tahun 1942 hingga 1945 beberapa buah pulau di Indonesia telah diduduki oleh Jepun. Indonesia mengisytiharkan kemerdekaannya sejurus sebelum penyerahan Jepun. Bagaimanapun untuk tempoh selama empat tahun sebelum kemerdekaan, Indonesia melalui suatu tempoh yang tidak menentu, terutama penentangan terhadap pendudukan Belanda. Mediasi PBB akhirnya membawa Belanda  mengistyharkan kemerdekaan Indonesia pada tahun 1949.

Pada tahun 1957 Presiden Soekarno mengisytiharkan undang-undang tentera dan memulakan "Demokrasi Terpimpin." Selepas kebangkitan kuasa oleh penyokong komunis pada tahun 1965, kekuasaan Soekarno secara beransur-ansur mulai lemah. Dari tahun 1967 hingga 1998, Presiden Suharto memerintah Indonesia dengan kerajaan "Orde Baru "nya. Protes jalanan menggulingkan Suharto mengambil tempat pada tahun 1998, sekaligus membawa pilihan raya yang bebas dan adil diadakan pada tahun 1999. 

Indonesia kini merupakan negara demokrasi ketiga terbesar di dunia. Bagaimanapun beberapa isu semasa terus dihadapi oleh Indonesia seperti isu kemiskinan, meningkatkan pendidikan, mencegah keganasan, melaksanakan pembaharuan ekonomi dan kewangan, membanteras rasuah, mengubah sistem keadilan jenayah, dan mengawal penyakit berjangkit. Selain itu, Indonesia juga menghadapi beberapa masalah berkaitan hubungan serantaunya dengan negara-negara jiran seperti tuntutan bertindih ke atas wilayah serta isu-isu berkaitan perairan.


POLITIK & PENTADBIRAN

              

Indonesia mengamalkan sistem pemerintahaan Republik Presidensil di mana Ketua Negara dan Ketua Pemerintahannya dipegang oleh seorang Presiden. Presiden dan Wakil Presiden Republik Indonesia dipilih secara langsung oleh Rakyat Indonesia melalui Pemilihan Umum Presiden dan Wakil Presiden yang  diselenggarakan setiap 5 tahun sekali. 


EKONOMI



Ekonomi Indonesia telah menyaksikan kelembapan pertumbuhan sejak 2012, sebahagian besarnya disebabkan oleh perkembangan eksport komoditi yang menurun. Semasa krisis kewangan global, Indonesia mengatasi jiran serantaunya dan menyertai China dan India sebagai satu-satunya ahli G20 yang memaparkan pertumbuhan. Defisit bajet tahunan Indonesia dihadkan pada 3% daripada KDNK, dan Kerajaan Indonesia menurunkan nisbah hutang kepada KDNK dari puncak 100% sejurus selepas krisis kewangan Asia pada tahun 1999 menjadi 34% hari ini. Pada bulan Mei 2017 Standard & Poor menaikkan taraf penarafan kredit berdaulat Indonesia kepada gred pelaburan.

Indonesia masih bergelut dengan kemiskinan dan pengangguran, infrastruktur yang tidak mencukupi, korupsi, persekitaran pengawalan yang kompleks, dan pengedaran sumber yang tidak sama di kalangan wilayahnya. Kerajaan Indonesia di bawah kepimpinan Presiden Joko Wododo yang dipilih pada bulan Julai 2014  diletakkan dengan harapan dan tanggungjawab untuk membangunkan sumber daya maritim Indonesia dan mengejar pembangunan infrastruktur yang lain, termasuk peningkatan kapasiti penjanaan kuasa elektrik dengan ketara. 

Subsidi bahan api berkurangan pada awal tahun 2015, satu langkah yang telah membantu kerajaan mengalihkan belanja ke keutamaan pembangunan. Indonesia, dengan sembilan anggota ASEAN yang lain, akan terus bergerak ke arah penyertaan dalam Komuniti Ekonomi ASEAN, walaupun pelaksanaan penuh integrasi ekonomi belum terwujud.


HUBUNGAN ANTARABANGSA





Dalam aspek hubungan Luar Negara, Indonesia merupakan negara anggota PBB dan negara anggota lembaga-lembaga yang berada di bawah PBB. Republik Indonesia juga merupakan negara anggota APEC, ASEAN, G-20, ADB, dan OIC.

Keanggotaan dan peranan aktif Indonesia dalam OIC bermula sejak organisasi Islam terbesar di dunia ini dibentuk pada 25 September 1969. Indonesia merupakan salah satu dari 24 negara yang hadir dalam Sidang Kemuncak OIC di Rabat, Moroko yang merupakan detik terbentuknya OIC. Sejak itu peranan Indonesia melalui tempoh pasang surut. Pada tahun-tahun awal penubuhan OIC peranan Indonesia masih terbatas. Bahkan keanggotaan Indonesia di OIC sempat menjadi perdebatan, baik oleh kalangan OIC mahupun kalangan tertentu di dalam negeri. Ketika piagam pertama OIC dicetuskan pada tahun 1972, Indonesia menolak untuk menandatanganinya dan menahan diri untuk menjadi anggota resmi kerana berdasarkan Undang-undang Dasar 1945, Indonesia bukanlah negara Islam. 

Demikian juga dengan dasar politik luar negeri Indonesia yang bebas dan aktif, tidak mendasarkan pada nilai-nilai Islam. Namun, kerana tuntutan aspirasi dan politik dalam negeri yang muncul kemudiannya telah membuatkan Indonesia merasa perlu untuk mengaktifkan peranannya dalam OIC pada tahun 1990-an, ketika presiden Soeharto untuk pertama kalinya hadir dalam Sidang Kemuncak Pemimpin-pemimpin OIC ke-6 di Senegal, pada Disember 1991. Kehadiran Presiden Soeharto tersebut merupakan langkah awal perubahan kebijakan politik luar negeri Indonesia untuk berpartisipasi lebih aktif di OIC, meskipun peranan Indonesia di OIC tidak terlalu dominan.

Beberapa peranan aktif Indonesia dalam OIC dapat dilihat pada tahun 1993 bilamana Indonesia menerima mandat sebagai ketua “Committee of Six”, yang bertugas memfasilitasi perundingan damai antara Moro National Liberation Front (MNLF) dengan pemerintah Filipina. Kemudian pada tahun 1996, Indonesia menjadi tuan rumah Persidangan Peringkat Menteri Luar ke-24 di Jakarta.

Selain itu, Indonesia turut menyumbangkan idea bagi memantapkan peranan OIC sebagai wadah bagi menangkis tohmahan terhadap umat dan dunia Islam memasuki abad ke-21. Pada penyelenggaraan Sidang Kemuncak OIC ke-14 di Dakar Senegal, Indonesia mendukung pelaksanaan “OIC's Ten-Year Plan of Action”. Dengan terbentuknya piagam ini, Indonesia memiliki ruang untuk lebih berperanan dalam memastikan implementasi reformasi OIC tersebut. Indonesia berkomitmen dalam menjamin kebebasan, toleransi dan harmonisasi serta memberikan bukti nyata akan keselarasan Islam, demokrasi dan modernisasi.

Kelangsungan Sidang Kemuncak Tergempar OIC mengenai Palestin dan Al Quds Al Sharif dalam bulan Mac 2016 di Jakarta yang menyaksikan pengisytiharan “Deklarasi Jakarta” kemudiannya mengesahkan lagi peranan aktif Indonesia dalam OIC.

Deklarasi tersebut mengandungi lima usul yang mana dua daripadanya ialah menggesa komuniti antarabangsa untuk menyokong pemboikotan barangan Israel yang dihasilkan di wilayah pendudukan secara haram di Palestin dan menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) menangani isu pencerobohan dan pendudukan haram di Palestin.

Dua lagi usul ialah menyokong usaha supaya satu persidangan antarabangsa diadakan untuk memacu usaha masyarakat antarabangsa mencapai objektif penyelesaian dua-negara dengan rangka kerja yang jelas, dan meningkatkan bantuan kewangan dan pembangunan bina upaya oleh negara-negara anggota  OIC dan bukan anggota serta badan antarabangsa lainnya untuk mengukuh institusi kerajaan Palestin.

Usul kelima ialah menubuhkan satu kumpulan pakar undang-undang untuk meneliti kaedah merujuk pelanggaran hak asasi manusia dan memberikan nasihat kepada kerajaan Palestin di institusi badan antarabangsa.

Sidang kemuncak tergempar yang dihadiri lebih 500 anggota delegasi dari 57 negara anggota OIC dan dua pertubuhan antarabangsa atas permintaan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas itu telah mampu memahat sejarah penglibatan Indonesia dalam salah satu agenda besar OIC menyentuh masalah Palestin.

Dalam pada itu, wujud pandangan bahawa terdapat keperluan bagi Indonesia untuk harus mampu mengoptimalkan peranannya di kancah Internasional, termasuk dalam G20, di mana Indonesia boleh bekerjasama dengan Arab Saudi dan Turki untuk membangunkan  strategi dalam mempersatukan dunia Islam. 

Disamping itu Indonesia dituntut untuk memperbaiki citranya dalam konteks hubungan dengan negara-negara Arab, khususnya berkaitan dengan masalah Tenaga Kerja Indonesia (TKI) serta meningkatkan perekonomian melalui kerjasama antara negara-negara anggota OIC, sehingga dengan kekuatan ekonomi tersebut dapat dijadikan modal untuk membangun dunia Islam yang bebas dari pengaruh hegemoni Barat.



Wallahua’alam (MMO).



No comments:

Post a Comment