Tuesday, April 7, 2020

DIARI KEHIDUPAN IX : PALESTIN


Sebahagian Penempatan Baharu Israel Di Atas Tanah Warga Palestin

Secara keseluruhannya, isu Islamofobia di Palestin pada sepanjang suku tahun terakhir (Oktober - Disember) 2019 telah didominasikan oleh isu “Deal of The Century” (DoC) yang dibawa oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Isu yang bersifat unilateral (tindakan di sebelah pihak) itu telah ditentang oleh Palestin melalui apa jua platform yang ada - daripada mendapatkan sokongan di peringkat antarabangsa, dunia Arab dan Islam bagi menantang pelan tersebut, membawalah kepada tentangan bersifat fizikal seperti demonstrasi dan bantahan yang turut mengorbankan banyak nyawa di pihak warga Palestin.

Pun begitu, di sebalik adanya perlanjutan isu DoC itu, pihak rejim Israel seperti biasa tidak pernah berhenti daripada mengenakan tekanan ke atas kehidupan harian warga Palestin seperti melakukan pencerobohan ke atas tanah milik mereka, merobohkan kediaman dan merosakkan tanaman mereka, menahan belia Palestin atas sebab yang tidak munasabah, membawalah kepada melaksanakan serangan udara ke atas wilayah Palestin dengan tujuan untuk melemahkan perjuangan mereka. 

Berikut adalah beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam tempoh liputan yang jelas dapat menggambarkan niat dan tekad sebenar Israel dalam hubungannya dengan Palestin.

02 Januari 2020

Hamas: Israel Tidak Patuhi Keseluruhan Perjanjian Gaza

Pergerakan Hamas menegaskan bahawa kerajaan rejim Zionis tidak mematuhi secara keseluruhannya persetujuan yang telah dirundingkan terdahulu mengenai Gaza.

Dalam satu siaran akhbar, Hamas menafikan telah mengadakan sebarang perbincangan baharu mengenai gencatan senjata dengan pihak Israel, dan menegaskan bahawa “pengepungan dan sekatan terhadap Gaza belum berakhir.”

Pergerakan itu menyeru semua pihak yang berkenaan untuk memikul tanggungjawab masing-masing untuk mengakhiri apa yang dikatakannya sebagai “sekatan demi sekatan, yang terus menerus dilakukan oleh rejim Zionis dan Pihak Berkuasa Palestin di Ramallah yang bertujuan untuk menggulingkan pihak penentang dan melumpuhkan rakyat Palestin”.

03 Januari 2020 

Rejim Zionis Bina Jalan Untuk Pendatang Di Selatan Qalqiya

Rejim Israel telah meratakan tanah rakyat Palestin di Kampung Wadi al-Rasha di selatan Qalqilya bagi membina jalan untuk pendatang Yahudi.

Menurut sumber tempatan, jentolak Israel dan kenderaan pembinaan menyediakan tanah untuk membina jalan di kampung Wadi al-Rasha dekat kampung Ras Atiya dan al-Dabaa di Qalqilya.

Jalan itu akan dibina untuk para pendatang dari penempatan haram Alfei Menashe, yang semakin berkembang sejak dibina pada tahun 1981.

06 Januari 6, 2020 

Euro Mediterranean: 500 Pelanggaran Israel Di Al-Quds Pada Disember 2019

Organisasi Hak Asasi Manusia (HAM) Eropah mencatat sekitar 500 pelanggaran yang dilakukan pemerintah penjajah Israel di Al-Quds sepanjang Disember 2019 dengan sokongan Amerika dan sikap diam antarabangsa. 

Hal itu disampaikan dalam laporan HAM Euro-Mediterranean (Euro Med Rights) beribu pejabat di Geneva, dengan tema: “Pelanggaran Sehingga Detik Terakhir.”

Euro Mediterranean menyebutkan, Bilangan pelanggaran di Al-Quds meningkat pada bulan lalu dengan keputusan pemimpin politik dan sokongan dari Amerika, serta sikap diam pihak antarabangsa, ketika giatnya usaha Israel menamatkan keberadaan warga Palestin dan mengubah karakter dan identiti kota Al-Quds.

Bentuk pelanggaran mencakupi penembakan, penangkapan, penganiayaan langsung kepada anak-anak dan para wanita, di samping perobohan rumah dan merosakkan harta benda.

HAM turut mengecam sikap ‘menutup mata’ PBB terhadap pelanggaran Israel di kota Al-Quds sehingga mendorong peningkatan pelanggaran kerana tiada kebimbangan mereka akan didakwa.

09 Januari 2020

Israel Memulakan Semula Proses Penggalian Di Sekitar Tembok Al Aqsa

Kementerian wakaf Islam dan urusan Masjidil Aqsa mengingatkan tentang tindakan penjajah Israel dalam memulakan kembali projek tembok selatan Masjidil Aqsa di kota Al-Quds. Para pekerja pembinaan Israel telah memulakan kerja ubahsuai tembok selatan Masjidil Aqsa di kawasan Istana Umawiyah dengan alasan ianya berupa kerja-kerja pengubahsuaian tembok khusus Masjidil Aqsa.

Kementerian wakaf meminta pihak polis untuk segera menghentikan kerja-kerja tersebut dan membersihkan semua bahan bangunan yang telah dipasang di tembok masjid.

Pihak polis juga diminta memulangkan batu yang dicuri dan menempatkannya ke tempat asal di semua pagar Masjidil Aqsa bahagian barat.

Kementerian Wakaf mengingatkan bahawa tindakan ini merupakan pelanggaran terhadap Masjidil Aqsa yang memiliki keluasan 144 ekar secara keseluruhan, mencakupi ruang solat, halaman, madrasah dan pagar serta jalan.

16 Januari 2020

Israel Rancang Bangunkan 4 Penjara Lagi untuk Tampung 4 Ribu Tahanan Baru

Pemerintah Israel dilaporkan telah bersetuju dengan rancangan komprehensif untuk menambah jumlah penjara mereka dengan membangunkan dua blok baru untuk menampung 4 ribu tahanan baru Palestin.

Saluran televisyen Israel “Channel 7” menyatakan bahawa akan ada 4 penjara lagi yang akan didirikan untuk menampung tahanan baru Palestin yang dibuat di bawah rancangan jangka panjang hingga 2040.

Fasiliti yang akan dibangunkan tersebut meliputi tempat penahanan, pejabat polis dan pengadilan.
Menurut televisyen itu lagi, pihak berkuasa Penjara Israel ketika ini sudah memiliki 30 penjara dan pusat penahanan yang ketika ini sedang menampung seramai 5,700 warga Palestin. Seramai 47 antaranya adalah tahanan wanita, 250 kanak-kanak, 6 anggota dewan legislatif, 500 tahanan administratif (tanpa tuduhan dan proses hukum serta boleh dipanjangkan tempoh tahanan) serta 700 tahanan dalam keadaan sakit.

***

Rejim Zionis rampas tanah Palestin berhampiran Salfit

Rejim Zionis telah meratakan dan merampas sejumlah 127 Dunum ( 1 Dunum bersamaan 1,000 meter persegi) tanah milik warga Palestin di bandar Kafr ad-Deik, di barat Salfit, untuk memberi laluan kepada perluasan kawasan penempatan haram Israel.

Abdulnaser Ahmad, pemilik tanah tersebut berkata bahawa dia terkejut mendapati IOF telah meratakan tanahnya dan memagar sekelilingnya dan mendakwa ia adalah “tanah negeri”.

Ahmad menegaskan bahawa dia mempunyai semua surat-surat dan dokumen yang sah yang membuktikan pemilikannya terhadap tanah yang diratakan itu.

Beliau menambah bahawa dia mengetahui tentang percubaan pihak berkuasa Israel untuk merampas tanah tersebut bagi membina unit penempatan baru.

Kira-kira 25 penempatan yang dikhaskan untuk kaum Yahudi telah dibina di atas 18 tanah komuniti perumahan Palestin di wilayah Salfit di Tebing Barat.

Kerajaan Israel baru-baru ini telah meluluskan satu rancangan untuk membina unit perumahan baru untuk memperluaskan kawasan penempatan Brukhin di barat Salfit.

20 Januari 2020

Rejim Zionis Paksa Rakyat Palestin Roboh Rumah Sendiri

Dua rakyat Palestin terpaksa merobohkan rumah mereka di Baitulmaqdis atas perintah rejim zionis.

Sumber tempatan mengatakan bahawa dua rakyat Palestin, Mousa Bashir dan Ammar Nassar, dipaksa meruntuhkan rumah mereka sendiri di bandar Jabal al-Mukabber di Baitulmaqdis yang dijajah.

Rejim zionis sudah lama bersikap demikian terhadap banyak keluarga Palestin di Baitulmaqdis dan diancam dengan bayaran denda yang berat jika pihak berkuasa yang melakukan perobohan tersebut.

28 Januari 2020

PBB Seru Penamatan Sengketa Di Gaza

PBB sekali lagi menyeru agar sekatan Israel di Gaza dihentikan dan langkah bagi mencari penyelesaian terhadap penderitaan penduduk Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis segera dilakukan.

Kenyataan tersebut dibuat oleh Jurucakap PBB, Stephane Dujarric di ibu pejabat antarabangsa di New York dengan merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Penolong Setiausaha PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Timbalan Penyelia Bantuan Kecemasan, Ursula Mueller berikutan lawatan mereka selama 6 hari di Wilayah Palestin yang diduduki itu.

“Sehingga ada penyelesaian politik yang adil, ia adalah penting bagi masyarat antarabangsa agar terus memberi sokongan yang berterusan dan berkekalan bagi memenuhi keperluan rakyat Palestin yang paling lemah,” kata jurucakap PBB itu sambil memetik kenyataan Mueller.

04 Februari 2020

Rejim Israel Menangguhkan Kemasukan Simen Ke Gaza

Menteri perang Israel, Naftali Bennett membuat keputusan untuk menangguhkan kemasukan penghantaran simen ke Semenanjung Gaza sebagai reaksi ke atas kononnya serangan warga Palestin setiap hari di kawasan Israel.

Menurut akhbar Maariv, tentera Israel memberikan arahan di atas kebenaran Bennett untuk menangguhkan eksport simen ke Gaza dan membatalkan permit untuk 500 peniaga simen.

Tindakan itu yang berkuatkuasa pada pagi Ahad, dilaporkan sebagai reaksi kepada serangan di Gaza yang berterusan baru-baru ini setelah rejim Israel dengan sengaja membuka empangan seterusnya membanjiri kawasan pertanian dan jalan raya di timur Gaza sehingga mengakibatkan kerugian besar kepada petani Palestin.

11 Februari 2020

Israel Sekat Ekspot Hasil Pertanian Penduduk Palestin

Menteri Perang Israel mengarahkan supaya keluaran hasil pertanian penduduk Palestin disekat  dari dibawa ke Jordan yang merupakan satu-satunya laluan terus ke pasaran luar.

Akhbar Haaretz memetik Penyelaras Aktiviti Kerajaan di Wilayah Jajahan sebagai berkata bahawa mulai 9hb. Februari, 2020 semua hasil pertanian penduduk Palestin tidak dibenarkan di ekspot ke pasaran luar melalui Jordan. 

Langkah itu sebagai satu bentuk sekatan yang diambil pihak rejim ke atas Palestin ekoran tindakan pihak Palestin mengurangkan impot anak lembu dari Israel. Minggu lepas, pihak rejim telah membuat keputusan menghentikan impot hasil pertanian dari Palestin.

17 Februari 2020

Senarai Firma Beroperasi Di Penempatan Haram Di Israel Didedah

Pejabat Hak Asasi Manusia PBB menyiarkan senarai lebih 100 syarikat yang dikatakan bersalah melanggar hak asasi kemanusian dengan menjalankan operasi mereka di penempatan haram Yahudi di Baitulmaqdis yang dikuasai Israel.

Tindakan PBB itu difahamkan sebagai yang pertama kali di peringkat antarabangsa, cuba menama dan memalukan perniagaan yang ada  hubungkait dengan aktiviti penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi, Michelle Bachelet menyiarkan satu kenyataan bersama laporan dan berkata bahawa beliau “sedar dengan isu ini yang telah dan akan menimbulkan perbalahan yang lebih hebat lagi.”

19 Februari 2020

Kadar Pengangguran Gaza Meningkat 70%

Ketua Jawatankuasa Rakyat Melawan Sekatan, Jamal al-Khudri, menegaskan bahawa sekatan Israel ke atas Gaza telah meningkatkan lagi kadar pengangguran dalam kalangan pemuda Palestin hingga 70%. 

Dalam satu kenyataan akhbar, Al-Khudri menegaskan bahawa perlanjutan  sekatan selama tiga belas tahun dan diselangi dengan 3 kali peperangan telah memberi tekanan dan penurunan kerja di pelbagai sektor ekonomi, perusahaan dan sektor perniagaan, sekaligus memberi kesan besar terhadap kadar pengangguran yang tinggi.

Beliau menyatakan bahawa penutupan kilang, bengkel dan kedai terjadi hampir setiap hari yang memberi kesan terhadap kira-kira 300,000 pekerja yang terpaksa menganggur sementara puluhan ribu lulusan sekolah dan universiti kini mungkin menempuh masa depan yang gelap.

21 Februari 2020

Israel Bina Stesen Kereta Bawah Tanah Dekat Tembok Barat Al-Aqsa

Jurucakap Kementerian Perhubungan Israel menegaskan bahawa “Jawatankuasa Infrastruktur Nasional” Israel telah bersetuju membangunkan stesen kereta bawah tanah berdekatan Tembok Al-Buraq (tembok barat Masjid al-Aqsa) di Kota Tua al-Quds yang diduduki penjajah Israel.

Menteri Pengangkutan Zionis, Biszil Smotrich, menyebut keputusan “Jawatankuasa Infrastruktur Nasional” Israel tersebut sebagai keputusan yang “bersejarah”.

Di sisi lain, Pengarah Pusat al-Quds untuk Hak Sosial dan Ekonomi, Ziyad Al-Hamouri mengatakan bahawa projek ini dan semua projek-projek lain penjajah Israel di sekitar Kota Tua bertujuan hanya untuk melayani penduduk Yahudi di kota tersebut dengan mengorbankan penduduk Palestin. Beliau menambah, “Israel ingin menarik pelancong dan perusahaan ke bandar terowong yang sedang dibina di bawah Kota Tua.

Media-media Israel menjelaskan bahawa pelancaran kereta ekspres ini dimulakan dari Stesyen Yitzhak Navon di pintu masuk kota al-Quds ke Tembok Al-Buraq, semua laluannya akan melalui bawah tanah.

Laluan ini terbentang dari bawah jalan Jaffa Street di al-Quds, pada kedalaman sekitar 80 meter dari Stesyen Navon Yitzhak hingga ke dalaman 50 meter ketika mencapai stesyen Tembok Al-Buraq, yang akan diberi nama Stesyen Donald Trump.

25 Februari 2020

Qatar akan menyumbang $12 juta kepada warga Gaza

Ketua Hamas di Gaza, Yahya as-Sinwar bertemu dengan duta Mohamed al-Emadi, pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Qatar untuk pembinaan semula Gaza, dan membincangkan isu-isu kepentingan bersama.

Dua parti itu berbincang untuk memperbaiki keadaan kehidupan rakyat Gaza dan saluran paip gas untuk stesen janakuasa, demikian menurut kenyataan Gerakan Hamas.

Mereka turut setuju untuk menyumbang 12 juta dollar kepada 120,000 keluarga yang memerlukan , dan menyumbang dua juta dollar kepada 500 pemuda untuk bernikah, lagi dua juta untuk pengubahsuaian beberapa kediaman milik keluarga miskin dan satu juta untuk para lepasan universiti bagi membantu membayar kos pengajian dan memperolehi ijazah mereka.

27 Februari 2020

Pendatang Yahudi Racun Ladang Gandum Milik Penduduk Palestin

Pendatang haram Yahudi menyembur racun kimia bagi memusnahkan ladang Gandum milik petani Palestin berhampiran perkampungan  al-Sakout, utara Lembah Jordan.

Aktivis Hak Asasi Manusia, Arif Baraghmeh berkata bahawa pendatang bertindak menyembur racun rumput dan kemudian membakar ladang Gandum berkeluasan kira-kira 12 dunums.

Beliau juga berkata, perbuatan pendatang Yahudi menyerang petani warga Palestin di Lembah Jordan itu adalah susulan rancangan besar-besaran rejim Israel bagi memaksa penduduk Palestin keluar dari kawasan tersebut.

28 Februari 2020

3,500 Penempatan Haram  Baru Bakal Dibina

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Selasa meluluskan rancangan pembinaan 3,500 penempatan baru di timur Baitulmaqdis.

Netanyahu berkata yang projek pembinaan itu melibatkan peluasan berterusan penempatan Ma’ale Adumim yang merupakan sebahagian rancangan “E1”.

Rancangan E1 bertujuan membina rangkaian menghubungkan Ma’ale Adumim dan Baitulmaqdis yang akan melengkapkan penempatan-penempatan Israel sekitar timur Baitulmaqdis memisahkan ia daripada kawasan Tebing Barat yang lain dan pusat penempatan warga Palestin.

5 Mac 2020

Banyak perkhidmatan UNRWA dihentikan akibatkan defisit dalam peruntukan

UNRWA telah memberi amaran yang banyak perkhidmatan penting yang diberikan kepada pelarian Palestin akan dihentikan jika defisit dalam peruntukan tidak dapat diatasi dalam tempoh sehingga Mei.

“Jika defisit yang dianggarkan berjumlah satu billion dan 275 juta dollar tidak diperolehi semula pada bulan Mei, banyak program perkhidmatan UNRWA akan terkesan seperti pendidikan, kesihatan dan pengagihan makanan yang meliputi lima bidang operasi,” jurucakap UNRWA Adnan Abu Hasna menyatakan.

“Kami akan mengenakan prosedur ketat agar boleh meneruskan kerja,” Abu Hasna berkata, menyifatkan kedudukan kewangan agensi itu sebagai serius dan tidak tetap.

10 Mac 2020

Lagi Kawasan Pertanian Palestin Dirampas

Para pendatang Israel telah merampas satu kawasan pertanian Palestin di bandar Beit Ummar di utara Tebing Barat bandar al-Khalil.

Aktivis Mohammed Awad menyatakan yang para pendatang Israel, dengan diiringi pasukan bersenjata, merampas 12 dunum kawasan pertanian di Beit Ummar yang ditanam dengan badam, anggur dan zaitun serta memasang kawat berduri sekitarnya.

Awad berkata, tanah itu dimiliki warga Palestin bernama Saqer Abu Ayyash dan saudara-saudaranya.

31 Mac 2020

Palestin Rayu Dana Untuk Hadapi Wabak Coronavirus

Kementerian Kesihatan Palestin di Semenanjung Gaza telah melancarkan rayuan terhadap masyarakat antarabangsa sejumlah $23 juta untuk membantunya menghadapi dan membendung penyebaran coronavirus di kawasan yang serba kekurangan.

“Untuk menghadapi coronavirus di Gaza, kami menyeru masyarakat dan institusi kebajikan antarabangsa untuk segera menyumbang 23 juta dollar,” jurucakap kementerian kesihatan Ashraf Qudra menyatakan pada sidang akhbar Khamis lepas.

“Kementerian Kesihatan sangat bimbang tentang kekurangan ubat-ubatan penting, barang-barang perubatan, bekalan makmal, bank darah serta kekurangan alatan untuk menjalankan pemeriksaan coronavirus.”


Wallahu a'alam (MMO)




No comments:

Post a Comment