Monday, August 31, 2020

DIARI KEHIDUPAN XIV : USAHA AS DAN ISRAEL BAGI MENDAPATKAN SOKONGAN NEGARA ARAB TERHADAP PERJANJIAN DAMAI ISRAEL-UAE


Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu 
di satu sidang akhbar bersama di Baitulmaqdis


Tempoh sepanjang penghujung Ogos lalu memperlihatkan suatu tempoh yang begitu giat bagi kedua-dua pihak, Amerika Syarikat (AS) dan Israel dalam menggerakkan usaha bagi mendapatkan sokongan negara-negara Arab terhadap perjanjian damai Israel-UAE atau dikenali juga sebagai “Perjanjian Abraham” yang diusahakan oleh Presiden Donald Trump baru-baru ini. 

Pada 24 - 28 Ogos lalu, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo telah mengadakan lawatan kerja selama lima hari ke Timur Tengah dengan tumpuan utama bagi membincangkan urusan berkaitan hal-hal strategik hubungan AS-Israel dan urusan selanjutnya berkaitan Perjanjian Abraham dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. 

Selepas kunjungan ke Baitulmaqdis tersebut, Pompeo melanjutkan perjalanannya ke Oman, Sudan dan Bahrain bagi mendapatkan sokongan negara-negara berkenaan terhadap usaha perdamaian tersebut, sekaligus cuba menarik penyertaan mereka untuk mengikut jejak langkah yang sama sepertimana yang dilakukan oleh UAE dalam menjalin perjanjian damai dengan Israel. 

Lawatan kerja Pompeo berakhir di UAE dengan kedua-dua pihak, AS dan UAE dijadual akan berbincang secara lebih terperinci akan tindakan-tindakan yang akan diambil seterusnya sebagai langkah bagi merealisasikan pengisian perjanjian damai tersebut. 

Kedua-dua pihak, baik AS mahupun Israel nampaknya begitu yakin akan kejayaan usaha kedua-dua pihak, khususnya dari sudut untuk menarik penyertaan lebih banyak negara Arab dalam mengikuti jejak langkah UAE tersebut. 

Tanggapan ini dipercayai dibuat dengan mengambil kira terdapatnya beberapa negara Arab yang menyatakan pendirian menyenangi perjanjian damai tersebut. Antaranya adalah Oman dan Bahrain. 

Ini mendorongkan menantu, merangkap Penasihat Kanan Presiden Trump, Jared Kushner mengatakan dengan penuh keyakinannya bahawa ada negara Arab lain yang kemungkinan akan membuka hubungan dengan Israel dalam masa terdekat. 

“Dalam beberapa hari akan datang kesepakatan baru itu akan muncul.” katanya. 

Kembali Dengan Tangan Kosong 

Selesai lawatan, Pompeo segera kembali ke Washington. Begitu juga dengan Kushner yang turut menyertai perbincangan dengan pengganti Sultan Qaboos di Oman. 

Bagaimanapun kembalinya mereka malangnya adalah dengan “tangan kosong” berikutan “keengganan” negara-negara Arab yang dilawati untuk mengikuti jejak langkah UAE dalam menjalin perjanjian damai dengan Israel. 

Oman News Agency melaporkan terdapat aspek positif yang terjalin hasil dari perbincangan dua hala antara Muscat- Washington itu khususnya dari sudut peningkatan hubungan kedua-dua negara. Namun, ia tidak merujuk kepada hubungan Oman dengan Israel yang merupakan sekutu kuat AS. 

Walaupun Muscat telah sudah sekian lama menjalin dialog dengan Israel dan memberi reaksi positif terhadap pengumuman perjanjian damai Israel-UAE itu, ia tetap menzahirkan sokongan terhadap Palestin. 

Di Khortum, kerajaan peralihan Sudan juga memusnahkan rancangan Pompeo apabila ia menegaskan tidak mempunyai mandat untuk mengambil langkah menjalinkan hubungan dengan rejim Tel Aviv. 

Di Manama, Bahrain, nada yang sama seperti yang diungkapkan oleh Arab Saudi, bahawa sebarang perjanjian dengan Israel tidak akan dimeterai tanpa penubuhan negara Palestin yang merdeka, dilontarkan terhadap wakil kerajaan AS itu. 

Pemerintahnya, Raja Hamad Isa Al-Khalifa memberitahu Pompeo bahawa Manama kekal komited kepada Inisiatif Damai Arab yang menuntut Israel menghentikan pendudukan ke atas wilayah Palestin yang dicerobohi sejak 1967 sebagai pertukaran untuk perdamaian dan menormalkan hubungan sepenuhnya. 

Bahrain yang menjalin hubungan dengan Israel sejak 1990-an adalah negara Teluk pertama yang menyokong langkah UAE dan turut disebut-sebut sebagai negara yang akan mengikut jejak langkah Abu Dhabi. Namun negara itu dikatakan melupakan niat sedemikian setelah mendapat tanda "isyarat peringatan" dari Riyadh. 

"Usaha AS dan Israel selama beberapa hari yang menjangkakan negara Arab lain akan terpengaruh dengan pujukan mereka melalui lawatan Pompeo, namun tidak berjaya dilihat seperti situasi antiklimaks," kata Hugh Lovatt dari Majlis Eropah mengenai Hubungan Luar. 

Ketika tiba di Tel Aviv yang menjadi destinasi pertama beliau di Asia Barat, Pompeo turut membuat video simbolik di Baitulmaqdis untuk Konvensyen Kebangsaan Republikan yang sedang berlangsung kononnya untuk menzahirkan sokongan Presiden Donald Trump terhadap Israel. 

Ia juga sebahagian daripada rancangan untuk meningkatkan semula populariti Trump menjelang kempen Pilihan Raya Presiden AS 2020 pada November depan. 

Malangnya apa yang diharapkan oleh Trump sejauh ini tidak menjadi kenyataan. Perjanjian damai Israel-UAE malah telah menerima kecaman teruk beberapa negara Arab dan Palestin dengan menyifatkan tindakan Abu Dhabi itu sebagai perbuatan 'tikam dari belakang'. 

Terkini, belum pun sampai sebulan perjanjian damai itu dicapai, muncul pula krisis baharu apabila UAE dilaporkan telah membatalkan pertemuan tiga pihak bersama Tel Aviv dan Washington berhubung urusan jual beli jet pejuang F-35 milik AS yang masih belum selesai. 

Keputusan pembatalan mesyuarat itu dibuat pada awal minggu lalu sebagai tanda protes UAE terhadap tindakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang membantah penjualan jet F-35 kepada negara Arab, termasuk negara yang menjalin kerjasama dengan Israel. 

Ini termasuklah UAE. Bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Luar UAE, Anwar Gargash berkata, permintaan mereka untuk membeli jet pejuang F-35 tersebut adalah 'sah' dan mereka tetap akan mendapatkannya. 

Pompeo dalam satu kenyataan yang kononnya cuba untuk meredakan perkara itu memaklumkan AS mempunyai syarat dan undang-undang berkaitan ketenteraan kualitatif bersama Israel dan mereka akan terus menghormatinya. 

"Tetapi, kami juga mempunyai hubungan keselamatan selama lebih 20 tahun bersama Abu Dhabi untuk menyediakan bantuan teknikal dan ketenteraan kepada mereka. 

"Kami akan terus mengkaji proses itu untuk memastikan kami memberikan peralatan ketenteraan yang diperlukan oleh mereka," ujarnya. 

Demikianlah kesudahan muslihat politik AS bersama Israel setakat ini dalam mengelabui mata dan pendirian negara-negara Arab agar menyokong dan mengadakan kerjasama dengan Israel sepertimana yang dilakukan oleh negara jiran mereka, UAE. 

Strategi yang cuba dilaksanakan oleh AS bersama Israel ini jika berjaya sudah pasti boleh melumpuhkan tuntutan ke arah pembentukan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, sebaliknya mengesahkan pula kedudukan Israel di atas tanah-tanah Palestin yang dikuasai dan diduduki secara haram, termasuk Baitulmaqdis yang kini dijadikan sebagai ibu kota Israel. 

Justeru itu, kita bangun berdiri menyokong pendirian Arab Saudi bahawa tidak akan ada perjanjian damai dengan Israel selagi Israel enggan menandatangani perjanjian damai dengan Palestin yang diakui oleh dunia antarabangsa sebagaimana yang termaktub dalam beberapa resolusi PBB mengenainya. 

Kita juga amat berharap pemimpin-pemimpin dunia Arab menyedari akan percaturan politik AS-Israel, khususnya strategi terdesak Presiden Trump dalam mengumpulkan sokongan rakyat AS terhadapnya menjelang pemilihan Presiden negara itu dalam bulan November nanti. 

Trump amat berharap sekiranya lebih banyak negara Arab mengikuti jejak langkah UAE maka ianya akan dapat dimanfaatkan untuk ditonjolkan sebagai suatu kejayaan kepada dasar luarnya di Timur Tengah.  

Lebih jauh dari itu, sebarang kejayaan yang disumbangkan oleh pentadbiran Trump kepada kewujudan negara Israel di atas wilayah sedia ada yang diperbesarkan sudah pasti akan menarik sokongan warga AS berketurunan Yahudi terhadap parti Republikan. 

Ini termasuklah pemegang-pemegang dana kewangan yang menjangkau berbilion dolar, yang sedia diketahui, sering menjana "sumbangan balasan" kepada tabung politik Presiden AS yang berjuang bagi membantu agenda pembentukan negara Israel.


Wallahu ‘alam (MMO)



No comments:

Post a Comment