![]() |
Ketibaan Pesuruhjaya Tinggi British ke Asia, Malcom
MacDonald di Brunei pada tahun 1947 disambut oleh
Sultan Ahmad Tajuddin
|
Iktibar Dari Sejarah
Brunei sekarang ialah
apa yang ada dalam lingkungan sempadannya sahaja seluas 2,226 batu atau 5,765
KM persegi. Jika Limbang yang dituntut dari Malaysia itu ditakdirkan tidak
ditentang lagi oleh Malaysia dan dihalang oleh orang Brunei sendiri yang
kononnya tidak rela berkongsi kemewahan dengan rakyat baru dari Limbang, maka
itu adalah satu bonus dan tuah bagi bangsa Brunei yang tidak difikirkan oleh
sesiapa.
Rakyat di wilayah
kesultanan Brunei itu pernah terinaya di era penguasa dan wakil raja yang tidak
amanah, zalim dan tamak. Mereka memeras ugut rakyat di pendalaman supaya
membayar berbagai cukai menyebabkan Limbang tidak lekang dilanda kekacauan dan
pemberontakan.
Gesaan dan
nasihat Kebawah DYMM Sultan Haji
Hassanal Bolkiah Mu’izaddin Waddaulah yang bertali arus kebelakangan ini,
mengingatkan penguasa dan elit supaya sentiasa amanah, berlaku adil, tidak
menginaya dan menzalimi orang lain wajib dipatuhi. Itulah ciri penting yang
mesti dimiliki oleh mereka yang diberi tanggungjawab dan amanah oleh
pemerintah.
Semangat dan hasrat
Kebawah DYMM adalah jelas, ingin melihat keadilan tertegak di bumi Darussalam
ini. Pastinya baginda selaku Ulil Amri berasa gerun dan takut,
kelak tersekat di pintu syurga disebabkan runding bicara dengan rakyat
semasa hidup di dunia belum selesai, terutama sekali dengan mereka yang terinaya.
Limbang
Dijual?
Sultan Ahmad Tajuddin
pernah menyuarakan tuntutannya ke atas Limbang kepada raja Sarawak Charles
Vyner Brooke, raja ketiga dari keluarga Brooke di Sarawak. Namun begitu, entah
bagaimana Sultan Ahmad Tajuddin dan pembesar istana pada tahun 1946, telah
terperangkap dengan bersetuju menerima wang pampasan berjumlah $20,000(arrears)
dan $1,000 setahun untuk selama-lamanya kepada baginda bagi memberi hak kuasa
Kerajaan Sarawak ke atas Limbang.
Sebagai
tambahan, Pengiran-Pengiran yang
menyerahkan Tulin-Tulin mereka dibayar
ganti rugi sekali gus berjumlah $60,000 dan $6,000 setahun, kekal untuk
selama-lamanya. Pampasan dan imbuhan ditawarkan Charls Vyner Brooke itu
tentunya amat menarik sementalah elaun sultan dan pendapatan pembesar taradisi
waktu itu amat kecil.
Sehingga tahun 1949
elaun sara hidup kurniaan Residen kepada baginda hanyalah $3,500 sebulan
berbanding Sultan Perak $150,000 dan Sultan Pahang 96,000 sebulan. Walhal
lebihan pendapatan Brunei dari hasil minyak dari tahun 1940 – 1949 berjumlah
$7.4 juta.
Mainan
Politik
Mungkin atas sebab
Limbang sudah ‘terjual’ itulah Brunei tidak pernah serius lagi untuk menuntutnya, apatah lagi untuk
mengangkatnya ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice
- ICJ).
Pada pandangan kita,
isu tuntutan Brunei ke atas Limbang tidak lebih dari mainan politik bermusim
yang digembar gemburkan mengikut keperluan politik semasa, seperti
mengaitkannya dengan isu pelarian politik Brunei 12 Julai 1973 dan sokongan
Malaysia di bawah Tun Abdul Razak ke atas Parti Rakyat Brunei (PRB). Namun
demikian kita masih menaruh harapan agar isu Limbang ini dapat diselesaikan,
sekurang-kurangnya kembali kepada kedudukan asal sempadan mengikut sungai.
Dalam konteks ini,
atas rasa kasih dan cinta kita kepada Baginda Sultan, kita berharap mereka yang dekat dengan
baginda dan mereka yang mendapat kepercayaan baginda akan memberikan nasihat yang betul, jujur dan
ikhlas supaya sejarah malang, kampung tergadai itu tidak berulang lagi.
Terlepas
Peluang
Tidak terfikir oleh
sesiapa bahawa wilayah Brunei boleh dikembalikan seperti zaman sebelum ketibaan
penjajah British dahulu sekalipun dari segi sejarahnya adalah benar wilayah
Brunei itu dahulunya meliputi kawasan yang dipanggil Kalimantan Utara oleh A.M.
Azahari dan penyokongnya dari PRB.
Namun, ketika
pemerintahan Jepun, pentadbiran wilayah Lawas, Terusan, Sundar, Limbang,
Labuan dan Miri telah disatukan dengan Brunei dan, pentadbiran kesatuan wilayah
tersebut berpusat di Brunei. Antara lain perkataan, rakyat di wilayah
tersebut pernah bersultankan Sultan Ahmad Tajuddin, iaitu Sultan Brunei ke 27.
Sayangnya, apabila
Jepun menyerah kalah, status quo tersebut tidak dipertahankan oleh Sultan dan
rakyat menyebabkan Brunei telah
kehilangan peluang untuk merdeka lebih
awal dan memiliki semula sekurang-kurangnya satu per tiga wilayah asal Brunei.
Tidak seperti di negara
Asia yang lain yang memberikan tentangan hebat ke atas kemasukan semula
penjajah, “tentangan” dari rakyat Brunei ketika pendaratan semula Tentera
Berikat ke bumi Brunei itu hanyalah sekadar memperotes kedudukan bendera Brunei yang diletakkan paling
belakang oleh penganjur perbarisan menyambut
kemasukan semula penjajah British itu.
Brunei
Dijajah Semula
Pendaratan semula
Tentera Berikat pada 10 Jun 1945 diketuai C.F.C Macaskie seorang pegawai tentera Australia menyaksikan
Brunei dijajah semula oleh British.
Sementara wilayah Lawas, Terusan, Sundar, Limbang dan Miri kembali di bawah
pentadbiran Sarawak dan Labuan ketangan British.
Berikutan itu
pentadbiran Brunei diambil alih oleh BMA British Military Administration (BMA)
dan hanya digantikan dengan pentadbiran awam setahun kemudian, iaitu pada 6
Julai 1946 dalam satu majlis penyerahan ringkas dihadiri oleh Sultan Ahmad Tajuddin sendiri. Sejak itu Brunei
terus dijajah semula dan hanya memperolehi kemerdekaannya pada 1 Januari 1984.
Untuk kali keduanya,
Brunei sekali lagi telah kehilangan
peluang ketika menolak bulat-bulat usaha PRB yang hampir berjaya untuk
mengembalikan Sarawak dan Sabah ke pangkuannya pada tahun 1962. Gagasan Negara
Kesatuan Kalimantan Utara (NKKU) dipelopori PRB meliputi Sarawak dan Sabah yang
merdeka dan berdaulat, dan menobatkan Sultan Brunei sebagai Sultan dan Yang
Dipertuan NKKU bergelar Seri Mahkota Negara di bawah sistem raja berperlembagaan.
Hasrat PRB ini punah apabila tercetusnya pemberontakan 8 Disember 1962.
Harapan
Tiada siapa yang
bersedia bersama Saddam Husein mengisytiharkan Kuwait adalah sebahagian dari
Iraq berdasarkan ia pernah menjadi milik Iraq satu masa dahulu. Samalah juga
dengan tiada siapa akan bersama dengan orang Melayu untuk mengatakan Singapura
adalah milik orang Melayu semata-mata kerana pulau itu asalnya diterokai oleh
Sang Nila Utama, seorang Melayu. Maka Brunei terpaksa berpuas hati dengan apa
yang ada, kerana itulah realiti yang diperakui oleh Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Namun masih adakah
harapan Brunei akan kembali seperti di zaman kegemilangannya? Insyaallah, walau
pun tidak memiliki wilayah yang luas, namun rakyat Brunei boleh menjadi bangsa
yang besar dan berwibawa, kembali
berpengaruh dan disegani oleh kawan dan lawan. Prasyaratnya ialah, rakyat
hendaklah sentiasa bersama baginda Sultan, saling ingat mengingati betapa
hasrat untuk menegakkan keadilaan dan ihsan itu hendaklah setulusnya
diterjemahkan untuk dinikmati oleh seluruh rakyat dan penduduk.
Dengan itu kita
yakin, suatu hari nanti Negara Brunei Darussalam akan tegak sebagai sebuah Negara Baldatun
Thayiibatun Warrabun Ghaffur, yang sentiasa disirami barakoh. Insyaallah.
Wallaha'alam (MMO).
Wallaha'alam (MMO).
*****
No comments:
Post a Comment