Monday, May 14, 2018

PROFAIL NEGARA ANGGOTA OIC: AZERBAIJAN


 
PETA







 GEOGRAFI




Republik Azerbaijan merupakan sebuah negara yang terdapat di Kaukasus, iaitu di Asia Barat di persimpangan Eropah dan Asia Barat Daya. Pada sebelah utara, negara ini bersempadan dengan negara Rusia. Di sebelah barat, negara ini bersempadan dengan negara Georgia dan Armenia. Di sebelah selatannya adalah negara Iran, manakala di sebelah timur adalah Laut Kaspia. 

Keluasan negara ini adalah 86,600 km persegi, di mana 86,100 km persegi terdiri daripada daratan dan baki 500 km persegi lagi berupa perairan.

Ibu negara Azerbaijan adalah Baku, sebuah kota yang pernah menjadi pusat perdagangan penting Jalur Sutera, iaitu jalur perdagangan yang membentang dari Eropah hingga ke Cina.


 SEJARAH RINGKAS




Para sejarawan merumuskan Azerbaijan sebagai suatu wilayah yang  dihuni oleh bangsa Azerbaijan-Turk; iaitu orang-orang yang mendiami sebuah kawasan yang membentang dari lereng bahagian Utara pegunungan Kaukasus di sepanjang Laut Kaspia hingga dataran tinggi Iran. Pada penghujung kurun ke-4 SM dan awal kurun ke-3 SM mulai ternampak adanya unsur-unsur peradaban di wilayah ini. Pada masa itu negara Lullubum dan Gutian telah diwujudkan (sekitar 2300  - 3000 SM). Peranan penting dalam sejarah Azerbaijan dimainkan oleh kerajaan Atropaten yang muncul di bahagian Selatan pada tahun 520an SM.

Seiring dengan penaklukan bangsa Arab, maka sejak awal abad ke-8 M Islam mula menjadi agama dominan di Azerbaijan. Pada abad ke-9 beberapa negara baru telah didirikan di wilayah Azerbaijan. Antaranya, negara Shirwan dengan ibukotanya Shemakha, merupakan negara adikuasa yang diperintah dinasti Mezyedi. Dinasti inilah yang banyak memainkan peranan penting dalam sejarah Azerbaijan hingga abad 16 M. Azerbaijan pernah pula dikuasai dinasti Seljuk sejak akhir abad 11 M.

Keragaman populasi yang terdiri dari penduduk asli yang berbahasa Turki dan berketurunan bangsa Turki serta kesamaan keyakinan agama yang dianuti iaitu Islam, telah memungkinkan berlangsungnya proses konsolidasi bangsa Azerbaijan yang mencapai puncaknya pada abad 11 dan 12 M. 

Sejak pertengahan abad 13 M, Azerbaijan jatuh dalam kekuasaan dinasti Mongol, Khulagu (1258-1356). Pada pertengahan abad 14 M, seiring dengan bangkitnya kesedaran para penduduk pribumi untuk mengusir penjajah, tokoh feudal setempat yang bernama Jalairid memimpin pergerakan perjuangan dan mengambil alih kekuasaan di Azerbaijan.

Setelah revolusi 1917 di Rusia, proses keruntuhan dan disintegrasi empayar Rusia menjadi semakin nyata. Situasi ini banyak dimanfaatkan berbagai etnis di daerah-daerah bekas empayar Rusia untuk membentuk negara-negara merdeka. Maka pada tanggal 28 Mei 1918 Republik Demokrasi Azerbaijan diproklamasikan di daerah bahagian timur kawasan Selatan Kaukasus. Namun pada bulan April 1920, Tentara Merah menguasai Republik Demokrasi Azerbaijan dan sejak itu Azerbaijan menjadi sebahagian dari Soviet Union.

Pada tahun 1988-1990, gerakan nasionalis-demokratik yang bertujuan memerdekakan Azerbaijan mula terbentuk. Tanggal September 1989, Azerbaijan merupakan salah satu negara terawal yang memutuskan untuk segera mengakhiri kekuasaan Soviet Union. Dalam usaha  bagi menekan gerakan ini, pada tanggal 20 Januari 1990 pemerintah  Soviet Union mengirim beberapa unit tentera ke Baku. Tindakan represif pasukan ini mengakibatkan ratusan jiwa rakyat Azerbaijan yang tak berdosa gugur menjadi korban.


PROFAIL PENDUDUK





Penduduk Azerbaijan secara asasnya adalah merupakan bangsa Albania-Kaukasia. Mereka merupakan bangsa penutur bahasa- bahasa Kaukasus yang muncul di wilayah ini sebelum kehadiran berbagai bentuk penaklukan kuasa luar ke atas negara ini.

Jumlah penduduk Azerbaijan adalah seramai 9,477,100 orang (Anggaran 2017).

Suku Azeri merupakan suku terbesar yang membentuk komponen penduduk Aerbaijan iaitu sebanyak 90.6%, diikuti dengan etnik Dagesti sebanyak 2.2%, etnik Rusia 1.8%, etnik Armenia 1.5%, dan etnik lain sebanyak 3.9%. Sebahagian besar daripada etnik Armenia tinggal di daerah Nagomo-Karabagh.

Bahasa Azeri adalah bahasa rasmi Republik Azerbaijan. Di samping Bahasa Azeri, terdapat beberapa dialek bahasa lain turut dipertuturkan di beberapa bahagian lain di kawasan barat laut, (dikenali sebagai Azerbaijan Iran), di mana ia merupakan Bahasa bagi beberapa kumpulan minoriti seperti Kurdish, Armenia dan Taleshi. 


AGAMA
 






Agama bagi majoriti rakyat Azerbaijan adalah agama Islam beraliran Syiah iaitu sebanyak 93.4%. Ini diikuti oleh agama Kristian Ortodoks Rusia sebanyak 2.5%, agama Kristian Ortodoks Armenia sebanyak 2.3% dan agama lainnya sebanyak 1.8%. 

Pada abad ke-18 Azerbaijan pernah dicatat sebagai sebuah negara Kristian tetapi kemudiannya kekal menjadi sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Azerbaijan adalah negara pertama dalam dunia Islam yang dikatakan telah menempatkan kaum wanita sejajar dengan kaum laki-laki dalam bidang politik.


POLITIK & PENTADBIRAN
 





Politik Azerbaijan adalah berasaskan kepada sistem republik berpresidensial, dengan Presiden Azerbaijan sebagai ketua negara, dan Perdana Menteri Azerbaijan sebagai kepala pemerintahan. 

Kekuatan perundangan dipegang oleh kerajaan dan parlimen yang dipimpin oleh Presiden Ilham Aliyev.

Pentadbiran politik Azerbaijan dibahagikan kepada 59 rayon (daerah), 11 kota (negeri) dan  1 otonomi Republik.
 
 
EKONOMI






Ekonomi Azerbaijan bertumpu pada sektor minyak dan gas serta pertanian. Dalam dekad terakhir, banyak perusahaan asing yang melakukan eksplorasi minyak dan gas di Azerbaijan. Dengan melambungnya harga minyak dunia, perekonomian Azerbaijan juga mengalami “booming” seperti yang dapat dilihat pada pertumbuhan ekonomi Azerbaijan yang secara puratanya berada di atas 25% antara tahun 2006-2007. Sektor pertanian utama, yang terdiri dari kapas, ulat sutra, teh dan tembakau serta hasil peternakan seperti biri-biri, kambing dan lembu juga mengalami kemajuan meskipun sumbangannya pada perekonomian negara secara relatifnya masih kecil.

Azerbaijan mempunyai simpanan sumber minyak yang cukup besar. Menurut perusahaan minyak British Petroleum (BP), kandungan minyak Azebaijan mencapai 7 bilion barel atau 0.7% dari simpanan minyak dunia. Sementara simpanan gas aslinya mencapai 850 bilion meter kubik atau 0.6% dari simpanan gas dunia.

Di samping bergantung kepada sumber minyak, kerajaan Azerbaijan juga turut melaksanakan reformasi ekonominya dalam tempoh beberapa tahun terakhir. Struktur ekonomi lama masih banyak yang belum dirombak dan terdapat beberapa halangan yang boleh menyekat pertumbuhan ekonomi negara itu yang perlu ditanggani dengan berkesan. Antara lain adalah keperluan bagi meningkatkan lagi pelaburan asing terutama di sektor ekonomi bukan minyak, mengawal penyelewengan dan rasuah dan mengatasi masalah inflasi yang kian meningkat.


HUBUNGAN ANTARABANGSA
 






Kerajaan Azerbaijan mengambil beberapa prinsip sebagai asas bagi pembinaan hubungannya dengan dunia antarabangsa. Prinsip-prinsip tersebut antara lain adalah menciptakan demokrasi yang pluralistik berdasarkan ekonomi pasaran dan aturan perundangan, memperbaiki kemerdekaan dan keutuhan wilayah Azerbaijan, menghapuskan ancaman dan risiko terhadap keamanan, kebebasan politik, kemerdekaan dan keutuhan wilayah Azerbaijan.

Prinsip-prinsip lain adalah mencipta hubungan yang baik dan saling menguntungkan dengan negara tetangga, meningkatkan keamanan dan stabilitas di kawasan, mencegah peredaran senjata secara haram dan mematuhi kesepakatan global mengenai non-proliferasi dan kawasan bebas senjata nuklear di Asia Tengah.

Sebagai negara yang berada dalam wilayah Eropah, Azerbaijan turut berusaha merapatkan diri dengan beberapa gagasan serantau seperti Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Pada Mei 2006, Azerbaijan terpilih sebagai salah sebuah negara anggota Human Rights Council (HRC) di bawah payung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Selain itu, sebagai salah satu negara anggota Organisasi Persidangan Islam (sejak 1991), Azerbaijan telah secara aktif terlibat dalam menjayakan program serta aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh OIC, termasuk menghadiri Sidang Kemuncak OIC dan Mesyuarat Menteri Luar negara-negara anggota OIC. Dalam bulan Jun 2006 Azerbaijan turut menjadi tuan rumah bagi pertemuan ke-33, Mesyuarat Menteri Luar OIC di Baku.



Wallahua'alam (MMO)


No comments:

Post a Comment