Wednesday, January 17, 2018

A.M. AZAHARI, SULTAN DAN BRUNEI RAYA (Bahagian II)


Peta menunjukkan kemerosotan kuasa Brunei dan Sulu

Musuh rakyat Brunei  ialah penjajahan British yang beroperasi di Pejabat Tanah Jajahan di London. Betapa tidaknya, sejarah telah mempamirkan kepada  kita semua akan kelicikan kerja diplomasi dan kerja pecah dan perintahnya sehingga Sarawak dan Sabah yang  dimiliki Brunei menjadi tanah jajahannya dan Brunei menjadi Negeri naungannya. Sebab itulah pemimpin yang  sebenar sentiasa belajar dari sejarah, dia tidak membenci sejarah walau sepahit mana sejarah itu dilaluinya.

Siapa Yang Menjual Sarawak?      

Pejabat Tanah Jajahan British di Madras, India dan Singapura telah  menggunakan James Brooke 36 tahun, seorang  pegawai  tentera British yang licik untuk menjadi seorang pelayar bagi membawa misi London ke Pulau Kalimantan. Misi utama James Brooke ialah  pergi ke Sarawak untuk menghakis kekuasaan Brunei dan menjadikan seluruh wilayah Sarawak  sebagai tanah jajahannya. Misi keduanya pula ialah mengembangkan Kristian.

Sultan Muhammad Khanzul Alam (1807-1829) telah mengutus Pengiran Indera Mahkota Pengiran Mohamad Salleh ibni Pengiran Syarmayuda untuk menjadi wakil pentadbir baginda ke Sarawak pada tahun  1827.

Apabila ada laporan tentang Pengiran Indera Mahkhota  yang kononnya tidak upaya untuk menghadapi gangguan kongsi gelap Cina dan  gangguan lanun di perairannya, maka Sultan Brunei mengutus pula Pengiran Muda Hassim dan adiknya Pengiran Badaruddin ke Kuching untuk memantau keadaan. Kedatangan Pengiran Muda Hassim menyebabkan timbul perbalahan siapa lebih besar antara mereka.

Ketika James Brooke sampai di Sarawak pada 1839, beliau mendapati sengketa antara Pengiran Muda Hassim dan Pengiran Indera Mahkota amat meruncing, lalu berkira-kira untuk mengambil peluang dari perbalahan kerabat itu.

James Brooke mendapati Pengiran Muda Hassim mempunyai kelemahan yang memerlukan bantuan daripadanya. Justeru James Brooke  mengambil tindakan memihak Pengiran Muda Hassim. Gayung bersambut kata bersahut.

James Brooke menyedari tali barutnya tidak kukuh, lalu mengambil langkah mengadap Sultan Omar Ali Saifuddein II, di Brunei pada bulan Julai 1842. Dengan tipu muslihatnya, dia dapat mengelirukan Sultan dan pembesar istana betapa kononnya Pengiran Indera Mahkota sedang  mengumpul kekuatan untuk menentang Sultan. 

Malangnya Sultan yang nipis telinga begitu mudah menerima laporan James Brooke, lalu diberi kuasa untuk mewujudkan ketenteraman di Kuching. Dengan tauliah ini Pengiran Indera Mahkota  disingkirkan dan Pengiran Muda Hassim dianugerahkan gelaran Bendahara dan adiknya Pengiran Badruddin telah menjadi orang kuat James Brooke.

Egenda Perluasan Wilayah

Egenda perluasan wilayah Brooke ke atas Sarawak bermula dengan pengambilan wilayah Kuching dan sekitarnya. Kemudian dituruti pula dengan pengambilan Labuan pada 18 Disember 1846, seterusnya pengambilan Sungai Semarahan, Sadong, Lingga, Skrang, Krian, Saribas dan Rajang pada tahun 1853 dengan bayaran tahunan $1,500 kepada Sultan (Sultan Abdul Momin).

Pada tahun-tahun 1856–1861 pula ialah penyerahan Mukah, Bintulu, Oya dan Tatau kepada James Brooke. Pada tahun 1882, Charles Brooke pula memperolehi Sungai Baram dengan bayaran tahunan masing-masing kepada Sultan (Sultan Abdul Momin) sebanyak $3,000 dan kepada Pengiran Temenggong Anak Hashim $2,000 dan seterusnya pada 1885 Terusan dan 1890 Limbang telah diambil oleh Charles Brooke.  

Amat malang, berikutan itu tiada lagi kedaulatan dan hak Sultan Brunei ke atas Sarawak. Selama 100 tahun(1841-1946) James Brooke dan keturunannya menjadi raja di Sarawak bergelar Raja Brooke terdiri dari, James Brooke (1841-1868), Charles Brooke (1868-1917) dan Charles Vyner Brooke (1917-1946). Kekuasaan wilayahnya jauh lebih besar dari wilayah tadbiran Sultan Brunei sendiri. Pada tahun 1946, seluruh wilayah Sarawak diambil alih oleh British sebagai negeri jajahannya.

Hal ini amat mengaibkan generasi penerus. Ia meletakkan James Brooke dan penggantinya seorang rakyat jembel, sudah semartabat dengan Sultan Brunei sendiri. Ironinya, Sultan Brunei tidak boleh campur tangan dalam urusan pentadbiran di Sarawak, tetapi orang British dapat mencengkam kukunya bagi mencampuri urusan dalaman  Brunei.

Siapa Yang Menjual Borneo  Utara (SABAH)

Yang tinggal pada Brunei selepas Sarawak dirampas penjajah British ialah sebahagian wilayah Borneo Utara (Sabah) dan wilayah yang sekarang dikenali dengan Brunei Darussalam. Pada hal adalah diketahui dalam kurun ke-16 seluruh Sabah membawa ke wilayah Selatan Filipina adalah sebahagian dari wilayah Kesultanan Brunei. 

Malangnya, sebahagian dari kedaulatan Borneo Utara telah diserahkan kepada Betara Sulu termasuk Kimanis yang luas wilayahnya, sebagai balasan di atas bantuan Betara Sulu kepada Pengiran Bendahara Muhyiddin dalam perang saudara yang dikenali Perang Pulau Cermin. Perang saudara tersebut adalah antara Pengiran Bendahara Muhyiddin dengan Sultan Abdul Mubin yang berlarutan selama 14 tahun (1660-1674).

Peperangan ini berakhir dengan Pengiran Bendahara Muhiyiddin menang dan menjadi Sultan Brunei ke 14. Sebagai balasan atas kemenangan itulah  sebahagian wilayah Sabah telah diserahkan kepada Betara Sulu.

Peristiwa ini telah mengakibatkan tuntutan bertindih dan pertikaian berterusan antara mereka yang berkepentingan hingga ke hari ini. Dalam perkiraan inilah apabila kesultanan Sulu termasuk dalam kedaulatan Filipina, maka Filipina mendakwa sebahagian dari  wilayah Sabah itu sebagai milik kedaulataan Filipina. Tuntutan Filipina ke atas wilayah berkenaan timbul tenggelam hingga ke hari ini yang menjadi duri dalam daging kepada Malaysia.

Kejayaan tidak menyebelahi A.M. Azahari dan PRB apabila wilayah yang menjadi milik kesultanan Sulu di Sabah itu akan digugurkan oleh puruk waris kesultanan Sulu dan kerajaan Filipina sebaik Negara Kesatuan Kalimantan Utara (NKKU) yang diperjuangkannya  sebelum pemberontakan 8 Disember meletus berjaya diwujudkan.

Pemilikan Sabah Bertukar Tangan.

Sultan Jamalul Azam, Sultan Sulu yang berkuasa atas sebahagian dari Sabah telah membuat perjanjian dengan saudagar bangsawan Austria, Baron Gustavus de Overbeck dan seorang pedagang Inggeris Alfred Dent pada 22 Jun, 1878. Perjanjian itu bersetuju memajakkan wilayah yang dikuasai baginda kepada saudagar Eropah itu.

Sebelumnya itu mereka telah berjaya mendapatkan konsesi pajakan dari Sultan Brunei, Sultan Abdul Momin ke atas wilayah Sabah yang meliputi Sungai Sibuku di pantai timur dan Paitan, Sugut, Bagaya, Labuk, Sandakan, Kinabatangan serta Teluk Darvel. Perjanjian  penyerahan wilayah itu dengan Sultan Abdul Momin dimeterai pada 29 Disember, 1877.

Melalui konsessi yang diperolehi dari Sultan Jamalul Azam Sulu dan Sultan Abdul Momin Brunei itu telah menjadikan bangsawan de Overbeck sebagai penguasa tertinggi di  wilayah tersebut dan dinobatkan gelaran ‘Maharaja’ Gaya  dan Sandakan.

Kedua keturunan Eropah itu bukan sahaja berminat untuk menjadikan kawasan itu sebagai pusat perdagangan mereka tetapi telah berjaya menjadi maharaja mempunyai kekuasaan de facto dan de juri pula. Sedih. Kalau di Sarawak Brooke menjadi raja, maka di Sabah de Overbeck bergelar ‘Maharaja’ pula.
   
Bagaimana pun, tipu daya British kemudiannya berjaya menguasai wilayah yang dikuasai oleh Baron de Overbeck dan Alfred Dent. Menurut British, kedua saudagar itu telah menjual wilayah itu dalam tahun 1881 kepada British yang mentadbirkannya atas nama Syarikat Berkanun Borneo Utara atau North Borneo Charted Company.

Dalam pada itu Pulau Labuan pula telah diperolehi British pada tahun 1846 secara berasingan untuk dijadikan pangkalannya seperti di Singapura. Dalam tahun 1946 selepas perang dunia kedua, seluruh wilayah Sabah secara rasmi menjadi sebahagian dari tanah jajahan Inggeris, termasuk pulau Labuan.
   
Demikian mudahnya British menakluki wilayah kesultanan Brunei dan memecah-mecahkannya hingga akhirnya, wilayah yang tinggal untuk dipusakai oleh Sultan dan rakyat Brunei hanyalah kawasan yang dikenali sebagai Brunei Darussalam yang dalam peta sekarang ini, sedang lebih daripada 95 peratus dari wilayah kesultanan Brunei kurun ke-16 dahulu hilang dari kedaulatan kesultanan itu termasuk Lawas, Limbang dan Terusan yang menjadi sumber permakanan Brunei.

Brunei Masih Bernasib Baik

Alhamdulillah, Brunei masih bernasib baik. Jika usaha Charles Brooke berjaya  untuk  mengambil Tutong dan Belait melalui campur tangan beliau di dalam satu pemberontakan rakyat jati  menentang pemerasan pembesar negeri pada 1889 hingga 1905, dipimpin Datu Kallam dan Datu Digadong;  dan jika Muara dan Pulau Berambang yang konsisinya dimiliki oleh Charles Brooke tidak diserahkan semula kepada Sultan Ahmad Tajuddin pada 31 Disember 1946 itu, maka kekuasaan Brunei sekarang mungkin hanya tinggal sekelumit meliputi daerah Brunei (tanpa Muara) dan Temburung sahaja yang tidak berminyak dan mungkin yang termiskin didunia.

Sejarah tentunya sepakat menggambarkan keadaan ini sebagai satu tindakan kurang bijaksana. Hanya pengkhianat yang menghalalkan perbuatan seorang pengkhianat yang lain.

Dari lakaran kisah malang ini, tidak heranlah Brunei kini ditatang oleh Istana seperti menantang minyak yang penuh, ditatang dengan amat berhati-hati supaya tidak menitik. Justeru atas rasa kebimbangan dan cemburu yang menebal itu, tidak mungkin Istana sedia untuk berkongsi kuasa dengan rakyat. Persoalannya, sampai bilakah agaknya amalan sistem pemerintahan raja mutlak ini boleh bertahan?. 

Wallaha'alam. (MMO).


                                                                  

No comments:

Post a Comment