Thursday, August 20, 2020

DIARI KEHIDUPAN XIII : PERJANJIAN DAMAI ISRAEL - UAE

 

Bendera Israel dan UAE berkibar di bandar Netanya, Israel


Baru-baru ini kita dikejutkan dengan pengumuman yang dibuat oleh Presiden Donald Trump bahawa Israel dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah berjaya mencapai satu perjanjian damai yang besar yang akan membawa kepada pemulihan hubungan baik di antara kedua negara.

Dengan menyifatkan ia sebagai perjanjian damai bersejarah membabitkan dua rakan baik, Trump berkata penyelesaian lebih diplomatik antara Israel dan jiran Islam mereka di Asia Barat dijangka akan berlaku selepas ini.

Setiausaha AS, Mike Pompeo, pula menggambarkan peristiwa itu sebagai hari bersejarah dan langkah signifikan ke arah mewujudkan keamanan di Asia Barat.

"AS berharap langkah ini adalah pertama dalam siri perjanjian yang mengakhiri ketegangan selama 72 tahun di rantau itu," katanya.

Dalam satu kenyataan bersama, Trump, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Putera Mahkota Abu Dhabi, Putera Mohammed Zayed Al Nahyan dilaporkan berkata, mereka bermesyuarat pada Khamis dan bersetuju memulihkan hubungan antara Israel dan UAE.

Sementara itu, Israel dikatakan bersetuju 'menghentikan penaklukan di wilayah Palestin' di bawah perjanjian damai dengan UAE yang disaksikan AS, kata Putera Mahkota Abu Dhabi. Israel juga dikatakan akan menumpukan usahanya kepada meluaskan hubungan dengan negara lain di dunia Arab sebagai kesinambungan kepada usaha ini.

Pengumuman itu menjadikan UAE negara Teluk Arab pertama serta yang ketiga di rantau Arab, selepas Mesir dan Jordan, menjalin hubungan diplomatik dengan Israel. 

Pengumuman Trump tersebut telah mengundang reaksi yang pelbagai dari pemimpin negara-negara Arab dengan rata-rata di antara mereka menentang keputusan yang dibuat oleh UAE bagi memulihkan hubungannya dengan Israel itu.

Di  Ramalah, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyuarakan pendirian Palestin dalam menolak pengumuman mengenai pemulihan hubungan diplomatik Israel - UAE itu.

Kenyataan tersebut disokong kuat oleh Ketua Politik Hamas, Ismail Haniyeh dengan berkata Hamas berpegang teguh pada penubuhan negara Palestin  berdaulat dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara, dan dengan itu menolak sama sekali pengumuman mengenai pemulihan hubungan Israel - UAE yang merupakan keputusan sebelah pihak bertujuan untuk menghapuskan hak Palestin dan mencabuli resolusi antarabangsa.

Di Istanbul, Kementerian Luar Turki mengeluarkan kenyataan mengecam perjanjian damai Israel - UAE itu yang disifatkan sebagai pengkhianatan hipokrit terhadap perjuangan Palestin.

"Walaupun berusaha untuk menunjukkan seolah-olah berkorban untuk Palestin, UAE sebenarnya mengkhianati perjuangan Palestin untuk memenuhi kepentingannya yang sempit.

"Sejarah dan ingatan masyarakat yang tinggal di rantau ini tidak akan dilupakan dan tidak akan pernah memaafkan tingkah laku hipokrit ini," kata kenyataan tersebut kenyataan.

Kementerian Luar Negeri Turki turut melahirkan kebimbangannya bahawa UAE, melalui tindakan unilateralnya itu, akan menghentikan Inisiatif Damai Arab yang dibangunkan oleh Liga Arab dan disokong oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). 

Di Teheran, Kementerian Luar Negeri Iran mengeluarkan kenyataan mengutuk pemulihan hubungan antara musuh tradisinya, Israel dengan UAE dengan menyifatkannya sebagai 'kebodohan strategik' dan sambil memberi peringatan bahawa rakyat Palestin tidak akan memaafkan Abu Dhabi di atas keputusannya itu.

"Rakyat Palestin yang tertindas dan semua negara bebas di dunia tidak akan pernah memaafkan hubungan yang normal dengan rejim penjajah Israel yang kejam dan pembabitannya dalam jenayah," menurut kenyataan itu. 

Arab Saudi, negara Arab yang ditunggu-tunggu akan reaksinya terhadap perjanjian damai Israel - UAE akhirnya bersuara selepas beberapa hari membisu tanpa membuat apa-apa ulasan terhadap perjanjian damai Israel - UAE berkenaan.

Dalam satu kenyataan yang dibuat oleh Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal di Berlin semasa lawatan beliau ke German pada minggu lepas, Arab Saudi mengumumkan pendirian tidak akan mengikuti jejak UAE dalam menjalin hubungan diplomatik dengan Israel sehingga negara Yahudi itu menandatangani perjanjian damai yang diakui secara antarabangsa dengan Palestin.

Putera Faisal berkata, perdamaian harus dicapai dengan Palestin berdasarkan perjanjian antarabangsa sebagai prasyarat untuk sebarang normalisasi hubungan.

"Selepas perkara itu dicapai, barulah semua perkara mungkin dilakukan," katanya.

Putera Faisal juga mengulangi kritikan terhadap ‘tindakan dasar sebelah pihak’ Israel terhadap pencerobohan di Tebing Barat yang tidak sah dan merugikan kedua-dua negara, Israel - Palestin, namun dikatakan optimis dengan perjanjian bahawa Israel bersetuju untuk menangguhkan penggabungan wilayah Tebing Barat.

Dalam pada itu, menantu dan penasihat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Jared Kushner dikatakan turut memberi tekanan kepada Arab Saudi supaya Riyadh juga bersetuju untuk menjalinkan hubungan seperti itu, walaupun sebenarnya Riyadh belum memberi sebarang reaksi rasmi terhadap perkembangan tersebut.

Dalam satu perkembangan lain yang berkaitan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan berkata, Israel akan membuka koridor di Arab Saudi untuk penerbangan ke UAE. Tindakan tersebut dipercayai dibuat bagi menarik sokongan Arab Saudi terhadap perjanjian damai berkenaan dan kemudian nanti, bakal menarik penyertaan Arab Saudi sendiri ke dalam percaturan AS - Israel itu.

Tindakan UAE dalam menjalin hubungan damai dengan Israel ini, tidak syak lagi, merupakan satu tamparan hebat terhadap seluruh umat Islam apabila Abu Dhabi, secara sedar, membelakangi hasrat dan kehendak majoriti dunia Arab - mengiktiraf Israel dan seterusnya akan mewujudkan hubungan diplomatik dengan rejim Zionis itu.

Apa yang jelas, perjanjian ini ternyata telah membelakangkan sentimen dan harapan dunia Arab dan masyarakat antarabangsa untuk melihat tercapainya impian bagi Palestin menjadi sebuah negara yang merdeka di tanah air mereka yang dijajah rejim Zionis.

Perjanjian yang mendapat restu dan sokongan kuat Trump yang bertanggungjawab mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan seterusnya menaja 'Deal of the Century' ini, tidak lain, adalah satu pengkhianatan yang cukup besar dan sukar untuk dimaafkan.

Dalam perkembangan yang berlaku ini, kita juga ingin melahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap segelintir negara Arab yang sanggup bangun berdiri mengucapkan tahniah di atas terjalinnya perjanjian damai Israel - UAE itu. Antaranya, Bahrain yang muncul sebagai negara Teluk Arab pertama mengucapkan tahniah kepada Abu Dhabi, diikuti oleh Oman. 

Mesir pula menjadi negara pertama yang dikatakan melahirkan rasa berpuas hati dengan perjanjian itu.

Entah apa muslihat yang terkandung di sebalik tindakan mereka itu kita tidak tahu. Yang kita tahu dan kita bimbangkan, satu persatu negara Arab akan termasuk ke dalam jerat AS - Israel yang akan membawa kepada pengiktirafan Arab terhadap kewujudan negara Israel di atas bumi Palestin yang diduduki. 

Kita juga amat bimbang sebarang tindakan menyokong Israel ini kelak bakal boleh melumpuhkan semua perjuangan Palestin bagi menuntut hak mereka bagi penubuhan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis menjadi ibu kotanya. 

Kita juga menaruh rasa yang cukup curiga terhadap tindakan negara Arab dalam menyokong perjanjian damai seperti ini kerana ianya kelak boleh melumpuhkan semua usaha ke arah merealisasikan perlaksanaan berpuluh-puluh resolusi PBB yang pernah dibuat terhadap Israel.  Ianya juga bakal menghalalkan apa saja tindakan yang telah dilakukan Israel ke atas tanah dan juga umat Palestin sebelum ini, termasuk rampasan tanah milik warga Palestin dan penginayaan dari sudut hak asasi kemanusiaan mereka.


Wallahu ‘alam (MMO)


No comments:

Post a Comment