Sunday, April 22, 2018

AMBIL IKTIBAR KISAH NABI YUSUF DALAM PENGURUSAN EKONOMI NEGARA



Dalam beberapa tahun kebelakangan boleh dikatakan hampir seluruh negara di dunia dilanda dengan kebimbangan terhadap merosotnya ekonomi masing-masing berpunca daripada kejatuhan harga minyak dunia. 

Apa lagilah bagi negara yang mana minyak merupakan hasil pendapatan eksport utamanya seperti negara-negara di Timur Tengah, beberapa pendekatan ke arah menanggani kemungkinan kejatuhan harga minyak ke paras yang lebih rendah telah dilakukan seperti memperkenalkan pakej ransangan ekonomi baru, mengenakan beberapa jenis cukai baru kepada rakyat bagi menampung kekurangan hasil negara, dan tidak kurang, memperkasakan lagi peraturan dan undang-undang yang boleh mencegah berlakunya ketirisan ekonomi seperti rasuah dan pecah amanah. 

Namun, bagi Brunei, sebagai sebuah negara yang kuat berpegang kepada prinsip pentadbiran ekonomi yang bertunjangkan kepada ajaran Islam, kita tidak sewajarnya mengabaikan keperluan untuk merujuk kembali pengalaman umat-umat terdahulu dalam menguruskan ekonomi mereka sepertimana yang disebutkan di dalam kitab suci al-Quran. 

Salah satu rujukan yang jelas berhubung dengan perkara ini ialah melalui kisah Nabi Yusuf Alaihissalam (AS) dalam menguruskan ekonomi negeri Mesir yang berada dalam ketidaktentuan berpunca dari faktor cuaca yang tidak seimbang sehingga akhirnya mampu meletakkan Mesir sebagai sebuah negara yang mempunyai ekonomi yang mampan dan berdaya tahan untuk kesekian lamanya.

Kisah Nabi Yusuf AS dihuraikan dengan panjang lebar dalam Surah Yusuf. Ia menceritakan bagaimana Nabi Yusuf yang dianiaya dengan pelbagai cara sejak kecil hingga dewasa, tetapi berkat kesabaran dan petunjuk dari Allah SWT jua, baginda akhirnya sampai dilantik menjadi wazir (Jawatan yang setaraf dengan kedudukan Perdana Menteri pada zaman sekarang) dalam pentadbiran kerajaan Mesir. 

Begitulah ketentuan Allah, tiada sesiapa yang boleh mengubahnya. Ia menjadi contoh klasik bagaimana seseorang yang beriman menghadapi dan menangani penganiayaan serta fitnah. Bacalah surah ini dan fahamilah maksudnya yang relevan untuk kita buat sepanjang zaman.

Kisah yang menjurus kepada peranan Nabi Yusuf dalam aspek pengurusan ekonomi Mesir bermula daripada peristiwa Baginda diminta untuk mentadbir mimpi Raja Mesir.  Ianya bermula dengan peristiwa Raja Mesir pada suatu malam bermimpi di mana beliau melihat  tujuh ekor sapi betina yang gemuk-gemuk dimakan oleh tujuh ekor sapi betina yang kurus-kurus dan tujuh tangkai (gandum) yang hijau dan tujuh tangkai lainnya yang kering. 

Beliau lantas mengumpulkan ketua-ketua kaum di negeri Mesir untuk dimaklumkan tentang mimpinya dan amat berhajat untuk mendengar apakah maksud yang terkandung di sebalik mimpinya itu.

Dan Raja Mesir berkata: Sesungguhnya aku mimpi melihat tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai biji-bijian yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai mentadbirkan mimpi. (QS Yusuf 12 : 43)

Dipendekkan kisah, setelah tiada siapa yang mampu untuk mentafsirkan mimpi Raja Mesir itu, seorang pelayan istana yang pernah menjadi banduan bersama Nabi Yusuf suatu ketika dahulu dan teringat kembali akan kehebatan Nabi Yusuf dalam mentafsirkan mimpi telah memaklumkan Raja Mesir akan berita kehebatan Nabi Yusuf.

Setelah dirujuk akan mimpi raja Mesir itu, Nabi Yusuf bukan sahaja mampu metadbirkan mimpi tersebut dengan tepat, malahan beliau juga telah turut memberikan nasihat yang betul kepada raja dalam mendepani masalah ekonomi yang dihadapi oleh Mesir ketika itu.

Yusuf menjawab: Hendaklah kamu bertanam tujuh tahun seperti biasa, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas itu, tujuh tahun yang bersangatan kemaraunya, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan bagi mereka; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan untuk dijadikan benih. Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah hasil. (QS Yusuf 12: 47 – 49)

Lakaran sejarah memperlihatkan semasa berlakunya peristiwa ini Mesir telah berjaya bertahan dalam mendepani cabaran ekonominya yang teruk berpunca dari ketidaktentuan cuaca dengan musim kemarau panjang yang berlaku secara berselang seli dengan musim hujan. Kejayaan Mesir ini turut dikongsi oleh seluruh negara di Timur Tengah, termasuk Palestin (ketika itu Syam), negeri kelahiran Nabi Yusuf sendiri yang turut mendapat manfaat dari kemajuan dan kaedah pengurusan ekonomi Mesir dalam mendepani situasi yang sama. 

Berhubung dengan strategi pengurusan ekonomi Mesir, Nabi Yusuf sebaik dilantik sebagai Menteri Kewangan Mesir, telah melaksanakan beberapa pendekatan Baginda sendiri bagi mendepani situasi yang ada. 

Pendekatan Nabi Yusuf itu, pertama-tamanya, adalah bersandarkan kepada keyakinan bahawa dirinya yang benar akan sentiasa mendapat pertolongan Allah SWT untuk keluar dari sesuatu masalah. Maka atas keyakinan itulah Baginda sendiri memohon kepada raja Mesir supaya melantik dirinya bagi menguruskan perbendaharaan Mesir kerana beliau yakin beliau mampu melakukannya dengan baik berkat dari adanya kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya.

Yusuf berkata: Jadikan aku penjaga perbendaharaan hasil bumi ini; sesungguhnya aku penjaga yang baik, lagi mengetahui cara mentadbirkannya. Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan pahala orang yang berbuat baik. (QS Yusuf 12: 55-56)

Pendekatan kedua Nabi Yusuf AS dalam menyelesaikan kemelut musim kemarau di Mesir itu ialah dengan melaksanakan usaha yang luar biasa yang mungkin tidak pernah terfikir oleh orang kebanyakan ketika itu iaitu dengan menganjurkan supaya usaha penanaman gandum dilakukan secara intensif dan ekstensif selama tujuh tahun berturut-turut iaitu pada sepanjang musim hujan sebagai persediaan untuk menghadapi musim kemarau panjang yang akan datang selepas itu. 

Strategi ini ternyata membuahkan hasil sepertimana yang tertera dalam maksud ayat 48 di atas. Ayat tersebut menceritakan bagaimana hasil pertanian yang diusahakan selama tujuh tahun berturut-turut itu benar-benar mencukupi untuk digunakan sepanjang tempoh musim kemarau sehingga datangnya musim hujan yang baharu di mana aktiviti pertanian dapat digerakkan semula.

Pendekatan selanjutnya yang diambil oleh Nabi Yusuf yang tidak pernah dipraktikkan oleh sesiapa pun sebelumnya ialah strategi membuat simpanan berjangka bagi hasil negara atas dasar “beringat untuk menyimpan semasa senang sebelum dibelanjakan kemudian di masa adanya keperluan.” Maka atas sebab itulah Baginda mengingatkan, bila datang musim menuai, jangan semua hasil yang dituai untuk dijadikan makanan dihabiskan dalam masa yang singkat, sebaliknya perlu ada yang dikekalkan kesegarannya untuk digunakan pada jangkamasa panjang, selain untuk dijadikan benih pada musim penanaman akan datang.

Yusuf menjawab: Hendaklah kamu bertanam tujuh tahun seperti biasa, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkai; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. (QS Yusuf 12: 47)

Dipercayai, sebelum adanya pendekatan yang diketengahkan oleh Nabi Yusuf itu, amalan pertanian di Mesir tidak pernah memikirkan soal penyediaan bekalan stok untuk kegunaan pada masa hadapan khususnya semasa aktiviti pertanian tidak dapat digerakkan. Pertanian pada masa itu mungkin saja boleh kita kiaskan sebagai “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang” dengan pertanian dilakukan berdasarkan kepada bila adanya keperluan. 

Justeru dengan melihat kisah dalam surah Yusuf ini, khususnya berkaitan kisah Nabi Yusuf mengemudikan pentadbiran ekonomi negeri Mesir, apakah tiada satu pun yang boleh kita pelajari atau diambil manfaat bagi membantu pengurusan ekonomi kita, baik di peringkat pengurusan ekonomi keluarga, lebih-lebih lagi negara?


Pengurusan Ekonomi Akibat Kejatuhan Harga Minyak

Peredaran waktu telah sedikit sebanyak mengubah keadaan. Jika Mesir di zaman Nabi Yusuf dahulu pertanian yang menjadi indikator utama ekonominya, kini harga minyak mempengaruhi segala-galanya. Setahun dua lalu banyak negara yang dilanda kebimbangan apabila harga minyak dunia menjunam turun sehingga berada di bawah paras harga US$ 50.00 se tong (per barrel). Malah pada Januari 2016, harga minyak dunia turun ke paras US$ 29.98 se tong. 

Cuma kita bernasib baik, harga minyak di paras terendah itu tidak berpanjangan lamanya. Dalam bulan Jun 2016, harganya kembali stabil di paras US$ 50.02 dan kemudiannya naik lagi kepada US$ 55.55 pada Disember 2016. Dalam bulan Januari 2018, harga minyak naik kepada US$ 65.18 se tong, suatu paras harga yang akhirnya mengembalikan keyakinan kebanyakan negara dari sudut pentadbiran ekonominya.

Namun, mengambil iktibar kisah Nabi Yusuf, apakah kita harus merasa selamat dan boleh bersikap sambil lewa (complacent) dengan keadaan yang ada di sekeliling kita pada masa ini? Apakah tiada keperluan bagi kita untuk merancang strategi bagi menghadapi kemungkinan masa depan yang tidak menentu, lebih-lebih lagi mengambilkira akan adanya ketidakstabilan politik dan ekonomi dunia yang boleh mempengaruhi harga minyak dunia pada masa depan?

Sejarah harga minyak dunia sendiri memperlihatkan bahawa harga komoditi ini pernah beberapa kali mencecah harga terendah pada jeda masa (interval) setiap 5 - 7 tahun dalam tempoh 1980 hingga terkini,  Mac 2018, yang turut memberi kesan secara langsung kepada kemelesetan kepada ekonomi dunia. 

Paras harga terendah (per barrel) yang pernah dicatatkan itu adalah seperti berikut;


1988 (September)
US$ 27.77
1993 (Disember)
US$ 24.29
1998 (November)
US$ 17.31
2001 (April)
US$ 27.38
2009 (Januari)
US$ 49.32
2016 (Januari)
US$ 29.98


Sementara itu, rekod harga tertinggi minyak mentah dunia yang pernah dicatatkan pula ialah sekitar US$ 120.00 se tong dalam tahun 1980 (Februari), US$ 75.00 dalam tahun 1990 (September), US$ 160.00 dalam tahun 2008 (Julai),  US$ 125.00 dalam tahun 2011 (April) dan terkini, US$ 65.00 dalam tahun 2018 (Mac).

Dengan melihat kepada data-data di atas, satu pertanyaan yang mungkin timbul di benak kita ialah apakah agaknya yang akan berlaku kepada negara sekiranya harga minyak kembali menjunam ke paras harga di bawah US$ 30.00 se tong sepertimana yang berlaku dalam tahun-tahun 1993, 1998 dan 2001 itu? Sedangkan ketika paras harga minyak berada di bawah US$ 40.00 beberapa tahun lalu pun banyak negara yang merasa perit sehingga mengundang kepada tindakan beberapa buah kerajaan untuk menggubal beberapa dasar kewangan yang tidak popular yang akhirnya memberi kesan tidak baik terhadap imej pemerintah.

Walau pun data-data di atas tidaklah begitu tepat untuk dibandingkan dengan carta pengurusan ekonomi Mesir pada masa pentadbiran Nabi Yusuf, apa tah lagi perbandingan tersebut dibuat bagi dua produk yang berbeza iaitu pertanian dan minyak, setidak-tidaknya ia sedikit sebanyak dapat memberi gambaran terhadap hakikat bahawa komoditi ekonomi sentiasa mengalami naik turun harganya yang kemudiannya boleh mempengaruhi pula kedudukan ekonomi sesebuah negara. Lebih-lebih lagi bagi negara pengeksport minyak, termasuk Brunei Darussalam, kita tiada pilihan melainkan perlu merancang strategi bagi menghadapinya. 

Analisis ini juga, selain itu, mungkin selari dengan aliran pusingan ekonomi seperti yang digambarkan dalam kisah Nabi Yusuf AS. Justeru itu, tidakkah kita mahu mengambil pelajaran darinya? 

Wallahua’alam. (MMO).


*****




1 comment: