Wednesday, June 10, 2020

DIARI KEHIDUPAN XI : RANCANGAN ISRAEL UNTUK MENGHALALKAN RAMPASAN TANAH PALESTIN DI TEBING BARAT


Pemandangan sebahagian daripada projek perumahan Israel di atas tanah Palestin yang dirampas

Pada pertengahan Mei lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ketika mengusulkan senarai kabinet kerajaan campuran yang baharu kepada Dewan Parlimen (Knesset) negara itu, telah mengambil kesempatan untuk mezahirkan niat Israel terhadap Palestin dengan mengatakan “Sudah sampai waktunya bagi kita menerapkan kedaulatan dan undang-undang Israel ke atas Tebing Barat.” 

Dengan menggunakan slogan ‘perang menghadapi wabak Coronavirus’ sebagai alasan, Netanyahu turut mengisyaratkan akan terus berusaha bagi mematahkan semua bentuk ancaman terhadap Israel dengan mengatakan “Kita akan terus menghadapi konfrontasi dengan sesiapa pun yang cuba bertindak melawan kita, sama ada yang dekat atau jauh.”

Dalam konteks ini, sayugia diingatkan Netanyahu dalam kempen pilihan rayanya telah beriya-iya berjanji akan ‘mewartakan’ tanah Tebing Barat yang diceroboh Israel sekiranya beliau berjaya memenangi pilihan raya.

Dalam satu temu bual dengan radio Israel beberapa jam sebelum pengundian dimulakan, Netanyahu pernah berkata bahawa pewartaan Lembah Jordan dan kawasan lain di Tebing Barat akan menjadi keutamaannya dalam dasar beliau. 

“Ini akan berlaku dalam tempoh dua minggu, paling lama dua bulan, saya harap,” katanya.

Tambah beliau, jawatankuasa pemetaan Amerika Syarikat (AS)-Israel sudah pun memulakan kerja-kerja awal di bawah pelan damai Asia Barat Presiden AS, Donald Trump, yang diumum Januari lalu. 

Pelan tersebut bagaimanapun menerima kecaman hebat kerana memberi kuasa kepada Israel untuk menentukan kawasan yang hendak diwartakan serta melakar sempadan.

Dilihat dari sudut latar belakang kepada isu ini, pada Januari lalu, Presiden Donald Trump ketika mengumumkan 'Visi Timur Tengah' memberi lampu hijau kepada proses pencerobohan tersebut. 

Perjanjian Netanyahu dengan pemimpin pusat, Benny Gantz juga bersetuju Kabinet akan berunding dengan Washington sebelum membuat apa sahaja langkah.

"Seperti yang kami jelaskan secara konsisten, kami bersedia untuk mengiktiraf tindakan Israel untuk memperluas kedaulatan dan penerapan undang-undang ke wilayah Tebing Barat sebagai sebahagian daripada negara Israel.”

"Langkah mereka seiring dengan konteks pemerintah Israel yang bersetuju untuk berunding dengan Palestin selari dengan yang apa yang ditetapkan Trump," kata jurucakap Jabatan Luar Negeri AS, sebagai mengulas kenyataan Netanyahu itu.

Kenyataan itu dikeluarkan setelah Netanyahu melahirkan keyakinan AS akan memberikan persetujuan kepada Israel dalam masa dua bulan untuk bergerak dan mengiktiraf Tebing Barat.

Trump, yang dilihat benar-benar pro-Israel, telah bersetuju dengan senarai permintaan itu kepada Netanyahu sejak tiga tahun lalu.

Rancangan itu akan membenarkan Israel mengambil penempatan Yahudi di Tebing Barat yang dijajah dan memberi kedaulatan hingga ke Jordan.

Rakyat Palestin akan diberikan entiti yang berdaulat dengan ibu negara Palestin akan berada di pinggir Baitulmaqdis, kota suci yang akan terus berada di bawah jajahan Israel.

Kenyataan Jabatan Negara melalui  Setiausaha Negara Mike Pompeo itu disifatkan wartawan  sebagai 'Keputusan Israel'.

Palestin dan sebahagian besar masyarakat antarabangsa menganggap petempatan Israel di Tebing Barat sebagai haram. Ia berdasarkan Konvensyen Geneva yang melarang penempatan di tanah yang ditawan dalam perang.

Israel mempertikaikannya dengan alasan keperluan keselamatan, hubungan sejarah dan politik ke atas wilayah itu.

Reaksi spontan memperlihatkan rakyat Palestin segera bangun bagi menyatakan kemarahan mereka terhadap kenyataan Netanyahu itu yang dilihat sebagai bertujuan mahu menguatkan pegangan Israel ke atas tanah yang dirampas dalam perang 1967. 

Di Kota Nablus di Tebing Barat, puluhan ribu penduduk Palestin telah mengadakan tunjuk perasaan sebagai membantah rancangan Israel itu. 

Pemerhati mengatakan pengumuman Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk menguatkuasakan undang-undang Israel di Tebing Barat dan merampas sebahagian besar kawasan di wilayah yang diduduki bakal mencetuskan keganasan dan rusuhan.

Israel dijangka melaksanakan tindakan itu pada 1 Julai 2020 seperti yang dipersetujui antara Netanyahu dan Benny Gantz, Ketua Parti Biru Putih.

Rancangan itu diatur sebagai sebahagian daripada pelan damai Timur Tengah, yang bakal menyaksikan Israel akan merampas 30-40 peratus wilayah Tebing Barat, termasuk seluruh Baitulmaqdis Timur.

Apa yang menarik bagi kita ialah fakta bahawa rancangan rejim Netanyahu itu bukan sahaja ditentang oleh rakyat Palestin, malah juga oleh sebahagian rakyat Israel yang melihat tindakan pemimpin mereka itu sebagai usaha merampas dan mengambil tanah warga Palestin di Tebing Barat.

Hasilnya, mereka bangun menunjuk perasaan dengan parti-parti politik dan NGO sayap kiri mengetuai gerakan yang dimulakan di Tel Aviv, Israel. Menurut laporan AFP, para penunjuk perasaan mengibarkan bendera Israel dan Palestin dan mengangkat sepanduk membantah langkah itu.

Seorang penunjuk perasaan berkata sekian lama orang Palestin dan Yahudi telah banyak "melakukan kerosakan kepada satu sama lain" dan menyeru agar solidariti antara mereka ditingkatkan.



Dilihat dari sudut gerakan terancang di pihak Palestin dalam menghadapi isu ini, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, telah memanggil Mesyuarat Jawatankuasa Krisis bagi membicangkan rancangan Israel itu dan pelan damai Timur Tengah Presiden Donald Trump sebagai reaksi segera terhadap kenyataan Netanyahu mengenai perkara tersebut.

Susulan mesyuarat itu, Naib Pengerusi Fatah, Mahmoud al-Aloul berkata, keputusan kepemimpinan untuk menarik diri daripada semua perjanjian dan persefahaman yang disepakati dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS) sebelum ini "adalah muktamad".

Hamas pula telah memulakan gerakan dengan menggesa untuk diadakan suatu tindakan bersama di peringkat nasional untuk menghadapi projek penambahan wilayah pihak Israel di tanah terjajah di Tebing Barat.  

“Projek penambahan di Tebing Barat adalah rancangan Yahudi paling berbahaya yang menyasarkan perampasan 38 peratus tanah milik warga Palestin di Tebing Barat,” kata jurucakap Hamas, Abdul-Latif Qanua.

Qanua juga menggesa Pihak Berkuasa Palestin untuk memberi tindak balas kepada projek penambahan berkenaan dan menarik balik perjanjian Oslo yang telah dimeterai dengan negara penjajah tersebut serta memberikan pihak penentang Palestin kebebasan untuk mempertahankan rakyat dan tanah air mereka.

Di kalangan negara Islam dan pertubuhan Islam di peringkat antara bangsa, sejauh ini Liga Arab muncul antara yang paling lantang mengecam cadangan kontroversi rejim pengganas Israel itu dengan menyifatkan tindakan tersebut sebagai ‘jenayah perang terbaharu’ terhadap rakyat Palestin.
Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Menteri-Menteri Luar Arab, selepas mengadakan persidangan secara atas talian yang dipengerusikan Mesir.

Dalam mesyuarat Liga Arab itu, Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki berkata, tindakan Israel merampas Tebing Barat akan mengakhiri usaha penyelesaian dua negara.

Katanya, langkah itu juga akan bakal mengubah pertempuran daripada politik kepada perang agama yang tiada kesudahan, sekali gus tidak pernah membawa kepada kestabilan, keamanan atau perdamaian di wilayah berkenaan. 

Tidak ketinggalan dalam membantah rancangan rejim Yahudi itu adalah kalangan pemimpin Asean yang rata-ratanya menuntut Israel supaya menghormati undang-undang antara bangsa dengan tidak sewenang-wenangnya melaksanakan rancangan perampasan tanah milik Palestin yang bertentangan dengan berpuluh-puluh resolusi UN mengenainya. 

Serentak dengan itu, mereka juga menyeru supaya “Perjanjian Abad Ini” yang dipelopori oleh Presiden Donald Trump pada awal Januari lalu tidak dilaksanakan. Ini termasuklah langkah menjadikan Baitul Maqdis sebagai ibu negara baharu bagi Israel menggantikan Tel Aviv dan rancangan memindahkan semua kedutaan asing dari Tel Aviv ke kota suci tersebut.


Wallahu a’alam (MMO)




No comments:

Post a Comment