Thursday, March 29, 2018

UMAT ISLAM DUNIA MENJELANG TAHUN 2050



Sebuah badan pengumpul data bebas antarabangsa yang berpengkalan di Washington, Amerika Syarikat, PEW Research Centre dalam suatu hasil kajiannya mendedahkan satu maklumat yang menarik untuk kita kongsikan. Maklumat itu ialah, menjelang tahun 2050 nanti jumlah umat Islam di seluruh dunia akan mendekati rapat jumlah umat Kristian selaku agama terbesar di dunia.

Kajian tersebut, yang mengambil tempoh antara tahun 2010 hingga 2050 sebagai tempoh kajian, menyebutkan jumlah penduduk dunia dijangka akan berkembang pada kadar 35 peratus dalam tempoh 40 tahun itu.
Jumlah umat Kristian selaku umat bagi agama terbesar dunia iaitu dalam lingkungan 2.12 bilion orang dalam tahun 2010 dijangka akan meningkat sebanyak 35 peratus atau tambahan 750 juta orang lagi menjelang tahun 2050. Ini akan menjadikan jumlah penganut Kristian pada tahun 2050 nanti mencapai 2.9 bilion orang.
Sekilas pandang, peningkatan populasi yang sebesar ini memperlihatkan seolah-olah agama Kristian terus berada di kedudukan yang dominan sebagai agama yang mampu mengumpulkan penganut agama yang paling ramai di dunia. Namun, dari satu sudut yang lain, jika dilihat dari sudut peratusan mereka yang menganut agama Kristian iaitu 34 peratus (berbanding dengan jumlah penduduk dunia, 6.9 bilion dalam tahun 2010) dan begitu juga, sekitar 34 peratus (daripada keseluruhan  penduduk dunia, 9.3 bilion dalam tahun 2050), maka tiadalah apa-apa yang signifikan dan boleh dibanggakan di sebalik peningkatan angka penganut agama Kristan itu.
Yang boleh dibanggakan sebenarnya adalah pencapaian yang akan dipamirkan oleh agama Islam yang dijangka akan berkembang dengan begitu pesat iaitu pada kadar 73 peratus dalam tempoh 40 tahun itu (2010-2050).  Dalam tahun 2010, jumlah peganut agama Islam di seluruh dunia dianggarkan seramai 1.6 bilion iaitu kira-kira 23.2 peratus daripada keseluruhan penduduk dunia. Bagaimanapun, menjelang tahun 2050 nanti, penganut agama Islam akan meningkat seramai 1.2 bilion lagi iaitu kepada 2.8 bilion, atau mewakili 29.7 peratus penduduk dunia pada masa itu. 

Dari segi kedudukan keseluruhannya (sepertimana yang tertera dalam jadual di atas), sememangnya agama Kristian akan terus mengekalkan kedudukannya sebagai agama terbesar dunia pada tahun 2050 nanti dengan jumlah penganutnya dianggarkan seramai 2.92 bilion orang.  Ini diikuti dengan agama Islam yang akan terus kekal selaku agama kedua terbesar di dunia dengan jumlah penganutnya pada tahun 2050 nanti dianggarkan seramai 2.76 bilion. Namun, dengan keupayaan agama Islam berkembang dengan begitu pesat iaitu sekitar 73 peratus berbanding pertumbuhan agama Kristian iaitu sekitar 35 peratus (hampir sekali ganda) – itulah yang perlu kita banggakan dan panjatkan dengan kesyukuran kepada Allah SWT jua, sesuai dengan firmannya melalui Surah An-Nasr, ayat 1-3 yang bermaksud;
 
“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah) (1), Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai (2), Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat (3).”


Peningkatan jumlah penganut agama Islam yang agak signifikan ini disumbangkan, antara lain, oleh peningkatan penganut Islam di Eropah yang djangka akan meningkat sebanyak 10% peratus. Demikian juga di India dengan bilangan penduduknya kini berjumlah 1.3 bilion orang, tetapi majoritinya beragama Hindu, juga diramal akan mempamirkan peningkatan yang ketara dalam dalam jumlah penganut Islam sehingga berkemungkinan bakal mengalahkan jumlah penganut Islam di Indonesia. Kajian data tahun 2015 menunjukkan jumlah peganut Islam di India adalah seramai 183 juta orang atau 14.2 peratus daripada jumlah penduduk di India. Bagaimanapun, memandangkan  bilangan penganut Hindu yang terlalu besar di India iaitu kira-kira 80 peratus daripada penduduk di negara itu, Islam akan terus menjadi agama minoriti di negara berkenaan.
Sebab lain yang dikaitkan sebagai menyumbang kepada peningkatan penganut agama Islam ialah meningkatnya angka kelahiran dalam kalangan umat Islam. Secara global, jumlah umat Islam meningkat dengan ketara kerana adanya aspek kesuburan pada wanita Islam. Dalam rentang masa 40 tahun ke hadapan, setiap perempuan Islam secara purata mampu mempunyai 3.1 orang anak. Jumlah ini jauh lebih banyak dibandingkan perempuan Kristian yang secara purata hanya mampu memiliki 2.7 anak, perempuan Hindu 2.5 anak, dan perempuan Yahudi dengan 2.3 anak.
Angka tersebut menunjukkan bahawa kehamilan di usia muda pada masing-masing kelompok agama meningkatkan peluang jumlah anak yang bakal dilahirkan. Apa yang menariknya, sejak tahun 2010, dari keseluruhan jumlah penduduk dunia, lebih dari seperempat berada pada usia di bawah 15 tahun. Daripada jumlah tersebut, 34 peratus dikatakan terdiri daripada anak-anak beragama Islam, berbanding anak-anak dari agama Hindu yang berada di tempat kedua dengan 30%, dan Kristian 27%.
Populasi anak di bawah usia 15 tahun inilah yang menjadi penyumbang utama kepada meningkatnya penganut agama Islam di masa depan, terutama di beberapa negara yang membenarkan pernikahan pada usia di bawah usia 17 tahun. Fakta positif ini turut dibantu dengan satu lagi fakta yang tidak kurang menariknya – bahawa umat Islam yang berusia 60 tahun ke atas adalah yang paling sedikit berbanding dengan penganut agama lain. Justeru melalui kombinasi kedua-dua kelebihan inilah yang kelak bakal meletakkan agama Islam sebagai agama yang mampu menyaingi Kristian sebagai agama terbesar dunia.
Seperkara lain yang menarik perhatian kita tentang kajian PEW Research Centre itu ialah kecenderungan seseorang untuk meninggalkan keyakinan agama masa kecilnya untuk beralih kepada kepercayaan agama baru telah menjadi trend di beberapa negara. Kajian badan berkenaan yang dimulakan dalam tahun 2010 di 70 buah negara dikatakan menghasilkan dapatan yang agak mengejutkan di mana agama Islam dikatakan akan memperoleh 12 juta orang penganut baru, tetapi akan kehilangan 9 juta orang penganut sedia ada (murtad). Artinya, hasil tolak campur akan ada penambahan 3 juta penganut   Islam yang baru.
Dalam masa yang sama, agama Kristian dijangka akan mengumpulkan penganut baru sebanyak 40 juta, tetapi ditaksirkan akan kehilangan sebanyak 106 juta penganut sedia ada. Tolak campur, akhirnya agama Kristian akan kehilangan 66 juta penganut – suatu jumlah kehilangan terbanyak dibandingkan agama-agama lain.
Timbul pertanyaan di sini, apakah kebanyakan dari umat Kristian yang meninggalkan agama mereka itu akan berpindah menjadi seorang Islam? Jawapannya, belum tentu lagi. Dengan meningkatnya kelompok yang tidak berafiliasi dengan mana-mana agama, termasuk Islam, jumlah mereka yang dijangka akan menyertai kumpulan yang tidak beragama (atheis) dijangka akan meningkat, termasuk melalui penyertaan mereka yang keluar dari agama masing-masing itu.
Berkaitan hal ini, beberapa personaliti pengkaji seperti Todd M. Johnson, co-editor Atlas of Global Christianity, dan Houssain Kettani, Pengkaji Perkembangan Populasi Agama Islam, percaya bahawa jumlah penganut Kristian akan tetap berkembang mendahului jumlah umat Islam. Bagaimanapun, wujud kecenderungan beberapa pengkaji lain seperti Richard W. Bulliet, Sejarawan dari Universiti Columbia, dan David Coleman, Ahli Demografi dari Universiti Oxford, untuk memberikan pandangan yang berbeza. Pandangan itu tidak menolak kemunginan agama Islam bakal menjadi agama terbesar dunia berdasarkan kepada trend yang dikatakan pernah terjadi di masa silam.

Hal itu terjadi pada period antara tahun 1,000 – 1,600 masihi di mana jumlah penganut agama Islam mengatasi jumlah penganut agama Kristian. Pada tempoh itu, Eropah dilanda serangan wabak sampar yang membunuh lebih 25 juta warga penduduk Eropah dan beberapa wilayah Asia. Pada masa yang sama, Islam pasca kehancuran Dinasti Abbasiyah telah melahirkan banyak kerajaan besar terbentuk di Asia ekoran dari penyebaran pengaruh dari Timur Tengah ke Asia. Antaranya, Dinasti Usmaniyah di Turki, Safawiyah di Persia, dan Mughal di India. Pengembangan dan pertumbuhan agama Islam yang pesat pada tempoh tersebut telah melonjakkan jumlah penganut agama Islam di dunia ke suatu kedudukan yang telah menewaskan jumlah penganut Kristian.

Sehingga tahun 2015, jumlah penganut Islam di seluruh dunia dianggarkan seramai 1.8 bilion orang atau membentuk 24 peratus penganut agama dunia. 10 negara yang mempunyai bilangan penganut Islam paling ramai berdasarkan penelitian data pada tahun 2015 itu adalah seperti berikut;

  1. Indonesia :  204,847,000    (87.2%) daripada penduduk Indonesia)
  2. India : 183,000,000    (14.2%)
  3. Pakistan :  178,000,000    (96.4%)
  4. Bangladesh 145,607,000   (86.3%)
  5. Nigeria :  93,839,000    (50.0%)
  6. Iran :  74,819,000     (87.2%)
  7. Turki : 74,660,000    (93.3%)
  8. Mesir : 73,800,000    (90.0%)
  9. Cina : 50,000,000    (01.8%)
  10. Algeria :  40,400,000    (98.2%)

Dilihat dari segi taburan umat Islam mengikut wilayah dunia pula, kedudukannya adalah seperti berikut;

  • Asia Tengah : 54,000,000   (80.0%) daripada populasi penduduk
  • Asia Selatan : 507,284,000   (31.4%)
  • Asia Tenggara : 257,000,000    (12.0%)
  • Timur Tengah & Afrika Utara :  315,322,000   (91.2%)
  • Afrika Sub Sahara : 242,544,000   (29.6%)
  • Eropah : 44,138,000   (06.0%)
  • Amerika : 5,256,000   (0.6%)

Buat penutup bicara, cuma satu perkara yang kita rasa wajar selalu kita peringatkan iaitu bilangan yang banyak sahaja tidak semestinya menjadi penanda aras kepada sesuatu kecemerlangan. Ianya tidak dapat tidak, harus disertai dengan kualiti (umat) maka barulah  kejayaan yang kita harapkan berkemungkinan akan menemui jalannya.

Sehubungan ini, amat wajar sekali bagi kita untuk merenung kembali pesan dan Sabda Rasulullah SAW menerusi sebuah hadis Baginda yang bermaksud;

“Akan datang umat-umat yang berkerumunan ke atas kalian seperti kerumunannya orang-orang yang makan pada satu pinggan.”

Maka seorang bertanya : “Apakah jumlah kami pada ketika itu sedikit?”

Baginda s.a.w menjawab: “Bahkan jumlah kamu pada saat itu ramai. Akan tetapi keadaan kamu seperti buih-buih di lautan. Dan sesunguhnya Allah akan mencabut dari (hati) musuh-musuh kamu rasa takut terhadap kamu serta akan ditimpakan (penyakit) al-Wahn di dalam hati-hati kamu.”

Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah al-Wahn?”

Baginda menjawab: “Cinta kepada dunia dan takut mati.”  (HR Abu Daud).

Wallahua’alam (MMO).

 *******




1 comment:

  1. Prediksi terjitu mbah jambrong baca disini untuk lengkapnya https://angkamistik.site/prediksi-togel-hongkong-mbah-jambrong-jitu-9-juni-2019/

    ReplyDelete