Tuesday, November 10, 2020

DIARI KEHIDUPAN VII : ISLAMOFOBIA DI NEGARA BARAT TERUS MENJADI-JADI


 

        Ribuan umat Islam Bangladesh berarak membantah kenyataan Macron dalam menghubungkaitkan Islam dengan keganasan.


Melalui entri bertarikh 20 September lalu di bawah tajuk Diari Kehidupan VI : Islamofobia - Kejadian-kejadian Penghinaan Terhadap Rasulullah SAW, penulis ada membicarakan tentang tindakan majalah mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo dalam mengulangi penerbitan karikatur Nabi SAW sempena dengan bermulanya perbicaraan terhadap dua suspek yang dituduh terlibat dalam peristiwa serangan ke atas pejabat majalah tersebut dalam tahun 2015.

Tindakan majalah tersebut telah mengundang kecaman keras dari hampir keseluruhan pemimpin dan penganut agama Islam di seluruh dunia yang melihatnya sebagai suatu tindakan berterusan di pihak mereka yang bertujuan menghina dan merendahkan kedudukan agama Islam dengan mempersendakan peribadi dan kepimpinan Nabi SAW sebagai ‘Pemimpin Ummah’.

Kita sangkakan perkara tersebut akan reda berikutan kuatnya penentangan umat Islam terhadap perbuatan mereka yang cuba mempersendakan kesucian agama Islam itu. Rupa-rupanya tidak. Malah, kita amat terkejut apabila ada di kalangan pemimpin negara besar dan mendakwa diri mereka sebagai bertamadun tinggi tergamak melabelkan Islam sebagai agama yang sedang berada di dalam krisis di seluruh dunia. Subhanallah! 

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dikatakan telah membuat kenyataan itu ketika mengulas mengenai kejadian serangan seorang pemuda Arab ke atas seorang guru di Perancis kerana menayangkan lakaran karikatur Nabi SAW dalam satu sesi pembelajaran yang dikaitkan dengan tema kebebasan bersuara pada akhir Oktober lalu. 

Malah, Macron dikatakan menganggap guru yang mati dipenggal kepalanya itu sebagai hero kerana mempertahankan hak kebebasan bersuara (dengan membincangkan isu karikatur Nabi Muhammad (SAW) dan sebaliknya mendakwa pemuda yang menyerangnya sebagai seorang radikal yang lahir dari agama Islam yang sedang dilanda krisis. 

Tindakan pemuda Arab itu sewajarnya menerima kecaman kuat dari seluruh pemimpin dunia Islam kerana apa yang dilakukannya sama sekali bercanggah dengan apa yang dianjurkan oleh agama. 

Namun untuk mendakwa agama Islam sebagai agama yang berada di dalam krisis di seluruh dunia hanya dengan bersandarkan tindakan seorang penganut agama (yang sebenarnya membelakangkan ajaran Islam melalui tindakannya itu), ianya bukanlah suatu tindakan yang bijak dan sepatutnya ada pada pemimpin negara yang kononnya maju peradabannya, menghormati hak asasi kemanusiaan, mengamalkan demokrasi dan persamaan, juga kebebasan bersuara. 

Menerusi kenyataan itu juga, Macron menegaskan minoriti umat Islam di Perancis (yang dianggarkan seramai enam juta orang) kini berada dalam situasi berbahaya kerana sedang dibentuk untuk menjadi 'masyarakat kontra' (yang membawa maksud masyarakat yang radikal, membelakangkan undang-undang dan tidak menghormati kehendak serta norma masyarakat dan negara).

Pemikiran tersebut, dakwa Macron, sering diterjemah kepada anak-anak yang tidak berada di sekolah dan dalam aktiviti sukan, budaya serta komuniti lain sebagai 'dalih untuk mengajar prinsip yang tidak sesuai dengan undang-undang negara itu'.

"Islam adalah agama yang berada dalam krisis di seluruh dunia hari ini, kita bukan sahaja melihat hal ini di negara kita," katanya.

Sehubungan itu, Macron mengumumkan bahawa satu perundangan akan dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini, merangkumi pemantauan lebih ketat terhadap organisasi sukan dan persatuan supaya mereka tidak menjadi tempat penyebaran Islam, berakhirnya sistem imam yang dihantar ke Perancis dari luar negara serta pengawasan pembiayaan di masjid. 

Dalam satu perkembangan lain yang berkaitan, Perdana Menteri Perancis, Jean Castex menggesa supaya negara Afrika Utara (bekas jajahan Perancis) iaitu Tunisia dan Algeria, supaya mengambil balik warganegara mereka yang disabitkan atas tuduhan keganasan di Perancis.  

Ini disebabkan Perancis dikatakan menjadi semakin bimbang berikutan meningkatnya kes keganasan di Eropah, termasuk kes serangan seorang lelaki bersenjata yang membunuh empat orang di ibu kota Austria, Vienna baru-baru ini. Insiden tersebut telah menyebabkan Perancis bertindak melipatgandakan jumlah pengawal di perbatasan dengan negara jirannya di EU sehingga 4,800 orang dan meningkatkan tahap amaran keganasan ke tahap tertinggi.

Kita faham akan kebimbangan Perancis itu. Tetapi untuk mengaitkan apa yang berlaku dengan dakwaan ianya sebagai berpunca dari Islam atau merumuskan apa yang berlaku itu sebagai tanda Islam sedang dilanda krisis adalah sesuatu yang amat tidak wajar sama sekali. Ianya juga dapat memaparkan betapa singkatnya pemikiran mereka yang gagal menghayati kehidupan beragama yang sepatutnya saling hormat menghormati antara satu sama lain. 

Maka itu, tidaklah menghairankan bilamana kenyataan Macron tersebut telah mengundang kecaman hebat dari pelbagai pihak, termasuk Pertubuhan Negara Islam dan pemimpin Islam di seluruh dunia. 

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menerusi satu kenyataan yang dilaporkan   oleh agensi berita Anadolu, telah mengutuk pembunuhan guru Perancis berkenaan. Namun, dalam masa yang sama, OIC mengecam sebarang bentuk serangan, hasutan dan sentimen anti Islam yang berterusan berlaku di beberapa negara serta perbuatan menghina Nabi Muhammad (SAW). Kenyataan OIC itu  dibuat sebagai merujuk kepada kenyataan Macron yang disifatkan  boleh memudaratkan hubungan Islam-Perancis dan mencetuskan kebencian terhadap agama Islam dan umatnya.

“OIC akan sentiasa mengutuk amalan, kata-kata nista dan penghinaan ke atas Nabi Muhammad (SAW), Kristian mahu pun Yahudi kerana kita mengutuk setiap kejahatan yang dilakukan atas nama agama.” kata kenyataan itu lagi.

Di Riyadh, Arab Saudi menerusi kenyataan yang diterbitkan oleh agensi berita Anadolu, mengutuk karikatur yang menghina Nabi Muhammad (SAW) dan menolak sama sekali sebarang kaitan antara Islam dengan keganasan. Justeru, Arab Saudi, di samping mengutuk sebarang perlakuan keganasan, menyeru supaya kebebasan bersuara menjadi penyinar untuk saling hormat menghormati, toleransi dan keamanan.

Di Pakistan, Perdana Menteri Imran Khan menyifatkan sebagai sesuatu yang malang apabila Macron memilih untuk menggalakkan Islamofobia dengan menyerang Islam berbanding pengganas yang (secara bersendirian) mencetuskan keganasan.

Di Teheran, Pemimpin Iran, Ayatollah Ali Khamenei membidas tindakan Macron dalam mempertahankan kartun menggambarkan Nabi Muhammad (SAW), sebagai 'perbuatan bodoh' serta 'penghinaan' kepada agama Islam dan penduduk minoriti Islam di Perancis.

Di Turki, Presiden Recep Tayyip Erdogan menyifatkan kenyataan Macron itu sebagai sama dengan layanan terhadap orang Islam dengan layanan terhadap orang Yahudi di Eropah sebelum Perang Dunia Kedua. Beliau turut menggesa agar barangan Perancis diboikot.

Di Bangladesh, lebih 50,000 orang menyertai tunjuk perasaan membantah tindakan Macron yang mempertahankan hak menerbitkan kartun Nabi Muhammad (SAW).

Di Jakarta, Presiden Indonesia, Joko Widodo mengutuk tindakan yang cuba mempertahankan penerbitan kartun menghina Nabi Muhammad (SAW) atas alasan kebebasan bersuara. Beliau berkata kebebasan bersuara yang merosakkan penghormatan, kesucian dan nilai beragama tidak boleh dibenarkan, malah perlu dihentikan, namun mengaitkan agama dengan keganasan adalah satu kesalahan besar.

Sementara itu, Majlis Ulama Indonesia (MUI) menggesa orang amai memboikot produk Perancis sebagai timbal balas terhadap keengganan Macron memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan menghina Islam.

Di Kuala Lumpur, Kerajaan Malaysia menerusi kenyataan yang dibuat oleh Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengutuk keras tindakan retorik serta provokatif yang memfitnah agama Islam, sekali gus memandang serius dan mengambil berat permusuhan terbuka terhadap umat Islam.

"Malaysia menjunjung hak kebebasan bersuara dan hak asasi manusia selagi ia digunakan secara bertanggungjawab serta penuh hormat, serta tidak menafikan dan melanggar hak pihak lain. Dalam konteks ini, mencemarkan dan mengecam Nabi Muhammad (SAW) yang paling mulia dalam Islam serta mengaitkan Islam dengan keganasan, telah melangkaui batas hak berkenaan” kata beliau.

Kita sendiri, amat kesal bilamana setiap perilaku keganasan yang dicetus oleh individu Islam - secara bersendirian, dengan mudah dituduh oleh pemimpin bukan Islam sebagai berhubung kait dengan agama Islam. Mereka, pendeknya, begitu mudah untuk mengaitkan kelahiran pengganasan sebagai berpunca dari kegagalan ajaran agama Islam dalam membentuk umat yang baik - mematuhi kehendak undang-undang dan peraturan, menghormai hak dan kebebasan sosial dan kemanusiaan, bertanggung jawab kepada masyarakatnya, dan serba serbi yang dikaitkan dengan toleransi, hak asasi dan kebebasan bertindak serta bersuara.

Dalam konteks ini, kita sewajarnya berpegang teguh kepada ajaran Al-Quran dan hadis yang sedia memberi panduan secukupnya kepada kita untuk sentiasa berada pada jalan yang betul dalam melalui liku-liku kehidupan dan perhubungan dengan masyarakat berbilang agama dan kepercayaan - agar kita sentiasa disenangi dan terelak daripada dicaci.

Antaranya, Allah berfirman; “Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keuntungan yang besar.” (Q.S. Fussilat : 34-35)

Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini. (Q.S. Al-Furqan : 63)

Wallahu a’alam (MMO)


No comments:

Post a Comment