Sunday, May 27, 2018

PERKEMBANGAN TERBAHARU ISU PALESTIN



Tanggal 14 Mei 2018 terlaksanalah sudah rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk memindahkan kedutaan negara itu dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis – suatu perlaksanaan kepada janji yang pernah dibuat oleh Presiden AS, Donald Trump dalam bulan Disember tahun lalu. Trump dalam kenyataan yang dibuatnya pada Disember lalu, telah mengumumkan pengiktirafan AS terhadap pendudukan haram Israel di ibu kota negara Palestin, iaitu Baitulmuqaddis dengan mengiktiraf ia sebagai ibu negara rejim Zionis dan  merestui pemindahan kedutaan negaranya dari Tel Aviv ke bandar suci itu.

Pemindahan ini dibuat di tengah-tengah adanya bantahan pemimpin dan rakyat Palestin, juga sebahagian besar pemimpin dunia yang melihatnya sebagai suatu bentuk pencabulan terhadap hak serta kepentingan rakyat Palestin dan juga undang-undang antarabangsa. Bantahan masyarakat antarabangsa yang disuarakan melalui resolusi tergempar 21 Disember 2017 di Perhimpunan Agung PBB yang menolak keputusan AS tersebut ternyata tidak lagi membawa apa-apa makna selain sekadar retorik antarabangsa yang membazirkan tenaga, wang dan masa.

Tambah menyedihkan, pemindahan kedutaan AS itu dikatakan dibuat dalam keadaan tergesa-gesa di bawah tekanan pelobi Israel di AS yang mahu ianya dilaksanakan segera sebelum Israel menyambut ulang tahun ke 70 kewujudan negara haram itu.

Para penganalisis politik cenderung untuk melihat pemindahan yang dibuat secara tergesa-gesa ini berpunca sekurang-kurangnya dari dua faktor; pertama, untuk menunjukkan kepada pemimpin Israel dan dunia antarabangsa bahawa Trump akhirnya menyempurnakan juga janjinya (biarpun di sebalik adanya bantahan dunia terhadap apa yang ingin dilakukannya); dan kedua, ianya dilakukan dalam masa yang dianggap terbaik kerana wujudnya kerapuhan dalam kerajaan Palestin kini yang berpunca daripada  kegagalan rancangan penyatuan kerajaan Fatah dan Hamas yang terbengkalai. 

Dengan pembukaan kedutaan AS di Baitulmaqdis ini juga, jelas berlaku pelanggaran prinsip yang cukup nyata dengan apa yang dijanjikan oleh Presiden Donald Trump kononnya untuk menjadi perantara yang bersifat adil dan saksama terhadap kedua-dua belah pihak sama ada Israel mahupun Palestin. Ikrar tersebut dibuat oleh Trump dalam kempennya di hadapan badan pelobi Yahudi bagi parti Republikan AS, Republican Jewish Coalition pada Di­sember 2015 semasa bersaing dengan calon-calon parti Republikan lain.

Kenyataan Trump ini telah mengundang kemarahan ramai penyokong rejim Yahudi itu sehingga diwujudkan gerakan ‘Never Trump’ dalam partinya sendiri yang berpendirian menolak Trump sebagai calon parti itu dalam pergelutan jawatan presiden AS dengan parti lawannya, Demokrat. Demikian juga apabila Trump bertindak menolak sumbangan dana berkempen daripada ahli perniagaan konservatif Yahudi yang menghadiri acara tersebut memberikan harapan besar pada umat Islam yang mengikuti arus politik AS pada ketika itu. 

Ramai pemerhati berpanda­ngan setelah menunggu sekian lamanya, akhirnya bakal muncul Presiden negara utama dunia yang mahu bertindak adil dalam isu Israel-Palestin. Slogan 'America First' yang dilaungkan Trump turut diharap menjadi titik permulaan negara yang mempunyai ketenteraan terkuat di dunia ini akan semakin kurang mencampuri hal ehwal negara Islam dan melancarkan peperangan dan konflik yang tidak berkesudahan. 

Namun harapan tersebut akhirnya menjadi sangkaan yang kosong dan penuh dengan kepalsuan. Rakyat Pa­lestin dan umat Islam tetap berhadapan dengan negara kuasa besar yang enggan tunduk pada undang-undang antarabangsa, melanggar hak asasi manusia dan norma-norma antarabangsa ketika mempamirkan peranan dan kedudukannya di persada dunia. 

Trump bukan sahaja menjadi Pre­siden pertama dalam sejarah AS mengiktiraf serta membuka kedutaan di bandar suci bagi ketiga­-tiga agama Yahudi, Kristian dan Islam iaitu Baitulmuqaddis, tetapi juga memungkiri perjanjian negaranya dengan Iran mengenai gencatan pembangunan senjata nuklear dengan bertindak keluar daripada perjanjian berkenaan. Dengan bertindak sedemikian, Trump yang dikemudikan oleh Israel di belakangnya berjaya mengalihkan pandangan dunia terhadap apa yang berlaku di Palestin.

Rakyat Palestin secara semula jadi menolak tindakan di pihak Trump ini dan bangkit menentangnya dengan mengadakan demonstrasi besar-besaran Great March of Return khususnya di Tebing Gaza. Di sam­ping menentang pengiktirafan AS terhadap Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, perarakan ini juga bertujuan untuk mempamirkan penolakan rakyat Palestin terhadap kewujudan Israel sebagai kuasa yang bertanggungjawab merampas tanah air dan penyebab kesengsaraan buat mereka secara amnya sejak 1948. 

Bagi rakyat Palestin tarikh 15 Mei secara tradisi diperingati sebagai Hari Nakba yang membawa maksud Hari Malapetaka bilamana lebih 700,000 rakyat Palestin dihalau dari tanah air mereka pada 1948 untuk memberi ruang kepada pembentukan Israel. Pada hari ini jumlah pelarian tersebut te­lah meningkat kepada tujuh juta orang dan kini negara Palestin terbelah kepada dua iaitu Genting Gaza dan Tebing Barat yang sempadannya dikawal oleh tentera rejim Israel.

Sebelum itu, iaitu pada 14 Mei, rejim Israel menyambut ulang tahun ke-70 penubuhan negara yang mereka wujudkan itu. Israel juga memilih tanggal 13 Mei sebagai ‘Hari Jerusalem’ yang antara lain sebagai sambutan mengiktiraf Baitulmuqaddis adalah milik mereka sepenuhnya. 

Dan dalam isu besar yang ada di hadapan kita sekarang, pembukaan Kedutaan AS di Baitulmaqdis kini benar-benar mencabar maruah dan pemikiran kita sebagai satu umat yang seharusnya bersatu dalam membela nasib saudara kita yang diperlakukan sebegitu rupa. Apa lagi mengambil kira rejim Israel turut melaksanakan pembunuhan sewenang-wenangnya terhadap lebih 100 jiwa rakyat Palestin yang bangun menentang langkah AS dan Israel itu, maka timbul pertanyaan sampai bila lagi kita, khususnya organisasi yang bertanggung jawab bagi membantu membela Islam dan umatnya seperti OIC, Liga Arab, dan tidak kurang PBB, gagal bertindak dengan sebaliknya tercegat begitu sahaja melihat sahaja apa yang dilakukan oleh rejim Yahudi laknatullah itu!

Terbaharu, menyirap darah kita apabila mendengar Mahkamah Agung Israel pada 15 Mei 2018, membenarkan tentera rejim Zionis menggunakan kekerasan terhadap penduduk Pa­lestin semasa tunjuk perasaan dan pertempuran di sempadan Gaza. Dalam keputusan Mahkamah Agung Israel itu, panel tiga hakim sebulat suara menolak satu petisyen yang difailkan kumpulan hak asasi manusia Israel dan Palestin untuk menghalang penggunaan peluru hidup oleh penembak tepat tentera.

Ketua Hakim, Esther Hayut bersetuju dengan pendirian kerajaan bahawa penunjuk perasaan Gaza bukan pembantah awam yang melakukan bantahan secara aman tetapi sebahagian daripada konflik bersenjata antara Israel dan pentadbir wilayah Gaza yang dikuasai Hamas. Bagaimanapun sekadar pemanis kata, beliau menyarankan agar di sebalik keputusan yang dibuat, tentera perlu meneruskan kajian dalaman berhubung insiden ter­babit dan prosedurnya.

Peraturan menggunakan keke­rasan mendapat kecaman hebat masyarakat antarabangsa selepas tentera Israel menembak mati sekurang-kurangnya 62 warga Ga­za dengan sekurang-kurangnya 2,400 lagi ce­dera pada 14 Mei lalu selepas ribuan penduduk awam Pa­lestin membantah pemindahan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.

Beberapa pemimpin dunia, termasuk Presiden Perancis Emmanuel Macron turut mengutuk keganasan dilakukan oleh tentera Israel ke atas penunjuk perasaan Palestin. Pada masa sama, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) menuntut supaya satu siasatan bebas diadakan, perkara yang sama disuarakan Britain, Jerman dan Switzerland.

Israel menentang cadangan itu dengan Amerika selaku penyokong kuat Tel Aviv menghalang usaha supaya siasatan dilakukan di PBB. Ini tidak termasuk tindakan Ireland dan Belgium memanggil duta Israel memberi penjelasan ketika Afrika Selatan memanggil pulang dutanya ke Israel dan Turki pula mengusir Duta Israel dari negara itu.

Satu lagi peristiwa yang turut mencabar maruah dan kesabaran kita adalah berkaitan kenyataan M
enteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman pada 24 Mei 2018 bilamana beliau dilaporkan akan memohon kelulusan daripada sebuah jawatankuasa perancangan untuk membangunkan segera 2,500 buah rumah di 30 penempatan di Tebing Barat pada tahun ini juga. Lieberman malah membayangkan sebanyak 1,400 penempatan lagi akan diluluskan pembangunannya pada masa akan datang dengan Israel komited untuk meneruskan pembinaan penempatan di Judaea dan Samaria. Tidakkah ini kenyataan ini sesuatu yang mencabar pemikiran dan kesabaran kita di tengah-tengah berlangsungnya pencerobohan Yahudi ke atas kesucian Baitulmaqdis melalui pembukaan kedutaan AS dibandar suci itu?

Sebagai tindakbalas terhadap perkembangan ini, Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki dalam rayuannya kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 22 Mei lalu, menyifatkan pengembangan penempatan Israel sebagai ancaman paling berbahaya kepada nyawa dan kesinambungan hidup rakyat Palestin.

Demikianlah senario semasa yang melanda nasib saudara seagama kita di bumi yang penuh barakah, Palestin. Sekali lagi, persoalannya, sampai bilakah kita, khususnya organisasi-organisasi yang mempunyai nama yang besar seperti yang telah kita sebutkan sekadar mampu melihat sahaja apa yang berlaku ke atas saudara-saudara kita di Palestin atau mampu mengusulkan suatu langkah yang konkrit lagi berkesan ke arah menanggani permasalahan yang ada?

Wallahua’alam (MMO).


   *****



No comments:

Post a Comment