![]() |
Tugu Peringatan Churchill |
Kisah Yang Belum Terungkap
Datuk A.M. Azahari bernama Sheikh Abdul Hamid Al
Idruce berasal dari Thaif, Arab Saudi dan bermastautin di Hadramaut, Yamen.
Beliau datang ke Brunei pada awal tahun 1880-an sebagai da’e. Sheikh Abdul
Hamid Al Idruce berkahwin dengan Dayang Aishah binti Awang Bujang bin Awang Abu
Bakar yang beranakkan Sheikh Mahmud (ayahanda A.M.Azahari). Sheikh Abdul Hamid
Al Idruce adalah generasi sezaman dengan Sultan Hashim Jalilul ‘Alam Aqamaddin
(1885-1906).
Setibanya di Brunei, Sheikh Abdul Hamid Al
Idruce mengadap Sultan Hashim lalu diberi tugas dakwah dan menjadi penasihat
ugama Islam kepada baginda. Sheikh Abdul Hamid Al Idruce tinggal menentap di
Pulau Kaingaran, pulau seluas 18 ekar yang terletak di kuala Sungai Brunei. Di situlah
tempat beliau mengasingkan diri dari hirok pikok pekan Brunei, lalu pulau itu
disebut pulau “Kaingaran” yang membawa maksud tempat lari dari “kebisingan”.
Perang Pulau Cermin
Kedudukan Pulau Kaingaran adalah bertentangan
dengan Pulau Cermin yang jaraknya lebih kurang satu kilometer. Pulau Cermin
yang bersejarah itu pula menjadi saksi bahawa
Brunei pernah bersultan dua, gara-gara perebutan tahta di kalangan kerabat
diraja antara Sultan Abdul Mubin dan Pengiran Bendahara Mahyiddin.
Berikutan perang saudara itu, sebahagian
wilayah Brunei di Sabah telah dipertaruhkan oleh Pengiran Bendahara Muhyiddin,
bagi mendapat sokongan Betara Sulu untuk menumpaskan Sultan Abdul Mubin. Perang
saudara antara kerabat diraja ini
berlarutan selama 14 tahun iaitu dari TM
1660 hingga TM 1674. Puncanya hanya kerana kalah bersabung ayam. Baya hubaya,
jangan suka bersabung ayam kelak negara terjual lagi.
Apabila Pengiran Bendahara Muhyiddin berjaya
mengalahkan seterunya Sultan Abdul Mubin maka Pengiran Bendahara Mahyiddin pun
diangkat menjadi Sultan (1673-1690). Seperti dalam kisah Pak Pandir, menang
sorak kampong tergadai. Baginda telah membayar harga kemenangannya dengan
menyerahkan sebahagian wilayah Brunei di Sabah termasuk daerah Kimanis ke tangan
Betara Sulu seperti janji pertaruhan.
Menentang Egenda Pernaungan Penjajah
Di tahun-tahun 1884 - 1905, Limbang , Tutong
dan Belait iaitu wilayah tadbir Brunei ketika itu sedang diancam oleh
pemberontakan penduduk tempatan kerana menentang kezaliman juak-juak istana ke atas
penduduk tempatan. Pemberontakan di Limbang dipimpin Datu Klassie dan isterinya
sementara pemberontakan di Tutong dan Belait dipimpin oleh Datu Digadong dan
Datu Kallam.
Berikutan kegawatan itu, pihak British telah
menawarkan perlindungan kepada Brunei, tetapi cadangan British itu ditentang
oleh Sheikh Abdul Hamid Al Idruce.
“Kenapa Tuanku mau berlindung dengan orang kapir sedangkan pemerintahan
Islam masih ada”. Demikian tegas Sheikh Abdul Hamid Al Idruce menolak cadangan
British untuk menanungi Brunei seperti yang diceritakan Sheikh Mahmud dari
generasi ke generasi.
Nasihat terakhir Sheikh Abdul Hamid Al
Idruce sebagai da’e dan penasihat kepada Sultan Hashim, “jangan sekali-kali Tuanku
benarkan Brunei bernaung di bawah kuasa kafir”. Atas pendirian keras beliau
itulah dia berkira-kira untuk berangkat ke Turki pada awal tahun 1905 untuk mendaptkan perlindungan
ke atas Brunei dari Kerajaan Turki yang diperintah oleh Sultan Abdul Hamid
Khan, khalifah terakhir kerajaan Uthmaniah ketika itu.
Sultan Hashim bersetuju atas cadangan Sheikh
Abdul Hamid Al Idruce untuk mendapatkan perlindungan dari Kerajaan Islam Turki.
Dengan membekalkan sepucuk warkah, baginda menitahkan Sheikh Abdul Hamid Al
Idruce untuk pergi ke Turki mengadap Sultan Abdul Hamid Khan bagi merundingkan pernaungan Brunei di bawah
kesultanan Turki.
Sebelum Sheikh Abdul Hamid Al Idruce
berangkat ke Turki, Sultan Hashim telah melafazkan akad menghadiahkan Pulau
Kaingaran kepada Sheikh Abdul Hamid Al
Idruce sebagai tanda kasih di atas persahabatan mereka yang akrab itu.
Demikian itulah cara baginda Sultan Hashim
menzahirkan penghargaan kepada warganya yang setia berbakti kepada baginda dan
negeri. Sebaliknya, ada juga pemerintah di dunia Islam tidak suka mendekati
orang alim lagi ikhlas dan berterus terang, malah sering terjadi susu dibalas
tuba (racun).
Ketika hendak berangkat itu, (Pehin Udana
Laila) Awang bin Haji Hanafi yang berkahwin dengan ibu saudara Sheikh Mahmud
bernama Dayang Aminah binti Burut telah diberi amanah sebagai pemegang amanah
ke atas Pulau Kaingaran, kerana Sheikh Mahmud ketika itu masih belum cukup dewasa.
Malang tidak berbau, Sheikh Abdul Hamid Al
Idruce mangkat di Pulau Labuan (kini menjadi sebahagian Malaysia),
dipersinggahan pertamanya dalam pelayaran menuju Turki. Keluarga A.M. Azahari
percaya kemangkatan Sheikh Abdul Hamid Al Idruce adalah bersebab terminum
racun. Seperti kemangkatan mengejut Sultan Ahmad Tajuddin, kemangkatan Sheikh
Abdul Hamid Al Idruce ini juga suatu yang misteri, menimbulkan tanda tanya yang
belum terjawab hingga sekarang.
Hari ini, geran Pulau Kaingaran yang
dikeluarkan pada tahun 1913 masih atas
nama zuriat Sheikh Abdul Hamid Al Idruce, iaitu Malai Marhari binti Sheikh
Mahmud, Sheikh Nikman bin Sheikh Mahmud dan Sheikh Adenan bin Sheikh Mohamad bin
Sheikh Mahmud sebagai pemegang amanah keluarga.
Sheikh Mahmud Bin Sheikh Abdul Hamid.
Sheikh Mahmud (ayahanda A.M. Azahari) lahir
di Pulau Labuan pada tahun 1889 tetapi, Pulau Labuan dalam sejarah dan
pendirian politik A.M. Azahari tetap milik Brunei kerana Pulau Labuan
sememangnya bahagian wilayah Brunei yang telah dirampas oleh penjajah British
pada tahun 1846.
Ketika Sheikh Mahmud dilahirkan di pulau itu, Labuan bagaikan masih di bawah pemerintahan Brunei. Pedagang dan pengalu berulang alik dari Brunei ke Pulau Labuan sejauh 40 batu tanpa sebarang sekatan dan keperluan pas perjalanan.
Tidak lama selepas dilahirkan di Pulau
Labuan, Sheikh Mahmud dibawa pulang ke Pulau Kaingaran dan dibesarkan di Pulau
itu. Kekanda A.M. Azahari, Malai Marhani dan Sheikh Nikman telah dilahirkan di
Pulau Kaingaran itu. Dua orang saudara Sheikh Mahmud bernama Syarifah Noor dan
Sheikh Ubaid meninggal dunia di Pulau Kaingaran dan di makamkan di Pulau
Cermin.
Sheikh Mahmud tidak pernah menetap di
mana-mana di luar Brunei, malah beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tanah
selama 36 tahun dengan pihak berkuasa British di Brunei ketika itu.
Beliau meninggal dunia pada tahun 1961 di
“Rumah Besar”, Kampong Padang Lama,
Pekan Brunei, rumah di mana A.M. Azahari dilahirkan oleh ibunya bernama
Dayang Rafiah binti Hj Ibrahim pada
tahun 1928. “Rumah Besar” itu juga merupakan Markaz pertama PRB pada tahun
1956.
Pada akhir tahun 1960-an, kerajaan Brunei
telah mengambil rumah dan tanah berkenaan untuk membina sebuah tugu peringatan
Churchill bagi memperingati mendiang Perdana Menteri British tersebut yang
didakwa banyak berjasa kepada Brunei.
Protes Senyap Pelajar
Di tahun 1973 - 1975 wujud beberapa kumplan
baru gerakan pelajar yang anti penjajah British dan salah satu kumpulan pelajar
tersebut dipelopori oleh Sdra, Yunos
Haji Momin, Mohamad Zabidi Mohamad Daud, Shaari Akim, Zaini Razali dan Haji
Saneh bin Haji Jaafar.
“Panglima” gerakan “Kumpulan Yunos Haji
Momin” ialah Bung Asnan Othman sebagai mentor, mempunyai lebih 50 orang anggota
kesemuanya terdiri dari pelajar Maktab Sultan Omar Ali Saifuddein (SOASC).
Kumpulan pelajar ini rata-rata bereumur 17-18 tahun.
Pelajar dari aliran ugama juga aktif bergerak menyuntik semangat anti penjajahan British di kalangan pelajar aliran ugama dipimpin oleh Sdra Mahdi H.M. Suhaili. Antara kegiatan mereka ialah menyebar risalah dan poster anti penjajahan.
Apabila pihak Polis Cawangan Khas Brunei
dapat mengesan bahawa ada sekumpulan pelajar berkira-kira untuk meruntuhkan
patung Churchill tersebut, maka serta merta, tugu peringatan Churchill tersebut
dibongkar dan disorokkan ke dalam sebuah stor kerajaan. Tapak itu kini
dibangunkan pula Muzium Alat-Alat Kebesaran Diraja.
Kemudiannya, pada awal tahun 1974, seramai 32
orang daripada anggota “Kumpulan Yunos Haji Momin” melarikan diri ke perbatasan Sarawak,
Malaysia dan menggabungkan diri dengan Parti Rakyat Brunei (PRB) yang ketika
itu berpangkalan di Kuala Lumpur.
Saksi Hidup
Yang terkilannya, mengapa sejarah dan
sumbangan Sheikh Abdul Hamid Al Idruce seperti disembunyikan, walhal di antara
ramai alim ulama Brunei di zamannya, Sheikh Abdul Hamid Al Idruce yang paling
dekat dengan Sultan sehingga dikurniakan sebuah pulau, anugraha yang besar
maknanya yang mungkin tidak pernah
dianugerahkan seumpamanya oleh seorang Sultan Brunei kepada hamba rakyatnya yang lain.
Pulau Kaingaran adalah saksi hidup, betapa
datuk A.M.Azahari, seorang ulama dan pendakwah pernah memberikan kesetiaannya
kepada Sultan dan negeri Brunei. Setitik darah setia dan pengorbanan datuknya
kepada sultan dan watannya itulah yang mengalir ditubuh A.M. Azahari.
Takdir telah menentukan bahawa kedua nenda dan cucunda ini menghembuskan
nafas terakhir mereka semasa di perantauan ketika misi perjuangan masing-masing
belum selesai. Walaupun perjuangan kedua mereka mungkin dilihat gagal pada
pandangan manusia, namun belum tentu ia dipandang gagal oleh Allah SWT.
Wallahua’alam (MMO).
Wallahua’alam (MMO).
*******
yanna sani
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeletesejarah asli patut di ketahui lebih terperinci lagi
ReplyDeleteSejarah Brunei patut diketahui lebih mendalam lagi untuk belia-belia yang menceburi bidang sejarah di negara brunei darussalam.
ReplyDeletePembetulan pada sejarah Sabah, pihak Brunei tidak pernah bersetuju dalam urusan menyerahkan kawasan timur Sabah pada pihak sulu selepas tamatnya era perang saudara Brunei disebabkan pihak sulu tidak pernah terlibat secara langsung dalam perang tersebut.
ReplyDelete