![]() |
Seorang remaja Palestin ditahan oleh tentera Israel dalam satu demonstrasi di sempadan |
Bulan
Disember, sepertimana bulan-bulan lain sebelumnya, terus dicemari dengan
pelbagai tekanan, penindasan dan kekejaman rejim Yahudi ke atas penduduk
Palestin. Penduduk Palestin diperlakukan sedemikian rupa seolah-olah tiada lagi
harga diri dan orang yang mahu memperduli. Penangkapan dan pemenjaraan terhadap
belia Palestin yang dituduh cuba menyerang pasukan keselamatan Israel terus
berleluasa berlaku. Demikian juga dengan tindakan meroboh rumah kediaman mereka
yang mempunyai anak yang didakwa terlibat dengan pengganasan melalui
undang-undang yang dikuatkuasakan baru-baru ini, kini semakin giat
dilaksanakan. Demikian pula dengan pembinaan penempatan haram di atas
tanah-tanah milik warga Palestin, dibuat dengan sewenang-wenangnya tanpa ada
pihak yang mampu menyekatnya! Semua ini, belumkah mencukupi untuk membuka mata
dan menambat hati kita untuk sama-sama bangun membantu saudara-saudara kita
yang kini dalam keadaan yang amat memerlukan itu?
Saksikan
di bawah ini, rentetan peristiwa yang berlaku pada sepanjang bulan Disember
2018 buat menyedarkan kita akan kepedihan sebenar yang dilalui oleh
saudara-saudara kita itu.
Cacatan
Peristiwa Penting Sepanjang Disember 2018
Tarikh
|
Catatan
Peristiwa
|
03.12.2018
|
Kumpulan
bantuan perubatan antarabangsa “Doktor Tanpa Sempadan” yang berpengkalan di
Peranchis memberi amaran bahawa sejumlah besar pesakit dari kalangan warga Palestin
yang dirawat akibat luka terkena tembakan semasa protes di sempadan Palestin-Israel
kini berisiko terkena jangkitan dan kecacatan berkekalan kerana kemudahan
kesihatan yang ada di Gaza tidak mampu merawat mereka secukupnya. Secara
keseluruhannya, kira-kira 6,000 rakyat Palestin telah ditembak oleh tentera
Israel semasa demonstrasi di sepanjang pagar pemisahan sejak Mac lalu.
|
05.12.2018
|
Pusat
Kajian bagi Penduduk Palestin dan Baitulmuqaddis (Al-Quds) mendedahkan bahawa
sepanjang bulan lepas sahaja, sebanyak 19 buah bangunan kediaman milik warga
Palestin yang terletak di wilayah Tebing Barat dan Zon Garisan Hijau telah
dimusnahkan. Kenyataan tersebut juga menyatakan pada masa yang sama, beribu
unit penempatan haram Yahudi telah diluluskan pembinaannya. Menurut ketua
pusat kajian tersebut, Emad Abu Awad, bulan November menjadi bulan paling
ketara dari segi bilangan rumah yang diroboh oleh pihak rejim berbanding
Oktober.
***
Pusat
Kajian bagi Penduduk Palestin dan Baitulmuqaddis (Al-Quds) melaporkan bahawa
rejim Israel telah melakukan sebanyak 355 pelanggaran terhadap rakyat
Palestin dalam bulan November sahaja. Pelanggaran tersebut antara lain
termasuklah pemeriksaan tentera, sekatan pergerakan, serbuan harian, serangan
tembakan, pembongkaran rumah, perampasan tanah, dan serangan peneroka haram
Yahudi terhadap harta Palestin.
|
07.12.2018
|
Mahkamah
Persekutuan Israel mengumumkan pembebasan Gabenor Palestin, Adnan Gheith,
bersama dengan sembilan anggota pergerakan Al-Fatah selepas ditahan selama
seminggu. Gheith dan sembilan
aktivis Al-Fatah itu bagaimanapun dibebaskan di bawah syarat-syarat yang
ketat, termasuk dilarang masuk ke Tebing Barat yang dijajah selama dua minggu
berturut-turut dan membayar jaminan kewangan. Mereka selain itu, turut
dikenakan dengan tahanan di rumah selama lima hari.
|
14.12.2018
|
Menurut
tinjauan oleh sebuah badan kajian Israel, Maariv, 44% warga Israel percaya
genjatan permusuhan di Gaza adalah keputusan yang salah. Menurut tinjauan
itu, 57% responden berkata mereka percaya Perdana Menteri Israel Benjamin
Netanyahu telah gagal melindungi keselamatan Israel. 76% orang Israel percaya
bahawa prestasi Netanyahu dalam episod permusuhan baru-baru ini dengan Hamas
sangat lemah. Namun demikian, 41% rakyat Israel telah menyokong dasar
Netanyahu. Sementara itu, 33% rakyat Israel berpendapat bahawa Benny Gantz
adalah pengganti terbaik untuk Netanyahu setakat ini.
|
18.12.2018
|
Satu
kempen besar-besaran bagi menyokong keluarga Abu Humaid telah dilancarkan
untuk melindungi rumah beliau daripada dirobohkan oleh rejim Zionis. Langkah
tersebut diambil berikutan adanya notis tentera Israel yang memaklumkan
mengenai niat mereka untuk merobohkan rumah empat tingkat milik keluarga Abu
Hamid tersebut sebagai hukuman setelah anaknya, Islam, dituduh membunuh
seorang askar Israel di kem al-Am’ari beberapa bulan lalu. Tentera Israel
memberi tempoh sehingga 12 Disember untuk Abu Hamid mengosongkan rumah mereka
secara sukarela. Bagaimanapun, kempen popular yang menyokong keluarga
tersebut menegaskan bahawa mereka tidak akan membenarkan perobohan rumah itu
dan akan mengadakan perhimpunan besar-besaran di luar kawasan rumah tersebut
untuk melindunginya.
***
Hamas mengeluarkan
satu kenyataan media bagi menggesa rakyat Palestin untuk keluar beramai-ramai
pada hari Jumaat, 21 Disember, untuk menyertai protes dalam mempamirkan kemarahan
mereka berikutan pembunuhan empat warga Palestin pada 13 Disember lalu. Dalam kejadian pada 13 Disember itu,
tentera Israel telah membunuh tiga warga Palestin dalam serbuan di Tebing
Barat, manakala seorang lagi dibunuh dalam serangan terhadap kenderaan yang
dinaiki beliau.
|
28.12.2018
|
Seorang
warganegara Jordan diculik oleh Israel dalam perjalanannya untuk melawat
abangnya di penjara padang pasir Negev Israel. Juru cakap National Committee
of Jordanian Prisoners and Missing Persons, Fadi Farah berkata tentera Israel
menangkap Khawla al-Zitawi yang menuju ke Negev untuk melawat abangnya. Pihak
Israel menuduh beliau membawa bahan terlarang yang dimasukkan ke dalam
komputer ribanya. Jurucakap Kementerian Luar Negeri Jordan, Majed al-Qatarna,
berkata kedutaan Jordan di Tel Aviv telah maklum berkenaan kes itu. Setakat
ini, 21 warga Jordan telah dipenjarakan di penjara penjara Israel.
***
Mahkamah
tentera Israel menjatuhkan hukuman penjara selama 35 tahun terhadap seorang remaja
Palestin, Ayham Sabah, berumur 17 tahun. Suruhanjaya Tahanan Palestin berkata
bahawa remaja itu juga diperintahkan untuk membayar denda sebanyak satu juta
shekel (kurang sedikit daripada $300,000). Sabah, dari kem pelarian Qalandia,
utara Baitulmuqaddis, ditahan pada tahun 2015 bersama seorang lagi remaja
Palestin berusia 14 tahun kerana didakwa melakukan serangan dengan menikam
seorang warga Israel di sebuah pasaraya di penempatan Tebing Barat.
***
Dalam
suatu usaha yang boleh dianggap terdesak bagi mengurangkan tekanan dunia Arab
terhadap Israel, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dilaporkan telah
membuat kenyataan dalam menyatakan hubungan Israel dengan negara Arab kini semakin
normal. “Satu perubahan besar telah berlaku. Dunia Arab memerlukan teknologi
dan inovasi. Ia memerlukan air, elektrik, rawatan perubatan dan teknologi
tinggi. Perhubungan di antara syarikat Israel dan dunia Arab semakin
meningkat,” katanya. Namun di sebalik adanya kenyataan tersebut, Netanyahu
seolah-olah menyindir peranan Palestin dengan menyifatkan proses normalisasi
dengan dunia Arab yang sedang dilalui itu berlaku tanpa melibatkan sebarang
perkembangan baharu dalam proses diplomatik dengan warga Palestin.
***
Israel menyatakan
tekad negara itu untuk terus bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) untuk
menghalang cubaan penduduk Palestin bagi mendapatkan status keahlian penuh di
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana ia akan memberikan
pengiktirafan antarabangsa kepada negara Palestin. Duta Israel di PBB, Danny
Danon dilaporkan berkata pihaknya bersedia untuk menghalang inisiatif tersebut
bersama-sama dengan delegasi AS. Kenyataan diplomat Israel itu dibuat sebagai
merujuk kepada tindakan Menteri Luar Pihak Berkuasa Palestin, Riyad
al-Maliki, yang menyatakan rancangannya untuk menghantar permohonan keahlian
penuh PBB ke Majlis Keselamatan pada awal bulan Januari, 2019. Bagaimanapun, ramai
diplomat berkata, sebarang tindakan penduduk Palestin untuk mendapatkan
keahlian penuh PBB akan berdepan dengan veto AS di Majlis Keselamatan.
|
31.12.2018
|
Pentadbiran
awam tentera rejim Israel telah meluluskan pembinaan 1,451 unit kediaman baru
di penempatan haram di Tebing Barat dan rancangan pembinaan 837 unit tambahan,
sebahagiannya di kawasan yang agak terpencil. Menurut akhbar Haaretz,
jawatankuasa penempatan terbabit telah memberikan kelulusan muktamad terhadap
pembinaan 220 unit kediaman di Givat Ze’ev, 180 di Neveh Daniel, 120 di
Karmei Tzur, 129 di Avnei Hefetz, 62 di Ma’aleh Mikhmash, 61 di Tzofim, 42 di
Alfei Menashe, 55 di Tomer, 18 di Adora, 16 di Metzad dan satu di Shiloh.
|
Wallahua’alam
(MMO)
No comments:
Post a Comment